28.2.09

Mengubah Cara Berfikir

Sebenarnya, apabila orang berceritakan perkara-perkara mistik, begitu lambat aku hendak mempercayainya terus. Pertama, aku lihat orang yang menceritakannya (kalau dia sendiri yang menghadapinya). Aku lihat watak mereka dan fahami pemikiran mereka. Kemudian, berdasarkan cerita mereka, aku bayangkan keadaan yang berlaku dan apa yang sebenarnya mungkin berlaku.

Aku bukanlah tidak mempercayai perkara mistik. Aku cuma  tidak terus mempercayainya dengan hanya berdasarkan cakap dan keluhan orang. Aku cuba menjadi rasional dan berfikiran lebih logik kerana selalunya cerita mistik lebih bersifat tidak rasional dan logik.

Bukan juga aku tidak pernah hadapinya. Sejak dari kecil aku pernah hadapinya. Malah kalau kamu hendak fikir mengenai cerita-cerita aku, kamu juga akan menghadapi masalah untuk menerima rasional dan logik aku.

Ada waktu, ketika memandu dan melalui kawasan-kawasan sunyi, hati menjadi berdebar dan seram sejuk. Atau ada kalanya seperti terlihat sesuatu sekilas pandang. Itu semua pernah aku hadapi.

Cuma aku lebih bersifat rasional dan logik. Dulu, semasa di Shah Alam, aku menyewa sebuah rumah berhampiran dengan sungai Klang (Padang Jawa). Sewaktu malam ketika tidur, beberapa kali aku seperti lemas ditindih sesuatu. Atau begitu biasanya orang kata, kita ditindih sesuatu. Aku kaji balik cara aku tidur. Pertamanya, dalam keadaan terlentang. Keduanya, bantal terlalu tinggi dan ketiganya, tidur di dalam keadaan panas dan berselimut (zaman aku tidur dalam apa jua keadaan pasti berselimut, sekarang tidak lagi). Secara teknikal, tidur keadaan begitu sudah menyebabkan kita tidak selesa. Tambahan pula ketika aku aku juga sedang hadapi masalah berat badan.

Secara teorinya, aku fikir ruang penafasan aku terbatas kerana rongga ditutup akibat cara tidur aku. Kemudian aku tidur mengiring dan memasang kipas.

Selesai masalah.

Memanglah aku tidak nafikan ada yang betul-betul ditindih atau apa juga keadaan yang menyebabkan ada makhluk halus yang mengganggu manusa. Namun ada juga keadaan sebenarnya diakibatkan oleh kesilapan dari segi teknik dan juga kecuaian manusia sendiri. Akibat terlalu percaya dengan perkara mistik, kita mudah mengaitkan sesuatu yang berlaku dengan perkara mistik. 

Percayalah, manusia ini jauh lebih bijak dan lebih kurang dari yang kita sangka. Lebih hebat dari yang kita ketahui selama ini. Kalau kita masih terbelenggu dengan andaian kelemahan akibat gangguan makhluk halus dan lain-lain perkara yang mistik, kita sebenrnya masih tidak kemana. Itu sebabnya Mastika dan lain-lain tabloid mistik amat popular dalam budaya kita. Apabila kita membacanya, kita akan serba sedikit mempercayainya. Kita bayangkan dan kita letak konsep "gangguan makhluk halus" dalam diri kita dan secara tidak sedar, kita dipengaruhinya.

Seperti anjing, loceng dan makanan (Kamu cari sendiri kajian sains tersebut dan apa sebab aku tulis begitu). Atau seperti mengayuh basikal. Kamu berlatih dan kamu mahir. Namun setelah lama kamu tidak melakukannya, kamu tetap masih percaya dan yakin kamu boleh mengayuh basikal. Kerana ingatan kamu berfungsi sebegitu.

Betul ada perkara mistik. Cuma kadang-kadang kita perlu membezakan mana satu mistik dan mana satu realiti. Ingat, manusia ini adalah bijak, lebih kuat dan lebih tegar daripada yang kita sangka.


Home Of The Cougars

Hariman, sahabat semasa di Maktab dulu mengirim gambar ini kepada aku tempohari. Baru hari ini aku berkesempatan untuk membuka dan melihatnya.



Aku tenung gambar ini beberapa ketika. Memerhatikan detail pada gambar ini. Mulanya aku ingin menulis mengenai ayat "Home Of The Cougars". Cougars adalah gelaran bagi pasukan ragbi maktab, pasukan senior. Pasukan junior pula dikenali sebagai Foxes (zaman aku dulu). Pernah juga pasukan kami bercadang untuk menukar nama gelaran pasukan kepada nama lain. Antara nama yang aku masih ingat untuk dicadangkan adalah "Assault". Pelik juga nama gelaran begitu tapi mungkin kerana zaman itu, Thrash Metal sedang hebat mempengaruhi minda.

Pencapaian terbaik zaman aku dulu (1989 - 1992) adalah mendapat tempat ke-3 peringkat negeri. Sayangnya, medal tersebut sudah hilang dari koleksi aku.

Kemudian aku perhatikan lebih lama gambar ini. Apa yang sebenarnya aku cari? Pertama, melalui peta yang terpapar di papan tanda ini, aku masih boleh ingat setiap bangunan yang ada. Aku juga masih ingat lokasi papan tanda ini. Tepi padang berhampiran yang mana dulu pelajar selalu berlatih softball dan hoki. Ada cerun tepi padang yang menjadi tempat lepak setelah penat bersukan. Namun aku dapati ianya agak lapang sekarang berbanding dulu.

Akhirnya aku dapat jawapannya. Ini bukanlah persoalan daripada Hariman yang menghantar gambar. Ini persoalan aku sendiri. Aku sedari sesuatu dan aku bandingkan dengan sekolah serta institusi pendidikan di negara barat.

Betul juga apa yang beberapa orang yang meninggalkan komen di blog ini tidak lama dulu. Selepas tamat belajar di maktab, kebanyakkan bekas pelajar sama ada terus mengasingkan diri dari maktab atau terasa terasing dengan maktab. Tiada bonding melainkan Ansara yang terlalu besar dan secara jujur aku fikir, ianya agak politikal. 

Aku pasti ada antara bekas pelajar yang sekarang sudah bergelar jutawan atau punyai aset yang cukup banyak. Mungkin mereka tiada ruang atau tidak nampak peluang, masih belum aku dengar ada antara mereka yang memberi sumbangan kepada maktab dalam apa bentuk. Mungkin membekalkan makmal komputer maktab dengan peralatan komputer tercanggih atau membekalkan perpustakaan dengan stok buku yang mencukupi. Sama ada aku belum pernah dengar atau tiada yang memberitahu.

Tidak mengapalah. Cuma, sepatutnya ada "avenue" yang lebih khusus untuk bekas pelajar memberi sumbangan balik kepada maktab. Mungkin, mana tahu suatu hari nanti aku mahu sumbang apa-apa kepada maktab, aku perlu tahu bagaimana dan cara yang terbaik untuk melakukannya tanpa ianya nampak seperti ada kepentingan peribadi atau lain-lain yang boleh menyebabkan MACC datang jumpa aku.

Persatuan Alumni agak kurang berkesan rasanya. Mungkin ada jalan yang lebih baik supaya manfaat boleh dirasa oleh pelajar yang ada sekarang dan masa akan datang. Mungkin kamu boleh fikirkan.

26.2.09

Bahasa Melambangkan Bangsa

Mungkin, cuma mungkin ada yang fikir gaya penulisan aku adalah berbelit dengan susunan ayat yang agak aneh. Kalau ambil periksa Bahasa Malaysia, aku takkan lulus. Aku tidak peduli.

Kenapa?

Kerana inspirasi aku adalah buku-buku lama. Kamu bacalah sendiri dan kamu cuba lihat baris-baris ayat yang tertulis. Kenapa berbelit-belit dan ada sesetengah ayat yang begitu panjang. Aku rasa gaya penulisan lama adalah lebih bersifat ayat perbualan berbanding sekarang yang lebih bersifat ayat untuk menulis. Susun atus ayat penulisan sekarang menyebabkan penulisan itu menjadi bosan untuk dibaca. Tiada ayat yang kita perlu baca dua tiga kali semata-mata untuk memahami apa yang cuba dimaksudkan oleh penulis. 

Aku tidak menyukai penulisan yang skema. Aku suka membuat orang berfikir bagaimana aku boleh timbulkan ayat sebegitu. Aku cuba, tetapi tidak selalunya berjaya. Kalau dahulu penulis boleh menulis prosa klasik dengan susunan bahasa yang aneh dan berbelit-belit, kenapa kita tidak boleh lakukan sekarang? Kenapa semua perlu jadi mudah? Biar manusia tentukan hala tuju penulisan dan bahasa. Sedang sastera kita sendiri masih baru, apa hak kita untuk menghalang sesetengah kita berfikir dengan cara yang berlainan.

Namun, kita bukan boleh sesedap hati menulis dengan gaya penulisan yang berbelit semata untuk menunjuk hebat. Susah juga kalau orang langsung tidak faham dengan apa yang kita tulis.

Begitu pun, aku percaya setiap manusia ada kebolehan untuk menulis dengan baik atau sekurang-kurangnya mampu menghasilkan sesuatu yang bagus.

Kalau aku masih mengelirukan kamu, aku mohon maaf.

Kembali Dan Tidak Pernah Pergi

Kalau kamu cuma duduk dan melihat wajahnya sambil bibirnya bercerita, kamu jadi leka dan... bahagia. Bukan kerana apa yang diceritakan itu berkaitan dengan diri ini, ianya lebih kerana sudinya hendak berkongsi sesuatu dengan aku. Itu cukup membuat aku senang hati dan amat-amat gembira.

