1.3.09

Ada Kerja Sikit

Modem di rumah rosak. Jadi tiadalah aku boleh online sepanjang hujung minggu dan sehingga ianya diganti. Ini pun di pejabat lewat petang Ahad menyiapkan kerja untuk mesyuarat esok. Begitu kerja aku walaupun hakikatnya ini adalah organisasi kerajaan.

Siapa sangka ianya lebih kurang sama dengan situasi aku bekerja di organisasi swasta suatu ketika dulu. Overtime dan kerja tidak tentu masa. Sama saja. Tapi ianya bergantung kepada organisasi awam mana yang perlu bekerja lebih masa. Ada yang tidak perlu langsung. 

Sudahlah. Hari minggu. Perlu bersiar-siar.

28.2.09

Mengubah Cara Berfikir

Sebenarnya, apabila orang berceritakan perkara-perkara mistik, begitu lambat aku hendak mempercayainya terus. Pertama, aku lihat orang yang menceritakannya (kalau dia sendiri yang menghadapinya). Aku lihat watak mereka dan fahami pemikiran mereka. Kemudian, berdasarkan cerita mereka, aku bayangkan keadaan yang berlaku dan apa yang sebenarnya mungkin berlaku.

Aku bukanlah tidak mempercayai perkara mistik. Aku cuma  tidak terus mempercayainya dengan hanya berdasarkan cakap dan keluhan orang. Aku cuba menjadi rasional dan berfikiran lebih logik kerana selalunya cerita mistik lebih bersifat tidak rasional dan logik.

Bukan juga aku tidak pernah hadapinya. Sejak dari kecil aku pernah hadapinya. Malah kalau kamu hendak fikir mengenai cerita-cerita aku, kamu juga akan menghadapi masalah untuk menerima rasional dan logik aku.

Ada waktu, ketika memandu dan melalui kawasan-kawasan sunyi, hati menjadi berdebar dan seram sejuk. Atau ada kalanya seperti terlihat sesuatu sekilas pandang. Itu semua pernah aku hadapi.

Cuma aku lebih bersifat rasional dan logik. Dulu, semasa di Shah Alam, aku menyewa sebuah rumah berhampiran dengan sungai Klang (Padang Jawa). Sewaktu malam ketika tidur, beberapa kali aku seperti lemas ditindih sesuatu. Atau begitu biasanya orang kata, kita ditindih sesuatu. Aku kaji balik cara aku tidur. Pertamanya, dalam keadaan terlentang. Keduanya, bantal terlalu tinggi dan ketiganya, tidur di dalam keadaan panas dan berselimut (zaman aku tidur dalam apa jua keadaan pasti berselimut, sekarang tidak lagi). Secara teknikal, tidur keadaan begitu sudah menyebabkan kita tidak selesa. Tambahan pula ketika aku aku juga sedang hadapi masalah berat badan.

Secara teorinya, aku fikir ruang penafasan aku terbatas kerana rongga ditutup akibat cara tidur aku. Kemudian aku tidur mengiring dan memasang kipas.

Selesai masalah.

Memanglah aku tidak nafikan ada yang betul-betul ditindih atau apa juga keadaan yang menyebabkan ada makhluk halus yang mengganggu manusa. Namun ada juga keadaan sebenarnya diakibatkan oleh kesilapan dari segi teknik dan juga kecuaian manusia sendiri. Akibat terlalu percaya dengan perkara mistik, kita mudah mengaitkan sesuatu yang berlaku dengan perkara mistik. 

Percayalah, manusia ini jauh lebih bijak dan lebih kurang dari yang kita sangka. Lebih hebat dari yang kita ketahui selama ini. Kalau kita masih terbelenggu dengan andaian kelemahan akibat gangguan makhluk halus dan lain-lain perkara yang mistik, kita sebenrnya masih tidak kemana. Itu sebabnya Mastika dan lain-lain tabloid mistik amat popular dalam budaya kita. Apabila kita membacanya, kita akan serba sedikit mempercayainya. Kita bayangkan dan kita letak konsep "gangguan makhluk halus" dalam diri kita dan secara tidak sedar, kita dipengaruhinya.

