Showing posts with label Cakap Seorang Diri. Show all posts
Showing posts with label Cakap Seorang Diri. Show all posts

4.11.11

Selamat Hari Raya Aidil Adha

TV

Beberapa perkara yang aku sedari setelah beberapa hari menonton di peti TV baru.

  1. Resolusi adalah 'over-hyped'. Melainkan mata kita sangat tajam dan bionik, kualiti gambar SD dan HD tidak jauh berbeza. Tetapi ianya tetap berbeza. Ianya lebih 'kaya' melalui HD. Sekiranya anda menggunakan Astro, cuma beberapa siaran saja yang menggunakan HD buat masa ini. Selebihnya masih SD.  Tapi perlukah kita ada TV HD sekarang? Sekiranya ada duit, beli TV HD-sepenuhnya. Sekiranya tidak, tidak perlu. Lima tahun dari sekarang, aku rasa siaran TV HD ini baru akan benar-benar matang.
  2. Aku perlukan sistem pembesar suara untuk mendengar kesan bunyi yang lebih baik. Jika mengharap pembesar suara terbina dalam TV, jangan haraplah. Tetapi ianya bagi aku masih sekadar kehendak, bukan keperluan. Jadi pembesar suara TV buat masa ini masih cukup.
  3. Saiz skrin 42 inci di dalam rumah aku terasa sangat besar. Tambahan pula sofa aku cuma 2 meter dari TV. Tetapi apa yang menariknya, sekarang aku boleh menonton TV terus dari dalam bilik tidur. Nampak jelas!
  4. Skrin LCD TV nampak dan dirasakan begitu 'rapuh'. Bila anak saudara aku datang malam tadi, aku risaukan keadaan skrin LCD TV tersebut. Faham saja si kecil setahun jagung ini, apa saja hendak dilontar ke sana sini. Terasa skrin kaca TV lama jauh lebih selama dan ini membuat aku berfikir. Kenapa tiada syarikat pengeluar TV LCD yang kreatif seperti Apple, menggunakan kaca sebagai lapisan pelindung skrin LCD di laptop mereka. Perkara yang sama boleh dilakukan pada TV LCD. Harga mungkin lebih mahal...
  5. Menonton TV yang berskrin besar sangat mengasyik dan melekakan... Heh.

Raya Haji

Seperti tahun-tahun sebelum, tahun ini aku tidak balik beraya di kampung halaman. Aku dan Zura membuat keputusan untuk beraya di Lembah Klang saja. Masih ada saudara mara yang juga tidak pulang ke kampung. 


Selamat Hari Raya Aidil Adha daripada Ahmad Sharidan & Maszura.

24.4.10

The Ballad of Badak Air and Idan

Kisah badak air lagi. Kamu jangan harap aku akan berhenti. Kamu juga boleh salahkan Khaty, si budak yang suka gelak kuat di pejabat ini. Dapat saja BlackBerry aku di tangannya, badak air akan jadi mangsa modelnya. Mungkin kerana bosan akibat suami dia yang berada jauh di Sarawak, badak air aku dikacau Khaty.

Dia suruh aku melakarkan cerita dari rakaman gambar-gambar badak air.


Si badak air baru bangun dari tidur, di dalam kotak penuh berisi folder kosong. Macam sudah tidak ada tempat lain untuk dijadikan tempat tidur. Dengan dagu sebagai tongkat di pintu kotak, si badak air mengeluh;

"Idan, aku dahaga air..."
"Itu, satu tasik Putrajaya kau boleh minum. Jangan kacau aku buat kerja!" bentak aku.

Mungkin kerana kemalasan, si badak air tidak mahu terjun ke tasik Putrajaya. Badak air terpandang labu sayong yang terletak di atas kabinet besi, belakang kubikel aku.



"Arrghhh.. macamana aku nak buka penutup labu ni?" keluh badak air. Dia cuba membukanya dengan mulut. Masih tidak boleh. Akhirnya gigi si badak air tersangkut di celah penutup labu sayong itu.

"Idan, tolong aku! Mulut aku tersepit!" Jerit si badak air dengan nada pelat.



