Showing posts with label Qaseh Nurzahra. Show all posts
Showing posts with label Qaseh Nurzahra. Show all posts

4.12.14

Dugaan November

Minggu lepas Qaseh diserang demam campak.

Pada mulanya kami syaki dia kena demam denggi kerana badannya kejap panas, kejap sejuk. Simptom biasa demam denggi. Ini kerana beberapa minggu lalu, mamanya, Zura baru pulih dari demam denggi. Jadi tidak mustahil Qaseh juga disangka mengalami keadaan sama.

Jadi pulang dari kerja, aku dan Zura terus bergegas membawa Qaseh ke Pusat Perubatan Universiti Malaya. Setelah diperiksa dan doktor mengambil sampel darah Qaseh, keputusannya negatif. Tiada tanda-tanda denggi. Doktor hanya mengatakan ianya mungkin jangkitan viral yang biasa berlaku. Kami menarik nafas lega. Bukan denggi seperti yang kami risaukan.

Balik dari hospital, Qaseh nampak masih lemah dan seperti kesakitan. Kami dapati juga di bahagian kaki dan mulutnya timbul bintik-bintik kecil kemerahan. Mulalah kami sangka mungkin Qaseh sebenarnya menghidap penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD). Qaseh pernah alaminya tidak lama dulu walaupun tidak serius. Kami yakin ianya HFMD kerana sehari sebelum, Qaseh bermain di pusat permainan kanak-kanak di MidValley. Dulu Qaseh disedang HFMD pun berpunca dari selepas bermain di pusat permainan kanak-kanak (berbayar) seperti ini.


Esok siang, kami bawa Qaseh ke klinik kanak-kanak yang selalu dia pergi sejak kecil lagi. Doktornya seorang cina tua yang begitu baik dan sangat pandai mengambil hati terutamanya kanak-kanak. Doktor ini pernah menjadi pengarah perubatan kanak-kanak di PPUM suatu masa dahulu dan selepas pencen, membuka klinik kanak-kanak sendiri. Klinik kecil di SS3, Kelana Jaya inilah yang sering kami kunjungi ketika Qaseh kurang sihat.

Setelah diperiksa oleh doktor, akhirnya Qaseh disahkan diserang demam campak. Doktor sempat menjelaskan bahawa sebenarnya ada vaksin imunisasi untuk demam campak yang boleh diberikan kepada kanak-kanak tetapi memandangkan kami membawa Qaseh ke klinik kesihatan kerajaan untuk pemeriksaannya, vaksin ini tidak diberi kerana kos yang mahal dan demam campak bukan penyakit yang kronik seperti hepatitis dan rubella.

Aku mengadu kepada Zura setelah pulang dari klinik. Aku kata aku keletihan menjaga mereka berdua yang sakit. Aku bukan letih dari segi fizikal. Aku letih dari segi emosi. Bukan senang nak hadapi keadaan bila mana orang yang kita sayang sedang ditimpa musibah. Bila ke PPUM kerana risaukan Qaseh mungkin diserang demam denggi, aku terus berasa keletihan memikirkan mungkin aku terpaksa berseorangan di rumah untuk lebih seminggu sementara Qaseh dirawat di hospital. Syukur ianya bukan denggi.

Tahun ini memang banyak dugaan kepada kami sekeluarga. Mungkin kerana tahun hadapan Tuhan hendak anugerahkan kami dengan rezeki yang melimpah. Doa kami agar hidup ini sentiasa diberkati.

Qaseh sudah semakin sihat. Cuma tinggal tanda-tanda berbekas di kaki, tangan dan mulut sisa demam campak yang makin memudar. Dia sudah kembali aktif, malah makin lasak. Syukur.


25.11.14

Aku dan Sesuatu

Bila memandu, ada waktunya aku lebih sukakan jalan berliku laluannya dihiasi pepohon yang menghamparkan bayang-bayang di sepanjang jalan. Ketika itu, disulami irama yang mendamaikan aku dapat rasakan sebuah ketenangan.

Waktu bujang dulu, itulah perkara yang paling kerap aku lakukan. Kerana aku tidak pernah ada sahabat karib atau teman rapat. Malah aku sebenarnya tidak ada sahabat untuk berhujung minggu bersama-sama seperti orang lain. Hidup di penghujung hari selepas kerja atau di hujung minggu adalah sendiri. Ke mana-mana sendiri. Hingga pernah bercuti seorang diri di Langkawi. Itulah pertama kali aku ke Langkawi. Seorang diri.

Maka aku lebih banyak berdiam diri dari bercakap. Aku jadi pendiam kerana keadaan. Banyak waktu-waktu bisu ini aku penuhi dengan fotografi dan membaca.

Pantai Klanang
Kini aku terkesan dengan keadaan ini. Ketika ini Qaseh semakin membesar dan semakin betah berbicara. Ada waktunya aku dan Zura langsung tidak faham apa yang diluahkan oleh Qaseh. Ada waktunya dia menyusun ayat cukup sempurna hingga kami terdiam, memikirkan bahawa dia sudah sedewasa ini untuk berbicara sebegitu.

Tetapi aku kurang mahir untuk berbual-bual dengan Qaseh. Kurang bijak untuk berkomunikasi dengan berkesan dan untuk mengajarnya berbicara dengan baik. Aku tahu, dia masih kecil. Aku tidak perlu paksa dia untuk lakukan apa pun. Tapi sebenarnya aku simpatikan Qaseh. Ada waktunya di rumah dia seperti bersendirian tanpa teman untuk berbicara. Ini kerana bila Zura sibuk dengan kerja rumah dan hanya aku jadi peneman, aku tidak tahu bagaimana untuk melayan karenah Qaseh.


Hidup kami sekeluarga sentiasa dalam proses pembelajaran. Setiap masa ada saja perkara baru yang dipelajari dan difahami.

Kebelakangan ini Qaseh kurang makan dan tidak mahu makan. Itu meresahkan aku dan Zura. Pelbagai cara termasuk menghias makanan dan membeli makanan yang kami duga Qaseh akan suka telah kami lakukan. Dia masih tida mahu makan seperti yang kami harapkan.

Ianya sesuatu yang mencabar, hidup mempunyai anak ini. Aku tidak boleh bayangkan bagaimana keadaannya Ayah dan Emak menghadapi kami seramai tujuh orang di rumah kecil dengan segala kekangan hidup. Mereka jauh lebih hebat dari aku kerananya. Entahlah, aku tidak menikmatinya sejak umur 14 tahun. Aku berada jauh dari mereka sejak itu.

Hidup ini lebih bermakna sekarang dari masa lalu. Itu pasti.

