5.1.09

Untuk Ayarm (Ye, Memang Pelik)

Ayarm, kamu Rozhan?

Aku bukan boleh ingat semua nama samaran semasa di Maktab.

Orang lain, abaikan.

:-)

Ahad Tadi

Petang, ke The Mines. Tiada arah tujuan dan tiada tujuan. Pertamanya perlu makan kerana sepanjang siang belum menjamah makanan. Keduanya, itu saja. Jauh juga mencari makan. Akhirnya menjamah Subway; meatball marinara. Seperti yang aku suka.

Kemudian aku keliru. Apa lagi yang perlu aku buat di situ? Tidak ada apa-apa yang menarik.

Singgah di Switch, penjual barangan Apple. Melihat Macbook baru. Aku minta spesifikasi daripada jurujual. Kata dia, sudah habis. Baru habis hari ini. Ye sangat lah tu. Sebab aku melayu dan berpakaian selekeh, kamu tak fikir aku mampu beli Macbook. Kemudian dia tersedar aku pernah datang sebelum ini dan minta dia faks spesifikasi Macbook ke pejabat. Aku kata aku pernah suruh dia buat tapi dia kata tiada. Nampak sangat dia memandang rendah aku. Kemudian aku cakap, di pejabat ada lima buah iMac. Sekarang pejabat mencari sekurang-kurangnya tiga hingga lima buah Macbook atau Macbook Pro. Barulah jurujual kata kertas spesifikasi ada. Memang begitu keadaannya. Kalau tidak melihat orang sebelah mata, bukan jurujual namanya.

Kemudian aku teringat hendak beli headphone. Sudah lama aku tangguh. Sebenarnya aku sudah ada sebuah, jenama Philips. Aku lebih suka headphone saiz penuh menutupi telinga. Headphone yang aku ada itu dipinjam oleh seseorang sejak lebih setahun dulu. Pernah juga aku minta dia pulangkan balik. Tapi sampai sekarang masih diam seribu bahasa. Kalau jumpa depan mata pun, seperti semua barangan itu tidak pernah ada pada dia. Aku pula bukan jenis nak minta berkali-kali. Jadi akhirnya aku beli baru, tadi.

Dari satu kedai ke kedai yang lain aku masuk mencari headphone yang sesuai. Tidak banyak pilihan. Jadi aku sasar untuk beli headphone Philips SHP2500. Ikut harga biasa, sekitar RM60 - RM70. Tiba di satu kedai, aku sedang mahu bandingkan dua jenis headphone Philips, SHP2500 dan SHP2100. Datang jurujual,

"Mahu beli headphone ka bos?"
"Tengok dulu."
"Itu headphone (merujuk kepada SHP2500) ada volume control. Itu tak ada (merujuk kepada SHP2100)..."
"Ye lah, saya tak peduli pun."

Dia tidak berputus asa.

"Itu kabel panjang, 6 meter (merujuk kepada SHP2500). Itu hitam 1 meter setengah saja..."
"Ya, tapi orang beli headphone tak tengok benda tu."

Aku sebenarnya sedang membandingkan data teknikal seperti RMS output, frekuensi dan power dia. Apa jadah aku peduli dengan panjang kabel dan volume control. Malang sungguh kedai tersebut ada jurujual seperti mamat sorang ni. Aku simpati dengan dia sebab aku tahu dia cuma ingin membantu. Tapi tengok oranglah dulu kalau nak bantu pun. Kalau dia sedang sibuk tengok ayat-ayat belakang kotak, tentu dia baca sesuatu. Tambah-tambah kalau ayat itu teknikal. Lainlah kalau orang yang datang beli tu, belum apa-apa lagi, perkara yang pertama dia tanya,

"Tokay, headphone yang cantik punya ada tak?"

 atau,

"Tokay, headphone ni power tak?"

Sah memang dia tak tahu.

Jadi akhirnya aku ke kedai sebelah dah beli headphone Philips SHP2500 dengan harga RM60. Okaylah tu. Aku sebenarnya mahu SHP2700 tetapi tak jumpa.

