3.9.10

Pendapat: Adakah Namewee Seorang Rasis?

Sekarang kecoh pasal si cina, Namewee (sebutannya, Name+Wee), bukan?

Maka yang melayu dalam diri kita amat marah kerana ianya menyinggung agama kita. Maka yang hantu berpolitik di kalangan kita amat marah kerana ianya menyinggung parti politik kegemaran kita. Maka yang bebal tidak tahu apa-apa amat marah tanpa sebab kerana terpengaruh dengan kata-kata orang lain mengenainya.

Kadang-kadang aku tertanya-tanya, mana pergi otak, mana pergi akal fikiran dalam kebanyakan daripada kita? Atau kita lebih mudah dan suka disuap saja oleh orang lain dan bila ianya dirasa masin, maka sahlah ianya akibat garam? Bukan sebab-sebab lain? Kenapa tidak diselidik dulu puncanya?

Maaf, aku bukan hendak mempertahan atau menyokong Namewee. Jauh sekali aku menyukai caranya. Tetapi cuba sekali sekala dengan teliti dengar apa yang hendak dia beritahu. Contohnya mengenai TNB (kes blackout di Muar) dan seorang cikgu sekolah yang disangka rasis. Faham baris-baris katanya dan kamu dapati ianya tidak rasis sama sekali. Biadap dan kurang ajar, ya. Rasis tidak langsung.

Seperti kes TNB. Aku rasa kalau kamu di tempat dia, tahap marah kamu pun akan sampai macam dia. Dia cuba bandingkan bahawa selama enam tahun dia tinggal di Taiwan, tidak pernah terjadi sekalipun blackout walaupun kita tahu Taiwan termasuk dalam Lingkaran Api Pasifik yang sering dilanda gempa bumi. Apa yang cuba disampaikan adalah mudah. Kita sebagai pengguna ada hak untuk komplen terhadap TNB atau mana-mana pembekal perkhidmatan. Kita ada hak marah kalau perkhidmatan tidak mencapai tahap yang dikehendaki. Paling utama, untuk menjadi sebuah negara yang efisien, dinamik dan maju, sebuah perkara remeh seperti blackout tiga kali setahun di Muar tidak sepatutnya terjadi.

Sekali lagi, aku tidak menyokong dan atau mempertahankan Namewee. Aku rimas dengan bahasa kesat yang dikeluarkannya. Malah aku rimas dengan sifat kurang sabar beliau ketika berurusan dengan pihak TNB. Patutnya sebagai manusia yang bertamadun, beliau lebih bersopan. Cuma kadang-kadang kamu perlu fikir balik, kamu sendiri selalu terserempak dengan keadaan begini, bukan? Keadaan di mana orang marah dan baran akibat masalah yang dihadapinya.

Kes video beliau mengenai cikgu sekolah yang disangka bersikap rasis, aku sudah menonton video tersebut. Kalau tidak ada bahasa kesat dan rangkapnya mengenai puasa, aku rasa sesiapa yang menonton video tersebut akan bosan dan tidak akan berkata apa-apa mengenainya. Betul. Tonton sendiri dan cuba secara virtual, asingkan bahasa kesatnya dan rangkap mengenai puasa dan kamu akan dapati ianya cuma sebuah kritikan keras terhadap rasisme.

Masalahnya mungkin kerana Namewee berkata-kata dengan bahasa yang kurang menyenangkan orang lain. Masalahnya juga mungkin kerana dia seorang cina. Kerana kita tahu, sekarang semakin ramai di kalangan kita yang suka bermain dengan api bangsa. Aku salahkan politik dan ahli politik.

Mengenai rangkap berkaitan puasa. Kamu rasa apa? Kita nak pertahankan apa? Kamu lihat sendiri di luar sana, orang Islam tanpa segan silu makan dan tidak puasa. Bila orang bukan Islam yang tidak faham senario sebenar melihatnya, tentulah pada andaian mereka bahasa puasa itu bukan sesuatu yang suci di kalangan umat Islam. Ianya adalah parodi. Kritikan sosial keadaan kita yang kononnya Islamik tetapi langsung tidak faham bila orang berkata begitu.

Kemudian kita melompat marah. Marah kerana ianya berkait dengan agama kita. Tiada siapa dalam dunia ini boleh mempersoalkan agama yang kita anuti. Entah bila kita benar-benar mempertahankan agama kita? Selama ini yang aku tengok, agama dilacurkan untuk kepentingan diri sendiri.

Kita mudah. Kita cara scapegoat, si kambing hitam untuk ditunding jari dan dijatuhkan hukum. Maka Namewee, si cina berbahasa kesat yang bersuara lantang dengan kritikan pedas adalah boneka paling ideal untuk dikambing hitamkan. Betul, orang kita lebih suka meletakan kesalahan di atas bahu orang lain. Jangan harap kita mahu mengaku salah. Itu pantang larang datuk nenek kita (ciptaan baru-baru ini saja).