Ketika itu, aku tutup telinga, bisukan mulut dan pejamkan mata untuk apa saja selain dia. Aku abaikan dunia, walau hanya untuk seketika waktu. Kamu pasti cemburu melihat tumpuan aku sebegitu. Namun kerana begitulah aku sebenarnya, maka aku tidak pedulikan apa orang lain fikir mengenainya.

Lagipun, bukan setiap hari dan setiap masa kamu dapat menikmati suasana begitu. Malah, mungkin kerana kebetulan, aku punyai ruang untuk menikmatinya. Sekiranya ruang itu tiada, maka yang aku dengar hanya sunyi dan rasa berseorangan.

Entah kenapa juga, biar bagaimana cara aku cuba biarkan saja dan "try to let it go", namun bila dihadapannya, aku lupa. Aku buat-buat lupa mungkin.

Dan siang tadi adalah waktu dirinya yang amat indah. Hingga aku katakan begitu kepadanya.

Ya, dia kembali. Sebenarnya dia tidak pernah begitu jauh. Cuma kerana faham keadaan dirinya, aku tidak mahu mengganggu dan menyusahkannya. Lebih baik aku biarkan saja ruang yang luas antara aku dan dia sebagai ruang lapang untuk diri sendiri. Begitu juga untuk dia, harapnya. Aku bukan jenis manusia yang suka mendesak, jadi rasa ianya bukanlah masalah.

Namun, tiada lagi cerita-cerita yang bersambung. Aku sudah letih untuk menyambungnya. Sekali sekala kalau ada ruang antara aku dan dia bertemu, aku akan ceritakan setakat yang perlu... dan sudah semestinya untuk menghargai dia.

24.2.09

Seperti Biasa, Artikel Komputer

Bila membaca cerita-cerita di blog Wan08, aku terkenangkan sesuatu. Antara perkara yang diceritakan beliau adalah mengenai pengalaman memasang PC dan membeli komponen barangan PC di Low Yat dan mungkin Plaza Imbi.

Lebih 10 tahun dulu, itulah perkara yang sama aku lakukan dengan seorang sahabat, Bob. Namun dulu, yang ada cuma Plaza Imbi. Setiap hujung minggu pasti akan sesak dengan manusia mencari komputer, software (sudah tentu cetak rompak) dan lain-lain barangan elektronik. Ada juga terselit sebuah kedai menjual alat permainan kawalan radio.

Ketika itu, mereka yang pergi boleh dikatakan ramai lelaki dan bermuka geek. Jarang ada awek yang akan pergi beli barangan komputer. Itu tidak menghairankan lagi sekarang. Kalau lihat di Plaza Low Yat, ramai perempuan yang datang membeli komputer, laptop dan lain-lain barangan elektronik. Malah, mereka juga sudah pandai tawar menawar harga.

Aku yang selalu pergi sampaikan tokey kedai sudah kenal dan tahu apa yang aku mahu. Itu ketika aku sedang seronok dengan kerja memasang komputer tempahan orang. Ada waktunya dulu memang aku tidak jujur dalam berurus niaga. Aku minta maaf. Maklumlah, tiada kerja dan mahukan wang. Pesanan berharga RM2000, aku siapkan dengan komponen yang berharga cuma RM1300. Memang murah kerana barangannya juga berkualiti rendah.

Bila aku beli dan pasang untuk diri sendiri, aku sedari sesuatu. Aku mahukan yang terbaik dan pulangan maksima dengan setiap sen yang aku keluarkan. Semenjak dari itu, aku keberatan untuk memenuhi permintaan orang untuk memasang komputer. Sekarang, aku tidak mahu melakukannya lagi. Kenapa?

Pertamanya, ianya takkan menguntungkan aku. Malah pada awal aku sedar, aku beli komponen komputer dengan harga yang sepenuhnya dengan modal yang diberikan pelanggan dan aku bawa pulang komponen itu untuk dipasang dengan teksi yang aku bayar dengan duit aku sendiri. Bodoh bukan? Namun kerana mahukan pelanggan dapatkan pulangan terbaik, aku sudah tidak pandai untuk membelok sana sini untuk mengaut untung.

Jadi lebih baik aku berhenti saja dan cuma memberi khidmat nasihat dan bantuan teknikal sekiranya ada yang memerlukan. Lama kelamaan skil yang ada, pudar. Bukan langsung tidak tahu, cuma agak terlalu kekok.

Lagipun, aku terlalu mementingkan kualiti. Kalau kamu lihat aku memasang komputer, ianya sama seperti kamu melihat orang melukis. Perlahan, lembab dan membosankan. Jadi aku tidak pasangnya lagi. Aku mahu guna saja.

Kini, setiap kali orang datang meminta nasihat, pertama, kalau ada duit yang cukup, aku akan suruh beli komputer jenama Apple. Kalau tidak, beli saja laptop. Pilihan membeli desktop adalah pilihan terakhir dan kiranya mahu juga desktop, aku akan berikan spesifikasi yang agak mahal kerana aku mahu mereka guna untuk jangka masa yang lama.

Sering juga aku sarankan mereka ke Tomshardware.com kiranya mahu mengetahui lebih lanjut hal PC atau website berkaitan. Aku sekarang tiada masa untuk memasang komputer. Cuma ada beberapa nasihat aku;

  1. Fikir dulu sebelum beli. Beli untuk apa. Kalau untuk memudahkan kerja dan kamu aktif di luar, beli laptop. Kalau kaki games dan sentiasa mahu main games yang terkini, beli PC dengan harga tidak kurang RM2500 (sebenarnya kad grafik dan prosesor pun ada yang lebih mahal dari harga ini). Lebih berbaloi.
  2. Kalau kamu ada lebih RM5000, beli Apple. Selesai masalah. Tamat cerita, tutup komputer. Tido.
  3. Kalau kamu upah orang pasang sendiri komputer dan dia membelinya di Low Yat atau di mana-mana kedai komputer, ingat, jaminan komponen barangan adalah berbeza antara satu sama lain. Jaminan HDD tidak sama dengan jaminan RAM. Begitu juga jaminan mouse tidak sama dengan jaminan keyboard. Masing-masing ada jaminan sendiri, bukan jaminan menyeluruh. Maka, kalau satu barang rosak, kamu cuma boleh/boleh tukar barang tersebut saja mengikut tempoh masa jaminan. Jadi, pastikan apa jaminan yang kamu dapat untuk setiap komponen PC kamu. Kalau orang beri kamu jaminan menyeluruh, maknanya dia beli set tersebut siap pasang pada harga yang lebih rendah dan kemudian jualnya kembali pada harga yang lebih mahal. Bukan senang hendak menjamin tau tak.
  4. Begitu juga dengan software (perisian). Kadang-kadang orang keliru bila diberitahu komputer yang dibeli telah sedia dipasang Sistem Operasi (OS) Windows dan lain-lain.  Kalau original, kamu akan nampak sticker atau sekurang-kurangnya diberikan kotak beserta CD OS tersebut yang mengandungi nombor siri dan lain-lain maklumat. Sekurang-kurangnya ada buku panduan. Kalau kamu dapat juga CD yang kamu lihat lebih kurang sama dengan CD filem cetak rompak, memang sah itu CD cetak rompak.
  5. Juga ingat, Cuma ada tiga versi Windows XP yang original. Windows XP Home, Windows XP Professional dan Windows XP Media Center Edition. Windows XP Black, Blue, Green dan lain-lain yang bertemakan warna adalah palsu. Lagipun, lebih baik dapatkan Windows Vista daripada memasang Windows XP yang berpura-pura menjadi Vista. Microsoft tidak pernah membuat versi itu. Kalau kamu sanggup sabar sikit, Windows 7 akan keluar tidak lama lagi.
  6. Juga berkaitan dengan perisian. Sebenarnya kamu ada hak dan kamu boleh nyatakan kepada pemasang perisian apa yang kamu mahu. Kalau kamu mahu Norton Antivirus, dan bukan AVG, kamu patut dapat Norton. Kalau kamu kata kamu mahu Nero Burner, mereka patut install Nero Burner, dan bukannya burner lain yang kadang-kadang pemasang sendiri tidak reti guna. Dan percayalah, ada sesetengah pemasang yang selalu install software mengikut citarasa mereka semata-mata. Sebab itu selalu juga kamu hadapi dan lihat software yang kamu tidak fikir kamu akan guna atau mahu guna. Ianya membazir ruang HDD kamu, malah RAM kamu sekiranya software tersebut sebenarnya berfungsi secara senyap di belakang.
  7. Jangan risau dengan soundcard kerana hampir kesemua motherboard baru sudah memang tersedia dengan soundcard. Situ kamu boleh jimat sekurang-kurangnya RM30 atau biasanya RM100. Kalau masih juga tidak puas hati dan telinga kamu cuma boleh dengar bunyi yang terbaik, maka belilah kad bunyi (soundcard) yang lebih mahal.
  8. Ada beberapa teknologi yang masih baru dan mahal tetapi bakal menjadi lebih popular di masa akan datang. Jadi pastikan komponen asas kamu sekurang-kurangnya boleh berfungsi dengan barang teknologi baru ini. Contohnya RAM DDR3 yang jauh lebih efisien dan pantas, SSD atau Solid State Disk yang bakal menggantikan HDD biasa. SSD tiada komponen bergerak menyebabkan ianya lebih jimat penggunaan tenaga dan mungkin, lebih pantas. Blue-Ray disk masih tidak diperlukan sehinggalah ada manusia yang boleh crack "kunci" Blue-Ray. Lain-lain, sila rujuk Tomshardware atau portal LowYat.net.
  9. Rancang jangkamasa penggunaan komputer yang kamu mahu beli. Berapa lama kamu akan guna komponen yang sama sebelum, mungkin kamu beli baru. Lebih lama, maka lebih mahal kos barangan yag kamu perlu beli.
  10. Akhirnya, seperti kata aku sebelum ini, lihat peluang untuk beli Apple. Kamu takkan rugi dengan Apple.
Itu serba sedikit. Penting; fikir, tanya, kira dan evaluasi sebelum membuat keputusan.

