31.12.12

Yang Terbaik

Sejak beberapa tahun lalu, aku catatkan perkara-perkara yang terbaik berlaku kepada diri ini sepanjang tahun. Tidak ada kategori spesifik sebenarnya tetapi dalam beberapa tahun ini aku sering senaraikan foto, muzik, filem dan perkara terbaik yang aku lalui, dengar dan lihat.

Inilah perkara-perkara yang terbaik pada tahun 2012

Qaseh Nurzahra
 Tidak ada yang lebih baik sepanjang tahun 2012 melainkan kelahiran zuriat pertama kami, Qaseh Nurzahra. Qaseh dilahirkan pada 1 April 2012, jam 1.45 pagi di Pusat Perubatan Universiti Malaya dengan berat 2.39kg. Beliau lahir hampir dua minggu lebih awal dari masa yang dijangkakan. Mungkin kerana Qaseh sudah tidak sabar hendak melihat dunia atau kerana Allah sudah tetapkan bahawa Arwah Ayah sekurang-kurangnya dapat melihat cucunya sebelum menghembuskan nafas dua hari kemudian.

Inilah penyeri hidup kami sekeluarga saat ini. Setiap hari adalah seperti menunggu perkara magis yang akan berlaku. Tidak ada apa yang lebih berharga dan istimewa sepanjang 2012 selain daripada ini.

Kereta Baru
Selama ini, aku dan Zura hanya memandu kereta kancil dan ianya kami fikir tidak mampu hendak memenuhi keperluan kami di masa mendatang. Maka kami bersetuju untuk membeli sebuah kereta baru dan setelah beberapa ketika berfikir dan berbincang, kami telah memilih Proton Saga FLX. Cukup buat kami berdua dan anak kami nanti. Ada sistem keselamatan seperti ABS dan beg udara, enjin 1.3 liter yang aku fikir sudah cukup sesuai untuk keperluan harian dan sekali sekala untuk berjalan jauh; balik kampung aku bercuti.

Kami tidak perlukan sebuah MPV atau kereta berkuasa tinggi. Aku tidak mahu membazir wang ringgit ke atas sebuah barang yang susut nilainya sangat tinggi. Setakat ini syukur ianya berfungsi dengan baik walaupun pernah berlaku satu dua perkara yang merisaukan tetapi harapnya tidak serius.

Filem
Tahun ini aku seperti langsung tidak ke pawagam. Aku sudah lupa filem terakhir aku tonton di pawagam. Namun begitu ada satu dua filem yang menarik perhatian aku.
Filem terbaik 2012 pilihan aku adalah The Hunger Games. Aku cuma menonton di televisyen. Tiada ulasan kerana aku sudah lupa.

Muzik
Seperti filem, aku jarang mendengar lagu baru pada tahun 2012. Aku sebenarnya aku tidak dapat membezakan mana satu lagu baru, mana satu lagu lama.

Inilah pilihan aku terbaik tahun 2012. Come As You Are yang dinyanyikan semula oleh Yuna. Sebuah usaha yang sangat baik sehingga mendapat pujian ramai orang di luar sana. Bagi aku inilah yang sepatutnya berlaku apabila seseorang penyanyi mahu nyanyikan semula lagu orang lain; nyanyikan dengan lebih baik.

Fotografi
Tanpa sedetik rasa keliru, ini. Potret pertama Qaseh Nurzahra yang sempat aku rakam pada jam 3.00 di PPUM.

Begitulah lebih kurang perkara-perkara yang terbaik pada tahun 2012 dalam hidup ini. Ianya tidak selengkap tahun-tahun sebelum ini. Mungkin kerana aku lebih menumpukan perkara yang lain.

Selamat menyambut tahun 2013. Semoga lebih mendamaikan hidup kita sepanjang masa.

26.12.12

Meredam Gelodak Jiwa

2012 hampir melabuhkan tirainya. Cuma tinggal beberapa hari saja lagi untuk dilalui, inshaAllah.

Sedikit mendukacitakan apabila blog ini kurang menyerlah pada tahun ini. Sehingga tulisan ini, baru ada 36 post yang sempat aku siarkan. Setelah lebih 10 tahun menulis blog, inilah jumlah paling sedikit sedangkan realitinya tahun 2012 ini sungguh banyak perkara yang menarik berlaku.

Tahun 2012, aku dan Zura menimang cahaya mata yang pertama, Qaseh Nurzahra. Tidak ada perkataan dapat menggambarkan perasaan kami sehingga saat ini. Setiap masa, setiap ketika adalah suatu perkara yang baru setiap kali bersama Qaseh. Aku seperti ramai orang di luar sana; tercari-cari mana perginya beberapa bulan awal Qaseh dan di dalam masa yang sama ternanti-nanti bulan yang mendatang bila Qaseh semakin besar dan matang.

Rumah sebesar 852 kaki persegi terasa begitu kecil bila ada Qaseh di rumah. setiap pelusuk seperti ada saja hendak diterokanya apabila di dalam kerusi berodanya.

Tahun 2012 juga aku kehilangan ayah tersayang, selang dua hari selepas kelahiran Qaseh. Ya, aku menyambut kehidupan baru dengan sebuah kematian. Dia adalah mentor aku dalam mendidik Qaseh. Segala sifat kasih sayangnya terhadap semua anaknya aku mahu terapkan dalam diri ini ketika mendidik dan membesarkan Qaseh.


Aku sedar, sejak Ayah pergi, aku masih belum pernah bercerita mengenai masa hidupnya. Ada banyak yang hendak diceritakan. Pengalaman dan pengajaran dalam hidup ini ketika hayat Ayah. Tetapi pemergiannya masih terasa baru dan belum hilang dari ingatan ini. Mungkin bila tiba masa nanti, inshaAllah aku akan dedikasikan sebuah post mengenai Ayah.

Tidak, ini bukan artikel terakhir untuk tahun 2012, harapnya. Ini bukan penutup. Ini sekadar meredakan gelodak di jiwa hendak menulis sesuatu di sini. Sekiranya ada kesempatan waktu, aku akan menulis lagi sebelum penghujung Disember 2012. InshaAllah.

19.12.12

Qaseh, Lapan Setengah Bulan Kemudian

Bila ada anak, macam-macam kerisauan yang timbul. Sakit sikit, risau. Kepala terhantuk lantai, risau. Menangis sikit, risau. Serba serbi risau. Aku dan Zura sudah lama tidak dapat menikmati tidur yang nyenyak. Aku lebih simpatikan Zura. Rasanya sejak ada Qaseh, beliau langsung tidak pernah lena tidur. Qaseh sehingga kini masih menyusu badan. Maka di tengah malam pasti Zura akan terjaga akibat rengekan Qaseh yang mahukan susu.


Qaseh pula sering sakit; demam, selsema dan batuk. Doktor kata itu perkara biasa dan sakitnya tidak serius. Bayi yang minum susu ibu, pada enam bulan pertama memang mempunyai daya tahan badan yang tinggi. Tetapi selepas itu daya tahan itu akan berkurang. Qaseh selepas enam bulanlah baru sering mendapat sakit. Namun begitu, setiap kali berjumpa doktor, jawapannya adalah sama. Itu perkara biasa.  Kami bukan bawa Qaseh ke klinik biasa. Kami bawa ke pakar kanak-kanak. Bayarannya jauh lebih mahal tetapi itulah pengorbanan yang kami sanggup lakukan. Kami pernah bawa Qaseh ke klinik biasa dan doktor di situ seperti kebingungan apabila merawat Qaseh. Anda ibu bapa pasti tidak mahu hadapi perkara sebegitu, bukan?


