25.11.14

Aku dan Sesuatu

Bila memandu, ada waktunya aku lebih sukakan jalan berliku laluannya dihiasi pepohon yang menghamparkan bayang-bayang di sepanjang jalan. Ketika itu, disulami irama yang mendamaikan aku dapat rasakan sebuah ketenangan.

Waktu bujang dulu, itulah perkara yang paling kerap aku lakukan. Kerana aku tidak pernah ada sahabat karib atau teman rapat. Malah aku sebenarnya tidak ada sahabat untuk berhujung minggu bersama-sama seperti orang lain. Hidup di penghujung hari selepas kerja atau di hujung minggu adalah sendiri. Ke mana-mana sendiri. Hingga pernah bercuti seorang diri di Langkawi. Itulah pertama kali aku ke Langkawi. Seorang diri.

Maka aku lebih banyak berdiam diri dari bercakap. Aku jadi pendiam kerana keadaan. Banyak waktu-waktu bisu ini aku penuhi dengan fotografi dan membaca.

Pantai Klanang
Kini aku terkesan dengan keadaan ini. Ketika ini Qaseh semakin membesar dan semakin betah berbicara. Ada waktunya aku dan Zura langsung tidak faham apa yang diluahkan oleh Qaseh. Ada waktunya dia menyusun ayat cukup sempurna hingga kami terdiam, memikirkan bahawa dia sudah sedewasa ini untuk berbicara sebegitu.

Tetapi aku kurang mahir untuk berbual-bual dengan Qaseh. Kurang bijak untuk berkomunikasi dengan berkesan dan untuk mengajarnya berbicara dengan baik. Aku tahu, dia masih kecil. Aku tidak perlu paksa dia untuk lakukan apa pun. Tapi sebenarnya aku simpatikan Qaseh. Ada waktunya di rumah dia seperti bersendirian tanpa teman untuk berbicara. Ini kerana bila Zura sibuk dengan kerja rumah dan hanya aku jadi peneman, aku tidak tahu bagaimana untuk melayan karenah Qaseh.


Hidup kami sekeluarga sentiasa dalam proses pembelajaran. Setiap masa ada saja perkara baru yang dipelajari dan difahami.

Kebelakangan ini Qaseh kurang makan dan tidak mahu makan. Itu meresahkan aku dan Zura. Pelbagai cara termasuk menghias makanan dan membeli makanan yang kami duga Qaseh akan suka telah kami lakukan. Dia masih tida mahu makan seperti yang kami harapkan.

Ianya sesuatu yang mencabar, hidup mempunyai anak ini. Aku tidak boleh bayangkan bagaimana keadaannya Ayah dan Emak menghadapi kami seramai tujuh orang di rumah kecil dengan segala kekangan hidup. Mereka jauh lebih hebat dari aku kerananya. Entahlah, aku tidak menikmatinya sejak umur 14 tahun. Aku berada jauh dari mereka sejak itu.

Hidup ini lebih bermakna sekarang dari masa lalu. Itu pasti.

19.11.14

21 Tahun Lalu; Sebuah Lagu & Walkman

Tiba-tiba aku teringat sebuah lagu lama,


Waktu itu tahun 1993, ketika aku bekerja sementara di sebuah syarikat jual broker saham di Kuala Lumpur selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia. Kerja sementara yang sangat mewah. Walaupun gaji hanya sekitar RM500 saja ketika itu tetapi ianya sudah cukup banyak, ditambah lagi dengan klaim kerja lebih masa yang boleh dikatakan hampir setiap hari aku perlu lakukan.

Dapat duit gaji, antara perkara pertama yang aku buat adalah membeli sebuah 'walkman'. Aku membeli sebuah 'walkman' jenama Aiwa berharga hampir RM400. Kalau ikut nilai sekarang, mungkin lebih RM1200. Hanya untuk sebuah 'walkman'.


Aku lupa model mana satu dan ingat-ingat lupa bagaimana bentuknya tetapi aku ingat ianya nipis dan ada pek bateri luaran yang ketika itu merupakan sesuatu yang canggih.

Salah satu kaset yang aku beli ketika itu adalah album Jon Secada, penyanyi Amerika Latin yang berasal dari Cuba. Ia merupakan album Bahasa Inggeris pertama beliau. Dari mana dan kenapa aku minat lagunya, aku sendiri lupa. Mungkin aku dengar di corong radio atau dari kawa-kawan sepejabat ketika itu.

Antara barang pertama lain aku beli dengan duit gaji adalah sepasang pakaian sukan 'tracksuit' berwarna putih dengan rona corak yang berbunga-bunga. Kamu perlu ingat, ketika itu tahun 1993. Putih dan corak sebegitu bukanlah sesuatu yang asing untuk dipakai seorang lelaki. Kalau tidak salah aku, ianya Sergio Tacchini dan aku beli di Plaza Bukit Bintang yang sekarang sudah ditutup untuk pembinaan MRT.