Nafisah Zahirah


Maaf, aku sebenarnya tidak adil dengan si kecil comel ini. Sepatutnya sudah lama aku letakkan gambar comelnya di blog ini berbanding gambar-gambar lain.

Inilah Nafisah Zahirah, anak Aliah. Masih di dalam inkubator menunggu waktu si kecil ini sihat sepenuhnya dan boleh menjalani warna-warna kehidupan seperti orang lain, InsyaAllah.

Lahirnya tidak cukup bulan. Mungkin tidak sabar untuk melihat dunia ini. Mungkin kerana ibunya juga tidak sabar melihat si comel ini. Tidak mengapa. Setiap makhluk di dunia ini tidak sabar juga untuk bertemu dengan si comel ini. 

Doalah semoga dia menjadi insan yang baik pekerti dan amalnya.

Sebaliknya

Sebelum menulis, aku buka iTunes. Tekan play kemudian skip dan terus skip sehingga aku temui lagu yang sesuai dengan mood aku untuk menulis. Adalah sepanjang aku skip aku akan temui pelbagai genre lagu yang kadang-kadang kalau dengar sesaat, boleh menghilangkan terus mood aku untuk menulis.

Seperti tadi sebelum menulis ini.

Takpelah, aku tulis juga.

Kamu tahu, kelmarin aku lalui tarikh hari lahir aku. Ramai juga memberi ucapan selamat baik yang menelefon, menghantar sms, mengirim emel, meninggalkan komen di blog ini dan juga di Friendster serta Facebook. Malah ada yang menghadiahkan aku sebiji kek walaupun aku tidak dapat sentuh dan merasanya. Tidak mengapa. Semua itu amat aku hargai. Mungkin tahun ini, hari lahir aku lebih meriah dari sebelumnya. Tidaklah sebegitu sunyi seperti tahun-tahun lalu.

Cuma...

Ada tiga orang insan yang aku tunggu kiranya sudi untuk mereka ucapkan selamat kepada aku walau apa jua cara. Hari ini sudah hari kedua berlalu. Tiada sepatah kata dari mereka. Tiada secebis berita. Kerana dalam hidup ini, mereka adalah insan-insan yang begitu dan sentiasa aku hargai. Hingga sekarang dan seterusnya, mungkin.

Bukan cara aku untuk merajuk dan marah. Paling jelas yang boleh aku tunjukkan adalah mood aku tidak begitu ceria dan aku lebih banyak berdiam diri. Itu saja. Menjelang petang tadi, aku sudah kembali tersenyum dan mampu bergurau.

Siapa mereka? Mereka adalah insan yang mungkin menganggap aku tiada siapa di sisi mereka. Itu saja. Kamu fikir aku mahu bersedih mengenainya? Tidak perlu. Aku sudah letih untuk melakukannya. Ianya takkan membawa apa-apa makna pun.

Jangan bersimpati ya. Sesungguhnya bukan itu tujuan aku.

Mungkin aku semakin faham hidup ini. Kalau orang sudah tidak sudi, berhenti menghampiri. Biarkan saja mereka berlalu. Jalan mereka begitu jauh berbeza dengan aku.

Semoga damai selalu hidup kita.

23.2.09

Selama Ini Kamu Pandang Rendah, Lihat Sendiri Dan Bandingkan

Kelmarin aku install Google Earth di laptop. Entah kenapa sejak beli, aku lupa install Google Earth sedang perisian ini adalah perisian yang aku suka.

Kemudian aku menjenguk ke negara jiran, Indonesia, spesifik lagi, ke Pulau Sumatra. Tidak boleh tidak apabila kita melihat nama-nama tempat di peta Google Earth, kita akan terpanggil hendak mengesahkan bahawa teori asal usul orang melayu kita memanglah dari sana. Tidak mustahil kerana sejak ratusan tahun dulu sebelum kepulauan melayu ini dijajah oleh negara-negara barat, ianya merupakan kawasan bebas untuk orang-orang kepulauan berpindah randah.

Tetapi itu bukan cerita yang hendak aku tulis. Melalui Google Earth, aku klik link Wikipedia mengenai bandar-bandar dan daerah serta negeri yang terdapat di Indonesia. Suatu yang menarik aku perhatikan adalah setiap bandar besar terutamanya ibu negeri, ibu daerah, daerah dan negeri di Indonesia mempunyai capaian portal web masing-masing yang aku fikir lengkap dan teratur.

Ianya langsung tidak sama dengan bandar-bandar, apatah lagi daerah dan negeri di Malaysia. Portal web bandar, daerah dan negeri di Malaysia adalah amat-amat mengecewakan. Malah ada antara bandar besar yang langsung tidak mempunyai portal khusus bandar tersebut walaupun aku pasti bandar ini jauh lebih maju dari yang terdapat di Indonesia.

Apa masalah sebenarnya? Kenapa di Indonesia, organisasi awam begitu terbuka dan rapat dengan penggunaan internet sebagai medium sebaran maklumat sedang di Malaysia ini yang begitu gah menunjukkan kehebatan Koridor Raya Multimedia, hendak bina laman web sebuah bandaraya pun amat susah? Kalau ada, contohnya Kuala Lumpur, ianya tidak lebih daripada laman web korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Dalamnya mengandungi lebih banyak maklumat mengenai DBKL daripada KL sendiri.

Portal web kerajaan tempatan (bandar, daerah, negeri) di Malaysia juga lebih bersifat politikal. Kalau tiada gambar menteri besar, ADUN dan ahli parlimen, memang tak sah laman web tersebut. Kalau laman web yang sama di Indonesia, gambar VIP yang selalu terdapat di laman web mereka adalah samada gabenur atau pemerintah. Itu saja. Aku masih belum jumpa maklumat politik. Laman web mereka lebih terbuka dan umum.

Paling menarik mengenai laman web kerajaan tempatan di Indonesia adalah kerana mereka menceritakan asal usul tempat itu, budaya, kependudukan, ekonomi dan potensi yang terdapat di kawasan tersebut seperti pelancongan dan perindustrian. Jarang sekali ada maklumat mengenai cara-cara hendak mengampu ahli politik.

Itulah, di Malaysia ini, kita terlalu taksub dengan politik hingga serba-serbi perbuatan kita mesti berkait dengan politik, termasuk urusan kerajaan tempatan. Hinggakan perkara mudah seperti asal usul nama, contohnya bandar Di Raja Kuala Kangsar pun tidak pernah ada lengkap dalam portal kerajaan tempatan Kuala Kangsar. Jenuh juga aku mencari, tetapi ianya tidak lengkap dan lebih bersifat tangkap muat. Kalau kamu bandingkan dengan penulisan yang sama mengenai asal usul bandar di Indonesia, mereka turut sertakan dengan kajian sejarah yang menyeluruh. Kita ada buat ke?

Mungkin ahli sejarah kita masih sibuk mencari punca keretakan hubungan kaum di Malaysia. Masih mencari bukti (yang sudah jelas terbuka di depan mata) untuk membuktikan orang lain salah.

Kalau benarlah situasi teknologi maklumat di Malaysia ini, kita sebenarnya begitu jauh ketinggalan berbanding dengan Indonesia, negara yang sering kita pandang rendah kerana kemiskinan mereka. Miskin mereka pun, mereka lebih kaya maklumat dan usaha-usaha untuk menonjolkan diri di internet.

Kita? Kita masih merungut talian internet Streamyx monopoli yang lembab tahap siput baaa...

Contoh:



Buat malu je sama orang Indonesia.

22.2.09

Birthday Cake!



Rupanya aku dapat juga birthday cake! Walaupun virtual, tapi ini kek real yang seorang sahabat belikan untuk aku. Cuma, aku tak dapat rasa.

Terima kasih. Aku amat menghargainya.

Dari Sini, Kesana dan Kembali

Aku mulakan perjalanan hari ini tanpa arah tujuan. Aku terus memandu kerana aku terasa ingin memandu. Mengambil seperti kata-kata Forrest Gump bila ditanya wartawan kenapa beliau berlari tanpa henti selama lebih tiga tahun, jawabnya mudah,

"I just felt like running..."

Begitu juga aku hari ini,

"I just felt like driving..."

Melepasi Putrajaya dan Cyberjaya, aku menuju ke Dengkil. Mulanya ingin belok ke Dengkil dan kemudiannya ke Banting. Mencari kalau ada restoran makanan segera di sana.

Tiba di simpang ke Dengkil, aku terus saja tanpa masuk ke simpang tersebut. Aku menuju ke arah simpang ke Salak Tinggi dan KLIA. Kemudian terfikir hendak ke KLIA dan duduk saja di sana sambil makan di restoran makanan segera. Kemudian boleh melihat pesawat berlabuh dan terbang.

Tidak. Aku belok ke kiri menuju ke arah Salak Tinggi dan Nilai. Bila hampir tiba di Salak Tinggi, aku teringat berhampiran Hotel Empress situ ada sebuah KFC. Mungkin di situ saja.


Tidak juga. Aku terus saja melewati Salak Tinggi dan belok ke jalan susur ke pekan Salak. Pekan ini tiada restoran makanan segera. Cuma ada pameran MECD yang sedang rancak berlansung. Aku tidak minat untuk singgah. Aku teruskan perjalanan.


Melalui liku-liku perjalanan yang sering aku lihat dari dalam kapal terbang apabila berlepas dan hampir mendarat. Aku boleh bayangkan permandangannya dari udara dan ianya seperti laluan yang aku lalui ini. Tiba di pekan kecil Sepang, ada simpang menuju ke Port Dickson dan Sungai Pelek. Menarik juga kalau makan di Port Dickson.

"Terlampau jauh dan sesak..."

Lalu aku belok menuju ke Sungai Pelek. Jalan ini akhirnya boleh tiba juga di Banting, rancangan asal aku untuk lokasi makan.

