3.6.11

Menanti Lusa

Sehari lebih sikit saja lagi.

Apa yang hendak dikatakan lagi? Persiapan inshaAllah hampir siap sepenuhnya.

Moga dipermudahkan segala urusan.

1.6.11

Fokus, Tiga Hari Lagi

Nota kedua.  Eh, aku baru perasan posting sebelum ini dimasukkan dalam kumpulan posting bulan Jun. Sudah JUN? Wah, cepatnya masa berlalu.

Tiga hari dari sekarang aku akan melangsungkan perkahwinan. Setelah 36 tahun lebih, aku bakal menjadi suami orang. Sudah ada ramai yang memberikan nasihat itu dan ini. Aku amat menghargainya.

Aku pasti impian aku untuk menjadi suami yang terbaik akan aku usaha untuk membuktikannya. Dugaan pasti ada. Cabaran akan datang dari setiap penjuru. Tetapi aku akan berusaha untuk menjadi yang terbaik buat isteri aku nanti.

Cukuplah membujang selama 36 tahun, bukan? Orang lain ada yang lebih singkat membujang. Ada yang masih belum jumpa pasangannya. Ada yang langsung membujang sampai ke tua, hingga kembali kepadaNya. Aku dimurahkan rezeki olehNya untuk mempunyai pasangan hidup. Itu pun sudah cukup bersyukur. Aku tidak mahu jadikan Salleh Yakob sebagai contoh kerana aku tidak fikir aku mampu buat semua itu.

Aku faham perangai dan sifat aku. Aku bersifat mono-sentrik. Apabila melakukan sesuatu, aku perlukan tumpuan sepenuhnya ke atas perkara itu. Aku tidak boleh berkongsi waktu dengan perkara lain. Sangat sukar hendak aku lakukan dua perkara dalam satu masa. Itu ciri tipikal lelaki dan ianya ada dalam diri aku.

Jadi, aku mohon maaf kepada ramai orang yang mungkin terasa diri mereka dipinggirkan oleh aku. Sahabat, kenalan, kawan dan saudara. Aku mohon maaf. Tumpuan aku kini hanya satu, Zura.

:D

Forest Dweller dan Woodtech Clan

Beberapa nota sebelum bercuti panjang. :D

Pertama, Zaril Faizal, sahabat lama sewaktu zaman di universiti dahulu sudah mempunyai blog sendiri. Blog pendidikan beliau sangat menarik minat aku kerana ianya juga diisi dengan artikel mengenai Woodtech, program yang aku belajar di ITM suatu ketika dahulu.

Menggunakan nama Forest Dweller, blog pendidikan pensyarah di Politeknik Shah Alam (ada nama panjang tetapi biar aku ringkaskan) banyak menulis berkaitan perkayuan dan pemeliharaan hutan. Aku adalah seorang pencinta hutan dan alam hijau. Ketika belajar dahulu, kami sering 'masuk hutan'; camping sambil belajar mengenai sifat hutan terutama jenis pokok di dalamnya dan juga habitatnya.

Bob, gelaran mesra untuk Zaril Faizal adalah sahabat baik aku. Dia sudah pun melangsungkan perkahwinan sejak sembilan tahun lalu dengan pilihan hatinya dan dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Kalau kamu berminat hendak belajar mengenai pembuatan kertas, papan lapis, MDF (medium density fibreboard) dan paling penting, pemeliharaan hutan, sila berkunjung di blog beliau, Forest Dweller. Aku pernah ingat suatu ketika dahulu aku dan Bob diupah oleh seorang bekas pensyarah kami di ITM, Mr. Chen untuk menyiapkan beberapa website yang berkaitan dengan perkayuan. Idea Mr. Chen adalah baik kerana ketika itu info mengenai industri perkayuan di Malaysia masih amat sedikit di dalam internet. Tetapi kami gagal menyiapkannya.

Adanya blog Forest Dweller ini aku harap dapat dijadikan penawar kegagalan masa lalu. Tahniah untuk Bob kerana mengusahakannya.

Tetapi bagi aku perkara paling menarik di blog tersebut adalah mengenai Woodtech Clan. Apa itu Woodtech Clan? Tunggu aku cerita lain kali.