30.4.06

Flash In Your Eyes

Sepanjang minggu tak buat apa-apa. Sengaja aku mengambil rehat yang agak panjang. Aku tahu bulan Mei nanti aku akan begitu sibuk. Sejak dengar orang kata aku kena buat itu ini untuk JPN Idol peringkat kebangsaan dan pelancaran MyPR (IC Merah), aku dah berkira-kira nak test skil aku sebaik mungkin dengan flash dan efek-efek lain yang boleh aku gunakan semasa majlis tersebut nanti. Apa aku buat? Kena buat montaj, background effect dan digital effect untuk majlis tu nanti. Guna komputer. Guna Flash, SwishMax, PowerPoint (kot), dan lain-lain yang berkaitan agar majlis nampak lebih menarik dan canggih.

Dulu sebelum aku terlibat, ada seorang brader yang dianggap hebat orang semua orang di JPN tu. Dia saja yang mereka panggil untuk siapkan apa saja background di pentas bila ada apa-apa majlis. Tapi abis hebat pun dia pakai Powerpoint saja dengan segala clipart yang dia ambil dalam koleksi PC yang dia guna. Takde efek-efek khas yang dipaparkan melainkan korang sendiri pun boleh buat.

Jadi suatu hari aku datang. Aku tengok saja apa yang mereka paparkan dilayar belakang pentas. Pening aku. Macam budak sekolah punya kerja. Huruf warna warni dengan line-line yang colorful yang memang sah dibuat oleh budak darjah enam Sekolah Tamil mana ntah. Bukan nak kutuk. Tapi kalau itu nak tayang pada menteri (masa tu Azmi Khaled), aku rasa buat malu saja nanti. Jadi dengan tak malu, aku datang tengok dalam control room. Kebetulan slide PowerPoint mereka tu problem. Jadi aku offer nak tolong settlekan. Tweak sikit sana sini kemudian, Walla! Jadi. Tak pasal-pasal kena puji. Entah untuk apa, aku tak tahu. Tapi yang pasti, selepas daripada itu, aku jadi orang wajib mereka cari untuk perkara-perkara sebegitu. Maka dengan skil serba sikit yang ada, aku buatlah benda-benda yang mereka tak pernah buat. Buat background sendiri siap dengan efek 100% komputer. Mereka kagum. Apa yang susah sangat, aku fikir.

Tapi ye la, kalau korang biasa tengok slide show opis kerajaan buat, pasti korang akan tengok banyak gambar dan latar belakang yang diambil oleh digital kamera kemudian disumbat masuk dalam power point. Kira okay la. Tapi apa yang tak bestnya, gambar itu sesedap rasa mereka ubah saiz sampai kadang-kadang orang boleh jadi kurus tinggi dan leper tak tentu pasal. Dengan tambahan tulisan yang paling popular samada guna font Comic atau Times New Roman. Maka aku ubah semua itu. Aku buat backgound dengan biru lembut siap watermark logo JPN yang nampak keputihan seperti glowing. Latar tu aku efekkan lagi dengan tona nampak seperti helaian kain sedang beralun. Font, aku guna Fireworks untuk hasilkan efek emboss dan shadow yang kemudiannya dibuat efek pergerakan yang lebih tenang dan professional. Patutnya staf kerajaan yang terlibat dengan semua ini belajar atau ambil course. Baru nampak profesional dan baru nampak hebat. Jadi, Azmi Khaled suka, Dato' Ketua Pengarah JPN suka. Semua orang suka. Aku tumpang bangga. Takde la kemahiran ni dipersiakan dengan buat kerja sepanjang masa.

Maka pada pertandingan JPN Idol (pertandingan karaoke) tempohari, mereka minta aku buat efek ala Akedemi Fantasia. Ala yang benda-benda pelik bermain-main dilayar ketika mereka menyanyi tu. Ramai orang pasti tahu yang mereka cuma guna efek daripada WinAmp atau Windows Media Player untuk hasilkan semua tu. Masalahnya orang JPN yang buat, tak tahu. Jadi bila aku buat benda macam tu, mereka semua kata

"OOOooooo, senang je."

Senang je. Apa yang nak fikir susah sangat. Jadi bila hari concert, meriahlah jadinya sebab bila efek tu keluar, mata semua tertumpu kesitu. Tapi jenuh juga aku download dari internet efek-efek tu semua. Ada kalanya yang terbaik tak perlu bersusah payah nak buat. Sedikit kreativiti, dah. Jangan tunjuk hebat sangat.