Aku sentiasa suka laluan ini, tidak sesak dan sentiasa damai. Tambahan pula cuaca yang redup dan bumi seperti selepas di basahi hujan, nampak begitu "baru".


Namun tiba di Sungai Pelek, aku semakin lapar. Maklumlah sejak malam semalam hingga err.. jam tiga ini, masih belum makan. Aku mulanya tidak fikir di pekan sekecil Sungai Pelek ini akan ada restoran makanan segera.

Ada. KFC (peduli apa aku dengan boikot barangan Amerika).


Jadi seperti di hari lahir aku, aku akan makan di restoran makanan segera sambil membaca buku atau majalah, berseorangan. Hari ini, di Sungai Pelek. Jauh dari kamu semua, aku yakin.

Aku tidak lama di restoran. Hati ini masih mendesak untuk memandu. Aku masih terasa mahu memandu. Lalu aku teruskan perjalanan menuju ke Bagan Lalang dan terus melalui jalan ke Morib dan Banting.


Inilah salah satu laluannya yang amat lurus. Seingat aku, laluan lurus ini adalah lebih 5km jauhnya. Hadapan dan belakang kamu adalah laluan lurus yang bila tenang, tiada apa yang kamu lihat sepanjang jalan tersebut. Nyaman dan damai.


Sempat juga aku singgah di tepi pantai berhampiran jalan untuk mengambil gambar laut Selat Melaka yang mungkin sedang mengalami air pasang. Lihat saja pokok yang ditenggelami air.

Kawasan ini agak cantik tetapi cuma untuk permandangan dan mungkin, memancing. Kamu takkan mahu mandi di sini. Tetapi suasananya agak menarik dengan burung camar yang berterbangan dan bermain-main di gigi air. Mungkin sedang memburu ikan di dalam air.


Aku teruskan perjalanan. Sebenarnya aku terus hingga ke Morib. Dari Morib aku membelok kiri ke Jugra. Asal niat di hati, hendak melihat peninggalan sejarah di Jugra. Namun disebabkan hujan lebat, aku cuma melaluinya dalam suasana hujan. Kalau kamu tidak biasa di kawasan ini, aku nasihatkan kamu guna GPS. Ianya seperti jalan kampung yang kecil dan sempit. Namun aku pasti kamu takkan sesat di sini.

Aku juga pertama kali melaluinya dan aku fikir ianya agak mudah untuk sesiapa saja pergi. Aku pasti akan kembali dengan kamera untuk merakamkan suasana di sekitar Jugra.

Cuaca sudah semakin gelap dan hujan masih belum reda. Aku teruskan saja perjalanan pulang kerana tiada apa lagi yang boleh aku lakukan dalam hujan ini. Tetapi dalam perjalanan, aku terfikir. Mungkin dek kerana beberapa SMS yang aku terima sepanjang perjalanan bertanyakan dengan siapa aku sambut hari lahir. Kalau dengan orang, pastinya ada hadiah. Bila berseorangan ini, tiadalah.

Lalu aku berniat untuk belikan diri sendiri sebuah hadiah untuk hari lahir.


Inilah hadiah yang aku pilih untuk diri sendiri. Sebuah album kumpulan muzik paling aku minati, The Beatles.

...dan sambil menulis ini, aku sedang menikmati lagu-lagunya.

Kamera : Samsung SGH-L700

Februari 2009

2008

2007

Fotografi oleh Aliah Yaacob

2005

Fotografi oleh Mazura

2004


Fotografi oleh Mazura

2003

1999

Fotografi oleh Syafiqah

21.2.09

1996

Fotografi oleh Arwah Kak Nor

1993

1994

1992

Fotografi oleh Renny Suzanna Zaidi

1985

1983

1981

1979

1977

1975

Khemah

Tidak lama dulu semasa pulang ke kampung, kebetulan anak saudara aku ada di rumah. Kerana dia sangat lincah dan aktif dan sentiasa bergerak kesana kemari, aku mahu dia berhenti seketika. Lalu aku binakan dia khemah ringkas daripada kusyen sofa.

Aku susuh dia duduk di dalamnya. Dia amat-amat menyukainya sehingga dengan kudrat yang dia ada (umur 2 tahun lebih), dia sendiri mahu membina khemah dari kusyen sofa tersebut.

Bila pulang ke rumah ibu bapanya di Ipoh, dia minta emaknya lakukan perkara yang sama di rumah. Dia mahu duduk dalam khemah. Akhirnya nenek dia menghadiahkan sebuah khemah untuknya.

Cerita yang aku dengar dari emak kelmarin, makan, tidur dan bermain pun dilakukan di dalam khemah itu saja.

Aku tidak pasti sama ada mahu rasa bersalah atau tersenyum gembira.

Kalau dulu kami anak-anak kecil zaman penghujung 70an hingga awal 80an, kami sentiasa ada peluang untuk bermain di luar. Khemah kami bina di atas longkang dengan berbumbungkan papan dan kanvas yang kami temui. Setiap orang ada khemah mereka sendiri yang dibina dengan 2 tangan sendiri. Tidak perlu membeli khemah sedia ada di pasaraya.

Aku agak pelik dengan ibu bapa zaman sekarang. Itu ini tidak boleh untuk anak mereka. Bahayalah, tidak sesuai, tidak ilmiah, tidak bagus untuk pendidikan dan banyak lagi sering dijadikan alasan terhadap anak-anak mereka agar tidak melakukan sesuatu perkara.

Mereka terlalu serius menjaga dan mendidik anak hingga tidak dapat menafsirkan mana satu keluangan masa diri sendiri dengan keluangan masa selepas belajar 18 jam sehari.

Cheer up will you moms and pups. Life is beautiful. Life is fun. Hidup ini lebih lagi daripada ilmu dan pandangan.

Aku senang hati anak saudara masih ingat dengan layanan aku.

Sebalik Warna Blog Ini

Kamu tahu bila saat paling puas apabila menulis posting di blog ini? Ketika kamu sedari ada orang lain mengambil isi kandungan posting di sini dan diletakkan di blog mereka sebagai contoh atau content yang menarik bagi mereka.

Setakat ini ada beberapa buah artikel aku yang disalin semua oleh penulis lain untuk diletakkan di blog mereka. Aku tidak kisah. Kalau mereka suka, mereka boleh buat apa saja dengannya. Habis malas pun, aku post komen di blog mereka dengan sebuah senyuman.

Namun apa yang menariknya adalah bila kamu membaca kembali isi kandungan tulisan tersebut di blog orang lain. Ianya menjadi lain dari yang kita sangka. Seperti terfikir balik,

"Aku yang tulis ke ni?"

Kadang-kadang, apa yang aku tulis hanyalah untuk menceritakan diri aku sendiri. Situasi aku dan suasana aku. Jarang sangat aku bercerita yang jauh dari pandangan mata aku. Jadi hampir semua cerita itu adalah mengenai aku dan aku saja.

Tidak pula aku sangka, apa yang aku alami, orang lain juga boleh atau pernah alami. Situasi atau suasana yang sama. Memang ada, dan apabila membaca kisah mereka, ianya seperti sama dengan apa yang berlaku terhadap aku.

Seumur hidup aku, aku tidak pernah mempunyai diari. Err.. Kalau difikirkan balik, memang ada. Tetapi tidak serius seperti aku menulis di sini. Bila aku serius menulis, suasananya berbeza. Aku menulis di internet dengan begitu ramai yang turut membacanya. Ianya bukan rahsia peribadi lagi.

Sebenarnya, pembaca seperti kamu adalah pengukuh tekad dan semangat orang seperti aku. Selagi kamu membaca, aku akan menulis. InsyaAllah.

19.2.09

Search Light

Berhampiran dengan kawasan rumah, ada sebuah kedai perabot yang baru di buka. Baru tidaklah baru, sudah hampir dua bulan. Apa yang menarik adalah teknik promosi kedai tersebut. Mereka menggunakan "Search Light" yang terpancar cerah setiap malam menerangi kegelapan malam.

Search Light ini dulu orang guna untuk suluh kapal terbang pengebom yang mengebom bandaraya di Eropah semasa perang dunia kedua. Atau menyuluh Spider-man dan Batman yang tertenggek di atas bangunan. Sekarang, banyak kedai perabot di Malaysia yang guna Search Light sebagai beacon kedai mereka. Memanglah menarik. Tetapi adakah ianya sah di sisi undang-undang? Tidakkah lampu sebegitu agak berbahaya untuk kapal terbang di udara? Tambah-tambah setahu aku, ruang udara berhampiran rumah aku adalah ruang kapal terbang mula mendarat untuk tiba di KLIA. Aku harap lampu suluh bapak gajah itu tidak mengganggu penerbangan kapal terbang.

Lagi satu, berapa punya membazir la tenaga elektrik yang digunakan. Banyak cara lagi untuk menarik minat orang datang ke kedai. Aku tidak pasti sama ada search light ini berkesan atau tidak atau semata-mata meniru kedai lain yang sudah buat awal dulu.

Cuma kadang-kadang waktu malam apabila menyaksi cahaya search light itu kesana kemari, ianya amat menarik dan mengujakan. Konsentrasi cahaya yang terhasil dari mesin ini adalah sangat hebat. Cahaya mempunyai tenaga, bukan? Kalau cahaya dipantulkan ke suatu permukaan pada objek yang tidak terikat, adakah objek tersebut akan bergerak? Kalau bergerak, berapa laju? Mungkin dalam atmosfera, ianya agak sukar. Tapi kalau dalam vakum? Entah, aku sudah lupa fizik. Secara teorinya kita boleh dapat menggerakkan objek pada kelajuan cahaya, agaknyalah. Tapi itu hanya andaian bodoh saja.

Baca sendiri (lebih baik daripada kamu baca Mangga atau Mastika) di SINI.

