31.3.08

Aku Serius Dengan Fotografi



Aku sudah beli sebuah kamera digital SLR (akhirnya!). Walaupun setakat kamera entry-level, ianya sudah cukup baik untuk aku buat masa sekarang. Tidak perlu ucap selamat datang untuk aku ke dunia SLR. Aku sudah guna SLR sejak 1991. Kemudian hiatus 10 tahun dan sekarang sambung balik.

Aku beli sebuah kamera SLR digital jenama Canon, model 400D. Sebenarnya tidak lama lagi akan keluar model 450D dengan enjin Digic 3 yang jauh lebih bagus. Tetapi aku fikir ianya takkan mampu untuk aku beli, jadi baik aku settle dengan entry-level canon ini. Pejabat aku sendiri menggunakan 350D jadi menggunakan 400D, tidak ada masalah. Cuma tiada lagi skrin monochrome tambahan di atas skrin LCD. Resolusi piksel juga sudah bertambah ke 10.2. AF point juga sudah bertambah dari 7 ke 9 point. Kemudian ada Custom WB shift yang aku ingat 350D memang takde. Ini lebih senang untuk aku guna.

Sebenarnya aku hendak dapatkan lensa ini, Canon Zoom Lens EF24-105 IS USM.



Tapi, harganya cukup mahal untuk aku batalkan saja niat aku buat masa ini. Kalau dengan pakej beserta badan kamera 400D, harganya mencecah RM3700. Lensa tersebut saja sudah RM2000. Nantilah, aku akan beli juga kalau ada sumber kewangan.

Flash yang aku guna sekarang ialah yang ini, Canon Speelite 430ex. Oklah, setakat basic.



Aku juga ada lensa zoom yang agak bodoh tanpa IS yang menyebabkan gambar selalu je blur bila di ambil. Murah punya pasal. Tapi ini bukan aku punya, opis punya. Hehehe. Lensa ini,
Tapi boleh la setakat nak guna.

Apa kes beli kamera ni? Sebenarnya aku dapat beberapa offer untuk ambil gambar orang kahwin. Member-member opis yang sudah tahu hasil kerja aku. Mulanya fikir mahu saja aku guna kamera pejabat. Tetapi aku rasa itu tindakan bodoh dan menyusahkan nanti. Baik saja aku beli sendiri dan insyaAllah dalam beberapa kali projek, sudah dapat pulangan balik. Untung juga. Patut la semakin ramai jurufoto majlis perkahwinan yang timbul sekarang.

Jangan bising-bising tak tentu pasal kalau kamu tidak faham dengan apa yang sedang aku lakukan. Ini bisnes yang sepatutnya aku sudah lakukan sejak dulu lagi. Tapi terlalu bertangguh hingga merugikan diri sendiri.

Sekarang aku sudah ada kamera sendiri dan laburkan banyak wang untuk itu, baik aku lakukan sesuatu untuk buktikan kepada sesiapa yang berkenaan yang aku serius. Benar, aku serius. 



30.3.08

Mengejar 10 Tahun Yang Hilang

Perlukah aku ceritakan di sini mengenai hidup ini yang semakin bahagia sedang engkau tidak pernah lihat bagaimana bahagia aku? Atau masa sedih aku? Cukup sekadar menceritakan yang aku amat bahagia sekarang kerana pencarian aku selama hampir 10 tahun sudah tiba di penghujungnya, mungkin. Aku sebutkan mungkin kerana ianya masih liku terakhir dan aku masih sedang berlari pantas untuk menggapainya.

Kalau pun aku gagal di penghujungnnya nanti, aku tidak kecewa dan tidak akan bersedih kerana aku tahu keadaannya dan aku terima segalanya. Cuma bukan masa aku dan benar, aku agak terlewat untuk memulakannya.

Sekarang aku sentiasa tersenyum membaca SMS yang tiba di kotak mel handphone aku. Itu yang pasti. Kerana kata-kata dan jawapan yang diterima begitu indah untuk cuma dibiarkan begitu saja. Engkau mungkin tidak merasakannya, tetapi 10 tahun itu adalah begitu lama untuk mencari. Bila di pertengahan perjalanan itu aku disuakan dengan manisan dan bahagia seketika. Tetapi yang ini aku rasakan sesuatu yang benar. Sesuatu yang tidak pernah wujud sejak 10 tahun lalu.

Jadi tidak perlu aku perkatakan apa-apa kerana engkau tidak akan memahaminya.

Lalu aku abaikan yang lain semata-mata untuk memastikan sedikit debu peluang yang terpalit di tapak tangan ini dapat aku tukar menjadi sebesar impian yang sejak sekian lama hilang. Maafkan aku. Aku perlu lakukannya demi kebahagiaan aku. 10 tahun itu terlalu lama untuk tidak merasainya.

Aku gemuk, tua dan letih; tetapi aku akan tetap cuba... aku akan terus berlari untuk mencapai penghujungnya.

Selebih darinya, aku biarkan segalanya tersusun satu demi satu.

27.3.08

Mencari Kamera Digital SLR

Sudah lama tidak menulis. Seminggu masanya aku tidak menaip baris-baris ayat untuk dibaca oleh pembaca (kalau ada).

Isnin lepas aku pulang dari Cameron Highlands setelah menjadi urus setia kursus di sana. Kalau ke-3 aku di Cameron Highlands dalam 3 bulan. Setiap bulan pasti akan ada sekali aku ke sana kerana kursus yang dijalankan ini hanya sesuai diadakan di Cameron Highlands. Tugas spesifik aku adalah sebagai jurukamera dan jururakam video. Kerja menarik tetapi amat memenatkan.

Kemudian dari Kelmarin hingga ke saat tadi aku tidak mampu hendak meluahkan apa yang terbuku di hati kedalam ruangan ini. Seperti yang aku perkatakan sebelum ini, aku tidak mahu selalu menceritakan hal-hal yang sudah berlaku. Bukan tidak ada yang hendak ditulis tetapi tidak ada yang perlu ditulis lagi.

Aku sudah dapat 2 projek fotografi untuk majlis perkahwinan. Bayaran agak lumayan. Semuanya akan berlangsung pada bulan Mei nanti. Jadi aku perlu dapatkan set kamera digital SLR sekarang untuk biasakan diri. Haritu aku sudah survey dan aku jumpa yang berkenan di hati walaupun ianya cuma setakat entry-level digital SLR. Pilihan aku samada Canon 400D atau Nikon D40x. Aku sukakan Nikon kerana semasa di MRSM Balik Pulau dulu, aku adalah jurugambar majalah dan aku menggunakan Nikon SLR. Puas hati kerana ketika itu ada zoom lense 300mm yang boleh aku guna untuk usha awek hujung padang.

Namun sekiranya aku beli Nikon D40x, banyak limitasi nanti. Aku tidak dapat beli flash kerana mahal dan aku tidak mampu beli lense lain. Kalau aku guna Canon 400D, flash dan lense tambahan sudah sedia ada. Tak perlu hendak aku bersusah payah membelinya buat masa ini. Mahal.

Aku ada buat survey di internet dan aku boleh dapat harga kamera tersebut dengan kadar 20% lebih murah. Tetapi macamana aku hendak yakin dengan membelinya secara online sedang aku tidak pernah membeli apa-apa pun secara online sebelum ini. Jadi aku perlu survey lagi.