4.2.08

Baris-Baris Kata Dengan Seribu Cerita

Nasib baik juga kebanyakkan kawan opis lebih gemar bermain dengan Friendster dan Facebook. Baik kerana aku tidak perlu bersaing untuk blog. Bukan mahu bersaing pun, tetapi kurang tekanan apabila orang lebih taksub dengan Facebook dan Friendster. Aku tidak perlu memikirkan risiko apabila menulis. Aku tidak perlu pertontonkan gaya-gaya potret syok sendiri yang diambil dan ditempel dalam Facebook atau Friendster. Aku cuma perlu letak gambar berkaitan dengan penulisan aku.

Apabila melawat beberapa website kawan lama dari zaman sekolah dahulu, kini timbul trend menulis pengalaman semasa di persekolahan dahulu. Siapa mulakan? Tidak kiralah siapa pun namun ianya mengimbau kenangan lama dan membuat diri tersenyum apabila membacanya. Siapa kata sejarah lama tidak perlu dikenang? Inilah penting sejarah lama. Kerana ianya mengajar kita erti hidup. Kerana ianya tidak akan berulang kembali seperti DVD yang kamu tontoni. Ianya cuma ada dalam kenangan; dalam fikiran, dalam gambar dan dalam tulisan sebegini.

Aku bertuah kerana aku mulakan blog ini sejak lama dahulu dan aku tidak pernah padamnya. Aku cuma bertukar lokasi dan caranya saja. Blog aku dahulu ada menceritakan perihal peristiwa 11 September 2001. Sebegitu lama. Blog aku menceritakan banyak perkara yang bila aku baca kembali, aku sendiri akan tersenyum. Inilah kenangan aku, dalam bentuk penulisan sebegini. Tiada potret gambar yang boleh aku tempel di Facebook atau Friendster. Cuma baris-baris ayat sebegini menceritakan hidup aku ketika aku sedang menulis baris-baris ini. Bukankah si pengembara dahulu hidupnya begini juga? Mencatatkan pengembaraannya dalam bentuk penulisan.

10 tahun lagi, kiranya masih ada usia dan masih ada blog ini, apabila dibaca kembali baris-baris ini, pasti akan aku tersenyum sendiri.

Baru aku sedar kenapa suatu masa dahulu manusia rajin menulis di dalam diarinya. Kenapa diarinya menjadi begitu rahsia dan begitu berharga sehingga dibawa kemana-mana. Berbekal torchlight, pelita dan lampu malam lewat malam, manusia-manusia ini tekun menulis dengan mata pena tentang hidup mereka di diari.

Kini dengan blog sebegini, manusia masih menulis diari hidupnya tetapi untuk tatapan umum. Dan apabila penulisan itu menjadi jujur dan tidak berpura-pura, ianya mampu menarik ribuan pembaca untuk menikmati sedetik masa di internet sambil membaca perihal orang asing dalam hidup. Namun sesekali kita temui penulisan yang jujur dan amat-amat menarik minat kita, maka kita jadi peminat dan sentiasa menunggukan hasil penulisan yang sepenuhnya. Seperti yang terjadi kepada SDN dan PaulTan. Mereka adalah 'celebriti' dunia blog Malaysia. Ada ramai lagi, tapi aku melihat contoh yang paling mudah.

Aku? Aku cuma ingin terus menulis. Itu saja.

3.2.08

Web Jaringan Sosial

Kalau tengok list posting, post pertama adalah pada tahun 2002 yang lalu. Sudah 6 tahun. Namun aku cuma mula menulis dengan aktif di sini pada tahun 2004. Sebelum daripada itu, aku menggunakan website sendiri untuk menulis blog.

Sepanjang waktu itu, timbul web-web social networking yang menawarkan rangkaian atau jalinan sosial antara kenalan dan orang yang kita tidak kenali. Suatu kelebihan web jaringan sosial seperti Friendster, Facebook, MySpace dan lain-lain lagi ini adalah kebarangkalian untuk bertemu dengan rakan lama adalah cerah. Begitu cerah. Hendak jumpa officemate juga cerah.

Cuma aku tidak berapa berminat untuk terlibat didalamnya walaupun aku ada mempunyai akaun Friendster dan Facebook. Aku tak faham konsep yang sebenarnya. Apa motif hendak kita promote diri kita sendiri dikalangan orang yang langsung kita tidak kenali.? Kemudian dengan gambar yang diupload sebanyak mungkin. Apa semua itu?

Sehari dua ini aku bertemu dengan group-group dalam Friendster atau Facebook. Ini pertama kali aku lihat. Oh, sekarang web jaringan sosial ada juga klik-klik atau geng yang mereka boleh bergabung. Kononnya mungkin, satu tempat kerja, tempat belajar atau lebih jelas untuk aku, geng-geng kawan lama. Semua mahu menubuhkan kumpulan atau pasukan masing-masing.

Aku tidak untuk menyertainya. Tetapi aku tidak singkir atau menafikannya. Jadi biarkanlah. Itu bukan cara aku.

1.2.08

frossonice.com Kembali

Kalau dua hari selepas kamu berusaha untuk masuk ke blog ini baru kamu berjaya, bermakna aku telah selesai dengan masalah domain name aku. Aku kembali menggunakan www.frossonice.com sebagai address rasmi blog/website aku. Maaf kepada sesiapa yang terpaksa menunggu lama.

Kalau sudah masuk, aku jemput ke sini pula,

http://www.freewebtown.com/frossonice/

Ini salah satu koleksi website aku zaman dulu-dulu. Kalau lihat pada tanda tahun di website tersebut, tahun 2001. Sudah lebih 6 tahun terbiar. Sudah lama. Ada beberapa lagi web address untuk website lama aku. Aku akan letak kemudian.

Kamu juga boleh ke website ini,

http://fross.8m.com/index.htm

untuk melihat website aku circa 2001-2003. Sebelum aku menggunakan sepenuhnya blogspot sebagai alat untuk aku menulis. Aku sudah menulis di sana.

Ya, aku sudah tua di internet ini.