12.11.14

Dugaan Seminggu

Seminggu aku berulang alik ke hospital kerana Zura diserang demam denggi. Hospital hanya sepelaung dari rumah. Itu memudahkan sedikit perjalanan namun dalam keadaan begitu, aku masih terasa keletihan ke sana sini mencari penawar alternatif untuk Zura. Aku cari air pucuk daun betik kerana terdapat kajian yang membuktikan air pucuk daun betik mampu meredakan panas akibat demam denggi dan meningkatkan platlet darah. Sekarang air pucuk daun betik ada dijual secara komersial. Lihat sini,



Harga agak berpatutan, RM12 (aku dapat harga RM10) sebotol dan kena habiskan sekurang-kurangnya sebotol sehari. Pengedar sarankan aku beli empat botol sekaligus. Namun begitu aku beritahu aku ingin mencuba dua botol terlebih dahulu. Tidak lama selepas beli, sepupu Zura mengirim mesej mengatakan suaminya sudah sediakan jus daun betik yang dipetik dari laman rumah. Pati daun betik yang dicampur madu. Cukup untuk beberapa hari. 


Aku cuba juga cari sup ketam untuk Zura. Zura memang suka makan ketam jadi aku fikir ianya alternatif yang lebih baik. Selepas beberapa hari barulah dapat sup ketam, itupun ketam segar yang dibawa oleh mertua dari Kuala Kedah. Memang ketam yang masih hidup hingga Qaseh ketakutan melihat kaki ketam yang masih bergerak.

Setelah hampir seminggu di hospital, barulah platlet darah Zura kembali meningkat naik dan akhirnya diberi keizinan oleh doktor untuk keluar pada Isnin tempohari. Kos perubatan keseluruhan di hospital swasta berdekatan rumah adalah lebih kurang RM4300. Namun begitu Zura menggunakan kad perubatannya jadi kami hanya perlu bayar RM400 lebih (10% co-insured). Aku diberitahu ejen insurans bahawa kad perubatan yang Zura guna adalah pakej lama. Pakej baru tidak mempunyai co-insured, maka boleh dapat 100% kos perubatan. Bila Zura balik bekerja nanti, aku akan pastikan Zura mengadu hal tersebut kepada Bos beliau dan minta pakej perubatan yang baru. :D


Apa yang lebih memenatkan adalah untuk menguruskan si kecil, Qaseh Nurzahra. Seminggu aku bercuti untuk menjaganya. Aku fikir tidak wajar dalam keadaan ibunya yang kurang sihat, Qaseh dibiarkan begitu saja di rumah pengasuh. Tambahan pula apabila aku hantar Qaseh ke pengasuhnya, pengasuh mengadu bahawa anaknya sendiri sedang mengalami demam yang panas dan berbintik-bintik merah di badan, simptom yang hampir sama dengan demam denggi. Akibat daripada itu, aku lebih rela menjaga Qaseh sendiri. 

Syukur juga Qaseh bukan seorang yang suka memerap dengan ibunya. Qaseh lebih rapat dengan aku. Tidur malam pun tidak memerap mencari ibunya. Malah di hospital melawat Zura pun, Qaseh lebih suka bermain-main daripada memerap dengan ibunya. Namun begitu, disebabkan Qaseh begitu aktif, aku menjadi keletihan melayan karenahnya setiap masa. Tiada istilah rehat sekejap baginya. Jadi itu mungkin punca Qaseh kelihatan kurus dan kecil. Tenaganya digunakan sehabis mungkin setiap masa. 


Kemudian, Sabtu tempohari, mertua membawa Qaseh bersama kerumah adik sepupu di Seremban. Sana ada dua orang sepupu Qaseh yang boleh menemani Qaseh bermain bersama-sama. Tinggallah aku keseorangan di rumah.

Pengalaman seminggu ini mengajar aku beberapa perkara. Aku tidak mungkin lagi boleh hidup sendirian tanpa teman, tanpa anak di sini seperti yang pernah aku lalui suatu waktu dahulu. Hidup ini terasa begitu sunyi tanpa mereka. Rumah terasa kosong tanpa suara dan kelibat mereka. Hati terasa suram mengenangkan mereka yang jauh di sisi.


Biar apa pun keadaan, isteri dan anak adalah anugerah Tuhan yang tidak ternilai harganya. Aku perlu jaga dan pertahankan mereka sedaya upaya aku. Berikan yang terbaik untuk mereka semampunya diri ini.

Syukur semuanya sudah selesai.

31.10.14

Menanti Hujung Minggu

Sekelip mata penghujung minggu tiba.

Waktu terasa berlalu begitu pantas. Esok november menjelang tiba. Setahun lagi waktu bakal dilalui dan ditinggal pergi. Aku seperti tidak sempat mengejar apa-apa buat masa ini. Tahun hadapan aku menjejak usia 40 tahun.

Empat puluh tahun.

Sungguh lama walaupun terasa begitu sekejap tibanya. Mana perginya dekad-dekad yang aku tempuhi sebelum ini? Qaseh hanya baru berusia dua setengah tahun.

Empat puluh tahun.

Lama.

Sungguh lama.

Aku doakan agar 20 tahun dari sekarang aku masih ada untuk melihat Qaseh membesar gembira dan bahagia. Aku pasti akan merindui saat-saat jari tangan ini ditariknya, mendesak aku mengikut kemana saja dia pergi untuk bermain; di rumah dan di mana saja.

Dia sudah menjadi begitu bijak sekarang. Kelmarin dia buat tipu daya terhadap aku. Aku pasang suis mesin pembersih udara. Dia tutup. Aku pasang kembali dan aku cuba halang dari dia menutupnya. Dia berlari ke kanan dan ke kiri cuba mencari ruang untuk jarinya menekan suis penutup. Tidak berjaya kerana aku benar-benar menghalang. Kemudian dia memegang jari telunjuk aku, menarik dan mengajak aku ke peti sejuk. Dia meminta sebotol air Vitagen. Air kegemarannya. Tiba di peti sejuk, sebaik saja dia menyuruh aku membuka peti tersebut, dia meluru berlari menuju ke arah mesin pembersih udara dan menutup suisnya. Dia tertawa riang. Aku terpinga-pinga.

Ya, dia pandai melakukan tipu daya.


Tidak sangka sudah begitu besar dan sudah begitu bijak si kecil ini.

Dalam usia sebegini, Qaseh masih menyusu badan. Entah bila dia mahu berhenti. Aku kasihankan Zura namun dalam masa sama, Zura sendiri kasihankan Qaseh. Katanya, bila Qaseh berhenti menyusu kelak, dia akan rindui saat yang ada sekarang; kemesraan ibu dan anaknya.

Hujung minggu yang tiba ini, Qaseh adalah penyerinya. Rumah kecil kami akan dipenuhi tawa riang, sosok tubuh kecil yang kesana kemari mencari apa saja yang boleh mengusik akal fikirannya.  Masa ini adalah emas untuk kami. Ianya tidak akan kekal lama. Ianya bakal jadi kenangan suatu waktu nanti. Sehingga tiba waktu itu, biarkan kami nikmati detik-detik bahagia ini.