Sekarang, Qaseh sedang mengalami sakit perut. Beliau kerap membuang air besar berwarna hijau dan berlendir. Hasil pembacaan aku di Internet, simptom ini mungkin ada kaitan dengan kurang atau terlebih menyusu atau mungkin jangkitan virus. Sekarang sudah lebih 24 jam, jadi kami putuskan untuk bawa Qaseh ke klinik.

Ibu bapa mana yang tidak risaukan perihal anaknya.


Qaseh waktu sihatnya adalah seorang yang sungguh menghiburkan. Susah hendak menangis dan ada saja perkara yang hendak dilakukannya. Sekarang Qaseh sudah mula memanjat dan cuba berdiri. Aku sering sengaja berbaring di sebelahnya supaya dia dapat memanjat badan aku tanpa aku perlu risau. Rutin di rumah selalunya begitu. Pulang dari kerja, aku akan melayan karenah Qaseh sementara Zura menyiapkan makan malam atau mengemas rumah.

Kalau Qaseh menjerit, aku turut menjerit. Kalau Qaseh menjelir lidah, aku turut menjelir lidah. Kalau Qaseh menepuk-nepuk lantai, aku turut sama menepuk-nepuk lantai. Ada saja yang hendak kami lakukan bersama. Walaupun Qaseh lasak dan sangat aktif, aku selesa menjaga Qaseh ketika sihat berbanding ketika sakit. Qaseh mungkin sudah faham keadaan itu maka bila sakit, dia akan mencari tenang bersama ibunya.

Patutlah Bob, sahabat lama aku kata, bila ada anak nanti badan gemuk ini akan cepat jadi kurus. Aku masih belum kurus. Mungkin kerana aku baru hanya ada Qaseh. Bob sudah ada tiga orang cahaya mata. Tapi sekarang pun sudah terasa keletihan bila menjaga Qaseh. Dia sangat aktif!

Ya, bila ada anak ini, ibu bapa sangat mudah risau. Risaukan segalanya.

Semoga lekas sembuh dari sakit ya anak comel papa. Amin.


10.12.12

Wayang Sudah Siap

Setelah bertungkus lumus, akhirnya hasil kerja suntingan video aku siap juga.



Penat memang penat tetapi aku amat berpuas hati dengan hasilnya.

Cuma agak malang apabila pengurusan langsung tidak reti hendak menghargainya.

4.12.12

Bikin Wayang

Kebelakangan ini aku disibukkan dengan sebuah projek pejabat; menyiapkan video pendek hasil inovasi kerja di pejabat. Inilah pengalaman pertama aku membuat suntingan video sepenuhnya. Video sepanjang lebih kurang 15 minit ini akan menerangkan mengenai perkhidmatan kaunter bergerak secara online iaitu menggunakan teknologi hubungan melalui satelit untuk menjalankan urus niaga pejabat di lapangan.

Tugas utama aku adalah membuat suntingan video yang telah dirakam di lokasi tidak lama dulu. Sebelum itu aku ada tugas lain seperti merangka story-board dan juga rangka cerita keseluruhan. Boleh dikatakan penceritaan video tersebut adalah berasaskan idea aku. Tugas sutradara dan videografi diberikan kepada orang lain kerana aku tidak ada keluangan masa ketika mereka membuat proses rakaman.

Hasilnya secara jujur aku katakan aku agak kecewa dengan kualiti rakaman video. Majoriti klip video yang dirakam bergetar, bergoyang, langsung lari sudut rakaman, tidak mempunyai komposisi yang menarik serta kurang kemas. Berbekalkan klip yang telah diberikan, aku mengambil masa lebih dua minggu untuk membuat suntingan. Satu demi satu klip aku buka dan mencari di poin mana sesuai aku potong dan kepilkan ke dalam reel utama.

Sehari dua ini pula aku dan beberapa rakan lain akan membuat proses voice-over. Masalah utama yang dihadapi adalah ketiadaan tempat rakaman audio yang sesuai. Kedua, ketiadaan alat rakaman audio yang sesuai. Jalan pintas adalah menggunakan mikrofon MacBook Pro dan dirakam terus menggunakan GarageBand. Oh ya, aku membuat suntingan video menggunakan Final Cut Pro X. Aku sudah selesa dengan Mac, maka adalah lebih mudah menggunakannya daripada terpaksa belajar perisian editing lain.


 Perkara yang paling merumitkan adalah dimana aku terpaksa membuat editing menggunakan sebuah MacBook Pro berskrin 13 inci. Ada tiga buah iMac di pejabat namun ketiga-tiga buat iMac tersebut sudah terlalu berusia dan tidak mampu untuk membuat proses suntingan yang panjang. Mungkin ini satu alasan yang baik untuk aku memohon pembelian iMac baru, betul?

Orang di luar sana mungkin akan terfikir kenapa sebuah agensi kerajaan perlu membazirkan wang rakyat untuk membeli iMac untuk membuat suntingan video. Pertama, agensi kerajaan turut perlu membuat promosi terhadap aktiviti dan perkhidmatan yang mereka tawarkan. Kedua, aku beri contoh mudah; untuk hasilkan sebuah video korporat jabatan melalui pihak ketika, kosnya adalah melebihi RM10 ribu, malah mampu mencecah ratusan ribu ringgit. Kos kami hasilkan video inovasi perkhidmatan ini tidak melebihi seribu ringgit (tiada bayaran overtime walaupun aku bersengkang mata sehingga lewat malam untuk mendapat ilham membuat suntingan video). Ianya penjimatan yang amat besar.

Ini juga boleh meningkatkan daya kreativiti dan skil kakitangan kerajaan. Kemahiran seperti jururakam video, juru suntingan, sutradara dan pelakon dapat dipelajari dan dimahiri melalui projek sebegini.

Video ini akan digunakan pada 12 Disember nanti. Khamis ini aku perlu bentangkan draf pertama kepada pengurusan. Harap mereka dapat terima usaha ini tanpa banyak karenah. Aku pastikan bahawa aku tidak hasilkan video yang ekstrem moden. Ini penting jika hendak menjaga pegawai atasan yang 'berpengalaman'.

Tetapi malam ini aku mahu tidur lena. Aku perlu rehat untuk mengecas tenaga badan ini.

22.11.12

Mengenai FrossOnFire

Blog ini menempatkan tulisan aku di laman web lama yang pernah aku guna suatu masa dulu.

Freeservers adalah nama penyedia khidmat laman web di mana aku host laman web aku sekitar penghujung tahun 2000 hingga 2002. Ianya sebuah laman web, bukan blog. Maka ada info lain di dalamnya. Aku mula letak post seperti blog di dalamnya secara manual hampir setiap hari sebelum aku mengenali laman web yang menyediakan perkhidmatan menulis blog. Ianya sebuah pengalaman yang sangat menarik. Berjaga hingga lewat malam semata-mata menunggu program FTP menyudahkan proses upload fail HTML dan grafik setiap post aku.

Kemudian aku mengenali Diaryland sekitar tahun 2002. Sempat aku menulis di situ untuk sebulan dua sehingga aku menemui Blogspot dan uJournal. Walaupun aku mendaftar di Blogspot, aku cuma menulis sekali di situ pada tahun 2002. Sehinggalah aku kembali menulis balik di Blogspot pada tahun 2004 hinggalah sekarang. Sekarang Blogspot dikenali sebagai Blogger. :D

Aku banyak menulis di uJournal (www.ujournal.org). Ianya adalah cabang kepada LiveJournal. Malangnya laman tersebut ditutup secara tiba-tiba dan semua penggunanya dialihkan ke LiveJournal. Aku sempat menyambung tulis di LiveJournal tetapi sekarang LiveJournal juga sudah tidak boleh aku guna. Rugi.

Aku kumpul dan simpan catatan aku di Diaryland dan Freeservers di sini dengan harapan ianya tidak akan hilang lagi seperti dahulu.

frossonice Versi 12

Aku perkenalkan,

antara muka blog ini versi yang ke-12 untuk tahun 2012 hingga tahun 2013, inshaAllah.