Jadi, untuk JPN Idol peringkat kebangsaan nanti, aku akan guna Flash untuk buat sesuatu yang lebih menarik. Aku nak buat montaj pembukaan yang meletup-letup sampai orang ingat kami ambil orang luar nak buat semua tu. Bila tengok dalam control room nanti,

"Hek eleh, budak Idan rupanya."

Jadi aku tengah buat test version untuk orang. Tapi korang tak boleh la tengok sebab nanti korang kata aku jiwang. Hahaha.

Sebenarnya nak saja aku upload ke website aku. Tapi orang tu dah kata jangan. Siapa? Ala, sesiapa je la. Untuk makwe dia. Takkan aku nak tunjuk pada orang kot. Malu la dia. Oh ye. Link untuk ke WEBSITE AHMAD SHARIDAN VERSION 9.0 (BETA) aku letak sebelah atas kiri sana. Jemput-jemputlah tengok. Baru test.

23.4.06

Masih Ada

Sebenarnya apa yang aku fikirkan ianya telah dapat aku lupakan, rupa-rupanya masih ada dalam hati ini. Begitu sukar untuk aku lepaskan dan begitu payah untuk aku padam.

Maaf.

13.4.06

Masih Mencari

Hendak menulis lagi pasal yang sebelum ini? Tidak payah la ye. Tidak ada apa-apa yang berlaku seterusnya melainkan hanya berhubung melalui telefon. Mungkin aku dari jenis manusia yang tidak pandai berkata-kata dengan suara. Selalunya aku akan tanya soalan yang sama dan mungkin itu akan menyebabkan orang bosan. Mungkin aku dan jari-jemari aku lebih pantas melenggokkan kata-kata dengan jelas dan penuh yakin.

Sebab semuanya memang ada dalam minda. Tahu apa yang hendak diperkatakan tapi tidak tahu hendak membunyikannya. Aku rasakan begitu sukar. Takkan aku nak bercakap dengan gaya aku menulis ni. Nanti orang kata aku terlampau serius.

Kadang-kadang semasa aku tengah drive, atau aku sedang berdiri tepi pintu LRT atau sedang duduk dalam bas, otak ini begitu rakus berfikir dan membuak-buakkan idea yang begitu banyak hingga ada masanya aku akan sakit kepala dan pening. Tapi bila berhadapan dengan orang dan hendak berkata-kata, semua idea, ayat dan semangat itu hilang. Seperti,

"Ah, tak payah cakap la"

Jadi aku akhirnya menjadi bisu tanpa disumpah melainkan atas kehendak aku sendiri.

dan...

"Ah, tak payah cakap la..."

Heh!

9.4.06

Kenapa Awak Selalu Tengok Saya?

Baru tiga hari tidak menulis rupanya tapi dah rasa macam lama sangat. Tapi takde apa yang menarik nak ditulis pun. Kecuali...

Kira-kira hampir sebulan lepas, member sarapan pagi sorang ni tiba-tiba sound aku,

"Budak tu tengok engkau la Dan"
"Mana?" Dia dah berlalu, dapat tengok belakang saja berpakaian kebaya moden. Tinggi dan langsing bertudung berjalan dengan kawannya.
"Tu la engkau lambat tengok"
"Ye la tu. Siapa nak tengok aku ni?"
"Betul Dan, aku tak tipu. Dia tengok engkau!"
"Ah, biarlah dia"

Esoknya perkara yang sama berlaku.

"Dia tengok engkau lagi la Dan"
"Merepek betul dia ni. Dia tengok engkau kot. Kan ke lengan engkau tu besar!"
Member-member lain setuju.
"Dia tengok engkau tu Nawi, orang tough!"
Sama-sama ketawa.
"Aku rasa dia memang tengok engkau la Dan"
"Sukahati dia la"
Aku masih tak dapat tengok muka dia.

Hampir dua minggu berlalu, pagi tu di Cafe JPN.

"Dan, budak tu datang"
"Huh?"
"Kalau engkau tak percaya, tunggu"
"Nak buat apa?"
"Nanti dia mesti tengok engkau"
"Engkau merepek apa la Nawi"
"Tengok la"

Dia melintas...

Dia menjeling...

Aku tergamam. Betul.

"Kan! Betul dia tengok engkau Dan!"
"Hish!"
"Apa lagi Dan. Cantik tu. Adjust la"
"Dia tengok engkau tu! Orang tough. Aku kan ke gemuk?"
"Orang mana nak kira. Kalau dia dah suka, dia tak kisah"
Yang lain setuju. Abang Zul pun menyampuk.
"Okay tu Dan. Cantik. Try la"
"Tak nak la"

Esoknya perkara yang sama berlaku. Aku mula hairan. Tapi terdetik dihati ini untuk berkenalan dengan dia. Dan bertanya soalan cepu-emas.