20.10.14

Bila Damai Di Hadapan Mata

Aku asyik membaca catatan lama di blog ini. Nampak lebih bersantai dan lebih banyak idea ketika itu. Sudah ada lebih 1,500 posting di sini. Sudah banyak yang aku lupa. Bila dibaca kembali, aku tersenyum sendirian. Aku sedari banyak perkara yang sudah berubah.

Aku tidak lagi berbicara hal politik. Aku sendiri tidak mahu menulis mengenainya lagi. Aku tidak mahu tempat ini jadi medan tempur perbalahan pendapat. Tidak ada lagi cerita mengenai Asyikin yang kerap ditulis di sini suatu ketika dulu. Tidak ada lagi lakaran alam melalui potret-potret yang aku rakam melalui lensa kamera. Kamera itu pun telah aku jual. Hanya ada kamera telefon yang lebih kerap merakam karenah dan keceriaan si kecil kesayangan, Qaseh Nurzahra.

Sesungguhnya aku rindu saat apabila ada kamera DSLR di genggaman tangan setiap masa. Ruang alam ini terlalu indah untuk dibiarkan begitu saja. InshaAllah jika ada rezeki, aku mahu membeli kembali sebuah kamera DSLR. Cukup dengan sebuah lensa asas agar dapat aku cerap momen-momen bermakna dalam hidup. Qaseh semakin membesar. Aksinya semakin pantas dan menarik. Rugi jika tidak dirakam dengan kamera.


Aku juga sebolehnya tidak mahu menulis isu terkini di sini. Aku fikir cukup sumber lain yang menulisnya. Biarkan saja sini jadi tempat bercerita hal sehari-hari mengenai diri ini dan apa yang ada di sekeliling. Cukup sekadar itu. Aku mahu kehidupan yang lebih mudah. Lebih mendamaikan.


Aku rasa begitu kehidupan seharian keluarga kecil aku. Zura tidak perlu bersusah payah untuk masak setiap hari di rumah. Setiap kali ditanya hendak makan apa, aku akan cakap buatlah apa yang paling senang hatta maggi sekalipun. Itu sudah mencukupi. Kalau aku lihat Zura terlalu penat dengan kerja atau kurang sihat, sebolehnya aku pesan saja makanan dari luar atau keluar makan bersama. Aku tidak perlu tiga macam lauk setiap hari untuk berasa selesa. Aku tidak perlu masakan esotik untuk menaikkan nafsu makan. Semua yang dimasak itu sudah cukup baik. Sudah lebih dari memadai. Kadang-kadang aku menimbulkan kesusahan kepada Zura sendiri bila pertanyaannya dijawab aku dengan jawapan "terpulanglah, buat apa saja..."

Itu lebih sukar, bukan. Tapi bagi aku, aku memang tak kisah tentang apa yang dihidang asal dapat dijamah kenyang satu keluarga kami. Cukup.

Kami bukan keluarga yang senang. Ada waktunya kami kesempitan dalam banyak hal. Tetapi kami tetap bersyukur kerana ada antara satu sama lain. Qaseh Nurzahra adalah penyeri dan pemanis hidup kami. Cukup untuk membuat hiba di hati pudar dan cukup juga untuk membuat jiwa berasa damai.


Jika dimurahkan rezeki, aku mahu ada seorang dua anak lagi. Anaklah penyeri hidup. Dalam hening dua manusia pendiam seperti aku dan Zura, Qaseh adalah irama yang memecah kesunyian itu. Kalau ada seorang dua lagi, biarlah sebising mana pondok kecil kami, aku bersyukur.

Kebahagian yang tidak dicari, datang dengan sendiri jauh lebih besar nikmatnya.

15.10.14

Membina Kreativiti & Imaginasi Qaseh

Tempohari aku berhasrat nak belikan Qaseh sebuah set permainan Playdoh. Aku fikir dengan usianya semakin meningkat, dia perlu diberi permainan yang memerlukan kreativiti dan imaginasi. Playdoh iaitu permainan tanah liat (plasticine) aku fikir adalah permainan yang baik untuk membina imaginasi dan kreativiti Qaseh.

Semalam aku akhirnya belikan dia sebuah set Playdoh.


Aku beli set asas yang mempunyai beberapa acuan tekan dan beberapa playdoh berwarna warni.

Menariknya dari pemerhatian aku, Qaseh seperti sudah tahu apa yang hendak dilakukan dengan permainan ini. Zura tunjukkan beberapa contoh dengan menggunakan acuan. Qaseh seterusnya meniru perbuatan tersebut dan cuba hasilkan karya menggunakan acuan yang diberikan.

Lama kelamaan Qaseh jadi semakin kreatif dan berimaginasi. Dia gunakan Playdoh itu sebagai bahan untuk dia bermain 'masak-masak'. Lalu bongkah tanah liat dipotong-potong menggunakan pisau plastik membentuk seperti 'makanan' yang kemudiannya cuba disuap kepada aku dan Zura. Aku sentiasa ingatkan Qaseh bahawa tanah liat itu bukan untuk dimakan. Dia faham. jauh dari itu, dia bijak menggunakan situasi itu untuk membuat aksi berpura-pura makan.

Aku teruja dengan keupayaan permainan seperti ini yang mampu membuka ruang kreativiti dan imaginasi seorang kanak-kanak. Selalunya apabila dia bermain, dia akan mengajak aku dan Zura untuk turut sama bermain. Tapi dengan Playdoh semalam, dia seperti asyik dalam dunianya sendiri, leka bermain hingga lewat malam.

Aku sedari Qaseh sekarang berminat melakukan kerja-kerja yang memerlukan dia berfikir dan berimaginasi. Tempohari dia keluarkan tong menyimpan set permainan blok (Mega Blocks) dari bawah meja yang sudah berhabuk. Dia ajak aku bermain membina struktur dari Mega Blocks. Aku berikan dia kebebasan untuk menyusunnya dan dalam masa yang sama aku perbetulkan sedikit sana sini tempat yang kurang kukuh. Ianya sangat mengasyikkan bagi Qaseh. Dia gembira apabila binaannya mencapai tahap yang difikirkannya. Aku tidak kisah jika 10 saat kemudian dia bertindak menolak jatuh binaan tersebut hingga berterabur. Aku tahu Qaseh puas hati dan gembira dengan apa yang dia buat.

Dulu sewaktu belum berumahtangga, aku pernah berjanji kepada diri sendiri agar menjadi seorang ayah yang baik untuk anak-anak aku. InshaAllah, aku akan cuba sebaik mungkin.

3.10.14

Qaseh Pengubat Rasa

Sudah terlalu lama aku tinggalkan ruang ini. Suatu masa dulu sinilah jadi tempat aku mengadu rasa hati yang dalam terpendam. Mungkin kerana hidup aku lebih gembira dengan isteri dan anak tersayang sekarang. Atau mungkin juga kerana Facebook.