Aku cuba permudahkan semuanya seboleh mungkin. Tema warnanya adalah 'blue steel'. Pembaca lama yang pernah datang ke sini pasti tahu bahawa blog ini selalunya akan berwarna biru. Versi-versi lama blog dan lama blog aku memang aku guna warna biru sebagai warna tema. Ada sekali sekala aku guna warna oren, hitam dan putih. Maklumlah aku ini seorang yang rabun warna jadi adalah lebih baik untuk aku guna warna yang selamat.

Aku guna font Enchinos untuk tajuk blog ini.

Ianya lebih lembut berbanding sebelum ini. Mungkin kerana aku sudah semakin tua. Hati pun semakin lembut.

Juga, setelah sekian lama aku buang sebarang iklan dari blog ini, akhirnya aku kembali meletakkan iklan. Jangan marah ya. Bukan terpaksa tetapi sengaja. Aku dapati bahawa jumlah audiens blog ini melebihi 10 ribu 'page view' sebulan. Banyak! Purata sehari dalam 350 page view. Itu pun aku langsung tidak pernah menulis apa-apa yang bersifat komersial. Cuma catatan peribadi. Rugi kalau aku tidak gunakan peluang ini untuk menjana sumber kewangan. Dulu aku pernah dapat sehingga seratus lebih ringgit hasil iklan di blog ini.

Maka untuk meningkatkan potensi kewangan blog ini, aku akan lebih banyak menulis mengenai hal ehwal semasa, teknologi, sains dan apa saja yang boleh menarik minat pembaca. Aku rasanya tidak akan menulis mengenai hiburan kecuali filem.

InshaAllah. Tahun hadapan adalah tahun perubahan tetapi itu cerita lain. Terimalah versi terbaru frossonice.blogspot.com. Salam damai.

9.11.12

Ubahsuai

Sudah lebih setahun aku guna Dynamic Interface untuk blog ini sebagai antaramuka utama seperti yang anda lihat sekarang. Ketika itu aku jangkakan Google dengan segala kehebatan mereka akan mampu menjadikan Dynamic Interface ini menarik dan hebat.


Setelah lebih setahun, aku sedikit kecewa dengan perkembangannya.

Jadi aku putuskan bahawa aku akan kembali menggunakan antaramuka klasik seperti dahulu. Maka buat masa ini blog ini dalam proses ubahsuaian. Harap makum. :D

2.11.12

Hujung Minggu Ini


Aku sebenarnya cukup anti dengan politik pejabat. Aku seboleh mungkin cuba elak dari terpengaruh atau terlibat dengan politik pejabat. Tambah parah kalau politik pejabat ini berlaku di pejabat kerajaan. Ianya lebih mengerikan, lebih perencah dan lebih parah.

Ada baik aku tidak terus bercerita mengenainya.

Hari ini kami sekeluarga merancang untuk balik ke Kuala Kangsar. Satu untuk menjenguk emak kerana Aidil Adha tempohari kami tidak pulang ke kampung. Keduanya, emak kata ada majlis kenduri saudara di Taiping. Jadi ada juga alasan untuk pulang ke kampung.

Kenapa tidak balik sewaktu Aidil Adha? Seingat aku, inilah tahun ke lima aku tidak balik berhari raya korban. Bukan apa. Suasana Aidil Adha sebenarnya hampir tidak wujud di Kuala Kangsar, atau lebih spesifik di rumah aku di kampung. Solat sunat Aidil Adha dan itu saja. Ada sedikit makan dan orang menziarahi rumah. Selebihnya kami duduk bersantai saja.

Kemudian, dalam waktu terdekat itu juga aku perlu menghadapi sebuah program besar di pejabat dan aku harus menyiapkan tugas yang agak banyak. Aku sudah mohon keizinan dari emak untuk tidak pulang di Aidil Adha dan akan menggantinya di hujung minggu ini. Okay, kata emak.

Bagus juga. Sekurangnya hampir setiap minggu emak tidak kesunyian di rumah. Ada anaknya yang balik menziarahi beliau. Aku tidak boleh balik selalu seperti orang lain. Aku ada komitmen keluarga di Kuala Kangsar dan juga Kuala Kedah. Aku perlu adil juga untuk Zura dan keluarganya. Walaupun tidak balik ke Kuala Kedah, kadang-kadang keluarga Zura datang ke Kuala Lumpur untuk menziarahi kami dan saudara mereka yang lain.

Semenjak kehadiran Qaseh juga, kami jarang meluangkan masa di hujung minggu di luar. Kami lebih selesa berada di rumah bermain dengan dan melayan karenah Qaseh. Itu saja waktu yang kami ada untuk bersama Qaseh seharian. Qaseh nampak gembira bila kami dapat meluangkan masa bersamanya di hujung minggu. Masa untuk keluarga kecil kami ini adalah penting. Sekali sekala aku akan telefon emak bertanya khabar. Selalu juga emak menelefon aku. Aku fikir beginilah. Aku mahu sediakan talian telefon berbayar atas nama aku untuk emak. Tidak mahal mana pun. Jadi tidak perlulah emak beli top-up setiap masa untuk berbual dengan anak dan cucunya. Aku mahu carikan sebuah telefon berkamera 3G untuk emak juga. Telefon sekarang cuma telefon biasa. Tempohari Zura ada belikan emaknya telefon begitu dengan harga yang sangat murah; sekitar RM300 saja. Mungkin masih ada.


Emak sifatnya hampir sama dengan ibunya sendiri. Suara lembut dan juga sangat lembut hatinya. Walaupun cerewet, tetapi cerewetnya hanya untuk perkara yang perlu dan fikirkan betul. Apabila melihat emak, aku terkenangkan arwah tok perempuan Gerik. Sifat mereka saling tidak ubah, memang sama. Sebab itu aku sedikit risaukan keadaan emak. Tok perempuan Gerik dulu setelah kematian Tok lelaki, kesihatannya mula berkurang dan sifatnya menjadi semakin pendiam dan kurang bermaya. Aku risau emak juga akan jadi begitu. Memendam rasa.

Nasib ada dua tiga orang adik yang tinggal berhampiran dengannya. Merekalah yang boleh diharap untuk menjaga emak buat masa ini. Aku ada perancangan sendiri juga. Jika diizinkanNya, dalam masa 5 tahun aku mahu pulang ke kampung atau sekurang-kurangnya tinggal dekat dengan emak dan keluarga Zura. Mungkin antara Kedah dan Perak. Jadi perjalanan ke Kuala Kedah dan Kuala Kangsar tidak terasakan jauh seperti sekarang. Aku akan usahakan, inshaAllah. Zura juga sependapat dengan aku.

Aku rasa cukup lebih 20 tahun aku di Lembah Klang. Aku mahu suasana damai dan selesa untuk kami sekeluarga dan untuk anak aku membesar dengan lebih baik. Semoga dipermudahkan segala urusan.

1.11.12

Qaseh & Kerja

Hari ini, 1 November 2012, Qaseh Nurzahra sudah berusia 7 bulan. Rasanya seperti sekelip mata beliau membesar sebegitu cepat. Setiap hari ada saja perkara baru yang kami sedari mengenai Qaseh. Malam tadi dalam keadaannya yang sedang selsema, Qaseh mengeluarkan bunyi-bunyi manja dari mulutnya. Itu pertama kali kami dengar dan terasa sedikit aneh.


Pagi tadi ketika sedang bersiap, Qaseh memanggil mamanya. Sekurang-kurangnya itu yang aku dengar,

"mama... mama..."