"Kau ni menyusahkan aku sajalah, badak. Cuba duduk diam-diam kacau Asyikin ke, kacau Rahman ke..." Aku merungut sambil menolong si badak air melepaskan mulutnya dari penutup labu sayong.



"Sudah. Duduk diam-diam tengok aku buat kerja"
"Baiklah..." jawab badak air, lesu. Dia duduk di sebelah aku sambil memerhatikan aku bekerja.

Selang 30 saat.

"Idan..."
"Apa dia badak?"
"Aku bosan"
"Duduk diam-diam!"

Diam kembali.

30 saat kemudian.

"Idan..."
"Apa lagi badak?"
"Kenapa perut kau buncit macam aku?"
"Bodoh punya badak! Takde kerja lain ke?"
"Hahahaha!"
"Diam!"

Selang 30 lagi.



Si badak mula berbisik di dalam hati.
"Apa saja si Idan ni buat? Aku rasa ini bukan kerja. Ini macam internet je. Memang sah!"




"Aku ingat kau buat kerja. Rupanya kau surf internet ya Idan!"
"Habis tu apa masalahnya?" Aku bertanya.
"Buat kerjalah!" Tegas si badak air.
"Hello badak, ini time rehat tau tak" Jawab aku.

Si badak terpinga-pinga.

"Eh, sekarang pukul berapa?" tanya si badak kepada aku.
"1.20 tengahari." jawab aku, ringkas.
"Aku ingat pagi lagi. Rupanya dah tengahari. Patutlah kau rehat saja." 
"Kau tu yang tidur tak ingat dunia."
"Hahaha... ye lah." Si badak air ketawa, malu agaknya.

Selang beberapa ketika.

"Idan..."
"Nak apa badak?"
"Pinjam majalah baru kau ni, TopGear."
"Nak buat apa?"
"Bacalah... Takkan nak buat makan pula!"
"Ambillah!"

Si badak air pun membelek sehelai demi sehelai muka surat majalah.




"Hmm... Ford Forus RS, warna putih... Menarik. Idan, beli satu!"
"Kau ingat harga kereta tu sepuluh ringgit ke?"
"Hehehe..."



"Oh.. Ohh! Handphone ini canggih la Idan. Beli satu!"
"Kau tak nampak aku dah ada dua handphone?"
"Aku yang nak la..."
"Kau nak telefon siapa?"
"Aku nak mengorat Khaty."
"Dia dah kahwin la Badak oi..."
"Sudah tukar status ke?"
"Ye..."
"Malangnya..."



"Idan, TopGear ni takde cerita pasal sungai atau rumput ke?"
"Itu majalah keretalah, Badak."
"Oh ye?"
"Ya!!!"

"Argghhh... bosannya aku, Idan!"
"Pergi buat benda lain."
Argghhh... kau ni amat membosankanlah, Idan!"
"Kau tau pun..."



"Arrgghhh... mati kejang aku!"

22.4.10

Badak Air Bersiar-Siar

Siang tadi kata seorang staf di pejabat, badak air aku merayau sana sini.


Ada ketika dengan selamba, si badak air duduk di atas iMac. Konon hendak memantau. Kaki lembik si badak memang mengganggu tumpuan aku buat kerja.


Badak air sedang memberi motivasi kepada aku supaya tidak menguap untuk ke seratus kali dalam sejam. Selepas itu aku menonton video lagu hindustan di YouTube.


Macam tahu sangat apa yang sedang aku buat. Siap pijak sipi-sipi telefon bimbit aku.

"Apa kau buat ni, Idan?" tanya si badak air kepada aku.
"Tengah siapkan Laporan Tahunan la" jawab aku ringkas.
"Apa lembab la kau buat kerja ha? Bila nak siap?" si badak air mula bersuara lebih serius.
"Banyak nak kena ubah ni!" tegas aku.

"Eleh Idan, bukan aku tak tahu kau asyik dok berbalas mesej dengan awek baru kau!" si badak menjawab sinis.
"Kurang asam! Pergi kacau Kathy!" bengang betul aku.

