19.6.11

Kembali Kepada Rutin

Setelah 19 hari bercuti, esok kembali bekerja. Kembali kepada rutin hidup. Walaupun di rumah sudah berbeza keadaannya, aku pasti di pejabat situasinya masih sama. Kerja dan tugas yang sama. Aku fikir tingkat kreativiti aku semakin baik. Itu yang sedang aku sedari.

Harapnya dipermudahkan segala urusan. InshaAllah.

Rumah baru kami semakin hari semakin jelas kelihatan. Air, elektrik, semua sudah tersedia. Cuma menantikan jeriji besi pelindung keselamatan dipasang. Siap itu dan pemasangan lampu serta kipas, boleh kami berpindah masuk ke rumah baru.

Buat masa ini ianya masih putih, kosong.

Perlahan-lahan kami mahu hias ia seindah mungkin, agar boleh menjadi sudut untuk kami tinggal damai bersama.

Moga dipermudahkan segala urusan. InshaAllah.

14.6.11

Fly The Ocean In A Silver Plane...

Setelah hampir tiga minggu bercuti, penghujungnya semakin hampir. Esok siang aku dan Zura akan pulang ke tempat kami mencari rezeki dan bertemu.

Mulakan hidup baru, sebenarnya.

Di sebuah rumah baru milik kami berdua. Sekarang masih kosong, putih dindingnya, lantai jubin putih juga. Tiap penjurunya masih kosong, tanpa isi. Sedikit demi sedikit, inshaAllah kami mahu hiasinya dengan keindahan hidup.

Perjalanan baru yang aku doakan agar ianya panjang, jauh dan penuh bermakna. Banyak yang diimpikan. Setiap detik yang dilalui pastinya lebih bermakna. Aku bertanya kepada Zura; kalau dulu setiap minggu hanya bertemu sekali dua untuk beberapa jam, sekarang ada di depan mata 24 jam, apa rasanya?

Gembira dan lebih bahagia.

Begitu hendaknya.

Nampaknya juga, blog ini bakal menceritakan perkara baru yang aku belum pernah lalui sebelum ini. Sesuatu yang begitu asing dan sesuatu yang tidak mampu dijangkakan bagaimana keadaannya.

Benar, hidup ini sebenarnya indah.

13.6.11

Langkah Baru



Syukur, semuanya sudah selesai.

Aku sudah pun bergelar seorang suami.

Aku sudah punyai seorang isteri yang penyayang.

Kini perjalanan hidup baru sudah bermula.

Selangkah demi selangkah. Semoga dipermudahkan segala urusan olehNya.