Namun begitu, Qaseh sedang selsema dan ianya agak serius. Sebenarnya, sepanjang tujuh bulan ini, hanya beberapa kali saja Qaseh dilanda masalah kesihatan. Pertama kali demam pada usia tiga bulan. Sekali lagi demam sebulan dua lalu dan ini kali kedua Qaseh selsema. Syukur juga kerana Qaseh diberi susu ibunya saja. Mungkin itu menyebabkan antibodi Qaseh lebih kuat.

Cuma selsema kali ini agak lama. Sudah hampir dua minggu. Sehari dua ini lebih serius dengan selsema mengalir kerap sepanjang masa. Zura akan sedut selsema Qaseh menggunakan alat penyedut. Itulah, jika anda di sana kurang selesa menyedut hingus anak, anda mungkin boleh cuba alat penyedut hingus, seperti dalam gambar di bawah ini,



Harganya juga murah dan senang dibawa ke mana-mana. Kami juga mencuba krim herba yang disapu di bahagian hidung Qaseh. Harapnya berkesan. Amin.

Kerja-kerja besar aku di pejabat untuk tahun ini secara rasmi sudah selesai apabila berakhirnya Sambutan Hari Inovasi jabatan semalam. Penghujung tahun yang sungguh memenatkan. Tidak pernah otak ini diperah begitu rupa demi menghasilkan yang terbaik. Banyak juga perkara baru yang aku belajar melaluinya. Banyak juga pengajaran untuk hidup ini.




Ada satu lagi tugas yang perlu aku siapkan, sebuah video promosi. Pertama kali aku sunting video, inshaAllah. Harapnya aku dapat hasilkan yang terbaik. Namun begitu, hasil rakaman luar yang dibuat oleh krew sedikit mengecewakan. Tidak mengapalah. Aku cuba buat setakat yang mampu.

Tiba masa untuk bercuti-cuti Malaysia! Destinasi kami sekeluarga nanti adalah ke Cameron Highlands. InshaAllah. Semoga dipermudahkan segala urusan.

17.10.12

Kembali!

Sudah hampir dua bulan aku tidak menulis di sini. Kekangan kerja dan hal-hal lain menjadi alasan kenapa. Sukar hendak mulakan kembali kalau sudah lama tinggal. Aku tidak tahu dari mana atau apa yang hendak aku ceritakan. Kalau difikirkan, ada banyak tetapi mana satu yang perlu aku dahului?

Apa pun, ini ringkasannya.

Qaseh Nurzahra kini berusia lebih enam bulan. Lebih spesifiknya, 6 bulan, 17 hari. Qaseh sudah boleh meniarap dan berpusing sana sini. Sudah sering tersenyum dan ketawa dengan setiap interaksi kita dengannya. Sudah pandai mengambil hari papa dan mamanya dan sudah pandai merajuk dan mencari helah terhadap sesuatu yang tidak disukainya.


Qaseh juga sudah mula diberi makan bubur nasi dan makan-makanan lain. Itu perkara yang paling disukainya. Makan. Jika tidak berhenti disuap, dia tidak akan berhenti makan. Apa saja mahu disumbat ke dalam mulutnya. Sambil menonton televisyen, dia akan menggigit sesungut atau jemari patung ulat beluncas kegemarannya.


Kerja aku sekarang juga lebih terancang. Aku sudah kembali membuat kerja-kerja grafik melebihi kerja lain. Mungkin pengurusan sudah nampak apa sebenarnya kelebihan aku. Rugi kalau dibiarkan saja. Jadi kerja lebih selesa walaupun pada hakikat sebenar, ianya menjadi lebih sibuk dan tertekan. Hari-hari berlalu begitu pantas dan setiap hari bila pulang dari kerja, badan dan otak terasa begitu letih. Kepuasan bekerja mungkin.


Zura sedang dalam proses bertukar kerja. Pertama kali dalam masa lebih 10 tahun. Ya, aku rasa cukup lebih 10 tahun di syarikat sekarang kerana langkahnya seperti sudah tersekat dan tidak boleh maju lebih jauh lagi. Syarikat baru nanti menjanjikan peluang yang lebih besar dan menguntungkan. InshaAllah. Apa pun, aku doakan yang terbaik buat isteri tercinta.


Kami tidak mencari kesempurnaan. Kami mencari kedamaian dan kebahagiaan.

Seterusnya menyusul nanti.

3.9.12

Penjara Bangsa


Kita masih dalam bulan kemerdekaan, ya?

Tahun ini paling kurang aku terasa untuk menyambut atau menghayatinya. Punca paling jelas adalah apabila kemerdekaan dipolitikkan dan ditukar menjadi agenda untuk meraih sokongan secara politik. Tiada lagi nasionalisme atau patriotisme. Tinggal cuma politisme yang cenderung menjadi fasis dan sempit.

Perpaduan kaum juga semakin luntur. Kita boleh hitung detik dalam sehari berapa lama kita berinteraksi dengan kaum selain dari kaum kita sendiri secara mesra, layaknya seperti sahabat karib. Kalau ada yang melakukannya, mungkin ianya terlalu sedikit. Aku tercari-cari bagaimana hendak disuburkan semangat perpaduan kaum jika saban hari di media dan perbualan rakyat berbaur perkauman.

Aku tidak faham obsesi manusia dengan kaum. Aku tidak faham obsesi manusia dengan ras dan etnik. Ini kerana apa yang aku nampak cuma manusia, sama saja antara satu lain. Tidak ada kaum yang lebih tinggi nilainya dari kaum yang lain. Nilai manusia terletak pada individu itu sendiri, bukan pada kaum apakah seseorang itu berasal.

Segala ketakutan atau kerisauan mengenai masa depan kaum adalah tidak lebih daripada sengketa politik yang diwujudkan oleh pemain-pemain politik demi untuk mereka terus bergayut di dahan yang mereka berdiri sekarang.

Sebelum anda berkata aku tidak faham keadaan, biar aku bawa anda balik 25 tahun dahulu. Aku tidak kenal apa itu bangsa, ras, perbezaan dan sengketa kaum. Aku cuma kenal mereka yang bernama Sudhir, Singh, Prem, Wong, Teoh dan beberapa orang lain lagi. Aku pasti mereka juga tidak kenal sengketa kaum. Kami bermain bersama, berkongsi makan, tolong menolong dan melakukan apa saja bersama. Tidak pernah terdetik di hati bahawa suatu masa nanti mereka ini akan memijak-mijak kepala sahabat mereka yang lain. Tidak pernah.

Ketika aku berumur 14 tahun, aku terdampar di sebuah institusi pengajian menengah yang pelajarnya 99% melayu dan selebihnya bumiputra Sabah dan Sarawak. Itu pun apabila diketahui bahawa mereka penganut agama kristian, aku tidak sedikit pun mempedulikan keadaan itu. Agama tidak bertujuan untuk bermusuh sesama manusia.

Kami diajar mengenai bangsa, semangat bumiputra khususnya melayu, walaupun bumiputra Sabah dan Sarawak pun ada di waktu yang sama. Kami diajar menyanyi lagu Warisan dan jujur aku katakan, ada waktunya air mata ini mengalir ketika menyanyikan lagu tersebut. Bukan kerana politik, tetapi lebih kerana memikirkan nasib bangsa yang terpinggir dalam banyak segi.

Ironinya, di institusi pengajian sebegitu, ada tenaga pengajar yang bukan bumiputra turut mengajar dan mereka tetap berdedikasi mendidik anak bangsa tanpa sekilas persepsi negatif.

Apabila aku ditawarkan belajar di ITM (UiTM sekarang), aku sedari sekali lagi bahawa institusi ini juga khusus untuk bumiputra sahaja. Maka, sepanjang hampir 10 tahun, pergaulan aku hanya dengan mereka yang sebangsa dengan aku. Tempat ini juga mengajar aku mengenai semangat dan patriotisme bangsa.

