6.11.10

Jersi Bolasepak Malaysia 2011

Jersi bolasepak pasukan kebangsaan Malaysia yang baru akan keluar pada 8 November ini. Aku sertakan gambarnya yang aku ceduk dari Lowyat.net.

Ini team yang akan beraksi di Sukan Asia Guangzhou tidak lama lagi. Tengok baju yang mereka pakai? Nampak pelik? Ada orang kata di bahagian depan baju nampak macam huru 'H'. H untuk Harimau. Konon.

Aku rasa baju Home tu, jalur-jalur hitam sebenarnya mengganggu visual baju tersebut. Designer baju ini sama ada seorang yang membenci pasukan bolasepak Malaysia atau budak sekolah darjah dua yang diberi upah untuk design. Just stick with simple vertical line, will you Nike? Oh, Malaysia di tangga ke 150 lebih FIFA, tiada hak untuk bargain, bukan?

Kemudian lihat pula jersi Away yang berwarna biru. Apa hal ada warna merah di lengan? Betul-betul potong stim sungguh. Kalau setakat ada jalur putih itu pun sudah cukup. Tambah merah, sudah nampak macam jersi bolasepak Amerika Syarikat.

Tambah pula mereka tukar logo FAM dengan bendera Malaysia. Sungguh aku katakan pengurusan FAM sangat bebal dan tidak peka. Kebanyakkan peminat lebih suka logo pasukan bolasepak, bukan bendera. Ini nampak macam jersi beli di kedai dan tampal bendera; macam jersi bolasepak Malaysia ketika guna Adidas dulu.

Belakang bendera (bahagian dalam jersi) pula letak tulisan "Tanah Tumpahnya Darahku". Fine. Cukup okay. Tapi bila guna font 'misteri nusantara', sudah jadi macam orang kira ini percaya sangat tahyul. Mungkin pengurusan FAM percaya Malaysia boleh menang piala dunia 2014.

Nike, rating jersi Malaysia terbaru aku beri 3/10. tiga markah simpati sebab kamu terpaksa beri sponsor kepada pasukan bolasepak clueless ciptaan FAM.

4.11.10

Ops. Cari


Obsesi aku mencari sahabat lama Woodtech sudah semakin sampai ke penghujungnya. Hampir semua sudah ditemui kecuali dua orang, Hafiz dan Yuslina. Hafiz mungkin ada akaun Facebook tetapi aku sangsi sama ada Yuslina ada juga akaun Facebook.

Zaril Faizal a.k.a Bob sudah aku paksa buka akaun Facebook. Zamri, Erwan dan Azman cuma menanti pengesahan daripada mereka.

Kenapa aku berusaha sangat untuk mencari mereka? Paling penting, ketika majlis perkahwinan aku nanti, inshaAllah tahun depan, aku boleh jemput mereka datang. Kecuali Bob, majlis perkahwinan sahabat lain aku tidak hadiri.

Aku tidak bercadang untuk buat reunion atau apa bentuk pertemuan semula. Bukan sekarang. Tapi sekurang-kurangnya di alam maya, terutamanya di Facebook, kami boleh berinteraksi dengan mudah dan selesa.

8 down, 2 to go. 1 deeply missed.

2.11.10

Destinasi

November sudah menjelma. Masa semakin suntuk dengan persiapan, walau hakikatnya, aku masih tidak rasa ada apa-apa persiapan yang sudah dilakukan. Cincin sudah dibeli. Check. Hendak tempah baju, bukan aku wajib ada di lokasi. Lagipun, baju melayu hari raya tempohari hari masih 'baru' dan kebetulan pula, sama warna dengan apa yang Zura akan pakai pada hari tersebut. Dia cadangkan supaya aku pakai baju melayu dengan seluar jeans. Sudah cukup. Betul. Jangan membazir.

Emak dan adik-adik bakal menyiapkan hantaran pertunangan. Aku sediakan lima dan akan dibalas tujuh nanti. Jumlah yang ala kadar. Sekadar makanan, manisan dan perkara yang biasa. Paling penting, tujuannya.

