19.5.10

Parit

Ketika aku bercuti di kampung tempohari, aku merayau-rayau di sekitar daerah Perak Tengah. Aku tiba di pekan kecil Parit untuk mengisi minyak dan berehat seketika. Kali terakhir aku ke sini adalah pada tahun lepas, ketika hari ke-3 raya Aidil Fitri.

Aku tidak tahu sangat sejarah pekan Parit. Jadi tidak perlu aku memandai cerita. Suasana pekan kecil ini begitu tenang dan tidak banyak kenderaan, kecuali di persimpangan menuju ke Ipoh/Batu Gajah. Menariknya di pekan Parit ini, rumah kedai lama diwarnakan dengan warna yang sama. Jangan tanya aku warna apa, tengok sendiri. Aku rabun warna dan tidak pasti warna apa. Kuning?







Di tebing sungai, kelihatan sebuah perahu kecil ditambat di tebing, berpayungkan pohon hujan-hujan. Air sungai Perak yang mengalir lesu agak keruh tetapi masih kelihatan 'majestic'. Aku teringat Ain yang berasal dari sini, ya? Foto di atas adalah hadiah untuk Ain dan suami. :-)

18.5.10

Montaj Perpisahan



Tempohari aku ada post mengenai video ini tetapi tanpa aku sedari, video yang aku upload ke YouTube tidak boleh digunakan.

Kali ini aku upload sekali lagi video montaj majlis perpisahan timbalan bos di pejabat tempohari. Montaj ini dihasilkan dalam masa 24 jam. Kurang sempurna tetapi sudah cukup okay.

Duit Menulis Blog

Setelah hampir 10 tahun aku menulis di blog, barulah aku dapat merasa sedikit hasilnya dalam bentuk wang ringgit. Cek sebelah dihadiahkan oleh Nuffnang kerana aku sudi menampal iklan di blog aku dan kamu yang membaca sudi juga untuk menekan link iklan tersebut.

Memang aku tidak berniat untuk mencari keuntungan di blog frossonice.com ini. Kalau ada sedikit wang yang diperolehi, itu sudah mencukupi. RM124.36 yang diterima sudah menggembirakan aku.

Ada penulis blog lain yang menerima ribuan ringgit setiap bulan dengan cuma menulis blog. Kalau aku komersialkan blog ini sepenuhnya, tidak mustahil aku juga boleh mencapai pendapatan sebanyak itu. Purata pengunjung ke frossonice.com sehari adalah lebih kurang 100 orang. Kalau aku rajin untuk komersialkan, mungkin ianya mencecah ribuan orang sehari. Tetapi aku akan tetap kekalkan frossonice.com sebegini rupa.

Kalau aku mahu membuat untung, aku akan buka blog lain, inshaAllah. Terima kasih pengunjung yang sudi klik iklan yang menyemak di kanan dan atas blog ini. Aku amat menghargainya.