Bila keluar dari kepompong, aku bekerja di sebuah kilang kertas di Port Klang milik majoriti bangsa Cina. Ada cuma beberapa orang pekerja berbangsa melayu di situ; seorang di bahagian kejuruteraan, seorang di bahagian stor, seorang di bahagian kualiti (aku) sebelum aku menarik masuk seorang lagi sahabat aku dan seorang di bahagian pemasaran. Itu yang aku ingat. Apa yang aku nampak, mereka ini sangat disenangi oleh majikan kerana dedikasi kerja mereka.

Aku pernah bekerja di tapak projek pembinaan yang di bawah terik matahari dan debu berterbangan sana sini. Tidur di rumah yang sama dihuni oleh pekerja cina dan Bangladesh. Aku perhatikan suatu perkara. Mereka berdedikasi dengan kerja mereka. Mereka tahu itu jalan hidup mereka yang perlu mereka tempuhi.

Aku sebenarnya keliru. Sejak bila kita menjadi terlalu obses dengan bangsa hingga menyebabkan sengketa kaum kembali berbunga. 20 tahun lalu ketika bekerja di sebuah bank sementara menunggu keputusan SPM, aku tidak pernah ditanya atau dipersoalkan mengenai hak istimewa orang melayu oleh ramai bukan melayu yang bekerja di sekeliling aku. 12 tahun lalu juga aku tidak alaminya. Tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini aku ditanya soalan sebegitu.

Ketahuilah, aku bencikan rasisme dan paling benci manusia yang terlalu mengagungkan bangsa. Bangsa Arab dan Yahudi itu bermula titik yang sama. Sejarah dan agama memperlihatkan dengan jelas bagaimana manusia ini dari asal kejadian adalah satu bangsa yang sama. Tidak ada yang lebih agung atau lebih hebat berbanding yang lain.

Selagi Malaysia ini dibelenggu dengan semangat bangsa dan patriotisme sempit, selagi itu Malaysia ini ibarat kereta semput. Tidak mampu bergerak lancar kerana rakyatnya masih berfikiran remeh. Jangan jual kepada aku cerita nasib bangsa akan tergadai atau tiada lagi kuasa di tangan kerana itu sebenarnya hanya permainan politik cetek dan bebal.

31 Ogos, tarikh keramat kita merdeka tetapi malangnya, kita masih dibelenggu dengan penjara bangsa yang sempit dan tidak bertingkap.


28.8.12

Aidil Fitri Di Dua Kuala

Tahun ini pertama kali aku beraya di perantauan, jauh dari kampung halaman. Tidaklah jauh mana, sejauh Kuala Kedah saja. Rumah mertua. Ikut 'turn' seperti yang aku dan Zura rancangkan. Nasib baik juga perjalanan menghala ke Kuala Kedah perlu melintasi Kuala Kangsar terlebih dahulu. Maka, sebelum hari raya, aku singgah di Kuala Kangsar menziarahi ibu.

Qaseh & Opah
Qaseh yang pada mulanya merengek apabila didukung oleh opah, lama kelamaan menjadi biasa dan senang bergurau senda dengan opahnya. Syukur. Sekurang-kurangnya terubat hati opah melihat cucunya.

Bersama Zura & Qaseh di Kampung Sematang, Kuala Kedah
Tidak ada bezanya beraya di Kuala Kedah dan Kuala Kangsar. Rutinnya tetap sama. Solat sunat Aidil Fitri, maaf memaafi dan kunjungi saudara mara sebelah Zura. Cuma istimewanya tahun ini kami berdua menerima begitu banyak sampul duit raya!

Terima bagi pihak. :D

Qaseh Berhari Raya
Ratusan ringgit duit raya Qaseh sudah diamanahkan oleh Zura kepada aku untuk disimpan di dalam bank. Buat masa ini kami masih menggunakan akaun bank aku yang aku sendiri tidak gunakan. Biar di situ sehingga umurnya enam bulan. Mungkin selepas itu kami akan laburkan ke dalam amanah saham untuk masa depan Qaseh. Ya, sudah ada seribu ringgit lebih. Banyak sungguh duit untuk seorang bayi berusia hampir lima bulan. Terima kasih kepada yang sudi menghadiahkannya.

Kami di Padang Besar, Perlis
Aku tidak hanya beraya di Kuala Kedah. Kami sekeluarga menziarahi saudara mara sehingga ke negeri Perlis dan sempat kami singgah di Padang Besar di hari ketiga Aidil Fitri. Seronok berjalan ke sana sini di hari raya. Kalau di Kuala Kangsar, aku pasti akan terdampar di rumah tanpa arah tujuan. Bukan apa, hendak ziarah sahabat lama, ramai yang sudah terputus hubungan. Hendak ziarah saudara, mereka ada dekat saja di Kuala Kangsar dan Gerik. Tambahan pula jenis aku yang anti-sosial, makin susah hendak aku ke mana-mana.

Namun kerana aku sudah berkeluarga, aku perlu buang sifat anti-sosial aku dan rajin-rajinkan diri mengunjungi saudara mara. Kalau di Kampung Sematang, Kuala Kedah, satu persatu rumah di sepanjang jalan kampung kami ziarah. Kebetulan tahun ini, hampir setiap rumah menyediakan laksa Kedah dan air oren. Mungkin mereka berpakat. Bila tiba di rumah ketiga, aku sudah tidak mampu hendak menjamah apa-apa lagi.

Hari keempat Aidil Fitri, aku bergerak ke Kuala Kangsar untuk sambung beraya di sana dan seterusnya menghadiri majlis perkahwinan sepupu. Sempat juga aku sekeluarga menziarahi pusara Ayahnda. Hati begitu tenang melihat pusaranya. Aku pasti beliau sangat damai di sana.


Anugerah
Aku belajar banyak perkara. Kehidupan ini tidak mungkin akan sempurna seperti yang kita mahukan. Tetapi ianya cukup sempurna buat momen-momen yang kita lalui biarpun suasananya perit, sedih atau derita. Apa yang ada di sekeliling kita adalah anugerah dan hanya dengan izinNya kita dapat menikmati semua itu. Setiap saat kita lalui ini telah dirancangNya sesuai dengan kehidupan kita biarpun keadaannya tidak seperti yang kita mahukan. Maka bersyukurlah kita sentiasa.

Aku tidak dapat bayangkan jika di sepanjang garis hidup ini, aku diberi jalan yang lain. Memikirkannya  sambil menatap wajah insan tersayang, aku pasti akan berasa hiba. Maka apa yang ada di tangan ini, cukuplah buat aku. Aku mensyukurinya kerana aku tahu itulah yang terbaik buat aku.

Dalam kesempatan ini, masih belum terlambat untuk aku mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin buat anda semua.

7.8.12

Tak Kenal Maka Tak Cinta

Kadang-kadang bila kita duduk di kalangan orang yang kita tidak kenali, kita curi dengar apa yang mereka bicarakan. Bukan hendak menjaga tepi kain orang atau menyibuk tak tentu pasal, cuma ada kalanya apa yang mereka bicarakan sesama mereka itu menarik dan menyentuh hati kita.

Tempohari di pintu surau pejabat, aku terdengar perbualan dua sahabat mengenai komputer Apple. Bila dengar saja Apple atau Mac atau OSX, telinga cepat saja jadi kuali untuk menangkap apa yang dibicarakan.

Lebih kurang begini;

"Mac ni kalau nak buat grafik atau design okay la... Power."
"Aku nak guna main games dan buat kerja lain je."

Mungkin persepsi ramai orang terhadap Mac adalah begitu; Mac untuk grafik dan design, Mac adalah uber-cool atau Mac adalah mahal.