Kenapa Selalu Tengok Saya?

Selasa, 4/4/2006. Perkara yang sama berlaku. Aku mula bertekad sejak selepas solat subuh tadi yang aku akan cuba berkenalan dengan dia.

Kemudian selepas perkara yang sama berlaku, Aku dan kawan-kawan bergerak meninggalkan Kafe JPN setelah selesai sarapan. Kebetulan dia berjalan dengan rakannya dia hadapan.

"Apa lagi Dan, depan tu je"
"Nak buat apa?"
"Tegur la dia"
Semua setuju.
"Aku bukan jenis berani macamtu"
"Rugi la engkau Dan"
Aku diam dan terus berjalan. Dia cuma beberapa kaki dihadapan. Kemudian dia dan kawannya melencong kearah kedai koperasi. Kawan-kawan dan aku berjalan terus ke lift.

"Korang naik dulu"
"Engkau nak pergi mana Dan?"
"Nak berkenalan"

Aku tekad. Aku berjalan menuju kearah kedai koperasi. Tapi dari jauh aku nampak kedai tersebut penuh dengan orang. Aku cuak. Tak berani la aku macamtu. Jadi aku berpaling dan berjalan kembali kearah lift. Aku mahu tunggu dia disitu.

Entah apa malang, tiba-tiba seorang bos yang aku kenal datang menghampiri.

"Dan, free tak?"
"Nak buat apa Encik?"
"Saya nak ajak pergi tengok kabinet besi buruk kat tingkat 6 yang nak jual tu"
Aku tergamam. Rosak program.
"Awak ada orang tak yang boleh beli besi-besi buruk tu?"
"Ada"
"Jom ikut saya naik tengok"

Kebetulan daripada itu, dia dan kawannya berlalu dan terus masuk ke lift yang telah terbuka. Aku yang jauh dari situ cuma melihat. Mungkin tak sempat mengejarnya walaupun aku dan bos juga sedang menuju kearah lift. Aku tak tahu tingkat berapa dia bekerja.

Tapi, ditakdirkan, dia sanggup pula menahan pintu lift daripada tertutup. Dia menunggu agaknya. Aku sempat naik sama. Jadi bolehlah aku tengok tingkat mana dia keluar nanti. Tapi dalam hati ini mahu saja aku tanyakan nombor telefonnya.

"Kita naik tingkat 6 terus Dan"

Tingkat 4. Lift berhenti. Dia keluar.

"Saya keluar sini sekejap encik"
"Nak pergi mana? Jom naik tingkat 6 dulu"
"Sekejap saja, ada hal. Nanti saya naik jumpa encik sana"

Serta merta aku keluar. Dia sedang buka pintu pejabatnya.

"Cik! Cik!"

Dia dan kawannya menoleh. Sekonyong-konyongnya dia terus membuat luas pintu pejabat. Mungkin dia fikir aku mahu masuk.

"Tak, Cik yang tu" Aku menunjuk kearah dia. Kawannya terus masuk.

"Boleh bagi saya nombor telefon Cik"
Dia tergamam
"Hah?"
"Nombor telefon Cik. Saya nak berkenalan"
Dia terpinga-pinga tapi masih tersenyum. Lantas terus dia keluarkan telefon bimbitnya.
"Nombor telefon pejabat pun boleh" Dia tersenyum
"Awak nama siapa"
Aku terus menarik kad tanda nama aku dekat kemuka dia.
"Ahmad Sharidan Mohd Alias" Jawabku.
"7***"
"Hah?" Aku tergamam. Tak sangka dia bagi betul-betul.
"76**"
"Terima kasih. Ooo.. Jadi awaklah Sy.. Ba.. ye?"
"Mana tau nama saya?"
"Semalam saya masuk tengok carta organisasi"
"Nak buat apa?"
"Jumpa kawan tapi sambil cari nama awak. Tak sama ye dalam gambar"
"Ye ke?"
"Ha ah, yang real lagi cantik"
Dia tersenyum.

"Terima kasih. Nanti saya call ye"
"Okay"

Maka bermulalah perkenalan aku dengan seorang yang selama ini selalu memerhatikan aku. Aku masih tidak tahu kenapa kerana dia masih tidak berterus terang.

Harapnya aku boleh kembali tersenyum.