Sembilan bulan berlalu tanpa bicara;

Qaseh Nurzahra sudah menjejak usia dua setengah tahun. Sudah pandai berkata-kata, sudah pandai merajuk, sudah pandai meminta-minta, sudah pandai serba serbi.


Masa sungguh pantas berlalu. Tak terkejar aku dengan pantasnya Qaseh membesar. Hari demi hari ianya seperti lakaran yang semakin luas ruangnya untuk aku gapai setiap inci keindahannya. Tuhan anugerahkan aku suatu yang sangat istimewa dan aku lihat ianya semakin mekar dan harum setiap ketika. Life is trully beautiful.

Isteriku tersayang, Maszura berkata, tunggulah biar Qaseh sudah bijak sedikit lagi sebelum merancang untuk mendapatkan adik. InshaAllah. Kami tidak pernah puas dengan Qaseh. Belum lagi. Mungkin untuk selamanya belum. Setiap detik pasti ada suatu keajaiban ciptaan Ilahi terhadap makhluknya.

Hidup ini sebenarnya terasa semakin sukar dan menekan. Suasana di tempat kerja tidak lagi seceria dahulu. Halang demi halangan terpaksa dilalui. Rasanya sudah tiba masa aku berubah angin. Berikan aku waktu dalam masa yang terdekat ini. Aku mahu memikirkannya sehabis mungkin.

Jujurnya, di rumah aku sungguh gembira dan bahagia. Penat lelah melayani telatah si kecil mengubat segala duka di hati.

13.1.14

Tiga Hari Mengejar Kesabaran

Jumaat tempohari, balik dari kerja, Zura tunjukkan beberapa keputihan di dalam mulut Qaseh. Cepat-cepat aku rujuk internet dan aku dapati ianya dikenali sebagai Thrush atau dalam bahasa Melayu, Kulat Susu. Semakin lama ianya semakin merebak dan akhirnya seluruh mulut Qaseh dipenuhi dengan kulat susu. Doktor berikan kami ubat sapu untuk Qaseh dan beritahu kami ianya akan mengambil masa untuk pulih.

Sabtu dan Ahad kami hanya duduk di rumah melayan karenah Qaseh yang meragam sepanjang masa. Makan minum terpaksa diberi secara paksa kerana beliau berasa sakit setiap kali makan. Kami sapukan Teething Gel untuk mengurangkan rasa sakit. Sepanjang Qaseh sakit, inilah kali permata dia meraung sepanjang malam. Tidur 30 minit, terjaga dan meraung. Aku dan Zura bergilir-gilir menjaganya. Selalunya dulu kalau Qaseh sakit, dia hanya akan mahu kepada Zura. Dia akan memerap pada mamanya. Tetapi kali ini dia mahu memerap dengan aku. Jadi sehari dua ini aku langsung tak cukup tidur melayan Qaseh yang tak boleh nak tidur.

Lewat malam ini, Qaseh terjaga dari tidur. Sejak siang tadi dia sudah nampak tanda-tanda semakin sihat. Keputihan dalam mulut semakin kurang dan tinggal beberapa bintik-bintik kecil dalam mulut. Jaga saja dari tidur tadi dia meraung tanpa arah tujuan. Mahu diberi minum, dia tolak. Maklumlah sejak kelmarin dia seperti menjadi fobia dengan makanan kerana setiap setiap kali hendak makan, mulutnya terasa sakit. Hingga ada satu ketika dia terasa begitu lapar, dia ambil sepotong keropok lekor dari pinggan dan mula mengunyah. Tidak semena-mena dia muntahkan balik sambil mencampak keropok lekor jauh darinya dalam keadaan marah dan kecewa. Lapar dan dahaga tetapi mulut terasa sakit hendak menerimanya. Kita orang dewasa pun akan berasa begitu.

Bangun saja dari tidur tadi, Qaseh meraung lagi sepuas hati. Apa saja tidak kena. Lama kami biarkan dia meraung. Kemudian kami tawarkan air dari bekas airnya. Mulanya Qaseh menolak. Aku terdetik untuk ke dapur dan mengambil segelas air dan diletakan straw supaya Qaseh mudah minum. Mulanya Qaseh menolak. Dia masih fobia. Lama kelamaan mungkin disebabkan keletihan, dia akhirnya minum juga air dari gelas itu.

Aku kebetulan sedang menjamah makanan ringan. Ada sebungkus di tepi. Qaseh mencapainya dan meminta dibuka. Zura buka dan terus berikan kepada Qaseh. Aku yang melihat dari jauh cuma bersuara agar Qaseh berhati-hati semasa makan kerana takut dia berasa sakit. Dari seketul ke seketul dia masukkan ke dalam mulut dan menjamahnya. Perlahan dia kunyah tetapi dia tetap makan. Syukur. Akhirnya dia berjaya atasi fobianya. Sebungkus habis dimakan. Mungkin dia terlalu lapar. Diminta lagi sebungkus. Aku berikan.

Biarlah walau hanya makanan ringan. Kami berasa lega sebab dia kembali ada selera untuk makan. Memang Qaseh belum pulih sepenuhnya tetapi ianya cukup membuat aku rasa senang hati.

Pengalaman ini mengajar aku erti sabar. Ada sekali dua aku meninggi suara kepada Zura. Aku sedarinya. Bukan kerana aku marah tetapi kerana aku mahu dia beri tumpuan pada Qaseh pada waktu itu. Aku sedar bahawa Zura juga dalam keadaan putus asa melihat karenah Qaseh sehari dua ini. Kami masih belajar. Banyak yang kami perlu belajar untuk menjadi ibu bapa yang baik.

Sekarang jam hampir 3 pagi. Qaseh masih belum tidur. Aku tunggu sehingga dia tidur, baru aku senang hati hendak lelapkan mata.

16.10.13

Cerita Tujuh Hari

Tempohari Qaseh dimasukkan ke wad di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Puncanya kerana batuk berterusan dan penafasannya terganggu (wheezing) seperti sedang mengalami lelah. Aku dan Zura sudah sedia maklum, sekiranya Qaseh mengalami selsema dan batuk, potensi untuk Qaseh diberi nebulizer adalah besar.

Namun begitu kali ini lebih membimbangkan. Ketika dibawa ke PPUM, suhu badan Qaseh mencecah 39 darjah selsius. Sangat tinggi dan berpotensi untuk terkena sawan. Setelah diberi nebulizer, doktor menasihati kami agar Qaseh diberi rawatan susulan di wad pedriatik. Maka selama tiga hari Qaseh dipantau dengan rapi oleh beberapa orang doktor dan jururawat. Aku terasa kagum melihat kegigihan para doktor dan jururawat di PPUM. Walaupun ada di antara mereka adalah doktor pelatih, namun dedikasi mereka tetap tinggi. Tidak seperti yang selalu digambarkan, tingkah perbuatan mereka terhadap Qaseh adalah lembut dan mesra. Sentiasa mengambil berat keadaan Qaseh dan kerana itu, aku ucapkan terima kasih kepada mereka.