Apple IIe
Aku secara serius menggunakan Mac sejak 2006. Aku kenal Mac sudah lama, sejak 1989 di maktab. Ketika itu ada Apple IIe di makmal komputer. Kemudian sekali lagi aku diperkenalkan dengan Mac pada penghujung kurun lalu. Aku terkial-kial untuk mengendalikannya kerana sudah terlalu biasa dengan komputer berperisian operasi Windows.

Pada tahun 2006, aku dijemput oleh seorang pegawai untuk bertukar ke bahagian beliau, khusus ditugaskan untuk menghasilkan buletin, laporan dan dokumen bercetak jabatan. Pada mulanya, aku terpaksa menggunakan komputer sendiri untuk menghasilkan buletin jabatan kerana komputer yang dibekalkan oleh pejabat tidak mampu menanggung beban grafik dan prosesan yang tinggi.

Pada ketika hendak mencetak hasil kerja, aku ditugaskan untuk memantaunya di Percetakan Nasional. Bila di sana, aku lihat di bilik kerja mereka deretan Apple MacPro dan iMac yang digunakan untuk menghasilkan buku, poster, majalah, laporan dan lain-lain. Bila aku tanya kenapa gunakan Mac, jawab mereka mudah. Mac sangat stabil dan cukup berkuasa untuk mengendalikan grafik dan prosesan yang tinggi.

Balik saja dari sana, terus aku laporkan kepada pegawai bagaimana di kilang percetakan, mereka menggunakan Mac untuk kerja-kerja mereka. Atas dasar itu, beliau bersetuju dan aku ditugaskan untuk menguruskan hal mendapatkan sebuah Mac bagi kerja-kerja yang aku lakukan.

Apple iMac (Plastik Casing)
Pada pertengahan 2006, datanglah sebuah Apple iMac berskrin 20" berbadan plastik polimer. Itulah Apple Mac yang pertama di pejabat ini. Aku ambil masa cuma sehari untuk memahirkan diri mengendalikannya dan sebulan untuk benar-benar boleh menguasai sepenuhnya selok belok sebuah iMac, termasuk perisian grafik yang aku guna seperti Adobe Photoshop, Illustrator dan InDesign.

Apple iMac (aluminium) di Workstation aku sekarang.
iMac yang ada di depan mata aku sekarang adalah iMac generasi kedua yang dibeli pada tahun 2007 sebuah projek khas ketika itu. Sehingga hari ini, iMac ini masih beroperasi dengan cukup baik walaupun tanda-tanda 'tua'nya sudah nampak. Aku cuma menambah 1GB RAM untuk meningkatkan prestasinya sedikit. Tidak pernah diserang virus, tidak pernah ada skrin biru dan tidak pernah menimbulkan masalah serius.

Itulah sebenarnya keupayaan Mac. Lebih lima tahun selepas ianya dibeli, Mac ini masih mampu menjalankan kerja-kerjanya dengan mudah tanpa menimbulkan masalah. Aku pernah masukkan games Sid Meier Civilization IV dan Maxis Simcity 4 di sini dan ianya berjalan dengan lancar.

PhotoBooth tahun 2006.
Mac sebenarnya bukan sekadar grafik, design, uber-cool dan mahal. Ianya lebih daripada itu. Ianya sebuah stabiliti yang sangat dicemburui oleh pengguna Windows. Ianya sebuah pelaburan yang sangat berbaloi. iMac ini berharga lebih kurang RM4,700 ketika ianya dibeli pada tahun 2007. Setelah lebih lima tahun, kos operasi sebenar sekadar RM950. Tidak perlu risau hal virus atau sistem operasi yang tergendala. Tidak perlu perisian dan peralatan tambahan semata-mata untuk memastikan ianya masih lagi mampu untuk beroperasi dalam masa dua tiga tahun dari sekarang.

Aku sekadar tersenyum mendengar perbualan mereka. Jelas mereka belum cukup tahu mengenai Apple Mac.

25.7.12

Jalan Damai

Artikel sebelum ini aku menceritakan bagaimana aku harus mengorbankan salah satu minat aku iaitu menonton filem di pawagam setelah kehadiran cahaya mata dalam hidup ini. Ianya sebuah pengorbanan yang wajar.

Jambatan di Tasik Raban, Lenggong, Perak
Satu lagi minat aku adalah 'merayau-rayau' di hujung minggu. Aku kata 'merayau' kerana selalunya aku akan memandu kereta tanpa merancang destinasi terlebih dahulu. Aku ikut gerak hati ke mana saja aku mahu pergi ketika itu. Berbekalkan sebuah kamera, aku merakam saat-saat dalam perjalanan dan juga tempat di mana aku berhenti.


Taman Tasik Taiping.
Ianya cukup mendamaikan dan membuka luas pandangan mata ini ke sudut yang tidak pernah aku tahu ianya wujud sebelum ini. Ya, aku lakukan semua itu berseorangan, tanpa teman. Aku lebih selesa begitu kerana aku tidak perlu risaukan kehendak dan keadaan orang lain ketika itu. Aku tidak mahu orang lain terbeban dengan perjalanan yang sedang aku lalui ketika itu.

Kereta yang banyak berjasa membawa aku ke sana sini.
Bila kali terakhir aku melakukannya? Sukar hendak aku ingat kembali bila. Mungkin sebelum aku mengenali Zura. Beberapa tahun lalu. Hidup ini ketika itu tanpa arah tujuan. Hidup ini sekadar hanya untuk ketika itu saja. 

Jalan dari Sungai Pelek ke Sepang.
Aku rindukan saat-saat begitu. Saat duduk di sebuah restoran makanan segera di pekan terpencil sambil membaca majalah dan menyambut hari lahir sendiri. Atau berjalan-jalan di gigi air di tepi pantai asing sambil merakam suasana, manusia dan alamnya. 

Pantai Klanang, Banting.
Aku tidak merasa hidup ini bosan. Aku sangat gembira sekarang dengan insan tersayang di sisi dan cahaya mata yang begitu menghiburkan setiap saat, setiap ketika. Aku cuma berasa kosong kerana rindukan alam dan liku-liku jalan yang aku lalui. 

Pantai Bagan Lalang, Sepang.
Bila Qaseh sudah besar sedikit dari sekarang, inshaAllah aku akan lakukan kembali bersamanya dan Zura. Aku mahu berkongsi pengalaman dan perjalanan dengan mereka. Aku mahu bawa mereka ke tempat jauh dari hiruk pikuk bandar di hujung minggu dan nikmati suasana damainya. Aku mahu mereka tahu bahawa alam ini begitu indah untuk dihargai dan dinikmati. 

Destinasi pertama, Cameron Highlands. InshaAllah.

20.7.12

Salam Ramadhan


16.7.12

Selangkah Demi Selangkah - 4

Hidup ini perlu ada pengorbanan. Ada perkara perlu kita lepaskan pergi demi sesuatu yang lebih bermakna.

Sudah dua bulan lebih aku tidak menonton filem di pawagam, suatu perkara yang paling aku suka lakukan sejak dulu lagi. Membaca review dan menonton trailer membuat hati berdetik dan tersentuh. Betapa dalam masa setahun hidup ini berubah dan berlalu begitu pantas. Mungkin buat masa ini aku masih terasa kehilangan nikmat itu. Lama nanti rasanya semua itu tidak akan dikisahkan lagi.


Aku yakin hidup ini lebih gembira dan damai sekarang.

Malam tadi ketika di atas katil sambil melihat si Qaseh lena di antara aku dan Zura, aku tersenyum. Biarlah segala perkara lain itu aku terlepas dan terpaksa tinggalkan. Aku ada si kecil ini yang menemani gelak tawa dan ceria hidup aku sekarang. Melihat Qaseh membesar sehari demi sehari merupakan suatu anugerah dan rakaman nostalgia hidup yang penuh bermakna. Penuh cerita-cerita baru yang selama ini aku tidak tahu akan aku laluinya nanti. Melihat si Qaseh lena dalam mimpi-mimpinya, aku berbisik kepada Zura,

"Comel anak kita, ya..."