Hahaha.

18.2.09

Siri Bercakap Dengan Diri Sendiri - 4

"Idan..."
"Ye?"

"Kenapa kau tak sokong kerajaan?"
"Bila aku tak sokong kerajaan?"
"Dalam blog ni. Selalu kau kritik kerajaan."
"Ye ke? Setahu aku, aku cuma kritik parti politik yang memerintah sahaja."

"Kritik kerajaan la tu."
"Siapa kata? Kerajaan lain, parti politik lain."
"Mana pulak. Kalau kau kritik apa yang mereka buat, kau kritik kerajaan la tu. Sebab mereka yang memerintah."
"Betul mereka memerintah tetapi bukan aku kritik kerajaan. Sejak bilalah parti politik itu adalah kerajaan?"
"Sejak dulu lagi."

"Kalau macamtu, orang yang tidak sokong mereka semasa pilihanraya itu adalah penentang kerajaan la ye? Pemberontak? Pembelot?"
"Bukanlah macamtu. Tapi kalau kau tidak suka apa yang mereka buat, sama juga dengan kau tak suka kerajaan. Lagipun, kau kerja kerajaan. Tak patut kau kritik kerajaan."

"Mana boleh macamtu. Aku kerja dengan kerajaan bukan bermakna aku perlu sokong parti politik yang memerintah. Aku cuma perlu sokong kerajaan yang memerintah."
"Samalah... Apa pula bezanya."
"Eh, banyak beza. Kerajaan adalah kerajaan, kuasa yang memerintah negara. Bukan dia perintah negara untuk ahli parti politik mereka saja. Mereka perintah negara untuk semua orang yang menjadi rakyat dalam negara ini. Mereka perlu jaga setiap orang tidak kira apa fahaman politik orang itu. Mereka perlu melindungi rakyat. Perlu ambil berat dan perlu beri ruang untuk rakyat. Itulah fungsi kerajaan. Parti politik lain."

"Macamana lain?"
"Parti politik berfungsi untuk kepentingan ahli dan penyokong parti politik tersebut sahaja. Tetapi apabila parti itu dipilih untuk membentuk kerajaan, mereka sepatutnya membuang ideologi dan pengaruh parti politik mereka dan meneruskan agenda negara. Bukan agenda parti. Kerana agenda negara adalah untuk setiap orang."
"Jadi, salahlah kalau guna jentera negara untuk kepentingan politik?"
"Ya, amat-amat salah. Jentera negara adalah untuk semua rakyat tidak kira siapa mereka. Kalau hendak guna telefon di pejabat kerajaan untuk menelefon pejabat partinya pun sepatutnya tidak boleh. Kalau guna juga, perlu dibayar bil itu oleh pengguna sendiri. Harta kerajaan tidak boleh guna untuk kepentingan mana-mana parti politik."
"Lagi? Menarik ni..."

"Kau pernah tengok papan tanda projek pembangunan kerajaan?"
"Papan tanda?"
"Alah... Papan tanda projek macam pembinaan hospital, sekolah, balai polis dan lain-lain aset kerajaan."
"Oh.. Banyak. Kenapa?"
"Apa jadah lambang parti politik ada di papan tanda ni?"
"Ntah... Salah ke?"
"Salah la tu. Itu projek kerajaan, bukan projek parti. Kalau hendak sangat kata itu projek parti, keluarlah duit sendiri buat projek tersebut."
"Betul juga. Itu duit kerajaan. Bukan duit mana-mana parti politik."
"Itu satu. Sudahlah letak lambang parti, letak pula lambang tersebut lebih tinggi daripada jata negara. Bahaya!"
"Bahaya?"
"Itu kalau mengikut tafsiran kasar, parti lebih berkuasa daripada negara. Ini perkara biadap yang ramai orang tidak tahu atau mungkin tahu tetapi buat-buat tidak tahu kerana takut dihukum."