Bila bos di DinaWedding dapat tahu aku akan bertunang sehari selepas Hari Raya Aidil Adha, dia menawarkan perkhidmatan merakam video majlis pertunangan. Ada harga istimewa yang ditawarkan. Syukur kalau jadi nanti. Kamu lihat sendiri hasil kreativiti mereka di SINI. Kalau tidak ada video nanti pun, tidak mengapa. Aku lebih bersyukur kalau semuanya berjalan dengan baik.

Kami sibuk mencari rumah untuk dibeli. Silap aku juga tidak bersedia awal-awal. Sekarang sudah terkial-kial. Setakat ini kami nampak kawasan berhampiran tol Sunway sebagai lokasi yang baik. Harga apartmen di situ juga agak berpatutan walaupun ianya cuma milikan sementara. Kami sendiri menduga, bukan selamanya kami akan berada di Lembah Klang. Lambat laun bila tiba masa dan ketika, kami akan cari tempat yang lebih damai. Aku boleh saja memohon kuaters di Putrajaya yang begitu luas dan tenang. Tetapi kasihan pula Zura nanti yang terpaksa berulang alik jauh ke pejabatnya di Kelana Jaya, meredah sesak lalu lintas dan tol. Kalau aku di sana dan datang ke arah Putrajaya, jalannya kurang sesak. Itu rasionalnya.

Perkara yang bagus mengenai Zura adalah kerana dia tidak cuba menjadi cliche dalam berpasangan. Tidak mendesak agar segalanya berdasarkan apa yang ada disekeliling. Sepanjang lima bulan berkenalan, kami masih belum berbalah kata atau bertegang urat. Mungkin kerana masing-masing sudah faham dan 'lali' dengannya. Maka sebolehnya semua itu dielakkan. We try to be as playful as possible whenever we interact with each other. Ketawa itu bukankah ubat yang terbaik untuk jiwa manusia?

Satu perkara yang aku belajar sepanjang bersama Zura. Tidak perlu terlalu serius dan tegas dengan perbuatan serta prinsip kita. Belajar untuk bertolak ansur. Hakikatnya, tolak ansur adalah perkara yang paling sukar seseorang hendak lakukan. Ada yang mengakui dia melakukannya, namun bila dilihat betul-betul, tidak begitu. Jangan juga sediakan sebuah set peraturan yang perlu dipatuhi oleh pasangan kita. Love suppose to be unconditional. Sikit-sikit boleh kerana secara jujur, kita mahu sesuatu yang sedap di mata dan di hati. Kita minta kalau si dia boleh melakukannya. Kalau tidak boleh, jangan desak lagi.

Paling penting, buang jauh-jauh ego yang ada dalam diri kita. Kita bukan sempurna maka jangan harap orang yang ada berada di sebelah kita sepanjang masa itu juga sempurna. Mereka tidak akan sempurna. Mereka ada kekurangannya. Terima kekurangan itu sebagai motivasi untuk kita lebih menghargai. Contohnya; Aku seorang yang rabun warna. Zura tidak biasa berada di kalangan orang yang rabun warna. Jadi kadang-kadang bila berjalan dan melihat barangan, dia akan bertanya,

"Warna ini cantik tak?"

Kalau aku tahu warna apa, aku akan jawab. Kalau tidak, aku cakap aku tidak kenal warna tersebut. Bila dia sedar kekurangannya aku, dia tidak mengejek atau meremehkannya. Malah dia mohon maaf dan mengaku silapnya walaupun aku langsung tidak kisah mengenainya.

Orang selalu kata, kalau sudah suka, kentut pun baunya wangi. Aku fikir orang yang buat tafsiran begitu sebenarnya orang yang cemburu. Kita tidak sepatutnya jawab persoalan mengapa kita sukakan seseorang itu. Kerana ianya tiada jawapan yang paling agung. Kalau ada pun mungkin kita boleh jawab begini,

"Ianya takdir yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Kuasa"

Begitu, boleh?

17 hari lagi. InshaAllah. Doakan.