Seterusnya aku sambung lagi,

"Cepatnya dia membesar. Sedar-sedar nanti dia dah setahun. Tiba-tiba dia dah besar."


Aku juga terkenangkan arwah Ayah. Sedar tidak sedar, sudah lebih tiga bulan ayah meninggalkan kami. Aku masih ingat suatu ketika dulu, aku bermain-main di bawah meja kerja ayah di rumah sambil ayah sibuk menyiapkan lukisan pelan. Ayah tidak kisah aku bermain-main di bawah mejanya. Aku tahu sepanjang hidupnya, ayah adalah seorang yang penyayang dan sangat suka menghiburkan hati anak-anaknya. Walaupun dia tidak berikan kemewahan hidup seperti orang lain, dia tetap berikan kasih sayang.

Aku harap aku boleh berikan yang terbaik buat Qaseh seperti ayah pernah berikan kepada kami sekeluarga. Aku tahu ada ketika hidup ini bukan senang. Aku tidak nampak ayah mengeluh kecewa kerananya. Malah beliau berusaha lebih gigih untuk memastikan keluarganya setiasa bahagia. Aku perlu jadi begitu juga, malah lebih.


Aku mahu apabila Qaseh dewasa kelak, dia tahu bahawa sewaktu kecilnya dan sepanjang waktu beliau membesar, dia sentiasa dikasihi dan diberikan yang terbaik. Tidak sempurna tetapi cukup sedaya mampu aku dan Zura.

InshaAllah.

9.7.12

Selangkah Demi Selangkah - 3


Cinta hati ini. Ada kalanya tulisan tidak dapat menggambarkan suasana. Hujung minggu yang dilalui terasa begitu damai kerana ada Zura dan Qaseh. Walaupun ada bibit-bibit sukar yang terpaksa dilalui kami, ianya merupakan suatu pengalaman dan pengajaran yang terbaik buat kami.

Kira-kira jam 2.00 pagi, Sabtu tempohari, aku dan Zura dikejutkan dengan tangisan Qaseh. Semakin lama semakin kuat. Pujukan tidak diendah, susu tidak dijamah. Apabila dipegang, kepala Qaseh terasa panas membahang, sementara tangan dan kakinya sejuk. Segera aku ambilkan termometer digital dan merakam suhu badan Qaseh. 37.9 darjah Celsius. Tinggi.

Mulanya aku fikir mungkin kerana kesejukan. Namun tangisan yang tidak berkesudahan membuatkan kami kurang senang. Segera aku merujuk info online mengenai simpton yang sedang dihadapi Qaseh. Ya, seperti yang diduga, Qaseh demam. 2.00 pagi dan si kecil ini demam. Apa yang harus dibuat?

Zura cuba sedaya upaya memujuk Qaseh, namun rengekan dan tangisannya tetap berterusan. Aku ke dapur mengambil sehelai tuala kecil dan bekas berisi air sejuk lalu kami lapkan di kepala Qaseh. Sepanjang malam sehingga ke pagi, tangisan mengisi kesunyian. Nasib ada ibu mertua yang turut sama membantu. Itulah hari terakhir ibu mertua bersama kami setelah sebuah membantu kami menyesuaikan diri dengan kehadiran insan kecil di rumah.

Awal pagi, kami terus mencari klinik yang sudah dibuka. Sukar hendak memeriksa Qaseh yang sedang meraung kesakitan. Doktor seperti panik dengan apa yang sedang dihadapinya. Qaseh tidak pergi ke klinik yang biasa kami bawanya kerana masih ditutup. Selepas mengantar ibu mertua ke Pudu Sentral, aku dan Zura mengambil keputusan untuk ke klinik yang biasa kami pergi untuk merawat Qaseh. Kami berasa lebih lega apabila mendengar nasihat dan tunjuk ajar dari doktor tua di situ. Beliau sangat bijak berdiplomasi. Kami tidak diberi ubat, sebaliknya diberi tunjuk ajar bagaimana hendak meredakan demam Qaseh.

Balik ke rumah, Qaseh diberi mandi air suam, dipakaikan baju nipis berlubang. Zura berusaha tidurkan Qaseh yang keletihan sambil aku pasangkan kipas untuk menyejukkan Qaseh.

Syukur kepada Tuhan. Setelah petang, suhu badan Qaseh semakin menurun dan beliau sudah mula mampu tersenyum dan ketawa di hadapan kami. Walaupun dibekalkan ubat dari klinik pertama, kami tidak menggunakannya. Kami dinasihati untuk cuba menurunkan suhu badan Qaseh secara semulajadi menggunakan angin sejuk. Aku memantau dari semasa ke semasa suhu Qaseh dengan termometer. Kami juga memantau najis dan air kencing Qaseh bagi memastikannya tidak ada simptom sakit yang lebih serius.

Hari Ahad, Qaseh sudah kembali gembira dan mampu bermain dan menikmati masa santainya. Pengalaman dan pengajaran buat aku dan Zura. Bukan mudah untuk menghadapinya buat pertama kali. 


Syukur kehadrat Ilahi.

5.7.12

Selangkah Demi Selangkah - 2


Kita sentiasa mencari kesempurnaan dalam hidup ini. Itu pasti. Dalam masa yang sama kita sebagai seorang Muslim sentiasa membatasi sempurna itu dengan kata-kata,

"Tiada yang sempurna dalam dunia ini..."

Sempurna itu di mata yang menilainya. Setakat mana hendak kita letak sesuatu itu dan jika ianya tercapai, maka sempurnalah ia buat kita. Itu pendapat aku.

Apabila merancang bagaimana hendak membesarkan Qaseh di dunia ini, aku rancangkan sesuatu yang sempurna buat si comel itu. Aku mahu dia perolehi apa yang terbaik di sepanjang masa. Mustahil tetapi itulah realitinya. Aku seboleh mungkin mahu cuba mencari dan memberikan yang terbaik. Terbaik buat aku dan Zura, biar di mata orang lain nampak sebaliknya.

Aku biarkan Qaseh tanpa stokin, tanpa dibedung dan pakaian yang nipis sepanjang hari. Apabila bertemu ramai orang, persoalan pertama mereka pastilah bertanya kenapa Qaseh tidak dipakaikan stokin, sarung tangan atau dibedung. Aku cuba memberi jawapan sebaik mungkin, secara diplomasi agar mereka faham rasionalnya. Ada ketika mereka terima. Ada yang tidak.

Ianya berkaitan dengan resam. Perbuatan yang biasa dilakukan sejak lama. Jika ianya tidak sama dengan resam, ianya nampak pelik dan aneh. Segala rasional resam itu sebenarnya berseuaian dengan keadaan dan persekitaran. Contohnya, kenapa tidak diberi Qaseh pakai stokin dan sarung tangan. Resam mengatakan ianya berfungsi untuk mengelak terjadinya 'angin' dan kesejukan. Secara saintifiknya fungsi stokin adalah untuk memanaskan atau mengekal haba kerana jari kaki dan tangan adalah bahagian runcing di badan manusia yang paling mudah menerima haba keluar dan masuk.

Seorang doktor pakar kanak-kanak yang aku temui apabila dibawa Qaseh bertemu dengannya, beliau menanggalkan semua pakaian Qaseh (ketika itu kami selimuti Qaseh dengan lapisan pakaian dan blanket), termasuk stokin dan sarung tangan. Kami bertanya kenapa. Jawabnya,

"Baby panas! You bagi dia pakai baju berlapis dan blanket dan stokin, baby terasa panas dan dia tidak selesa".