"Kau berani pula tulis semua ini di sini?"
"Aku cuma tulis perkara yang betul. Aku bukan sokong mana-mana pihak. Aku sayangkan negara aku dan kalau aku lihat perkara itu salah, apa salahnya aku cuba beritahu salahnya."
"Berani gila. Tak takut ke?"
"Ramai yang kata mereka lebih takut Tuhan dari orang... Aku boleh juga cakap macamtu. Tapi 
ramai ke antara mereka yang sanggup membuktikannya?"

"Okay faham. Tapikan, aku masih tak puas hati."
"Apasal?"
"Kira betullah kau tidak suka parti politik yang memerintah sekarang?"
"Aku bukan tidak suka parti politik tersebut. Aku tidak suka tindakan dan salah perbuatan yang berlaku. Aku harap mereka perbetulkan."

"Tapi apa kesannya kalau mereka perbetulkan pun?"
"Ish... Banyak! Pertamanya, mungkin mereka tidak tahu. Tapi inilah sebenarnya persepsi golongan muda terhadap mereka. Salah guna kuasa."
"Kenapa?"
"Golongan muda bukan tidak suka parti ini. Mereka cuma meluat melihat pelbagai salah guna kuasa dan sikap pentingkan diri sendiri ahli politik. Aku percaya, kalau dibersihkan segala salah silap ini, parti politik lawan takkan ada ruang untuk bangun."
"Macamtu..."
"Parti pemerintah juga tidak lagi boleh menggunakan aset kerajaan untuk kepentingan parti. Tidak boleh lagi menunggang aset kerajaan dan segala yang kerajaan patut/wajib lakukan kepada rakyat sebagai agenda politik mereka. Kerana mana-mana parti yang memerintah pun, perkara pembangunan, ekonomi, kesejahteraan adalah perkara wajib dalam agenda kerajaan."
"Sebab itulah agaknya sogokan pembangunan, ekonomi dan lain-lain sudah semakin tidak menjadi ye?"
"Tentulah. Kerana orang sudah sedar bahawa itu perkara pokok yang wajib bagi sesebuah kerajaan untuk laksana demi kepentingan rakyat. Tidak perlu mana-mana parti politik menggunakannya sebagai tulang perjuangan politik mereka."

"Habis apa yang perlu mereka buat untuk menarik penyokong?"
"Bentangkan pelan terperinci apa yang akan mana-mana parti politik lakukan sekiranya diberi peluang untuk memerintah. Keluarkan fakta berdasarkan sasaran. Bukan berdasarkan prestasi semasa yang telah berlaku. Memang tidak adil begitu dan orang tidak suka hendak dengar."
"Ooo... Kira mereka tidak boleh la kata, lihat, kami sudah bangunkan Malaysia. Inilah kehebatan dan kemampuan kami. Parti lawan tidak mampu melakukannya."
"Ya, mereka tidak patut kata begitu. Kerana itu adalah perkara wajib untuk mana-mana kerajaan lakukan. Lagipun di Malaysia ini amat tidak adil berkata begitu. Semenjak merdeka, kita tidak pernah ada parti politik lain yang memerintah."

"Kira boleh gunalah juga. Tapi kalau ada parti lain yang pernah memerintah la ye. Sebagai perbandingan yang lebih jelas. Macamtu?"
"Betul. Seperti di Amerika Syarikat dan Britain. Ada beberapa parti yang pernah memerintah jadi mereka boleh bandingkan. Kalau itu dibuat di sini, orang benci."

"Jadi betullah kau tidak benci parti politik yang memerintah sekarang?"
"Ya, aku tidak benci. Aku cuma tidak suka cara mereka menyalah guna jentera negara. Seperti media rasmi dan jabatan-jabatan. Itu tidak patut dilakukan tambah-tambah zaman internet ni. Orang nampak jelas. Lagipun, orang zaman sekarang ni bukannya macam 20 tahun dulu. Sedarlah sikit."
"Betul."
"Siapa saja yang menjadi strategis politik parti pemerintah sekarang, patut dipecat saja. Bebal."
"Hahaha.."
"Iyelah, masih leka menggunakan perang psikologi lapuk."
"Ya, betul. masih tak faham-faham."
"Ya... bengap otak. Internet pun tak boleh nak kuasai lagi."