18.2.09

Siri Bercakap Dengan Diri Sendiri - 4

"Idan..."
"Ye?"

"Kenapa kau tak sokong kerajaan?"
"Bila aku tak sokong kerajaan?"
"Dalam blog ni. Selalu kau kritik kerajaan."
"Ye ke? Setahu aku, aku cuma kritik parti politik yang memerintah sahaja."

"Kritik kerajaan la tu."
"Siapa kata? Kerajaan lain, parti politik lain."
"Mana pulak. Kalau kau kritik apa yang mereka buat, kau kritik kerajaan la tu. Sebab mereka yang memerintah."
"Betul mereka memerintah tetapi bukan aku kritik kerajaan. Sejak bilalah parti politik itu adalah kerajaan?"
"Sejak dulu lagi."

"Kalau macamtu, orang yang tidak sokong mereka semasa pilihanraya itu adalah penentang kerajaan la ye? Pemberontak? Pembelot?"
"Bukanlah macamtu. Tapi kalau kau tidak suka apa yang mereka buat, sama juga dengan kau tak suka kerajaan. Lagipun, kau kerja kerajaan. Tak patut kau kritik kerajaan."

"Mana boleh macamtu. Aku kerja dengan kerajaan bukan bermakna aku perlu sokong parti politik yang memerintah. Aku cuma perlu sokong kerajaan yang memerintah."
"Samalah... Apa pula bezanya."
"Eh, banyak beza. Kerajaan adalah kerajaan, kuasa yang memerintah negara. Bukan dia perintah negara untuk ahli parti politik mereka saja. Mereka perintah negara untuk semua orang yang menjadi rakyat dalam negara ini. Mereka perlu jaga setiap orang tidak kira apa fahaman politik orang itu. Mereka perlu melindungi rakyat. Perlu ambil berat dan perlu beri ruang untuk rakyat. Itulah fungsi kerajaan. Parti politik lain."

"Macamana lain?"
"Parti politik berfungsi untuk kepentingan ahli dan penyokong parti politik tersebut sahaja. Tetapi apabila parti itu dipilih untuk membentuk kerajaan, mereka sepatutnya membuang ideologi dan pengaruh parti politik mereka dan meneruskan agenda negara. Bukan agenda parti. Kerana agenda negara adalah untuk setiap orang."
"Jadi, salahlah kalau guna jentera negara untuk kepentingan politik?"
"Ya, amat-amat salah. Jentera negara adalah untuk semua rakyat tidak kira siapa mereka. Kalau hendak guna telefon di pejabat kerajaan untuk menelefon pejabat partinya pun sepatutnya tidak boleh. Kalau guna juga, perlu dibayar bil itu oleh pengguna sendiri. Harta kerajaan tidak boleh guna untuk kepentingan mana-mana parti politik."
"Lagi? Menarik ni..."

"Kau pernah tengok papan tanda projek pembangunan kerajaan?"
"Papan tanda?"
"Alah... Papan tanda projek macam pembinaan hospital, sekolah, balai polis dan lain-lain aset kerajaan."
"Oh.. Banyak. Kenapa?"
"Apa jadah lambang parti politik ada di papan tanda ni?"
"Ntah... Salah ke?"
"Salah la tu. Itu projek kerajaan, bukan projek parti. Kalau hendak sangat kata itu projek parti, keluarlah duit sendiri buat projek tersebut."
"Betul juga. Itu duit kerajaan. Bukan duit mana-mana parti politik."
"Itu satu. Sudahlah letak lambang parti, letak pula lambang tersebut lebih tinggi daripada jata negara. Bahaya!"
"Bahaya?"
"Itu kalau mengikut tafsiran kasar, parti lebih berkuasa daripada negara. Ini perkara biadap yang ramai orang tidak tahu atau mungkin tahu tetapi buat-buat tidak tahu kerana takut dihukum."

"Kau berani pula tulis semua ini di sini?"
"Aku cuma tulis perkara yang betul. Aku bukan sokong mana-mana pihak. Aku sayangkan negara aku dan kalau aku lihat perkara itu salah, apa salahnya aku cuba beritahu salahnya."
"Berani gila. Tak takut ke?"
"Ramai yang kata mereka lebih takut Tuhan dari orang... Aku boleh juga cakap macamtu. Tapi 
ramai ke antara mereka yang sanggup membuktikannya?"

"Okay faham. Tapikan, aku masih tak puas hati."
"Apasal?"
"Kira betullah kau tidak suka parti politik yang memerintah sekarang?"
"Aku bukan tidak suka parti politik tersebut. Aku tidak suka tindakan dan salah perbuatan yang berlaku. Aku harap mereka perbetulkan."

"Tapi apa kesannya kalau mereka perbetulkan pun?"
"Ish... Banyak! Pertamanya, mungkin mereka tidak tahu. Tapi inilah sebenarnya persepsi golongan muda terhadap mereka. Salah guna kuasa."
"Kenapa?"
"Golongan muda bukan tidak suka parti ini. Mereka cuma meluat melihat pelbagai salah guna kuasa dan sikap pentingkan diri sendiri ahli politik. Aku percaya, kalau dibersihkan segala salah silap ini, parti politik lawan takkan ada ruang untuk bangun."
"Macamtu..."
"Parti pemerintah juga tidak lagi boleh menggunakan aset kerajaan untuk kepentingan parti. Tidak boleh lagi menunggang aset kerajaan dan segala yang kerajaan patut/wajib lakukan kepada rakyat sebagai agenda politik mereka. Kerana mana-mana parti yang memerintah pun, perkara pembangunan, ekonomi, kesejahteraan adalah perkara wajib dalam agenda kerajaan."
"Sebab itulah agaknya sogokan pembangunan, ekonomi dan lain-lain sudah semakin tidak menjadi ye?"
"Tentulah. Kerana orang sudah sedar bahawa itu perkara pokok yang wajib bagi sesebuah kerajaan untuk laksana demi kepentingan rakyat. Tidak perlu mana-mana parti politik menggunakannya sebagai tulang perjuangan politik mereka."

"Habis apa yang perlu mereka buat untuk menarik penyokong?"
"Bentangkan pelan terperinci apa yang akan mana-mana parti politik lakukan sekiranya diberi peluang untuk memerintah. Keluarkan fakta berdasarkan sasaran. Bukan berdasarkan prestasi semasa yang telah berlaku. Memang tidak adil begitu dan orang tidak suka hendak dengar."
"Ooo... Kira mereka tidak boleh la kata, lihat, kami sudah bangunkan Malaysia. Inilah kehebatan dan kemampuan kami. Parti lawan tidak mampu melakukannya."
"Ya, mereka tidak patut kata begitu. Kerana itu adalah perkara wajib untuk mana-mana kerajaan lakukan. Lagipun di Malaysia ini amat tidak adil berkata begitu. Semenjak merdeka, kita tidak pernah ada parti politik lain yang memerintah."

"Kira boleh gunalah juga. Tapi kalau ada parti lain yang pernah memerintah la ye. Sebagai perbandingan yang lebih jelas. Macamtu?"
"Betul. Seperti di Amerika Syarikat dan Britain. Ada beberapa parti yang pernah memerintah jadi mereka boleh bandingkan. Kalau itu dibuat di sini, orang benci."

"Jadi betullah kau tidak benci parti politik yang memerintah sekarang?"
"Ya, aku tidak benci. Aku cuma tidak suka cara mereka menyalah guna jentera negara. Seperti media rasmi dan jabatan-jabatan. Itu tidak patut dilakukan tambah-tambah zaman internet ni. Orang nampak jelas. Lagipun, orang zaman sekarang ni bukannya macam 20 tahun dulu. Sedarlah sikit."
"Betul."
"Siapa saja yang menjadi strategis politik parti pemerintah sekarang, patut dipecat saja. Bebal."
"Hahaha.."
"Iyelah, masih leka menggunakan perang psikologi lapuk."
"Ya, betul. masih tak faham-faham."
"Ya... bengap otak. Internet pun tak boleh nak kuasai lagi."

"Idan..."
"Ye?"
"Apa yang kau mahu dari parti yang memerintah sekarang?"
"Bersih, cekap dan amanah. Itu agenda mereka dulu. Takkan lupa kot? Bersihkan tangan mereka dari jentera kerajaan. Jentera kerajaan adalah hak rakyat dan 26 juta rakyat nampak JELAS semua itu. Jangan terlalu gila kuasa dan cuba bergantung talian hayat dengan kuasa. Ianya tidak akan kekal abadi. Sebaliknya berjuang untuk kepentingan rakyat. Untuk kepentingan negara. Berhenti menjadi retorik dan buktikan kepada rakyat bahawa mereka adalah kerajaan yang jujur dan ikhlas untuk rakyat... Kemudian kamu akan lihat rakyat kembali menyokong kamu. Kalau tidak..."
"Kalau tidak apa?"
"Percayalah, internet ini akan menyebabkan mereka tersungkur dari atas sana..."
"Hmm..."

17.2.09

Anis Balqis



Anak Lily. Comel kan?

Mengenali Diri

Lima hari menjelang.

Tidak mengapa. Aku tidak menghitung hari. Aku cuma terkenangkan sesuatu. Tercari-cari mana hilangnya hari-hari yang aku lalui tanpa membawa apa-apa makna. Bila tiba hari itu nanti, aku pasti akan kelu. Kemana hilangnya waktu-waktu muda sedang aku seperti masih tidak mahu berganjak dari sudut aku berdiri ini. Hati ini memberontak mendesak aku terus berada di sini. Terus mahu kekal muda, mungkin.

Kalau mengikut usia hayat, maknanya separuh daripada usia sudah aku lalui. Tanpa apa-apa makna. Tanpa apa-apa pencapaian yang boleh aku banggakan. Tanpa apa-apa kenangan indah yang boleh aku ceritakan balik di suatu masa nanti. Apa yang ada hanya sisa-sisa cerita basi kisah lalu yang separuh dari mereka yang terlibat dalam cerita itu sudah pun melupainya atau tidak lagi menghitung saat-saat itu sebagai kenangan mereka.

