10.5.10

Berhujung Minggu, Sendirian (Seperti Biasa)

Ini akibat kalau hujung minggu tidur seperti berhibernasi. Akibatnya, malam begini dengan esok aku perlu bekerja, aku tidak boleh lelapkan mata. Masih belum mengantuk. Menguap sudah banyak kali tapi bila aku mula mahu pejam mata, ianya akan kembali segar. Memang biasa begitu.

Dua hari yang tidak produktif, langsung. Aku ke pejabat pada hari Sabtu dengan niat untuk membuat beberapa sampel rekaletak laporan. Cuma satu yang dapat dihasilkan. Idea makin suram. Kalau tiada panduan, inilah jadinya. Tiada pedoman daripada pengurusan atasan, bagaimana kehendak mereka. Aku paling tidak suka keadaan begini. Bila aku siap dengan design mengikut citarasa aku, tunjuk kepada mereka dan mereka komplen berjela-jela seperti kononnya selama ini mereka yang menyumbang idea.

Lalu aku pergi menonton pertandingan badminton di Putrajaya. Pasukan daripada pejabat tewas mudah di peringkat suku-akhir. Tidak mengapa, tahun hadapan cuba lagi. Keluar dari dewan pertandingan, aku bergerak pulang ke rumah. Hampir tiba di rumah, aku menukar haluan ke Jusco. Ada kedai buku Popular baru yang dibuka Jumaat lepas. Aku mahu meninjau. Kalau sudah namanya kedai buku Popular, maka majoriti buku di dalamnya adalah buku berbahasa Cina. Selebihnya sedikit buku berbahasa lain dan buku sekolah. Tetapi cukup banyak berbanding kedai News.Com yang selama ini menjadi kunjungan aku.

Siang tadi aku ke IOI Mall. Niat asal mahu menonton Ip Man 2. Tetapi entah kenapa, aku rasa "takde tekak" (bak kata Bujang Lapok) hendak menontonnya. Aku makan Wendy's (seperti biasa bila di IOI Mall) dan mencari CD software Adobe Photoshop untuk Cik Romlah (cerita lain).

Aku potong rambut, di kedai gunting rambut. Aneh juga sekarang begitu banyak kedai gunting rambut di sekitar Kinrara dan Equine yang juru gunting adalah orang India dari Chennai, India. Aku tahu mereka ini diupah untuk bertugas di kedai gunting rambut tersebut. Orang Malaysia sendiri tidak ada yang pandai menggunting rambut? Oh, lupa. Orang Malaysia lebih suka jadi juru gunting rambut di salon. Aku tidak pergi salon. Bagi aku ianya tiada motif dan agak membazir.

Kaki sudah semakin pulih dari kecederaan. Esok kalau cuaca baik, aku akan kembali berbasikal. Aku perlu kembali aktif berbasikal. Sejak beberapa minggu ini, ianya kerap tertangguh akibat demam dan kecederaan serta sukan lain yang diajak oleh rakan pejabat. Aku lebih senang berbasikal. Ianya lebih memberi kepuasan kepada aku.

Jam 2 pagi. Aku perlu paksa diri untuk tidur.

7.5.10

Membelah Awan Hitam



Lama sudah aku tidak merakam suasana senja atau awan berarak. Kelmarin ketika Putrajaya diselubungi awan mendung menghitam pekat, aku terlihat cahaya di celah-celah awan. Sungguh sureal dan misteri.

Aku sering beritahu kawan-kawan, dalam keadaan apa pun, cuba cari positif, walaupun sedikit. Walau sebesar debu. Dalam mendung berawan pekat, cari indahnya di mana. Berfikir secara positif. Hidup akan lebih damai begitu.

Moga damai diri kamu sepanjang masa.

Basuh Hati

Lama sudah aku tidak mengharapkan sesuatu. Aku lalui waktu hidup dalam keadaan tidak peduli kepada pengharapan dan tidak bergantung lagi kepada keadaan itu. Aku pernah begitu mengharap hingga ia menjadi terdesak, lalu hidup seperti meronta-ronta mahukan jawapan dari sebuah harapan itu.

Bila jawapan yang aku terima itu tidak seperti yang aku harapkan, kecewa yang melanda.

Kalau kamu suruh aku lalui kembali saat-saat itu, jujur aku tidak mahu. Aku tidak mahu peduli lagi keadaan sebegitu. Kerana hari-hari yang dilalui sekarang terasa begitu tenang dan bahagia. Biar tidak aku perolehi apa yang aku mahu, sekurang-kurangnya aku tidak mendesak hidup, tidak menekannya. Aku biarkan saja diri mengikut alunan hidup yang mendatang.

Ini realiti hidup aku sekarang. Bukan mengalah. Sekadar memberi ruang untuk diri sendiri menjadi lebih baik dari sebelumnya. Membiarkan diri sendiri hidup dengan lebih tenang dan damai. Kalau kamu tanya apa yang membuatkan aku jadi begini, jawapan aku adalah hati. Hati ini dikubur mati dari segala rasa negatif dalam hidup. Kemudian aku keluarkan kembali setelah lama dipendam dan biarkan rasa positif saja yang menyerapinya.

Tidak mengapa kalau kamu tidak faham apa yang aku maksudkan.

Hidup sedang damai.