13.5.10

Robin Hood (2010)

Semalam, tanpa aku rancang, aku pergi menonton filem di Alamanda.

Pada mulanya aku cuma ingin meninjau filem terbaru di pawagam melalui laman web mereka. Aku dapati filem Robin Hood lakonan Russell Crowe sudah mula ditayangkan. Melalui sistem belian tiket secara online, aku tengok ada satu tempat duduk kosong di belakang untuk tayangan jam 10.30 malam di GSC Alamanda. Tanpa berlengah aku membelinya.

Sedar dengan kepelbagaian versi lagenda Robin Hood dan tanpa merujuk dulu informasi cerita di IMDB.com, aku terus bergerak ke Putrajaya.

Mungkin kerana ianya sebuah filem karya Ridley Scott dan lakonan Russell Crowe yang pernah bekerjasama dalam filem Gladiator, aku andaikan suasana filem nanti tidak lari jauh. Andaian aku agak tepat. Aroma dan 'feel' filem Robin Hood hampir sama dengan Gladiator. Malah kalau sekali pandang, kamu akan tersalah sangka menyangka Maximus Decimus Meridius telah berhijrah ke England (seribu tahun kemudian) dan menjadi Robin Hood.

Aku tidak mahu ulas filem ini lebih terperinci. Ringkasnya, filem ini mengisahkan bagaimana Robin Longstride menjadi Robin Hood yang kita kenali. Cerita ini adalah permulaan langkah Robin sebelum digelar pengkhianat yang diburu. Aku fikir, mungkin ada sambungan. Atau mungkin sekadar menceritakan apa yang tidak pernah diceritakan oleh filem sebelum ini.

Tetapi asas cerita masih tetap sama atau hampir sama dengan filem Robin Hood : Men In Tights lakonan Kevin Costner pada tahun 1993; watak Robin Hood bermula dari perjalanan balik beliau setelah berkhidmat dengan tentera Richard The Lionheart di Perang Salib Ke-3. Bezanya, dalam filem lakonan Costner, Richard The Lionheart terus hidup dan dapat kembali ke England tetapi dalam filem Robin Hood terbaru, baginda meninggal dunia semasa berperang di Perancis.

Setelah keluar dari pawagam, aku terdengar perbualan dua orang penonton di belakang. Mereka cuba menduga sama ada filem yang baru selesai ditayang itu selari atau tidak dengan mitos/lagenda Robin Hood sebenar. Mereka setuju bahawa Robin Hood berasal dari keluarga tukang batu. Selebihnya mereka juga percaya filem ini diangkat hampir dengan fakta sejarah sebenar.

Harapnya mereka membelek informasi di internet selepas itu. Mereka akan pasti terkejut dengan begitu banyak versi lagenda Robin Hood @ Robin Longstride @ Robyn Hude @ Robert Hude. Mereka juga pasti akan terkejut bila menyedari bahawa lagenda Robin Hood ini asalnya adalah sebuah ballad, seperti syair.

Menarik apabila kita berusaha untuk mencari ilmu lebih sedikit dari apa yang telah dihidangkan kepada kita. Kita akan mengetahui lebih banyak perkara.

Bagi aku Robin Hood karya Ridley Scott adalah sebuah filem yang baik tetapi tidak cukup hebat seperti Gladiator. Ianya bukan epik seperti Gladiator. Kesilapan paling jelas adalah apabila membiarkan watak Robin Hood lakonan Russell Crowe kelihatan hampir sama dengan watak Maximus dalam filem Gladiator. Ianya pasti akan jadi jenaka sosial di laman-laman web.

Pergi menonton jika kamu meminati lakonan Russel Crowe dan Cate Blanchett (aku lupa hendak ulas mengenainya - lakonan beliau agak suram). Ianya bukan filem wajib tonton. Tetapi masih cukup bagus. Kalau hendak diberi rating dari 1 - 5 bintang, aku beri 3.5 bintang.

Bias Alam

Petang tadi setelah Putrajaya dibasahi hujan, alam begitu damai. Air di tasik menjadi lebih tenang dan memantulkan kembali wajah-wajah alam. Aku begitu teruja hingga separuh daripada masa petang tadi aku habiskan dengan merakamkan saat-saat indah sebegini.


Aku sudah berkali-kali melalui kawasan yang sama  tetapi setiap kali di situ, suasana akan berbeza. Hidup juga begitu, bukan? Biar betapa kita berusaha untuk sesuatu itu menjadi rutin, namun setiap masa yang kita lalui adalah unik dan tersendiri. Hari ini tidak sama dengan semalam dan pastinya juga tidak akan sama dengan esok.


Seperti aku baru sedari terdapat seketul batu seperti dalam gambar di atas di lokasi itu. Aku tidak menyedarinya sebelum ini. Kadang-kadang kita terlalu obses untuk melihat nun jauh di sana, kita sering abaikan apa yang ada di hadapan mata kita, dekat dengan kita.


Sama seperti jambatan di atas. Tidak ada apa yang menarik di atas jambatan tersebut. Ianya jambatan yang menghubungkan Core Island, berhampiran dengan Wisma Putra/Presint 18 dengan Taman Warisan/Presint 16. Jambatan, di atasnya penuh sesak dengan kelibat kenderaan yang datang dan pergi serta manusia yang merentasinya. Apa yang ada di bawah, jarang manusia peduli. Tetapi bila sesekali kamu berkesempatan untuk merakamkan imej seperti di atas; estasi.


Benar petang di Putrajaya sungguh mendamaikan. Terutama selepas hujan turun. Cuaca menjadi lebih cerah dan 'mesra'. Menara ciptaan manusia nun jauh di sana seperti 'cair' dalam lukisan alam.


Apa yang membuat diri kamu lebih teruja, lebih terangsang apabila kamu dapat menghayati suasana seperti dalam gambar di atas. Kamu tidak tahu di mana bermulanya realiti dan di mana berakhirnya mimpi. Apa yang kamu nampak adalah harmoni suasana sebegini. Mampu menenangkan jiwa yang meruntun.


Akhirnya kita akan lebih menghargai alam; lebih menyayanginya. Kita perlu teknologi, kebijaksanaan, kemahiran, kreativiti dan segala label sifat manusia untuk menghasilkan cermin yang dapat mempertontonkan rupa wajah kita. Alam hanya perlukan air yang tenang dan susana yang indah.

Terima kasih, Tuhan.

Kura-Kura

Selepas hujan petang tadi aku berbasikal. Tanah dan jalan masih basah. Sedang aku berkayuh, aku ternampak seekor kura-kura sedang berusaha melintas di hadapan menuju ke arah tasik Putrajaya. Aku berhenti untuk merakamkan gambar.

Aku capai kamera di dalam beg di bawah pelana basikal, hidupkannya dan tujukan lensa ke kura-kura. Aku dapati kura-kura tersebut sedang bersembunyi di sebalik kerangka pelindungnya.



Lama aku tunggu dengan harapan kura-kura akan keluar dari persembunyian dan kembali bergegas ke arah tasik. Lima minit, sang kura-kurang hanya menjenguk kepalanya, melihat keadaan sekeliling.



Aku tidak cukup sabar untuk menunggu. Petang semakin lewat. Aku alihkan kura-kura ke tepi, jauh dari laluan berbasikal aku. Ada kereta yang turut menggunakan laluan tersebut.

Aku berlalu pergi. Entah bila kura-kura itu berani untuk keluar dan meneruskan perjalanan.