Benar seperti kata hati. Aku sendiri yang masih berdiri di tempat yang sama dan tidak mahu berganjak pergi. Tidak mahu berpaling dari kenangan lalu dan melihat yang baru. Kerana cerita-cerita baru aku adalah amat membosankan dengan ritual kehidupan yang sama setiap hari.

Hakikatnya, hidup ini sekarang mengikat ketat kaki seorang manusia yang sentiasa mahu bebas dari ritual. Yang setiap hari dalam hidupnya mahu mencari jalan yang lain dari yang dilalui semalam. Sekarang, aku tidak ubah seperti berada di dalam akuarium. Kemana saja aku pergi, di penghujungnya adalah kaca jernih yang tidak aku sedari wujud. Bila terhantuk di kaca itu, aku rasa sakit dan pedih. Rasa kecewa dan berputus asa. Rasa keliru. Kemudian aku berpaling dan menuju kearah lain hingga sekali lagi akan terhantuk dengan dinding kaca. Aku akan sakit, kecewa dan berputus asa lagi.

Sudut mana sekalipun aku berpaling, begitu juga akhirnya nanti kesudahan yang aku hadapi. Itu yang aku rasa.

Lalu aku duduk diam di tengah-tengah tanpa melakukan apa-apa. Diam memerhatikan yang lain bergerak bebas dan gembira. Entah kenapa mereka tidak pula terhantuk dengan dinding kaca di dalam akuarium ini. Mungkin mereka selesa dengan suasana begini. Tidak bagi aku.

Kamu tahu apa yang aku selalu terfikir?

Aku impikan terlalu tinggi. Aku mahukan sesuatu di luar batasan kemampuan aku dan aku lakukan perkara-perkara yang sentiasa menjerat aku kepada kegagalan. Aku beri alasan kepada seribu ketidak sempurnaan dalam hidup aku sebagai hiasan terhadap kelemahan diri sendiri. Supaya orang tidak nampak lemah aku. Supaya orang berkata,

"Bagus lah engkau ni Idan.."

Kamu fikir aku tidak bangga diperkata begitu? Dalam hati, sedikit-sedikit ada rasa bangga. Sedang sebenarnya, ia tidaklah sehebat kenyataan tersebut. Ianya cuma perkara biasa yang tergambar dari seorang manusia yang sering berselindung di sebalik kelemahan. Kelemahan yang amat banyak.

Ini bukanlah tulisan seorang aku yang sedang menanggung dilema dalam simpati diri sendiri. Ini muhasabah diri, mungkin. Aku tidak pernah mahu guna perkataan itu, muhasabah. Kerana ianya dilihat begitu elitis dan akademik. Biar aku guna ayat, mengenali diri. Ya, ini adalah proses mengenali diri, mungkin. Mencipta realiti keatas manusia yang selama ini sering berselindung disebalik kelemahan diri sendiri.

Kerana aku bukanlah sehebat yang kamu sangka. Kamu tidak akan dapat daripada aku seribu jawapan terhadap satu persoalan kamu. Kamu takkan juga dapat seribu kebenaran daripada setiap keikhlasan aku. Kerana selama ini aku bersusah payah hendak mencapaianya. Sedikit sebanyak bila aku perolehi sesuatu, aku akan simpan erat dalam diri kerana itu adalah kekuatan aku. Kekuatan kecil sebesar debu.

Ini mungkin berpunca dari zaman kecil aku. Kerana aku anak sulung dari 7 beradik. Balik dari sekolah adalah ada waktunya bila ke dapur, tiada lagi lauk pauk yang dimasak oleh emak. Tinggal nasi. Jadi aku makan apa yang ada. Goreng telur dan makan dengan kicap di tepi tingkap sambil membayangkan aku makan makanan termahal di restoran paling mewah. Setiap butir nasi aku akan habiskan. Kerana aku tidak mahu berasa terkilan akibat tiada berpeluang menikmati lauk pauk lain. Bukan salah emak, bukan salah ayah. Mereka sudah sediakan cukup untuk kami sekeluarga. Tidak mudah untuk sediakan juadah bagi 7 orang anak yang membesar. Kalau tidak cukup, sebenarnya kami adik beradik yang mengambil lebih dari sepatutnya.

Sehingga aku besar. Apa yang ada sedikit aku perolehi, aku nikmatinya sepenuh mungkin. Aku kejarnya sehingga dapat walau  tidaklah sebanyak mana. Sebab itu kalau kamu lihat, aku jarang sangat menawar makanan yang aku makan kepada orang walaupun mereka berada di sebelah. Bukan kerana kedekut. Ianya lebih bersifat survival. Menikmati hak aku. Tetapi aku akan beri jika orang memintanya. Aku tidak pandai menawar tetapi aku tidak kisah kalau diminta. Aku tidak pandang orang yang meminta itu negatif. Kamu boleh kata aku kedekut, tidak mengapa.

Maka ilmu yang aku perolehi, aku simpannya di dalam hati dan amat sukar hendak lepas bebas ilmu itu begitu saja, kecuali di tanya oleh orang lain. Kerana sedikit-sedikit yang ada di dalam diri ini adalah kekuatan aku. Seperti yang aku sebutkan tadi.

Ya, lima hari lagi dan aku cuba mengenali diri.

p/s: Pernah kamu lihat aku menulis perkataan - diriku, keranaku... aku rasa amat janggal dengan ringkasan "ku".

16.2.09

Tiada Lagi Perkhidmatan Ini

Petang di pejabat tadi, aku sibuk menyiapkan reka bentuk kad undangan perkahwinan seorang sahabat. Dia cuma mahukan design yang simple kerana kertas yang dibeli sudah mempunyai corak dan reka bentuk khusus untuk kad undangan. Jadi selebihnya aku cuma reka susun atur tulisan dan pelan lokasi saja.

Waktu itu tiba-tiba aku terdetik di hati. Kenapa aku lakukan ini semua? Kenapa aku sibuk buat kad undangan perkahwinan untuk orang lain sedang untuk aku sendiri tidak pernah lagi terbayang?

Maka, niat di hati ini timbul. Selepas tugasan ini, aku takkan terima lagi permintaan sesiapa pun yang mahu aku design kad undangan perkahwinan. Kerana ianya sungguh tidak menyenangkan hati aku. Bila aku buat dalam keadaan tidak senang hati, hasilnya tidak akan menjadi bagus.

Cukup melihat bahagia orang lain buat waktu ini.

Aku perlu cari bahagia untuk diri sendiri.

Makanan Berkhasiat Adalah Amat Mahal!

Dalam proses aku mengawal pemakanan, aku beli makanan yang boleh membantu aku menguruskan badan dan juga menjaga kesihatan.

Salad sedia untuk di makan (ready-to-eat) di dalam mangkuk plastik yang aku tidak perlu buat apa-apa lagi, aku beli beberapa mangkuk dan makannya setiap hari. Satu mangkuk berharga lebih kurang RM6. Kawan di rumah melihat aku membeli dan makan salad tersebut bertanya,

"Engkau beli salad ye Dan?"
"A ah. Ini je cara aku nak makan sayur."
"Sedap ke Dan?"
"Ada ke salad sayur yang sedap? Semuanya tak sedap tapi aku kena makan juga."
"Hahaha..."

Kemudian aku beli Quaker Oats set ready mix yang di labelnya berkata boleh membantu orang yang dalam proses mengurangkan berat badan. RM13 sepaket. Label itu juga menambah,

"...dengan kadar pemakanan seimbang dan senaman yang berterusan."

Ya, makanan oat tersebut sudah betul. Cuma makanan yang seimbang dan senaman saja yang belum aku tunaikan.

Apa yang aku belajar sejak kebelakangan ini? Pertamanya, makanan berkhasiat dan baik untuk kesihatan adalah mahal dan sukar hendak diperolehi. Tambah-tambah kalau makanan siap dalam paket.  Kedua, makanan berkhasiat dan baik untuk kesihatan adalah tidak sedap, rasa tidak menarik dan membosankan.

Jalan paling mudah dan murah untuk menjaga kesihatan dan membantu mengurangkan berat badan adalah senaman yang betul dan pemakanan yang seimbang. Seperti yang aku cakap tadi, ianya masih belum mampu aku lakukan.

Namun ada beberapa perkara yang sudah aku lakukan walaupun tidak sempurna. Aku kurangkan makan makanan segera. My favorite. Kalau dulu di hujung minggu, balik dari OT di pejabat, aku akan singgah di McD atau KFC untuk makan petang (merangkap makan pagi dan tengahari) sambil membaca majalah. Kalau di McD, set biasa aku akan pesan adalah nugget 6 ketul dan ditambah dengan bubur ayam. Kalau di KFC, aku akan pesan nugget 6 ketul dan burger Colonel sebagai juadah.

Sekarang, aku cuma berlalu pergi dan menjeling ke arah orang yang sedang makan di restoran tersebut. Makanan aku sekarang biasanya Teppanyaki (kerana ada sayur) atau filet ikan. Kalau dulu, set makanan barat yang ada coleslaw dan salad berserta daging/ayam, aku akan cuma makan daging atau ayam. Kini, sayur-sayuran pasti akan habis dulu.

Aku juga kurang minum air soda bergas seperti Coke walaupun kadang-kadang aku akan tetap minum kerana... err, tanpa sebab. Biasanya aku akan minum air teh ais limau (Ice Lemon Tea).

Aku sedari, semua itu sebenarnya meningkatkan kos harga pemakanan aku. Aku perlu mula senaman. Senaman mudah. Sebab itu antara sebab aku ke kompleks membeli belah besar adalah kerana aku mahu berjalan. Berjalan juga adalah senaman, bukan? :-)

Ada banyak penyelesaian lain yang aku boleh lakukan sebenarnya. Namun, cara yang sedang aku lakukan ini adalah selesa dan agak mudah bagi aku. Ianya takkan mengakibatkan aku kurus mendadak yang akan menyebabkan kesan YoYo seperti orang yang lakukan diet ekstrem.