Adakah Qaseh menghidap asma? Sebenarnya sebelum kanak-kanak berusia tiga tahun, adalah sukar hendak menentukan sama ada mereka benar-benar menghidap asma. Doktor sendiri tidak mahu meletakkan simptom yang dihadapi oleh Qaseh sebagai asma sebaliknya mereka kata ianya gangguan penafasan akibat jangkitan kuman yang berpunca dari batuk dan selsema. 

Memang begitu keadaan Qaseh sebenarnya. Sekiranya tidak selsema atau batuk, Qaseh tidak pernah alami kesukaran penafasan yang memerlukan dia mengambil nebulizer. Wheezing yang sering berlaku ketika Qaseh bernafas adalah berpunca daripada kahak yang terlalu banyak di saluran penafasan dan ruang paru-parunya. Setelah disedut beberapa kali di wad tempohari, syukur penafasan Qaseh kembali normal.

Orang ada kata, jangan biarkan Qaseh sejuk. Pakaikan pakaian yang tebal. Mereka perlu tahu yang Qaseh sangat mudah berpeluh, hatta dalam keadaan suhu bilik sekalipun. Apabila dia berpeluh, dia akan tidak selesa dan menarik-narik rambut dan bajunya. Qaseh paling tidak suka diselimutkan ketika tidur. Dia sendiri akan menolak selimut dari badannya. Rumah kami tidak ada penghawa dingin. Cuma kipas yang kelajuannya sekadar di nombor tiga. 

Masalah kedua Qaseh ketika dimasukkan ke wad adalah keadaan badannya yang sangat kurus, di bawah BMI ideal seorang bayi. Akibatnya, Qaseh telah dirujuk kepada pakar pemakanan (entah untuk kali ke berapa). Mereka sebenarnya sedikit pelik apabila mendengar dakwaan kami bahawa Qaseh adalah seorang yang sangat kuat makan. Dia sentiasa mahu makan setiap masa! Malah penjaga Qaseh juga pernah berkata bahawa Qaseh paling banyak makan berbanding orang lain.

Mungkin kerana Qaseh terlampau aktif menyebabkan peningkatan berat badan beliau tidak ketara. Jadi kami dinasihatkan supaya memberi makanan tambahan seperti susu khas dan vitamin kepada Qaseh. Iyalah. Kami akan lakukan, sama seperti yang pernah dinasihati sebelum ini. Semalam, jam 12 malam, tangan aku ditarik oleh Qaseh ke peti ais kerana dia masih lapar. Dia mahu makan sesuatu. Qaseh memang kuat makan!

Keluar dari wad pada hari Khamis, kami dinasihati doktor agar tidak membawa Qaseh ke tempat awam secara kerap untuk masa terdekat. Oleh kerana aku dan Zura keletihan menjaga Qaseh di PPUM, hari jumaat minggu lepas kami tidak terus kembali bekerja, sebaliknya berehat di rumah dan sempat kami melawat kedai makan sepupu Zura yang baru di buka di Ibu Kota.


====

Ahad tempohari, kerana kebosanan, aku mengajak Zura berehat di tepi pantai. Mulanya aku bercadang untuk ke Bagan Lalang. Aku lupa hari Ahad lalu ada perlumbaan akhir MotoGP di Sepang. Kami terdampar dalam kesesakan jalanraya sehingga sampai di simpang membelok ke Sepang. Alang-alang sudah begini keadaannya, baik kami terus ke Port Dickson saja, fikirku. Zura bersetuju.

Maka kami mengubah destinasi ke Port Dickson. Puas juga Qaseh bermain dengan air laut. Dia suka air maka air laut adalah sesuatu yang lebih menarik buatnya. Sedar keadaan Qaseh yang masih belum sihat sepenuhnya, kami membataskan waktu Qaseh bermain-main di tepi pantai walaupun dia meronta-ronta hendak terus bermain.

Kami teruskan perjalanan ke Alor Gajah, Melaka dan bermalam di rumah mertua kepada adik Zura. Sempatlah Qaseh bermain-main dengan dua orang sepupunya yang lain. Isnin kelmarin, barulah kami pulang ke rumah. Perjalanan yang tidak dirancang begini memang menarik. Lebih menarik jika dapat memandu di kawasan kampung atau jalan biasa yang berliku-liku. Terasa damai dan tenang setelah hampir seminggu menghadapi saat getir bersama Qaseh di PPUM. Ianya rehat yang kami sekeluarga perlukan. 

Sebelum itu, aku pernah merancang untuk pergi melancong dan menginap di hotel. Tetapi perjalanan yang dilalui dipenghujung minggu lalu adalah jauh lebih baik dan menggembirakan kami sekeluarga.

Semalam ketika orang ramai sibuk beraya di sana sini, aku mengecat dinding bilik tidur utama dan Zura mengemas bilik sebelah. Qaseh ada di mana-mana menyibukkan diri sesedap rasanya. Sempat aku bergurau dengan Zura,

"Zura, Abang terasa rumah ni makin sempit la. Qaseh ada di mana-mana sampai nak berjalan pun susah!"

Kami sama-sama ketawa.

I love my family.

3.7.13

Qaseh ke Genting Highlands

Kelmarin kami sekeluarga bercuti di Genting Highlands. Sewa bilik yang berpatutan aku perolehi melalui internet. Ada bagusnya guna kad kredit. Itu kelebihan yang patut kita guna. Selepas ini aku perlu lebih baik mengawal perbelanjaan kad kredit. RM160 untuk dua bilik di Hotel First World adalah sangat berpatutan.maklumlah, kami bercuti bukan untuk menikmati bilik hotel, tetapi suasana di taman tema permainan sana.


Aku sama sekali tidak terduga bagaimana Qaseh begitu sukakan permainan di sana, terutamanya Carousel. Beliau mendesak aku bermain berkali-kali dan enggan turun dari permainan tersebut. Anehnya dia tidak duduk di atas kuda tetapi duduk di atas kerusi dan bermain-main sepanjang Carousel berpusing. Nasib juga aku boleh mengawal pening.


Namun begitu ada beberapa permainan kanak-kanak yang Qaseh tidak boleh main kerana dia masih kecil dan tingginya hanya 70cm, jauh dari tinggi minimum iaitu 76cm. Sesekali ternampak riak wajahnya kecewa tidak dapat bermain permainan yang menarik minatnya. Kita sebagia ibu bapa lagilah terasa.


Cepat-cepat aku dan Zura janjikan kepada Qaseh bahawa kami akan bawa dia lagi apabila lebih besar kelak. Aku rasa anda pun begitu juga, bukan?