Aku saran kamu masuk blog Namewee dan lihat apa usahanya terhadap menjayakan 1Malaysia. Mungkin kamu akan malu dengan diri sendiri nanti. Sekurang-kurangnya dia berusaha untuk menjayakannya.

Kita? Kita kononnya pendokong di belakang Perdana Menteri, DS Najib, sebenarnya adalah manusia bebal yang cuba meroboh idealisme 1Malaysia.

I'm sorry if you still don't understand what I'm talking about. Aku tidak mahu jelaskan lagi. Pointless sebab ramai sangat di kalangan kita yang malas hendak berfikir dan berusaha. Cie la vie.

Bila Mahu Lena

Malam bila hampir tiba jam 12, aku akan mengantuk dan menguap tak sudah. Kemudian mungkin terlelap. Kadang-kadang bila bergayut dengan Zura, mata ini terasa amat berat hinggakan apa yang aku bicara dengannya terasa seperti dalam mimpi. Mamai sebenarnya.

Lalu aku cuba lelapkan mata. Lelap.

Sepuluh minit kemudian aku kembali terjaga dan selepas itu, langsung tidak boleh pejam mata untuk kembali lena. Sering terjadi begini dan ianya menyusahkan aku. Akibatnya, di siang hari kelak di pejabat, aku akan kembali mengantuk kerana tidak cukup tidur. Hingga kadang-kadang aku berdengkur di pejabat. Sudahlah dengkuran aku kuat, jadi agak malu sebenarnya untuk aku tidur di pejabat. Seboleh mungkin aku cuba bertahan dari terlena. Sering juga gagal. Kadang-kadang kena perli dengan orang di pejabat. Aku bodohkan diri saja.

Kalau aku mahu betul-betul segar ketika di pejabat, aku perlu tidur seawal jam sembilan malam. Tetapi aku biasanya degil untuk lena waktu sebegitu. Banyak perkara yang aku mahu buat; makan, mandi, basuh pakaian, belek internet, bergayut dengan Zura. Bila lewat malam, sudah tidak boleh tidur pula. Bertambah satu lagi masalah.

Kurang tidur menyebabkan aku lebih mudah letih dan gemuk. Seperti keadaan fizikal aku sekarang. Sudah sebulan lebih tidak bersenam (berbasikal). Badan terasa begitu letih dan tidak segar sepanjang masa. Tekad aku sebaik kembali dari bercuti raya nanti, aku akan berbasikal setiap hari, kalau cuaca dan keadaan mengizinkan. Bila aku penat berbasikal, aku akan balik mandi dan tidur lebih awal dari biasa. Tapi bila sekarang sudah ada Zura, tidur awal aku agak terbatas. Malam kadang-kadang aku pergi berjumpa dengannya atau kami berbual di telefon. Bukan aku salahkan perhubungan ini, aku sendiri mahukan ianya begini. Aku cuma perlu lebih bijak menjaga masa dan mengawal keadaan fizikal. Kalau orang lain boleh buat semua itu tanpa alasan, aku juga boleh.

Jadi Zura bukanlah masalah, malah dia adalah rahmat yang diberikan oleh Tuhan. Zura sebenarnya banyak menjaga hal aku. Cuma selalunya aku degil untuk menuruti pandangan beliau. Jadi, salah sendiri, bukan? Betul. Jangan cari punca salah pada orang lain. Tengok diri sendiri dulu. Kalau ada yang salah dan silap, perbaiki.

Harapnya aku boleh jadi manusia yang lebih baik selepas ini. InshaAllah.

2.9.10

Nasi Ayam Penyek

Pertama kali aku makan nasi ayam penyek adalah semasa di Kuching pada penghujung tahun 2008 dulu. Ianya pengalaman yang tidak menarik. Rasanya kurang enak dan aku tidak faham langsung dengan konsep nasi ayam penyek. Apa yang menarik? Jadi sejak dari itu aku tidak fikir untuk makan nasi ayam penyek. Sehinggalah kira-kira dua bulan lalu apabila bos belanja makan di restoran Wong Solo di Bangi.

Rasanya begitu berlainan dengan apa yang pernah dirasakan sebelum ini. Lebih sedap dan lebih menarik. Minggu lepas aku berbuka puasa bersama Zura di Wong Solo Bangi. Namun begitu agak ralat kerana aku tidak tahu yang Zura kurang makan ayam kampung. Tetapi dia jenis memahami.

Aku pesan nasi ayam penyek dan Zura memesan nasi ayam panggang (walaupun realitinya masih ayam yang sama).
Mungkin aku akan datang makan lagi. InshaAllah