Cuma, matlamat utama aku sekarang adalah kesihatan. Kuruskan badan adalah perkara kedua. Perlahan saja pergerakan ini. Tidak mengapa. Asal selamat.

15.2.09

Selesai Rubik Cube

Semalam beli Rubik Cube. Aku selerakkan warnanya dan cuba selesaikan. Sebentar tadi selesai.

Jelasnya aku berpandukan kepada teknik-teknik penyelesaian Rubik Cube yang boleh diperolehi dari internet dan juga yang diberikan oleh Toys'R'Us. Aku yakin kalau sesiapa menghafalnya, menyelesaikan Rubik Cube adalah perkara yang mudah.

Mungkin lepas ini aku boleh berlatih untuk Speed Cubing pula. Heh. Tapi rekod Speed Cubing untuk 3x3x3 adalah 8.07 saat! Lebih pantas dari Usain Bolt berlari 100 meter.

Okay, aku tidak mungkin mengejar rekod Speed Cubing. Aku akan cuba menyelesaikan dalam masa paling pantas. Itu saja.

Ya, aku tahu... 

Benci + Hasad Dengki + Marah + Gila Politik = Melayu?

Politik di Malaysia ini tidak habis-habis dengan semangat melayu, ketuanan melayu, masa depan orang melayu, politik orang melayu, kepentingan orang melayu dan lain-lain hal yang semua orang mahu ambil kira demi kepentingan orang melayu, sahaja.

Stop trying to be a malay an be a malay!

Berhenti cuba menjadi seorang melayu dan jadilah seorang melayu!

Seingat aku belajar sejarah, semasa kegemilangan empayar Melaka, orang melayu amat dihormati dan dijadikan contoh. Tidak pula aku baca orang melayu membenci orang lain.Kkerana keterbukaan orang melayu, Melaka dijadikan pelabuhan bebas cukai dengan bangsa-bangsa lain datang untuk berdagang tanpa perlu risau mengenai diskriminasi kaum. Kalau aspek politik Melaka ketika itu juga,  adalah dipercayai ada bangsa-bangsa lain yang terlibat dan memegang jawatan dalam istana Melaka.

Hampir 100 tahun gemilangnya empayar Melaka hinggalah mereka ditumbangkan oleh Portugis yang sebenarnya datang atas sebab ekonomi. Dan agama, mungkin.

Entah sejak bila orang melayu ini terlalu taksub dengan bangsanya sendiri sehingga apa saja yang mengusik bulu roma mereka, mereka akan melenting menghunus keris, kapak, tombak dan gigi.

Tetapi hairannya juga, melayu ini jugalah yang mengaku mereka pengikut ajaran Islam yang setia. Setiap apa perbuatan mahu saja ditunjukkan kepada dunia bahawa mereka lebih Islam daripada keturunan pembawa Islam di Tanah Arab.

Mungkin melayu ini sebenarnya spesis yahudi yang hilang (The 12 Lost Tribe). Kamu marah ye? Okay, cuba kamu fikirkan, melayu di Malaysia amat tidak suka orang bukan melayu mendominasi mereka. Melayu di Malaysia juga amat-amat berbangga menjadi melayu hingga ajaran Islam yang amat-amat terbuka kepada semua kaum dan bangsa di dunia ini seperti tidak masuk dalam satu sifat-sifat orang Melayu. Agak pelik kenapa orang melayu boleh menganut agama Islam sedang mereka amat susah hendak berdiplomasi dengan (bersifat terbuka) dengan orang bukan melayu terutamanya dalam politik.

Bila aku cakap begini, mulalah kamu akan cakap, ini berkaitan dengan survival orang melayu. Kita tidak mahu melayu jadi golongan kelas kedua di negara sendiri seperti yang berlaku di Singapura. Kamu ambil contoh Singapura? Bodoh ke apa?

Orang melayu akan terus dominan di negara ini selagi orang melayu sedar peranan dan kepentingan mereka. Orang melayu akan terus berkuasa di negara ini kerana selagi kaum-kaum lagi tidak menjadi majoriti (secara teknikal, lebih banyak bilangan mereka). Orang melayu akan sentiasa jadi minoriti (kelas kedua... atau kelas ketiga) dalam bidang ekonomi kerana orang melayu malas sangat hendak belajar. Mereka lebih suka baca Mangga, menonton Raja Lawak dan menjerit-jerit melihat Faizal Tahir pakai baju Superman.

Kamu tahu, dari kamu membenci yahudi itu sebenci-bencinya, baik kamu kaji balik kenapa orang yahudi boleh menjadi begitu maju dan dominan di dunia ini sehingga kalau kamu jentik telinga seorang yahudi, kamu akan di balas dengan meriam kereta kebal. Membenci dan marah tidak menyelesaikan masalah. Malah ianya akan cuma mewujudkan pengebom berani mati yang bodoh dan tidak diredhai Allah.

Aku cadangkan perkara yang mudah. Pergi Borders (maaf kalau kamu tinggal jauh dari Kuala Lumpur), cari sudut agama (Religion). Sana kamu akan dapat banyak buku-buku berkaitan agama di dunia. Salah satu sudut, pasti ada mengenai Yahudi dan agamanya. Ada juga buku mengenai adab-adab dan tradisi yahudi. Aku minta kamu baca itu. Baca adab-adab dan tradisinya. Aku tahu kadang-kadang orang akan post dalam emel kamu mengenai adab-adab dan tradisi bagaimana orang yahudi membentuk anak-anak mereka, sebagai perbandingan dengan kita yang selalu abaikan anak-anak kita. Kali ini, kamu baca sendiri dari buku yang ditulis oleh kaum mereka. Tetapi maaf juga kalau kamu tidak memahami bahasa Inggeris. Itu salah kamu, bukan aku.

Apa motif aku? Bagi aku mudah. Orang yahudi kita tahu sejak dahulu membenci bangsa lain dan tidak senang melihat orang lain maju. Tetapi mereka tidak letak benci dan marah mereka itu di atas dalam list keperluan hidup mereka. Apa yang mereka buat adalah memperbaiki diri sendiri hingga menjadi lebih baik daripada orang lain di dunia ini.

...dan kemudiannya orang lain di dunia ini menjadi benci dan marah kepada mereka.

Salah orang yahudi juga?

Begitu juga melayu. Marah, benci dengan bangsa lain di Malaysia ini yang kononnya cuba mengambil ruang-ruang hak orang melayu. Tetapi kita tidak sedar, dengan kita yang tidak kemana ini sedang bangsa lain sudah melompat lebih tinggi (agak tidak sesuai dengan situasi politik sekarang). Aku perbetulkan. Tetapi kita tidak sedar, dengan kita yang tidak kemana ini sedang bangsa lain sudah berlari lebih jauh dari kita, takkan kita hendak halang mereka? Apa daya kita? Kuasa politik? Ingat, politik itu cuma 4 - 5 tahun sekali dan dikuasai oleh cuma sebilangan kecil manusia yang mungkin 99% daripada mereka lebih mementingkan diri sendiri dahulu. Kuasa sultan dan raja? Mereka juga hanya beberapa orang yang bersifat keturunan yang sudah pasti bila bersifat keturunan, lebih selesa di kalangan mereka dan untuk kepentingan mereka. Kerana kalau mereka itu mengambil berat tentang rakyat mereka, mereka tidak akan menggunakan Mercedes-Benz, Bentley, Maybach dan Rolls-Royce sebagai kenderaan mereka. Sebaliknya mereka akan menjadi seperti Umar Al-Khattab yang mempimpin rakyat dalam keadaan merendah diri.

Jadi apa yang kita boleh buat sebagai orang melayu? Pendidikan dan ekonomi. Ianya adalah aset kekal yang akan berterusan dari generasi ke generasi. Didik dari kecil supaya menjadi manusia yang amat-amat berjaya di masa akan datang tetapi tidak terus melupakan bangsanya. Sebaliknya dari kejayaan mereka itu, mereka wujudkan konsortium membantu orang-orang melayu lain sehingga yang lain itu juga berjaya dan seterusnya begitu hingga 30 - 40 juta yang mengaku mereka melayu itu akhirnya akan jauh lebih berjaya dari yahudi yang beberapa juta. Selepas itu kita kukuh ekonomi dan kuasa politik (barulah sibuk dengan politik), kamu boleh berdiri atas kaki sendiri tanpa perlu risau orang hendak mengambil ruang hak kamu.

Tidak perlu bersusah payah di waktu kamu kuat dan berkuasa. Sebab itu pendidikan dan ekonomi jauh lebih penting dari kuasa politik.

Lepas itu, kamu boleh lihat bagaimana orang lain akan membenci kamu sebagaimana kamu membenci orang lain sekarang.

Cuma, aku tidak setuju dengan kebencian kamu itu...

Lego

Posting sebelum ini aku menceritakan mengenai Rubik Cube dan di akhirnya aku juga beritahu mengenai hasrat aku membeli set Lego. 

Sebenarnya sudah agak lama aku berhasrat untuk membeli set permainan Lego. Kalau mengikut kehendak hati, sejak darjah 5 lagi. Pada tahun 1986 sewaktu pertama kali berpeluang bermain set permainan Lego milik Maz Mirza (lelaki ni...) di rumah dia. Sejak itu aku tertarik dengan Lego dan brick building.

Jadi sejak kebelakangan ini (sudah setahun dua), aku tercari-cari set Lego yang sesuai untuk di beli. Susah. Pertama, harganya agak mahal. Kedua, set-set yang dijual agak mengecewakan. Entah kenapa, set Lego yang dijual di Malaysia lebih bersifat tema terutamanya merujuk kepada filem-filem terbaru yang disiarkan di pawagam. Antara yang popular adalah Lego Star Wars dan Lego Batman. 

