15.1.15

Berubah Tempat

2014 telah berlabuh. 2015 sudah tiba. Terima kasih 2014. Banyak suka duka dilalui sepanjang tahun lalu. Semoga tahun ini akan memberikan sesuatu yang lebih baik untuk diri ini.

Mulai sekarang frossonice.blogspot.com tidak akan lagi jadi blog peribadi aku. Ini kerana sejak beberapa minggu lalu aku sedang berusaha untuk membuat pendapatan lebih melalui internet dan salah satu cara adalah menggunakan blog. Aku telah buat sebuah blog lain tetapi masalah yang aku hadapi adalah jumlah pengunjung sangat kurang berbanding di sini walaupun di sana aku update setiap hari dan di sini sekali sekala. Seminggu walaupun tanpa update, aku boleh kumpul lebih 100 pengunjung di sini. Untuk kutip untung melalui pengiklanan di blog, aku perlukan pengunjung yang ramai sentiasa. Jadi aku berhasrat untuk menukar fungsi blog ini kepada blog komersial.

Manakala untuk nota-nota peribadi, aku akan menulis di

frossonfire.blogspot.com

Buat masa ini ianya masih kosong dan cuma ada post-post lama aku di Diaryland dan Freeservers. Jadi aku rasa lebih sesuai aku sambung menulis hal peribadi di sana berbanding di sini.

Terima kasih kerana singgah di sini sepanjang waktu ini dan mohon maaf atas segala kesulitan yang timbul.

Harap maklum.


16.12.14

Menganjak Usia

Kurang setengah bulan menjelang 2015.

2015 nanti, aku berusia 40 tahun.

Orang kata hidup bermula pada usia 40 tahun. Aku tidak faham apa maksudnya. Mungkin berkaitan dengan fasa 'settle down' dan tumpuan kepada keluarga; membina keluarga.

Atau mungkin maksudnya kita sudah benar-benar dewasa.

Kalau di kalangan umat Islam, usia 40 tahun itu adalah tingkat di mana 2/3 daripada usia ini telah dicapai dan tinggal 1/3 lagi yang harus dilalui. Ini kerana Nabi Muhammad wafat di usia 63 tahun. Jadi bagi umat Islam, usia lebih daripada itu adalah ujian atau anugerah Allah.

Sedikit sebanyak aku dapat rasakan kudrat di usia 40 tahun ini tidak lagi sekuat dahulu lagi. Sudah terasa risau dengan segala penyakit yang mungkin melanda. Lebih 20 tahun tidak menjaga diri, inilah akibatnya.

Banyak yang belum dicapai dan masih terkapai-kapai mengejar.

Hidup ini bukan mudah. Ianya sebuah perjalanan yang penuh dugaan.

InshaAllah jika diizinNya, tahun hadapan keluarga kecil kami ada bertambah seorang lagi. Aku menerima berita ini dalam perasaan yang bercampur baur. Gembira paling pasti. Risau keadaan ekonomi sekarang. Bagaimana Qaseh hendak menghadapi semua ini nanti apabila kasih sayang terhadapnya terpaksa dikongsi dengan bakal adiknya pula. Banyak perkara yang perlu difikirkan.

Sebenarnya aku mahu berhenti bekerja dengan kerjaya sekarang. Aku terfikir untuk berniaga sendiri atau mengusahakan perniagaan internet. Namun begitu ianya masih difikirkan lagi. Untuk hidup selesa dengan bekerja sendiri, pendapatan bulanan bersih aku nanti mesti tidak kurang dari RM5000 sebulan. Itu pun sekadar cukup untuk menyara keluarga sehari-hari namun tidak cukup untuk memberi kemewahan melainkan aku tinggal di luar bandar.

Untuk hidup betul-betul selesa, aku perlukan sekurang-kurangya RM10 ribu sebulan dari perniagaan sendiri. Tidak ada apa yang mustahil. Cuma jalannya belum jelas. Aku tiada kepakaran dan kelayakan untuk buat apa pun.

Aku fikir bekerja dengan kerjaya sekarang bukanlah naluri aku. Bukan jiwa aku. Ianya tidak memberikan potensi yang besar. Ianya terasa sempit. Namun untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan sendiri juga bukanlah sesuatu yang mudah. Pertama, aku perlu selesaikan hutang piutang pinjaman peribadi yang dibuat atas slip gaji sekarang. Ianya banyak dan aku tidak mahu ianya membebankan aku kelak. Akal cetek waktu muda dulu yang menyebabkan semua ini.

InshaAllah aku akan langkah setapak demi setapak untuk mencapai hasrat aku ini.

Bak kata orang, hidup ini bermula di usia 40 tahun. Moga ianya benar-benar bermula nanti.

11.12.14

Aku dan Sesuatu


Hari ini hari Khamis. Hari cuti umum di negeri Selangor. Tetapi aku di Putrajaya bekerja, walaupun menetap di Selangor. Jalan lengang bila ke pejabat awal pagi tadi. Tidak banyak kenderaan seperti kebiasaan.

Cuma satu perkara yang sentiasa ada apabila di jalanraya. Sikap pemandu yang tidak bertimbang rasa dan egoistik.

Aku berharap dalam masa terdekat, mungkin lima hingga 10 tahun dari sekarang, kereta pandu sendiri akan menjadi realiti. Kemudian, 20 tahun dari sekarang, manusia secara peraturannya, dilarang sama sekali untuk memandu di jalan-jalan utama. Ini kerana manusia dalam apa keadaan pun, sering dikuasai oleh emosi dan ego. Sukar untuk memisahkan sifat tersebut dari diri manusia termasuk ketika memandu.

Maka kereta pandu sendiri (driveless automobiles) adalah penyelesaian yang selamat untuk ini. Aku mahu lihat di jalanraya utama kenderaan dipandu oleh robot/komputer menggunakan sistem canggih yang boleh menghindar dari terjadinya kemalangan dan kelewatan untuk tiba ke destinasi.

Biarkan manusia terus menikmati pemanduan di jalan-jalan raya yang khusus untuk pemanduan oleh manusia. Ianya adalah satu nikmat yang sukar hendak ditarik dari manusia sejak manusia mengenali automobil. Kelajuan adalah mengasyikkan. Ianya pencetus adrenalin. Tetapi bukan di jalan-jalan utama di mana manusia lain harus dilindungi daripada emosi dan ego sesetengah manusia.