Bayi akan kehilangan banyak air dalam badan akibat daripadanya. Apabila itu berlaku, bayi perlu minum susu lebih kerap semata-mata untuk mengganti air yang hilang dari badan mereka. Stokin dan sarung tangan juga sebenarnya menghalang haba di tangan daripada keluar. Akibatnya tangan akan berpeluh dan lama kelamaan kulit menjadi rosak. Itu ulasan saintifik seorang doktor. Malah lebih dari itu, beliau menasihati aku agar memasang penghawa dingin di rumah.

Bukan aku terima bulat-bulat apa yang doktor katakan. Cuma ada logiknya dalam beberapa perkara. Setelah Qaseh diberi pakaian yang nipis, tidurnya lebih nyenyak terutama pada waktu malam. Tidur malam Qaseh sangat menyenangkan kami. Syukur.

Aku lebih suka jika orang tidak mencemuh pilihan yang aku buat. Kita tidak perlu mendesak orang lain buat apa yang kita faham dalam resam hidup kita. Mungkin orang lain ada cara lain yang difikir lebih baik atau sesuai.

Semalam Qaseh sudah mula meniarap. Baru permulaan. Ianya suatu perkembangan yang sangat menarik dalam hidup ini. Ada gunanya tidur mengiring yang kami terapkan kepada Qaseh. Beliau dengan mudah dapat memusingkan badannya untuk meniarap. Cuma beliau masih belum mampu mengangkat kepalanya lagi. Sedikit demi sedikit, inshaAllah.

Aku dan Zura berbual sepanjang masa dengan Qaseh. Aku berbicara dengan Qaseh sehingga beliau terlena di atas pangkuan hampir setiap malam. Aku dapati Qaseh sangat senang apabila orang berbicara dengannya. Ini masa yang sesuai untuk semua itu.

Syukurlah dunia sekarang ada Internet. Bahan bacaan dan rujukan bagaimana teknik dan tips mendidik dan membesarkan anak ada di dalamnya. Aku ambil sana sini dan aku gabungkan ikut kesesuaian.

Semua ini bukan suatu perkara yang mudah. Tetapi aku dan Zura akan cuba memberikan yang terbaik buat Qaseh, inshaAllah.

4.7.12

Tapi Bagaimana



Tapi Bagaimana - Spider

Kau buat ku teruja

Kau buat ku tertawa

Terbit rasa tersembnyi beku
Hingga rasa cemburu seperti
Pasangan kekasih yang hangat bercinta



Dan tak sanggup berpisah
Walau hanya sekejap

Aku sangat merindui kau

Senang sekali kau ada

Tapi bagaimana ku kata padanya
Dia yang ada seperti tiada

Dengan dia cinta jadi sebuah ritual
Haruskah aku kejam demi rasa

Tolong lepaskanku dari sengsara ini

Dia bukan tak cantik
Dia bukan tak baik
Hanya kekosongan yang ada
Di sudut hatiku tak bisa diusik

Hingga cinta jadi kematu

Tiada yang nak gaduh

Tiada yang nak tentang

Hingga rasa menjadi kering kontang

Tapi bagaimana ku kata padanya
Dia yang ada seperti tiada

Dengan dia cinta jadi sebuah ritual

Haruskah aku kejam demi rasa

Tolong lepaskanku dari sengsara ini

Tapi bagaimana ku kata padanya
Dia yang ada seperti tiada

Dengan dia cinta jadi sebuah ritual

Haruskah aku kejam demi rasa

Bagaimana harus ku kata padanya
Dia yang ada seperti tiada
Dengan dia cinta jadi sebuah ritual

Haruskah aku kejam demi rasa
Tolong lepaskanku dari sengsara ini

25.6.12

Demi Qaseh


Qaseh seorang bayi yang aktif dan penuh tumpuan. Bila dibiarkan di hadapan televisyen, beliau akan memerhatikan segala pergerakan di kaca TV dengan penuh minat. Kadang-kadang reaksi tubuh badannya begitu aktif.

Aku sedari, untuk mendidik dan membesarkan seorang seperti Qaseh, aku sendiri perlu sihat walfiat, bertenaga dan 'fit'. Aku tahu masa mendatang kelak beliau akan mahukan lebih daripada aku. Beliau akan berlari ke sana sini dan aku perlu mengejarnya dan menjaga langkahnya. Beliau akan mahu mengayuh basikal  dan aku perlu ada di sisinya. Beliau akan sentiasa mahu melompat ke sana sini dan bermain sepanjang masa, maka aku perlu bersedia secara fizikal dan mental untuk semua itu.

Dalam keadaan aku sekarang, mustahil.


Dalam keadaan sekarang, aku terlalu 30 kilo terlalu gemuk untuk itu semua. 30 kilogram!

Aku tertanya-tanya dalam diri ini, bagaimana boleh aku buang 30 kilo itu dari badan ini? Kalau tidak 30 kilo, bagaimana hendak buang 20 atau sekarang 10 kilo buat permulaan ini? Ada sahabat yang mencadangkan aku mencuba minuman Alpha Lipid, sejenis minuman soya kesihatan.

Doktor menasihati aku supaya menjaga pemakanan dan buat senaman sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari. Rejim itu aku mahu buat. Doktor beritahu, permulaan itu sangat menyukarkan dan mencadangkan aku agar mengambil cuti seminggu untuk memulakannya. Sebolehnya aku mahu ikut apa yang doktor cadangkan. Tetapi cuti seminggu? Mustahil.

Jadi, sudah ada dua perkataan mustahil dalam 4 perenggan. Maknanya aku sendiri yang mencari alasan, rasanyalah.

Demi Qaseh, azam ini akan aku lunas...

21.6.12

Sebuah Lenovo

Setelah sekian lama, aku telah membeli sebuah laptop baru bagi menggantikan MacBook Pro aku yang dicuri.

Aku memilih Lenovo model G470 dengan prosesor Intel i5, 8GB DDR3 RAM, 500GB kapasiti simpanan, skrin saiz 14 inci dan Windows 7 Home Premium. Harganya agak berbaloi dengan spesifikasi yang ditawarkan.


Kenapa tidak MacBook? Pertama, harganya di luar perancangan bajet aku. Kedua, aku mahu main games. Satu masalah dengan produk komputer jenama Apple, sukar hendak ditemui software yang sesuai untuk digunakan. Ketiga, aku rasa ianya lebih sesuai untuk keluarga aku berbanding produk lain.

Cukuplah laptop ini.

====

Sambungan.

Antara software yang aku install adalah Adobe CS5 khususnya untuk suntingan video. Aku rasa menggunakan Apple Final Cut dan Motion bukan sesuatu yang sukar. Aku fikir Adobe Premier dan After Effect juga boleh dipelajari sedikit demi sedikit.

Sebab itu jugalah aku perlukan 8GB memori. Lebih besar lebih bagus tetapi laptop ini hanya menghadkan sehingga 8GB sahaja. Aku sedikit risaukan kemampuan prosesor tetapi dalam bajet yang ada, setakat ini saja yang boleh aku laburkan. Seperti yang aku katakan, kalau boleh aku mahu beli sebuah MacBook Pro. Ianya sangat mudah digunakan, stabil dan kurang masalah. Tetapi buat masa ini, cukup sekadar laptop sederhana ini.

Apa kekurangannya? Paling aku terasakan kekurangannya adalah 'backlit keyboard' seperti yang terdapat pada MacBook Pro. 


Apa benda backlit keyboard? Ini dia,


Kalau ada backlit keyboard pada laptop, senang sikit nak menaip dalam gelap. Tidaklah kita mengganggu orang lain. Ada penyelesaiannya; lampu LED menggunakan sambungan USB. Leceh.

Seterusnya, tidak ada butang kawalan bunyi tersendiri menyebabkan kita terpaksa menekan butang 'Fn' terlebih dahulu.

Selain daripada itu, aku berpuas hati dengan kemampuan dan kualiti Lenovo G470 setakat ini.