Ya, Qaseh besar sedikit lagi, Papa dan Mama akan bawa ke Genting Highlands lagi.

27.6.13

Masa Untuk Qaseh

Masa untuk Qaseh;

Setiap hari bekerja;
- 15 minit di waktu pagi sebelum dihantar ke penjaganya.
- Lebih kurang 4 jam selepas balik kerja sehingga dia tidur.
= Lebih kurang 24 jam.

Hujung minggu sepenuh masa dengan Qaseh @ 2 hari.

Seminggu = 3 hari.

52 minggu = 156 hari. (Aku anggap 180 hari)

180 hari = lebih kurang 6 bulan.

Sekadar 6 bulan.

Mana cukup!

26.6.13

Mencari Damai di Bukit Fraser

Dek kerana jerebu yang semakin serius, siang tadi aku bawa lari Zura dan Qaseh ke Bukit Fraser.

Pertama kali aku ke sana. Tiba sudah lewat petang. Namun begitu, walaupun cuma sekadar untuk sejam dua, ianya sudah cukup untuk kami sekeluarga menghirup udara segar di sana. Cukup untuk membuat Qaseh nampak lebih selesa. Itu yang penting.

Fraser memang mendamaikan. Suasananya sangat tenang. Jauh berbeza dengan Cameron Highlands. Aku fikir Bukit Fraser masih terpelihara daripada pembangunan berleluasa. Tidak ada ladang sayur yang dibuka di mana-mana. Mungkin faktor geografi yang kurang sesuai atau kawasan sekitar yang kebanyakkannya digazetkan sebagai hutan simpan kekal. Akses yang aku fikir lebih sukar berbanding ke Cameron Highland juga satu faktor. Jalan di sana sangat kecil. Mustahil bas-bas besar dapat terus sampai ke puncak dengan mudah. Untuk bercuti sambil menikmati suasana damai alam yang sejuk dan nyaman, Bukit Fraser adalah sangat sesuai. Kita tidak akan habis banyak duit di sana. Tetapi untuk yang sukakan hiburan, situ bukan tempatnya.

Nampaknya malam ini, tidur Qaseh lebih lena berbanding semalam. Syukur.

Aku sentiasa mahukan yang terbaik buat keluarga aku walaupun hidup ini kadang-kadang dalam keadaan tertekan dengan pelbagai beban. Sukar hendak biarkan mereka hidup tanpa rasa damai dan senang hati sentiasa. Bukan mudah untuk mencari bahagia. Jadi bila sudah perolehinya, kita perlu jaga sepenuh hati dan sebaik mungkin. Itu amanah. Isteri adalah amanah. Anak juga adalah amanah. Kita boleh tinggal sehelai sepinggang tetapi jangan sampai anak isteri terseksa akibat kita abaikan mereka.

Hujan rahmat malam ini.

20.6.13

Lewat Malam

Antara punca aku kurang menulis adalah disebabkan untuk beberapa ketika, setiap post aku mesti dikepilkan dengan foto. Bukan sekadar foto, tetapi foto yang menceritakan sesuatu. Akibatnya aku lebih banyak menceritakan hal keluarga dan kurang hal-hal lain yang tidak aku rakam dengan kamera.

Blog ini dulunya begitu terbuka. Aku berbicara apa saja. Semuanya aku sumbat di sini sebagai momento saat itu. Ianya begitu relevan dengan suasana dan apa yang berlaku ketika itu. Tidak berapa lama dulu aku haramkan diri aku dari menulis hal politik di sini. Aku juga sudah tidak menulis hal yang sedih, kecewa atau bersifat terlalu peribadi. Sedangkan dulu aku ceritakan semuanya.

Mungkin ada perkara yang tidak perlu aku tulis lagi di sini kerana tidak mahu mencetus salah faham atau menyentuh perasaan orang lain. Selepas ini blog ini akan lebih terbuka. Aku begitu berminat hendak menulis mengenai teknologi; buat ulasan terhadap sesuatu produk seperti telefon bimbit atau komputer. Aku juga berminat berkongsi pengetahuan. InshaAllah akan aku usahakan.

Lewat malam begini, enjin otak ini sebenar semakin perlahan. Menanti saat aku pejamkan mata dan lena diulit mimpi. Tidur aku sebenarnya tidak lena seperti yang aku sangka. Aku sedang mengalami kesukaran penafasan sewaktu tidur atau Sleep Apnoea. Sebab itulah aku sedang berusaha untuk menurunkan berat badan seperti yang disarankan oleh doktor.

Syukur buat masa ini semuanya masih dalam keadaan okay. Aku mahu sentiasa sihat. Aku mahu lihat Qaseh membesar menjadi seorang gadis yang cantik dan pintar. Waktu sekarang, dalam santai setelah penat bekerja, aku luangkan masa melayan karenah Qaseh yang semakin aktif dan lincah.

Aku pernah mengeluh apabila Qaseh sentiasa mahu aku dukungnya dan melayannya. Ya, aku mengeluh kerana aku terasa letih melayan kehendak si kecil itu. Tidak lama selepas itu barulah aku tersedar silap aku. Waktu kecil Qaseh, waktu di mana beliau mahukan perhatian, mahu didukung dan mahu dilayan hanyalah seketika. Sekejap saja. Bila Qaseh besar kelak, dia pasti tidak mahu lagi didukung dan dilayan sepanjang masa. Saat yang aku ada inilah sepatutnya aku luangkan sepenuh masa dan tumpuan kepadanya, tanpa keluhan.

Benar, anak itu anugerah yang tidak ternilai. Rumah ini seperti begitu ceria sekarang. :D

1.4.13

Selamat Hari Lahir Yang Pertama, Qaseh Nurzahra

1 April 2013, Qaseh Nurzahra berusia satu tahun.

Terasa begitu pantas masa berlalu. Masih aku teringat ketika pertama kali aku menyambut kehadiran Qaseh, lebih kurang jam 3.30 pagi di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Ianya suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan. Segalanya ada.

Setahun berlalu dan Qaseh semakin membesar menjadi seorang manusia yang sungguh bijak dan penuh telatah dan karenah yang menghiburkan. Sepanjang tempoh setahun itu juga aku dan Zura pernah lalui saat-saat getir dan meresahkan ketika Qaseh tidak sihat, atau ketika melayan kehendak Qaseh yang masih belum mahu tidur di lewat malam walaupun kami sudah terlalu mengantuk dan keletihan.


Qaseh adalah anak papa ketika bermain dan gembira dan anak mama ketika sakit dan mahu tidur. Kecil-kecil sudah pandai membahagi masa untuk papa dan mamanya. Tidak salah kami memilih nama Qaseh (atau Kasih) kerana itulah yang kami rasakan setiap masa ketika bersama Qaseh Nurzahra.

