21.3.11

Kemas dan Kini

Nampak malas sungguh aku menulis blog pada tahun ini. Sehingga Mac ini, baru 21 post. Bulan Mac baru ada tiga post. Itu pun satu daripadanya hanya lagu yang dipetik dari YouTube. Jadi aku cuma menulis dua post sahaja pada bulan ini.

Kalau ditanya mengapa, aku tiada jawapan yang pasti. Aku duga, kerana aku lebih gembira sekarang maka aku kurang hendak bercerita mengenai kesedihan, sunyi dan kecewa. Aku hairan kenapa cerita gembira aku tidak boleh terluah dengan tulisan di sini. Mungkin di hati ini berkata, cukup untuk diri sendiri menikmatinya.

Atau mungkin tahun ini adalah tahun rehat aku. tahun meluangkan masa dan kurang menulis. Lebih memerhati. Atau mungkin kerana aku sedang belajar berkomunikasi dengan Zura. Kerana aku sudah lama tinggalkan cinta. Jujur aku tidak tahu jalan dan cara untuk mengambil hati orang. Kena belajar perlahan-lahan. Aku tahu ada kala Zura tersinggung dengan tingkah laku, kata-kata dan perbuatan aku. Dia lebih banyak bersabar. Aku sedang belajar untuk memperbaiki diri sendiri. Jadi mungkin sebab itu juga aku kurang menulis. Tumpuan aku terarah ke sudut lain.

Aku juga dapati pendapat ringkas aku wajar aku luahkan di kala aku terfikir mengenainya. Maka Twitter dan Facebook menjadi ruang untuk aku melakukannya. Kalau dulu aku boleh menulis blog sepanjang satu rangkap hanya untuk menyuarakan rasa. Sekarang, Twitter dan Facebook nampak jauh lebih mudah.

Aku rasa ini sudah kali ke berapa aku bebelkan perkara yang sama. Sekadar hendak menyedapkan rasa. Dulu sewaktu menggunakan frossonice.com, lebih kurang 100 orang pembaca masuk setiap hari. Sekarang, mungkin cuma seorang yang tiba di sini, sesat mencari maklumat lain. Jadi tidak mengapa kalau tidak selalu dikemaskini, bukan?

15.3.11

Melakar Mimpi

Ini kerja part-time baru aku, hasilkan album perkahwinan. Biasanya orang kata bentuk album begini adalah story book. Aku tidak nampak mana ceritanya melainkan aturan gambar dalam album yang disusun mengikut jalan cerita (perjalanan majlis). Jadi ianya masih sebuah album, dengan jalan cerita.

Aku tidak turut buat rakaman fotografinya. Itu tugas orang lain. Tugas jurufoto adalah untuk merakam gambar dan memilih gambar terbaik untuk dimuatkan ke dalam album. Kemudiannya seorang editor akan membuat 'editing' dan 'touch-up' terhadap semua gambar tersebut. Aku tidak boleh buat kerana aku rabun warna.

Akhirnya barulah tugas aku, untuk membuat layout atau tata susun gambar di dalam album berdasarkan aturan cerita yang dirancang. Ini termasuk pemilihan gambar untuk kulit muka album seperti gambar di atas. Aku mahu lari dari norma sebuah album 'story book' yang biasa kita lihat; dengan gambar pasangan bahagia memberi pose sambil mengadap audiens/kamera. Aku mahu 'aksi' menjadi tata hias kulit buku kerana impaknya lebih mengujakan. Nampak lebih semulajadi/asli.

Tata susun di dalam juga berbeza daripada yang biasa kita lihat. Aku buat ianya bersifat 'frameless', tanpa bingkai untuk memberi ruang paling maksima kepada gambar. Kerana aku fikir bingkai adalah suatu yang membazir dan menunjukkan kita masih bergantung kepada konsep album asli; album gambar yang gambarnya dicetak satu per satu kemudian di lekat di dalam album.

Gambar tanpa bingkai membuatkan isi album nampak lebih padat dan 'penuh'. Penggunaan impak 'cermin' (mirror effect) seperti gambar di sebelah juga memberikan wajah kepada cerita yang hendak kita sampaikan. Lihat watak pengantin lelaki dan wanita di dua sudut bertentangan seperti memandang antara satu sama lain, biar di kejauhan. Seperti tidak sabar menunggu waktunya diijabkabul.

Aku fikir konsep ini lebih sesuai dengan Dina Photography, anak syarikat Dina Media yang termasuk di dalamnya, studio videografi perkahwinan tersohor, Dinawedding. Dinawedding popular dengan video perkahwinan ala muzik video 'slow motion', sentiasa menampilkan beauty-shot dalam setiap frame yang dilakar. Begitu juga sepatutnya album oleh Dina Photography. Setiap muka album dipenuhi beauty-shot skala penuh yang mendetik hati.

Kemudian ditambah dengan kulit album yang sentiasa melambai audiens untuk mendekatinya. InshaAllah hasilnya nanti akan bertambah baik.

Apa seterusnya? Malam tadi aku temui ilmu baru di dalam Apple Motion. Nampaknya selepas ini montaj childhood yang dihasilkan akan menjadi lebih menarik. Kerja editing ini sebenarnya sungguh mencabar dan perlukan kreativiti sepanjang masa. Tetapi kepuasan akan terpancar di mata hitam ini bila melihat hasilnya dihargai orang.

Tetapi penghargaan itu bukan dicari. Bukan dinanti.  Paling indah dengan kerja ini adalah kepuasan. Kepuasan membuat orang lain gembira.

14.3.11

Epik

Entahlah, kadang-kadang aku boleh dengar apa saja muzik dan terus menjiwainya sekelip mata. Kadang-kadang punca mencari asal usul lagu atau irama tersebut dari sebuah iklan. Seperti muzik latar iklan kereta jenama Ferrari baru, FF. Muzik latarnya sungguh menakjubkan.

Lalu aku mencari asal usul muzik tersebut. Apa yang aku temui adalah sesuatu yang begitu mengagumkan. Lagu bertajuk Heart of Courage dari sebuah kumpulan yang menamakan diri mereka Two Steps From Hell. Agak pelik tetapi muziknya sungguh epik. Dengar saja;





Ada banyak lagi lagu mereka. Kamu cari dan dengar sendiri di YouTube.