Anehnya ketika itu aku tidak ada niat untuk beli motosikal walaupun mampu. Mungkin kerana aku tidak ada lesen memandu. Atau aku tidak nampak keperluan untuk ada sebuah motosikal memandangkan aku lebih selesa menggunakan perkhidmatan Bas Mini bernombor 42 dari Seri Gombak ke Jalan Sultan Ismail setiap hari. Keluar rumah awal pagi, menunggu bas di puncak bukit di Seri Gombak SG10, Kerana aku di perhentian terawal, sentiasa mudah untuk dapat tempat duduk walaupun ada kalanya aku lebih selesa berdiri.

Waktu malam ketika pulang kerja, aku akan lalui ruang legar hotel Shang-ri La sambil menghirup aroma segar kedai roti di situ dan melihat jambangan bunga yang tersusun indah, bakal dibeli oleh sang pencinta atau kekasih gelap. Kemudian aku akan menunggu kembali Bas Mini 42 di hentian bas berhadapan dengan hotel Concorde dan Hard Rock Cafe. Malam, sudah tidak ramai orang ketika itu. Banyak karenah manusia yang aku nampak dan hadapi.

Aku sempat bekerja di syarikat broker saham itu lebih enam bulan. Selepas itu aku menyambung pelajaran di tingkatan enam. Tidak lama kemudian aku dapat panggilan ke Institut Teknologi Mara Shah Alam.

Lebih 20 tahun lalu cerita ini semua. Ianya masih dalam ingatan ini. Walapun semua barang yang aku ceritakan itu sudah tiada lagi dalam simpanan, ianya masih jadi sebuah kenangan. Kadang-kadang bila aku bersiar-siar dengan Zura dan Qaseh di kawasan sekitar tempat kerja itu, aku tunjukkan kepada mereka di mana aku pernah berjalan kaki dan menunggu bas suatu ketika dulu.

Aku sudah terlalu lama di ibu kota ini. Aku fikir tiba masa nanti, aku mahu kembali ke kampung atau keluar dari Lembah Klang. Aku tidak mahu menghabiskan sisa usia di sini. Walaupun segalanya ada di sini tetapi biarlah ianya sekadar persinggahan untuk mencari rezeki bagi aku. Aku mahu bina keluarga dan melihat anak membesar di sebuah kampung atau bandar yang jauh dari ibu kota. Kerana bila anak besar dan bekerja di ibu kota nanti, mereka ada alasan untuk pulang ke kampung berhari raya dan kami teruja menunggu mereka kembali.

14.11.14

Sijil, Cahaya Senja dan Menanti Petang

Satu lagi hari.
Satu lagi majlis.
Satu lagi sijil yang diberikan.

Mungkin harga hasil kerja ini cuma sekadar sekeping sijil. Untuk apa sijil ini, aku tidak tahu. Kalau timbunan sijil yang diterima sejak 10 tahun ini dapat membeli sesuatu, mahu saja aku jualkan semuanya. Sudah tidak ada ruang dalam fail sampul sijil untuk disimpan sekeping lagi.


Kerja yang aku buat sebenarnya memang menyeronokkan. Ada kala ianya sangat mencabar dengan karenah pengurusan yang mahukan sesuatu yang tidak masuk akal. Ada waktu ianya membosankan kerana dirasakan terlampu mudah dan tidak memberi cabaran yang sebenar.

Tapi dalam masa lain, aku sentiasa harapkan apa yang aku buat ini dapat memberi pulangan yang setimpal. Namun begitu apa yang sering aku terima adalah sekeping sijil.

Itu saja.

Seorang staf yang aku latih untuk membuat kerja-kerja reka bentuk majalah kelmarin mengeluh. Katanya kerja menghasilkan majalah bukanlah kerja yang mudah dan sangat meletihkan akal fikiran. Hakikatnya begitu. Nampak begitu mudah dengan segala software dan tools yang ada di depan mata. Tetapi untuk menzahirkan idea dari benak otak ini, memerlukan kita memerah keringat otak seboleh mungkin.

Aku sering mengadu bahawa kerja aku ini tidak mengenal masa. Ada kala lewat malam baru otak ini berjalan dengan lancar dan memuntahkan idea demi idea. Apa yang aku dapat dari kerja lewat malam untuk menyiapkan kerja pejabat? Aku tak boleh buat klaim untuk itu kerana kerja itu disiapkan di rumah.

Sekeping sijil saja.

Petang semalam aku yang masih belum pulang dari kerja, menyelak tirai jendela pejabat. Melihat cahaya senja berlabuh. Ahh... Alangkah indahnya.


Hati ini begitu damai melihat keindahan alam. Dulu ketika aku berbasikal waktu petang di Putrajaya, aku sering menunggu saat senja berlabuh. Aku mahu rakam dengan kamera. Tapi ada waktunya aku hanya duduk diam dan menikmatinya. Melihat suria berlabuh di ufuk sana. Meninggalkan hari ini dan mengejar hari esok.

Cahaya senja adalah penawar duka sepanjang hari bekerja ketika itu. Namun kini penawar ini adalah Zura dan Qaseh. Setiap penhujung hari kerja, aku tidak sabar untuk pulang kerumah. Untuk membuka pintu dan melihat Qaseh berlari mendapatkan aku.

Petang ini aku harus ke Seremban untuk mengambil mereka balik ke rumah. Sudah lebih seminggu aku tidur sendirian di rumah.