Aku tidak mahu menjanjikan apa-apa yang besar atau hebat. Cukup sekadar aku berusaha untuk memberikan yang terbaik buat Qaseh sepanjang masa agar dia dapat membesar dan menjadi manusia yang berguna.

Aku tidak mampu nak janjikan kemewahan harta benda. Aku cuma boleh berikan kemewahan kasih sayang kepadanya.

Selamat Hari Lahir Anakku, Qaseh Nurzahra.

24.2.13

38 Tahun, 2 Hari

Kelmarin hari lahir aku yang ke-38. Kalau ikut tradisi tahun-tahun sebelumnya, pasti aku akan menulis di sini sehari dua sebelum atau pada hari tersebut. Ikut tradisinya juga, pada hari lahir aku, aku akan ke mana-mana restoran makanan segera, makan sambil membaca buku atau majalah atau novel. Biasanya restoran tersebut mestilah jauh dari tempat kebiasaan aku pergi. Aku pernah sambut hari lahir aku di KFC Sungai Pelek. Ya, sejauh itu.

Rasanya semua itu akan hanya tinggal kenangan.

Hari lahir aku kelmarin disambut bersama dua insan; Zura isteriku dan Qaseh, anakku.Ianya suatu pengalaman yang tidak dapat dicairkan dengan tulisan di sini. Kami tidak pergi ke restoran mewah atau membeli sebuah kek besar untuk diletak lilin di atasnya.


 Kami cuma ke Restoran Strawberry di Petaling Jaya, restoran kegemaran kami. Kami pesan semangkuk tomyam seafood, telur dadar bersama daging ayam dan kailan ikan masin, jus tembikai untuk Zura dan air coklat untuk aku. Aku memesan sepotong kek tiramisu sebagai pelengkap jamuan. Qaseh makan apa yang kami makan. Malah lebih dari itu, Qaseh malam kelmarin penuh keceriaan.

Usai makan, kami ke Dataran Merdeka, melihat ramai orang di sana, kanak-kanak bersama keluarga mereka. Seketika kami di sana melihat telatah manusia, kami pulang untuk berehat.

Sabtu pagi kami bertiga ke Kuching untuk selama tiga hari, dua malam.

Ya, tiada lagi makanan segera sebagai penyeri hari lahir. Dua tahun lalu aku berseorangan manyambut hari lahir ke 36. Tahun lalu aku berdua menyambut hari lahir, bersama Zura dan menanti waktu kelahiran Qaseh. Tahun ini kami bertiga. Syukur dengan nikmat dan rezeki yang Allah limpahkan sepanjang masa.

InshaAllah tahun hadapan pada waktu yang sama, aku dan Zura akan dapat mendengar celoteh Qaseh pula.

Terima kasih Allah atas 38 tahun ini. Semoga dipermudahkan segala urusan hidup dan dijauhi dari bencana serta kesusahan. Amin.

31.1.13

Asma

Tolak tepi dulu kerja kerana otak sudah jammed. Memang agak stress dengan kerja, ditambah pula dengan ekspektasi bos yang melampau dan membandingkan dengan perkara yang bukan-bukan. Graphics design is art, and you cannot rush art.

10 hari merancang untuk menulis di blog ini. Hari ini aku memaksa diri mencuri waktu demi menenangkan jiwa dan gelodak hati akibat tekanan kerja.

Pertama, Qaseh disyaki doktor mengalami simptom-simptom berkaitan asma. Punca paling jelas adalah akibat beliau sering selsema dan batuk. Kesan dan selsema dan batuk berpanjangan ini yang menyebabkan asma berlaku. Kata doktor, ianya trauma dan badan cuba menghalang penyakit dari terus berlaku, sebaliknya menimbulkan masalah lain pula. Orang kata ianya berpunca dari sejuk (tidak pakai stokin waktu malam/tidur, udara sejuk dan lain-lain). Sebenarnya rumah kami tidak sejuk. Itu realitinya. Ada waktunya kami terpaksa pasang dua kipas semata-mata untuk tidak berpeluh ketika tidur. Bukan untuk sejuk, tetapi untuk tidak berpeluh.


Sebelum Qaseh mendapat asma, ada seorang doktor pakar yang menasihati kami agar memasang penghawa dingin di rumah supaya Qaseh lebih selesa. Kami tidak melakukannya. Tempohari setelah balik dari bercuti di Cameron Highlands, dua hari selepas itu barulah Qaseh mengalami asma buat pertama kalinya. Sebelum itu ketika di Cameron Highlands, beliau sangat sihat, walaupun sering tidur akibat pening melalui jalan yang berliku. Kami bawa ke klinik dan doktor membuat proses sedutan gas 'nebulizer'. Doktor juga membuat saranan agar mengelak tempat sejuk, kucing dan binatang berbulu, menyimpan karpet dan permainan yang berbulu serta pokok-pokok bunga dan habuk.

Kali ke dua terjadi ketika berada di Kuala Kedah minggu lepas. Kami sedari Qaseh terbatuk-batuk apabila berjumpa dengan doktor. Pada asalnya, tujuan utama kami berjumpa doktor tersebut adalah untuk meminta pandangan mengenai masalah selsema dan batuk Qaseh yang kerap berlaku. Tetapi bila tiba di dalam bilik doktor, kami sedari Qaseh sedang mengalami asma, walaupun tidak serius. Maka doktor terus memberi saranan agar dibuat proses 'nebulizer' selama dua hari berturut-turut dengan kekerapan 3 kali sehari.

Aku dan Zura menoleh kebelakang dan cuba mencari punca-punca berlakunya asma pada Qaseh. Sewaktu di Kuala Kedah, cuaca di sana adalah panas, kecuali di awal pagi ketika angin sejuk bertiup. Malah tidur malam pun, kipas tidak terus menghembus ke atas Qaseh. Cuma di kampung ada karpet, kucing, ayam, itik, lembu dan pokok kekabu di tepi rumah.

Aku fikir, Qaseh mengalami asma akibat alergi terhadap benda, bukan akibat cuaca yang sejuk. Buat beberapa ketika ini kami akan terus memantau keadaan Qaseh terutama ketika beliau bermain dengan benda-benda yang disyaki boleh mengakibatkan asma. Beliau juga sering bersin. Itu adalah antara tanda-tanda alergi. Tetapi secara faktanya, Qaseh menghidap asma akibat kesan selsema dan batuk yang sering berlaku keatasnya. Itu kata doktor.

Ubat? Buat masa ini kami hanya memantau dan jika serius, kami akan ke klinik atau hospital untuk proses nebulizer. Qaseh juga mandi sedikit lewat di waktu pagi dan lebih awal di waktu petang. Waktu tidur, kipas akan dipasang satu takuk lebih perlahan. Zura juga tidak menyapu bedak ke badan Qaseh.

