8.6.10

Apple iPhone 4

Apple iPhone 4 sudah keluar!

Buat masa ini harga di pasaran Amerika Syarikat adalah sekitar USD199 - USD299, mengikut kapasiti memori. Lebih kurang RM1100 untuk model paling mahal. Entah kenapa bila sampai di Malaysia, harga menjadi sekali ganda lebih mahal dek kerana pakej tidak masuk akal oleh Maxis dan DiGi.

Antara ciri-ciri menarik yang ada di telefon terbaru keluaran Apple Inc. ini adalah

  • Skrin resolusi tinggi (Retina display) 960x640 piksel. Sangat tinggi untuk sebuah telefon bimbit. Gambar lebih jelas, seperti kamu menonton skrin komputer atau televisyen HD.
  • Badan telefon diperbuat daripada besi khas. Biasanya telefon diperbuat daripada plastik sebagai kerangka badan. Besi dilihat lebih kukuh. Malah, skrin utama juga menggunakan kaca!
  • Prosesor Apple A4 digunakan sebagai enjin utama, sama dengan Apple iPad.
  • Teknologi FaceTime untuk membuat panggilan video dengan lebih cool dan mudah.
  • Multitasking - Apple iPhone terdahulu tidak boleh melakukan multitasking. Apple iPhone 4 telah mengatasi masalah tersebut.
Kalau ada rezeki, aku mahu beli sebuah, menggantikan Nokia E66 aku sekarang. Ada Apple iPhone 4 dan BlackBerry!

7.6.10

Melangkah Lebih Jauh

Mungkin, lebih senang jadi kanak-kanak yang tidak perlu fikir mengenai hati orang lain. Tidak perlu gusar mengenai hati siapa yang terluka dengan kata-kata kita dan hati siapa juga yang kita kecewakan.

Menjadi dewasa, kita memikul tanggungjawab dan segala emosi yang tersimpan selama ini menjadi senjata dan alat untuk berkomunikasi dengan manusia lain. Kita, dalam setiap niat, pasti mahu berlaku baik terhadap sesiapa saja di sekeliling kita. Sentiasa mahu menyenangkan hati orang lain dengan harapan orang lain juga akan melakukan perkara yang sama dengan kita.

Maka timbul istilah 'bertimbang rasa' dan 'give and take'. Kita cuba berdiplomasi mengenai emosi dan hati masing-masing dengan orang lain. Kanak-kanak tidak perlu lakukan itu. Kanak-kanak akan menangis dengan mudah. Kanak-kanak tidak perlu malu kerana mereka tidak memahaminya. Kanak-kanak dalam setiap kejadian adalah manusia yang mengecap gembira dalam setiap hembusan nafasnnya.

Mungkin kerana aku semakin sering membuka luas telinga, akal dan jiwa mendengar keluhan dan rintihan orang lain mengenai hidup mereka. Sedikit sebanyak aku secara emosi juga menjadi trauma apabila memikirkannya. Aku tahu mereka yang datang menemui aku mahu aku mendengar dan memahami. Mereka mahu mengadu kerana mungkin, tiada siapa lagi yang boleh dijadikan tempat untuk melakukannya.

Aku tumpang simpati, aku tumpang gembira dan aku tumpang mengenali diri melaluinya. Cuba faham setiap yang berlaku itu ada sebab dan akibatnya. Aku cuma takutkan satu perkara. Kerana terlalu banyak perkara negatif yang meresap masuk ke dalam benak otak oleh aduan dan rintihan mereka, aku gusar untuk melalui hari-hari mendatang. Aku tidak mahu lalui apa yang mereka lalui.

Maka aku berhenti dan duduk. Tidak mahu mengubah apa-apa kerana aku fikir apa yang ada di tangan sekarang adalah hidup aku yang aku mahukan. Aku berikan alasan; aku belum bersedia untuk komitmen kepada sesiapa saja yang mahu menemani aku. Aku tidak mahu mereka sama terperosok di tempat aku.

Hanya sekarang, apabila aku dapat rasakan sesuatu itu semakin jelas, berani aku kembali berdiri dan berjalan. Walaupun setiap langkah yang diambil penuh berhati-hati, aku terasakan ianya begitu pantas berubah. Mungkin kerana sudah terlalu lama diam, sekali perubahan berlaku walaupun kecil aku rasakan ianya menakjubkan.

Harapnya apa yang aku cuba capai ini sanggup menunggu aku tiba. Sanggup bersabar dan terus percaya. Aku sedang mengejar sesuatu tetapi langkah masih perlahan. Harapnya aku tidak terlewat atau ketinggalan.

6.6.10

Jurufoto Perkahwinan

Bila aku di majlis perkahwinan dengan kamera di tangan, kadang-kadang ada rakan yang bertanya kenapa aku tidak buat perniagaan fotografi perkahwinan. Semua orang tahu ianya suatu bisnes yang sangat menguntungkan dan pasaran sangat besar. Ada beberapa alasan yang sering aku berikan:

  • Aku tidak ada peralatan lengkap untuk fotografi. Aku tidak ada flash gun yang wajib ada untuk aktviti fotografi perkahwinan. Aku tidak faham dengan orang yang tidak guna flash gun semasa merakam gambar 'delicate' sebegini. Hanya jurufoto profesional saja yang mampu melakukannya dan mereka tetap akan guna flash gun. Aku juga tidak ada lensa yang perlu seperti wide-angle 11-22mm yang perlu untuk shot semasa bersanding dan juga zoom lense yang sesuai ketika outdoor shot. Orang akan kata, buat permulaan kita tidak perlu semua itu. Basic sudah cukup. Tapi aku rasa banyak shooting angle yang kita bazirkan akibat daripada ketiadaan peralatan ini.
  • Aku masih kurang kemahiran dalam fotografi potret manusia. Aku lebih selesa fotografi landskap atau permandangan yang tidak perlu tumpuan terhadap emosi manusia. Emosi alam lebih mudah diterjemahkan. Aku juga lebih suka candid shot yang nampak lebih natural berbanding dengan potrait shot yang kadang-kadang seperti terpaksa.
  • Aku tidak ada masa untuk melakukannya. Banyak kerja yang perlu disiapkan di pejabat dan kadang-kadang hujung minggu pun terpaksa dihabiskan di pejabat.
Itu antara alasan yang aku berikan. Tetapi cuma satu alasan saja yang sebenarnya menjadi penghalang utama dan hampir kebanyakkan orang tidak akan faham kenapa.

Aku tidak mahu mengambil gambar majlis perkahwinan kerana AKU RABUN WARNA. Aku tidak mahu merakam gambar yang aku sangka cantik di mata ini, lalu datang orang lain bertanyakan kenapa muka pengantin berwarna jingga. Kerana aku tidak tahu muka mereka berwarna jingga di dalam gambar yang dirakam. Aku fikir warna itu tetap sama dengan warna muka manusia biasa.

Aku tidak mahu kecewakan pelanggan. Jadi cukup sekadar aku datang dan merakamkan gambar suasana majlis perkahwinan dan aku berikan kepada pengantin sebagai hadiah dan upload ke Facebook supaya orang boleh ucapkan tahniah kepada pengantin.

Aku cuma mahu lihat orang gembira. :D