"Idan..."
"Ye?"
"Apa yang kau mahu dari parti yang memerintah sekarang?"
"Bersih, cekap dan amanah. Itu agenda mereka dulu. Takkan lupa kot? Bersihkan tangan mereka dari jentera kerajaan. Jentera kerajaan adalah hak rakyat dan 26 juta rakyat nampak JELAS semua itu. Jangan terlalu gila kuasa dan cuba bergantung talian hayat dengan kuasa. Ianya tidak akan kekal abadi. Sebaliknya berjuang untuk kepentingan rakyat. Untuk kepentingan negara. Berhenti menjadi retorik dan buktikan kepada rakyat bahawa mereka adalah kerajaan yang jujur dan ikhlas untuk rakyat... Kemudian kamu akan lihat rakyat kembali menyokong kamu. Kalau tidak..."
"Kalau tidak apa?"
"Percayalah, internet ini akan menyebabkan mereka tersungkur dari atas sana..."
"Hmm..."

21.1.09

Siri Bercakap Dengan Diri Sendiri - 3

"Idan.."
"Oit.."
"Kau fikir orang yang apply naik pangkat tu semua layak ke?"
"Mana aku nak tau."
"Andaian kau la."
"Aku fikir? Aku fikir ramai antara mereka yang mahu naik pangkat kerana mereka fikir itu jalan terbaik untuk kerjaya mereka."
"Maksudnya?
"Ramai antara mereka yang clueless dengan jawatan yang mereka pohon. Maksud aku kalau dari segi buat kerja tu, memanglah lebih kurang sama saja. Tapi tanggungjawab lain."
"Ada tanggungjawab lain ke selain jadi mandur?"
"Mandur? Hahaha..."

"Lebih kurang la tu."
"Human interaction, diplomasi, problem solving, stress management, authority, kaunseling, motivasi dan banyak lagi mereka perlu tahu dan faham dan boleh menggunakannya. Kalau setakat mahu naik pangkat kerana mahu naik pangkat, ramai mereka nanti akan tertekan kemudian hari."
"Oo... Mereka boleh belajar kan?"
"Memanglah boleh. Tapi ingat Matrix ke? 10 saat belajar sudah mahir. Ambil masa dan perlu pemahaman."
"Banyak course untuk mereka nanti. Rasanya semua tu boleh diatasi."
"Hmmm.. mungkin. Tapi aku percaya, jawatan itu sebenarnya sesuai untuk orang yang benar-benar berpengalaman dan bersedia saja. Orang yang faham konsep apa itu ketua dan peranannya."
"Ramai mereka tak tahu ke?"
"I seriously doubt it. Tengok saja nanti. Aku setuju bila Bos Besar kata sepatutnya jawatan-jawatan ini perlu ada penilaian dalam tempoh masa tertentu. Kalau berjaya, terus kekal. Kalau tidak, turun pangkat balik. Itu lebih logik."

"Kesian la orang yang bersusah payah mohon dan kerja sudah lama dan yang tak mahir."
"Itulah, kesian. Aku faham. Tapi, kita kena rasional. Aku fikir diri sendiri yang perlu sedar. Sedar sama ada kita sedia ke tidak. Kalau masih belum bersedia, jangan. Memang kita boleh belajar. Cuma, kita tidak jujur dengan diri kita sendiri. Itu saja."
"Jadi kau tak sokong la ramai kawan kau yang mohon naik pangkat?"
"Eh, biar je la mereka naik pangkat. Itu hak mereka."
"Habis, apa masalahnya?"
"Err.. Siapa yang timbulkan masalah sebenarnya?"
"Aku... hehehe..."