Seperti anjing, loceng dan makanan (Kamu cari sendiri kajian sains tersebut dan apa sebab aku tulis begitu). Atau seperti mengayuh basikal. Kamu berlatih dan kamu mahir. Namun setelah lama kamu tidak melakukannya, kamu tetap masih percaya dan yakin kamu boleh mengayuh basikal. Kerana ingatan kamu berfungsi sebegitu.

Betul ada perkara mistik. Cuma kadang-kadang kita perlu membezakan mana satu mistik dan mana satu realiti. Ingat, manusia ini adalah bijak, lebih kuat dan lebih tegar daripada yang kita sangka.


Home Of The Cougars

Hariman, sahabat semasa di Maktab dulu mengirim gambar ini kepada aku tempohari. Baru hari ini aku berkesempatan untuk membuka dan melihatnya.



Aku tenung gambar ini beberapa ketika. Memerhatikan detail pada gambar ini. Mulanya aku ingin menulis mengenai ayat "Home Of The Cougars". Cougars adalah gelaran bagi pasukan ragbi maktab, pasukan senior. Pasukan junior pula dikenali sebagai Foxes (zaman aku dulu). Pernah juga pasukan kami bercadang untuk menukar nama gelaran pasukan kepada nama lain. Antara nama yang aku masih ingat untuk dicadangkan adalah "Assault". Pelik juga nama gelaran begitu tapi mungkin kerana zaman itu, Thrash Metal sedang hebat mempengaruhi minda.

Pencapaian terbaik zaman aku dulu (1989 - 1992) adalah mendapat tempat ke-3 peringkat negeri. Sayangnya, medal tersebut sudah hilang dari koleksi aku.

Kemudian aku perhatikan lebih lama gambar ini. Apa yang sebenarnya aku cari? Pertama, melalui peta yang terpapar di papan tanda ini, aku masih boleh ingat setiap bangunan yang ada. Aku juga masih ingat lokasi papan tanda ini. Tepi padang berhampiran yang mana dulu pelajar selalu berlatih softball dan hoki. Ada cerun tepi padang yang menjadi tempat lepak setelah penat bersukan. Namun aku dapati ianya agak lapang sekarang berbanding dulu.

Akhirnya aku dapat jawapannya. Ini bukanlah persoalan daripada Hariman yang menghantar gambar. Ini persoalan aku sendiri. Aku sedari sesuatu dan aku bandingkan dengan sekolah serta institusi pendidikan di negara barat.

Betul juga apa yang beberapa orang yang meninggalkan komen di blog ini tidak lama dulu. Selepas tamat belajar di maktab, kebanyakkan bekas pelajar sama ada terus mengasingkan diri dari maktab atau terasa terasing dengan maktab. Tiada bonding melainkan Ansara yang terlalu besar dan secara jujur aku fikir, ianya agak politikal. 

Aku pasti ada antara bekas pelajar yang sekarang sudah bergelar jutawan atau punyai aset yang cukup banyak. Mungkin mereka tiada ruang atau tidak nampak peluang, masih belum aku dengar ada antara mereka yang memberi sumbangan kepada maktab dalam apa bentuk. Mungkin membekalkan makmal komputer maktab dengan peralatan komputer tercanggih atau membekalkan perpustakaan dengan stok buku yang mencukupi. Sama ada aku belum pernah dengar atau tiada yang memberitahu.

Tidak mengapalah. Cuma, sepatutnya ada "avenue" yang lebih khusus untuk bekas pelajar memberi sumbangan balik kepada maktab. Mungkin, mana tahu suatu hari nanti aku mahu sumbang apa-apa kepada maktab, aku perlu tahu bagaimana dan cara yang terbaik untuk melakukannya tanpa ianya nampak seperti ada kepentingan peribadi atau lain-lain yang boleh menyebabkan MACC datang jumpa aku.

Persatuan Alumni agak kurang berkesan rasanya. Mungkin ada jalan yang lebih baik supaya manfaat boleh dirasa oleh pelajar yang ada sekarang dan masa akan datang. Mungkin kamu boleh fikirkan.