23.5.11

Selera Masakan Padang

Semalam aku dan Zura makan di sebuah restoran Indonesia, Restoran Sari Ratu di Kelana Jaya. Restoran masakan padang ini memang berasal dari Indonesia dan menyediakan menu masakan padang yang amat menyelerakan.


Bila selesai makan, bilnya mencecah RM50. Aku nampak Zura sedikit terkejut. Mungkin terasa begitu mahal kerana masakannya adalah masakan melayu biasa yang boleh kita perolehi di mana-mana di Malaysia ini. Gerai makan tepi jalan pun ada masakan yang lebih kurang sama.

Kenapa mahal? Kerana ianya restoran kelas sederhana mewah, agaknya. Seketul ayam saja sudah mencecah RM7.50. Bergedel, RM3.00.

Adakah aku akan pergi lagi makan di situ? Mungkin tidak. Tetapi tidak salah untuk mencubanya. Masakannya amat memuaskan hati. Sedap dan menyelerakan. Aku paling suka dengan rendang dagingnya. Lembut, empuk tanpa sedikit pun ada lemak pada daging. Itu yang sepatutnya.

Satu yang menarik perhatian aku dan aku nampak potensi komersial di Malaysia. Tempe goreng. Aku nampak potensi komersialnya setaraf macam corn-in-cup, pisang goreng dan lain-lain yang kita boleh beli dan makan dalam perjalanan. Kenapa masih belum ada di Malaysia? Atau aku yang belum jumpa? Potensi besar!

19.5.11

Jemputan

Semalam edar kad jemputan ke majlis perkahwinan aku 11 Jun nanti (Ingat tarikh ini ya Pn. Ain dan jemput datang). Setakat ini aku cuma edarkannya di pejabat. Memang agak lewat tetapi tidak boleh dielak. Terima kad dari pencetak pun sudah lewat.

Aku sudah sediakan kad secukupnya (aku fikir) untuk orang di pejabat. Rupanya tidak cukup. Setiap kali aku masuk ke ruang pejabat mereka, aku sedari ada lagi orang yang aku perlu jemput secara khusus. Nampaknya sungguh ramai yang mengenali aku. Aku sendiri terkial-kial untuk menulis nama mereka di kad kerana aku tidak tahu nama mereka dan aku tidak kenal mereka.

Ada kad yang perlu aku pos. Wah, sudah berapa lama aku tidak menggunakan setem? Berapa harga setem yang aku perlu guna untuk mengirim sekeping kad? Masih 30 sen?

Setiap kali orang menerima kad jemputan aku, ayat pertama yang keluar dari mulut mereka mestinya,

"Wah Dan... Besarnya kad kau!"

Aku cuma tersenyum. Lalu jawapan standard aku adalah,

"Kena buat besar-besar. Orang tua bukan nampak kalau tulis kecik-kecik!"

Kami tertawa. Realitinya aku sengaja buat besar supaya orang tidak akan tercari-cari dan keduanya untuk memudahkan orang membacanya. Lagipun, ianya percuma! Jadi apa salah kalau aku buat sebesar yang mungkin. Aku tidak rugi apa-apa. 700 keping kad jemputan rasanya sudah cukup. Ramai sudah aku jemput melalui Facebook. Ada kewajipan kita hulur kad jemputan ke? Lainlah kalau kad tersebut ada RSVP dan tempat duduk di dewan nanti terhad.

Jadi kadang-kadang aku tanya juga kepada beberapa orang sama ada mereka mahu juga kad atau cukup sekadar aku jemput 'mulut' saja. Ada yang senang hati bila aku jemput mereka terus tanpa melalui kad. Ada yang mahukan kad terutama kerana mereka mahukan petanya. Mudah untuk ke lokasi kejadian nanti.

Sepatutnya aku jemput juga pembaca di blog ini, ya? Okay, saya menjemput anda semua ke majlis resepsi perkahwinan saya yang akan diadakan pada 11 Jun 2011 di Dewan Orang Ramai Kg. Basong, Jalan Ta'ayah, Kuala Kangsar. Ini aku sertakan pelan lokasi dan kad jemputannya.





18.5.11

Selekoh Akhir

Gila ah.

Sedar-sedar tinggal beberapa hari saja lagi. Eh, sekarang waktu ada 24 jam ke atau 2 jam saja? Kenapa cepat sangat? Tidak puas membujang lagi ni!

Konon.

Waktu single, seribu baris sehari aku boleh menulis di sini menceritakan betapa bosannya hidup aku. Seperti tidak ada yang lebih penting daripada emo aku sendiri.

Sekarang bila tinggal beberapa hari lagi untuk menamatkan zaman bujang, aku sibuk mencari masa untuk membujang pula? Tidaklah. Bukan masih mahu membujang. Tetapi risaukan hari yang mendatang. Bagaimana akan aku tempuhinya nanti? Tahu diri ini tidak pernah sempurna sifatnya, aku rasa apa yang aku boleh berikan sangat kurang daripada apa yang orang harapkan.

Tetapi orang kata hidup ini suatu proses pembelajaran yang berterusan. Harapnya masa-masa yang ada boleh mengajar aku menjadi lebih dewasa dan lebih bijak dalam membuat keputusan.

Okay, mana pergi lego yang aku tengok tadi?