Esok di pejabat, ribuan lagu dalam iMac akan dapat aku dengar tanpa mengganggu orang lain. Tambah-tambah bilik bos baru saja berpindah betul-betul depan bilik aku. Tidak sampai 5 meter di hadapan. Masalah dengan headphone sebegini, agak susah hendak dengar suara luar. Telinga ditutup sepenuhnya dengan speaker. Itu pun masih okay. Aku pernah berkira hendak beli headphone dengan teknologi Noise-Cancellation. Langsung tidak dengar bunyi lain. Nasib baik harga headphone sebegitu amat mahal.

Asal pergi tidak dengan apa-apa tujuan. Akhirnya habis hampir RM100 di Subway dan kedai komputer. 

Oh ya, aku sedang download filem Kuch Kuch Hota Hai. Kamu jangan ketawa. Biarkan saja. Aku mahu menontonnya kembali. Ada 8MB lagi sebelum selesai. Lambat betul.

3.1.09

Tan Ju Lin

Tiga hari selepas SPM, aku mengikut makcik aku ke Kuala Lumpur. Aku berpeluang untuk menjadi kerani sementara di Arab-Malaysia Securities Sdn. Bhd., sebuah syarikat saham. Aku bekerja di tingkat 17, menara Arab-Malaysia di Jalan Raja Chulan, di tengah-tengah Kuala Lumpur. Suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Turut sama bekerja sebagai kerani sementara di pejabat tersebut adalah seorang gadis cina yang juga baru lepas selesai peperiksaan SPM. Sejak awal lagi kami jadi kawan baik. Kawan yang amat baik. Nama dia, Tan Ju Lin. Orangnya sangat peramah dan petah berbual dalam Bahasa Malaysia.

Ju Lin (seperti yang aku selalu panggil dia) adalah orang pertama yang belanja aku kek semasa hari lahir. Aku masih ingat, kek pandan yang dibeli di sebuah kedai kek bersebelahan bangunan pejabat. Kami makan berdua kek 1/2 kilogram. Memanglah tak habis. Dia juga berikan aku sebuah mixed-tape. Sungguh menarik. Salah sebuah lagu dalam tape tersebut adalah nyanyian Ju Lin sendiri diiringi dengan irama piano yang dimainkan Ju Lin. Oh, dia memang pandai main piano. Sayangnya tape tersebut sudah lama hilang. Kalau ada pun, mungkin sudah rosak.

Ju Lin lebih awal berhenti kerja untuk menyambung pelajaran dia di Kolej TAR. Namun, sempat juga aku mengajar dia subjek Bahasa Malaysia untuk kertas Julai. Jadi beberapa kali aku pergi ke rumah dia di Cheras untuk mengajar. Emaknya amat baik dan pemurah.

Lama kemudian hubungan kami terputus. Aku kembali ke Kuala Kangsar sebelum menyambung belajar di UiTM Shah Alam. Ju Lin sibuk dengan kelasnya.

Kali terakhir kami bertemu adalah sekitar penghujung penghujung pertengahan 90an semasa Ju Lin bekerja di Prudential KL Plaza. Selepas itu tiada lagi berita dari dia.

Sehingga semalam.

Aku sengaja mencari di internet kalau-kalau terjumpa nama Ju Lin di mana-mana. Aku pernah lakukannya dulu tetapi tidak serius. Tetapi kelmarin aku agak serius dan akhirnya aku temui Facebook Ju Lin. Terus aku hantar mesej untuk memohon kepastian.

Memang sah, pemilik akaun Facebook tersebut tidak lain tidak bukan, Tan Ju Lin. Aku amat-amat gembira. Begitu juga Ju Lin. Ju Lin sudah ada dua orang cahaya mata. Sudah besar panjang pun.

Perkara pertama yang Ju Lin beritahu adalah betapa dia rindukan masa-masa kami selalu berbual dulu. Ya, aku rasa begitu juga. Kami berbual sepanjang masa mengenai apa saja. Kalau ada kesempatan waktu dan ruang, insyaAllah aku akan cuba bertemu dengan Ju Lin dan keluarganya. Pasti menarik. 

Misi seterusnya, kak angkat aku, Kak Rafizah. Aku terima mesej dari seorang sahabat, beliau tahu di mana Kak Fizah berada. Jadi, tunggu.