24.6.13

Perit Jerebu

Aku awalnya cadang nak tidur awal malam ni. Semalam Qaseh tidur jam 3 pagi akibat jerebu.

Jerebu semakin teruk, kan?

Tekak makin perit dan mata terasa pedih. Itu aku. Qaseh lagi merana. Malam seperti ini adalah sesuatu yang sukar hendak dilaluinya. Batuk tanpa kahak adalah salah satu punca kesan jerebu. Badan panas dan kesukaran untuk bernafas. Sekarang dia sedang menangis.

Aku perlu stop.

21.6.13

Mengenai Telefon

Siang tadi ada seorang yang bertanya kenapa sudah tidak bertwitter.

Aku sudah tidak guna telefon pintar. telefon bimbit aku sekarang adalah ini;


Jadi tidak adalah twitter, facebook atau instagram secara mobile. Aku beli dengan harga lebih kurang RM90. Semenjak beli, ianya baru dua kali dicas. Dua kali setelah hampir dua minggu. Kalau dengan Samsung Galaxy S3 dulu, hampir setiap masa aku perlu cas.

Puncanya amat jelas. Ketika ada telefon pintar, hampir setiap masa aku online. Buka laman web, facebook, twitter dan perkara lain. Ada saja perkara yang hendak dilakukan dengan telefon itu. Tunggu lif, belek internet. Dalam lif, semak status facebook. Jalan 10 meter, semak twitter. Lepak depan TV, jenguk instagram. Memang melekat dengan telefon.

Awal aku beli telefon ini tempohari aku rasa sedikit kekok. Depan lif, aku seluk poket seluar dan keluarkan telefon. Flip telefon dan aku terkesima. Apa benda yang aku boleh buat dengannya? Internet, facebook, twitter atau instagram semuanya tidak ada. Hanya ada mesej yang diterima atau senarai nombor telefon yang aku panggil atau terima. Itu saja. Oh, ada kalkulator.

Tidak sekadar itu, aku sedari bahawa di rumah juga aku semakin rajin melayani karenah Qaseh. Puas bermain dengannya kerana masa aku di depan telefon sudah semakin kurang. Aku pasti Qaseh juga berasa seronok kerana aku sentiasa memberi respon kepadanya sekarang.

Itulah untungnya telefon murah. Sekadar telefon dan SMS. Lewat malam barulah aku berkesempatan membuka internet di laptop.

Aku tidak berniat untuk selamatnya menggunakan telefon biasa. Cukup masa dan sumber kewangan, aku berhasrat untuk membeli sebuah iPhone. Ya, telefon OS Android mungkin lebih canggih maju tetapi iPhone lebih menarik.

20.6.13

Lewat Malam

Antara punca aku kurang menulis adalah disebabkan untuk beberapa ketika, setiap post aku mesti dikepilkan dengan foto. Bukan sekadar foto, tetapi foto yang menceritakan sesuatu. Akibatnya aku lebih banyak menceritakan hal keluarga dan kurang hal-hal lain yang tidak aku rakam dengan kamera.

Blog ini dulunya begitu terbuka. Aku berbicara apa saja. Semuanya aku sumbat di sini sebagai momento saat itu. Ianya begitu relevan dengan suasana dan apa yang berlaku ketika itu. Tidak berapa lama dulu aku haramkan diri aku dari menulis hal politik di sini. Aku juga sudah tidak menulis hal yang sedih, kecewa atau bersifat terlalu peribadi. Sedangkan dulu aku ceritakan semuanya.

Mungkin ada perkara yang tidak perlu aku tulis lagi di sini kerana tidak mahu mencetus salah faham atau menyentuh perasaan orang lain. Selepas ini blog ini akan lebih terbuka. Aku begitu berminat hendak menulis mengenai teknologi; buat ulasan terhadap sesuatu produk seperti telefon bimbit atau komputer. Aku juga berminat berkongsi pengetahuan. InshaAllah akan aku usahakan.

Lewat malam begini, enjin otak ini sebenar semakin perlahan. Menanti saat aku pejamkan mata dan lena diulit mimpi. Tidur aku sebenarnya tidak lena seperti yang aku sangka. Aku sedang mengalami kesukaran penafasan sewaktu tidur atau Sleep Apnoea. Sebab itulah aku sedang berusaha untuk menurunkan berat badan seperti yang disarankan oleh doktor.

Syukur buat masa ini semuanya masih dalam keadaan okay. Aku mahu sentiasa sihat. Aku mahu lihat Qaseh membesar menjadi seorang gadis yang cantik dan pintar. Waktu sekarang, dalam santai setelah penat bekerja, aku luangkan masa melayan karenah Qaseh yang semakin aktif dan lincah.

Aku pernah mengeluh apabila Qaseh sentiasa mahu aku dukungnya dan melayannya. Ya, aku mengeluh kerana aku terasa letih melayan kehendak si kecil itu. Tidak lama selepas itu barulah aku tersedar silap aku. Waktu kecil Qaseh, waktu di mana beliau mahukan perhatian, mahu didukung dan mahu dilayan hanyalah seketika. Sekejap saja. Bila Qaseh besar kelak, dia pasti tidak mahu lagi didukung dan dilayan sepanjang masa. Saat yang aku ada inilah sepatutnya aku luangkan sepenuh masa dan tumpuan kepadanya, tanpa keluhan.

Benar, anak itu anugerah yang tidak ternilai. Rumah ini seperti begitu ceria sekarang. :D