"Aku cakap terus terang dengan ramai orang yang aku masih belum bersedia. Aku tak fikir aku boleh arah orang buat itu ini. Aku tak fikir aku boleh terima tanggungjawab sebagai ketua walau hanya untuk beberapa orang."
"Alah, naik pangkat sikit je pun. Bukan ketua besar."
"Hah! Itulah ramai mereka tidak faham."
"Huh?"
"Naik pangkat yang sikit tu pun mereka sudah dipertanggungjawabkan dengan beberapa orang sub-ordinat. Kalau mereka tidak boleh kawal anak buah mereka, sendiri yang susah nanti."
"Oo... Sebab itu la kau tak nak ye. Sebab kau tak reti nak arah orang."
"Tau pun. Orang macam aku mana suka sangat nak arah orang. Habis bodoh pun aku boleh buat muka garang je. Sampai bila orang nak percaya dengan muka garang aku tu."
"Eh, ramai je orang di pejabat tu percaya. Orang ingat kau sombong."
"Hahaha... Itu pasallah. Tak kenal."

"Idan..."
"Apa dia?"
"Sudahlah cakap dengan diri sendiri. Pegi tido!"
"Heh... Jom."

Siri Bercakap Dengan Diri Sendiri - 2

"Apasal tak mintak naik pangkat, Idan?"
"Tak nak."
"Rugi la kau. Orang lain yang sama masuk dengan kau dulu dah naik pun."
"Biarlah diorang. Aku belum ready."
"Bila nak ready?"
"Bila aku rasa aku boleh nak mengarah orang bawah. Kau fikir aku suka arah orang?"
"Ya, aku tahu."

"Banyak masa lagi."
"Tapi sekarang la peluang kau, Idan. Sementara Bos Besar baik dengan kau."
"Lagi aku tak nak. Nanti orang cakap aku guna Bos Besar untuk kepentingan aku."
"Apa masalahnya?"
"Takde masalah bagi aku. Orang je yang bermasalah nanti."

"Biarkan diorang. Pentingkan diri sendiri dulu."
"Boleh. Tapi sampai bila? Kau ingat Bos Besar tu jadi bos selama-lamanya ke? Orang di pejabat tu tunggu masa je Bos Besar keluar."
"Jadi?"
"Aku nak orang tahu, aku bukan orang Bos Besar. Tapi tak payah la aku bagitau."
"Biar je lah diorang."
"Aku biarkanlah ni."

"Habis, bila kau nak apply naik pangkat?"
"Nantilah kalau ada tawaran, aku applylah."
"Kira kau nak juga la ye?"
"Aku nak tapi aku nak kerja di tempat yang sama."
"Apahal?"
"Ini kerja yang aku suka buat. Lagipun memang ada kekosongan jawatan tu di tempat aku kerja sekarang."
"Tak nak cuba bahagian lain?"
"Wajib sangat ke nak masuk core-business tu?"
"Ye la, dah kau kerja situ, patutnya kau tau la bisnes utama dia."
"Siapa cakap?"
"Semua orang cakap."
"Okay. Biar semua orang fikir macamtu. Aku tak masuk campur. Bagi aku, kerja di bahagian mana sekalipun, kerja tetap kerja."

"Idan.."
"Ya?"
"Apasal kau cakap sendiri-sendiri ni?"
"Hahaha. Sebab orang lain susah nak faham aku kot."
"Ye ke?"
"Entah. Aku rasa agak menarik aku berbicara dengan diri sendiri. Sebab orang lain jarang mahu berbual dengan aku mengenai teori evolusi, ekologi atau apa-apa bicara berkaitan perkara sebegitu."
"Ye lah. Kau salah orang. Mereka tu lebih suka baca Mastika dan menonton Melodi. Mereka suka buat apa 99% orang melayu lain suka buat. Kau tu loner. Mana suka benda semua tu."
"Eh, jangan cakap kuat-kuat. Mereka sensitif."
"Gila! Kau cakap dengan diri kau sendiri. Apa jadah mereka nak sensitif pulak?"
"Apa?"
"Patutnya mereka fikir kau sudah gila. Itu baru betul."
"Ya juga..."

Hehehe... Cukup keliru?

20.1.09

Siri Bercakap Dengan Diri Sendiri - 1

"Woit, aku nak buat video blog!"
"Yeah!!.. Err, ada ke orang nak tengok muka ko?"
"Diam la Idan!"
"Baik. Saya diam, Idan."