Ada beberapa cara alternatif yang dicadangkan oleh rakan-rakan dan kenalan. Terima kasih. Ada yang kata, tidak perlulah terlalu metodik dan saintifik, menolak tradisi turun temurun. Terima kasih juga. Aku tidak menolak tradisi. Aku percaya setiap satunya ada kebaikan. Apabila ada cara tradisi yang dianjurkan, aku melihat juga dari perspektif saintifik perbuatan itu. Ya, kita boleh lihat sekiranya kita faham.

Doktor kata, dalam keadaan selepas enam bulan kelahiran, bayi akan mengalami penurunan daya tahan badan sehinggalah mencapai usia dua tahun. Itu adalah cabaran dan dugaan yang perlu kami hadapi dengan sabar dan tabah.

Bersambung...

14.1.13

19.12.12

Qaseh, Lapan Setengah Bulan Kemudian

Bila ada anak, macam-macam kerisauan yang timbul. Sakit sikit, risau. Kepala terhantuk lantai, risau. Menangis sikit, risau. Serba serbi risau. Aku dan Zura sudah lama tidak dapat menikmati tidur yang nyenyak. Aku lebih simpatikan Zura. Rasanya sejak ada Qaseh, beliau langsung tidak pernah lena tidur. Qaseh sehingga kini masih menyusu badan. Maka di tengah malam pasti Zura akan terjaga akibat rengekan Qaseh yang mahukan susu.


Qaseh pula sering sakit; demam, selsema dan batuk. Doktor kata itu perkara biasa dan sakitnya tidak serius. Bayi yang minum susu ibu, pada enam bulan pertama memang mempunyai daya tahan badan yang tinggi. Tetapi selepas itu daya tahan itu akan berkurang. Qaseh selepas enam bulanlah baru sering mendapat sakit. Namun begitu, setiap kali berjumpa doktor, jawapannya adalah sama. Itu perkara biasa.  Kami bukan bawa Qaseh ke klinik biasa. Kami bawa ke pakar kanak-kanak. Bayarannya jauh lebih mahal tetapi itulah pengorbanan yang kami sanggup lakukan. Kami pernah bawa Qaseh ke klinik biasa dan doktor di situ seperti kebingungan apabila merawat Qaseh. Anda ibu bapa pasti tidak mahu hadapi perkara sebegitu, bukan?


Sekarang, Qaseh sedang mengalami sakit perut. Beliau kerap membuang air besar berwarna hijau dan berlendir. Hasil pembacaan aku di Internet, simptom ini mungkin ada kaitan dengan kurang atau terlebih menyusu atau mungkin jangkitan virus. Sekarang sudah lebih 24 jam, jadi kami putuskan untuk bawa Qaseh ke klinik.

Ibu bapa mana yang tidak risaukan perihal anaknya.


Qaseh waktu sihatnya adalah seorang yang sungguh menghiburkan. Susah hendak menangis dan ada saja perkara yang hendak dilakukannya. Sekarang Qaseh sudah mula memanjat dan cuba berdiri. Aku sering sengaja berbaring di sebelahnya supaya dia dapat memanjat badan aku tanpa aku perlu risau. Rutin di rumah selalunya begitu. Pulang dari kerja, aku akan melayan karenah Qaseh sementara Zura menyiapkan makan malam atau mengemas rumah.

Kalau Qaseh menjerit, aku turut menjerit. Kalau Qaseh menjelir lidah, aku turut menjelir lidah. Kalau Qaseh menepuk-nepuk lantai, aku turut sama menepuk-nepuk lantai. Ada saja yang hendak kami lakukan bersama. Walaupun Qaseh lasak dan sangat aktif, aku selesa menjaga Qaseh ketika sihat berbanding ketika sakit. Qaseh mungkin sudah faham keadaan itu maka bila sakit, dia akan mencari tenang bersama ibunya.

Patutlah Bob, sahabat lama aku kata, bila ada anak nanti badan gemuk ini akan cepat jadi kurus. Aku masih belum kurus. Mungkin kerana aku baru hanya ada Qaseh. Bob sudah ada tiga orang cahaya mata. Tapi sekarang pun sudah terasa keletihan bila menjaga Qaseh. Dia sangat aktif!

Ya, bila ada anak ini, ibu bapa sangat mudah risau. Risaukan segalanya.

Semoga lekas sembuh dari sakit ya anak comel papa. Amin.


1.11.12

Qaseh & Kerja

Hari ini, 1 November 2012, Qaseh Nurzahra sudah berusia 7 bulan. Rasanya seperti sekelip mata beliau membesar sebegitu cepat. Setiap hari ada saja perkara baru yang kami sedari mengenai Qaseh. Malam tadi dalam keadaannya yang sedang selsema, Qaseh mengeluarkan bunyi-bunyi manja dari mulutnya. Itu pertama kali kami dengar dan terasa sedikit aneh.


Pagi tadi ketika sedang bersiap, Qaseh memanggil mamanya. Sekurang-kurangnya itu yang aku dengar,

"mama... mama..."

Namun begitu, Qaseh sedang selsema dan ianya agak serius. Sebenarnya, sepanjang tujuh bulan ini, hanya beberapa kali saja Qaseh dilanda masalah kesihatan. Pertama kali demam pada usia tiga bulan. Sekali lagi demam sebulan dua lalu dan ini kali kedua Qaseh selsema. Syukur juga kerana Qaseh diberi susu ibunya saja. Mungkin itu menyebabkan antibodi Qaseh lebih kuat.

Cuma selsema kali ini agak lama. Sudah hampir dua minggu. Sehari dua ini lebih serius dengan selsema mengalir kerap sepanjang masa. Zura akan sedut selsema Qaseh menggunakan alat penyedut. Itulah, jika anda di sana kurang selesa menyedut hingus anak, anda mungkin boleh cuba alat penyedut hingus, seperti dalam gambar di bawah ini,



Harganya juga murah dan senang dibawa ke mana-mana. Kami juga mencuba krim herba yang disapu di bahagian hidung Qaseh. Harapnya berkesan. Amin.

Kerja-kerja besar aku di pejabat untuk tahun ini secara rasmi sudah selesai apabila berakhirnya Sambutan Hari Inovasi jabatan semalam. Penghujung tahun yang sungguh memenatkan. Tidak pernah otak ini diperah begitu rupa demi menghasilkan yang terbaik. Banyak juga perkara baru yang aku belajar melaluinya. Banyak juga pengajaran untuk hidup ini.




Ada satu lagi tugas yang perlu aku siapkan, sebuah video promosi. Pertama kali aku sunting video, inshaAllah. Harapnya aku dapat hasilkan yang terbaik. Namun begitu, hasil rakaman luar yang dibuat oleh krew sedikit mengecewakan. Tidak mengapalah. Aku cuba buat setakat yang mampu.

Tiba masa untuk bercuti-cuti Malaysia! Destinasi kami sekeluarga nanti adalah ke Cameron Highlands. InshaAllah. Semoga dipermudahkan segala urusan.