Set lain yang biasa ada di jual adalah Lego Creator, Lego City, Lego Racer (banyak Ferrari) dan juga Bionicle. Rupa-rupanya memang tiada set lego open ended biasa yang boleh kita beli dan bina apa saja. Kalau ada pun, susah sangat hendak jumpa dan harganya amat mahal. Dulu ada lego set keretapi dan set bandar yang tidak serumit Lego City. Ianya lebih terbuka dan tidak terlalu spesifik seperti Lego City. Itu yang aku cari sebenarnya. Seperti set Lego Factory di bawah. Mana aku hendak cari set ini?

Mungkin bagi pihak Lego, set open ended sukar hendak dijual dan tidak menguntungkan. Entahlah. Kalau ada di mana-mana, aku akan beli.

Rubik Cube



Aku beli Rubik Cube di Toys'R'Us. Aku beli yang original berharga hampir RM26 kerana Rubik Cube cetak rompak selama ini yang aku beli sentiasa menimbulkan masalah. Ikut hati, mahu saja aku beli versi pertandingan (speed cubing) yang kita boleh 'adjust' kekenyalan spring dan melincirkan pergerakannya seperti gambar di bawah.


Ianya berharga hampir RM90. Namun memikirkan aku cuma ingin belajar menyelesaikan masalah tanpa mahu bertanding, aku beli yang murah saja. Itu pun cukup mahal bagi housemate yang membelinya dengan harga cuma RM5.

Entah kenapa, aku tiba-tiba tertarik hendak menyelesaikan puzzle Rubik Cube. Ianya tidaklah sukar namun mungkin kerana ramai antara kita yang kurang sabar, termasuk aku mengakibatkan kita sering gagal menyelesaikannya. Aku sehingga hari ini masih lagi gagal menyelesaikan Rubik Cube. Cuma tadi aku hampir menyelesaikannya, namun akibat cuai, habis semua berterabur kembali.

Tidak mengapa, aku akan cuba sehingga selesai. Kemudian aku akan bongkarkannya dan cuba kembali sehingga aku menjadi pantas untuk menyelesaikan Rubik Cuba dalam masa paling singkat.

Sebenarnya, ada beberapa versi Rubik Cuba di pasaran. Kalau di Toys'R'Us, ada dua jenis lagi Rubik Cube yang di jual. Pertama Rubik Cuba 4x4 iaitu empat baris kotak kali empat baris kotak setiap muka cube. Kalau setakat Rubik Cube 3x3 masih belum dapat diselesaikan, tidak perlu rasanya beli Rubik Cube 4x4 lagi. Ianya bakal 100x lebih susah... Atau mungkin lebih senang! Ianya berharga RM49. Boleh tahan.



Ada juga Rubik Cube mini dengan saiz 2x2 sahaja. Aku fikir ini adalah amat senang diselesaikan. Namun harganya dalam lingkungan RM24 adalah tidak murah. menarik untuk kamu beli dan tunjuk hebat depan rakan-rakan walaupun ianya agak mudah.


Permainan Rubik terakhir aku lihat di Toys'R'Us adalah Rubik Twist. Permaian ini bukanlah permainan Rubik Cube dalam erti kata yang sebenarnya. Rubik Twist lebih bersifat permainan menghasilkan bentuk-bentuk melalui alatnya. Ianya juga digelar Rubik Snake kerana postur hasil salah satu daripada bentuknya seperti ular tedung. Agak kurang menarik kerana aku percaya, bentuk yang boleh dihasilkan melalui permainan ini adalah terhad. Mungkin dalam 100 bentuk sahaja.


Selepas ini aku mahu beli set permainan Lego.

Jangan peduli aku.

13.2.09

Terima Kasih Kerana Sudi

Terima kasih kepada yang sudi mahu menemani aku sewaktu hari lahir aku nanti. Namun aku terpaksa menolaknya. Aku tidak mahu menyusahkan sesiapa. Aku cuma mahu bersendirian dan seperti biasa mengunjungi kedai makanan segera untuk makan dan membaca. Tidak perlu risaukan aku dan tidak perlu temani aku.

Kecuali dia...

Benjamin Button

Balik dari menonton The Curious Case of Benjamin Button, macam-macam bermain di fikiran. Pertamanya, filem ini saling tidak tumpah seperti "the opposite of" Forrest Gump. Watak-watak dalam cerita tersebut hampir sama tetapi dalam keadaan 'reversed'.

Tumpuan aku semasa menonton agak terganggu dek 3 orang mamat di sebelah yang asyik cuba mengandaikan apa yang akan berlaku dalam scene yang seterusnya. Kalau mereka melakukannya dalam diam, tidak mengapa. Itu mereka punya pasal. Tetapi mereka berbual dan itu masih tidak mengapa. Kenapa perlu makan dengan bunyi kunyahan yang kuat? Tidak reti tutup mulut?

Mungkin kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris dan menghabiskan masa membaca setiap sarikata yang terpapar di layar.

Aku tidak mahu komen atau kritik filem tersebut. Cukup aku bagi rating 4 1/2 daripada 5 bintang. 1/2 bintang yang hilang, aku salahkan mamat bertiga yang berada di sebelah. Mengganggu tumpuan.

Ada waktunya (selalu sebenarnya) aku terasa diri seperti Benjamin Button. Kalau kita lihat dari filem tersebut, kita tahu kebanyakkan daripada masanya, dia rasakan dirinya berseorangan di dunia. Orang yang datang akan pergi namun dirinya masih rasakan dia tidak kemana-mana melainkan satu; terkenangkan Daisy.

Begitu juga aku walau hakikatnya aku tidak semakin muda seperti Benjamin Button. Bila kamu mengharapkan seseoarang sejak dulu, kamu akan rasakan bagaiamana. Dan kini aku pasti semakin sukar hendak mencapai apa yang terniat di hati. Kerana mungkin selepas ini, dia akan berada begitu jauh dari aku dan amat-amat jarang lagi hendak aku ketemui dirinya.

Itulah yang aku beritahu kepadanya. Sebentar tadi selepas keluar dari panggung wayang, melalui SMS. Tidak, bukan begitu. Cuma dulu sudah beberapa kali aku meluahkan kepadanya. Jawapannya tetap sama. Tidak.

Jadi, melalui SMS sebegitu, aku harapkan agar ianya tidak terasa begitu berat hendak ditanggung. 

Tidak mengapalah. Itu cerita lain. Aku cadangkan kamu pergi menonton The Curious Case of Benjamin Button. Kalau tiket sudah habis, aku cadangkan kamu tonton filem The Pink Panther 2. Kalau masih juga habis tiket wayang, aku sarankan kamu balik rumah dan tonton DVD haram saja.

12.2.09

Koleksi Samsung SGH-L700 - Set 2

Aku sedang berkira-kira hendak membeli sebuah kamera digital baru. Bukan digital SLR kerana aku sudah ada satu seperti di bawah, Canon EOS 400D


Aku mahu dapatkan kamera digital biasa yang boleh aku ambil gambar secara spontan tanpa perlu memikirkan setting sebelum shot boleh diambil. Nanti aku akan survey. Buat masa ini, banyak gambar spontan aku cuma rakamkan melalui telefon bimbit Samsung yang berkamera 2MP. Tidak banyak gambar menarik yang terhasil melaluinya. Cuma ada beberapa yang aku fikir agak baik untuk sebuah kamera bodoh di belakang telefon.


Senja adalah paling menarik. kerana senja mempunyai warna-warna yang aku tidak kenali tetapi sangat indah. Senja juga adalah waktu santai aku mengambil gambar kerana waktu itu juga adalah waktu pulang aku dari kerja.


Ini yang aku maksudkan, aku tidak perlu bersusah payah menentukan setting sebelum mengambil gambar. Dari atas dashboard kereta pun aku boleh gambar secara automatik.


Agak kecewa juga kerana kamera telefon Samsung ini cuma amat baik ketika matahari tegak di atas kepala. Maksudnya cukup cahaya matahari yang memancar, seperti gambar atas.

Ada waktunya, bila aku pergi ke sesuatu tempat komersial, kedai makan contohnya, ada potret-potret yang menarik untuk di rakamkan dengan kamera.


Noodle Station yang menjadi kedai mee favorite aku.


Dan juga kedai donut kegemaran aku. Dunkin Donut? Apa tu?


Senja lagi...


Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan. Padahal ada je kamera SLR aku di tangan, tetapi masih guna kamera telefon Samsung.


Potret langit adalah shot kegemaran aku. Awan-awan yang berarak sentiasa menghidupkan suasana. Sentiasa istimewa, sentiasa unik.


Langit siang dan senja yang menjelang adalah rakaman kehidupan yang paling tenang bagi aku.


Semua ini dirakamkan dengan kamera belakang telefon Samsung. Jadi aku perlu dapatkan sebuah kamera digital biasa yang murah dan berkualiti. Aku tidak perlu pixel tinggi. Aku cuma mahu guna untuk shot-shot spontan, itu saja.

Mahu belanja aku? Hari lahir aku 10 hari saja lagi. Hehehe...

11.2.09

7 Tahun Lalu Dan Kini

Siang tadi berbual-bual dengan Asyikin di YMS. Dia mengingatkan mengenai emel-emel yang pernah aku kirim kepadanya sejak awal 2002 dulu. Sudah begitu lama.

Aku mengenali Asyikin pada malam Valentine's Day 2002 dan soalan yang awal dia tanya kepada aku adalah samada aku keluar dengan sesiapa pada hari Valentine. Begitulah bermula aku mengenali My Muse.

Dia baru tamat SPM dan menunggu keputusan peperiksaan. Aku masih terkial-kial dengan hidup dan bekerja di sebuah CyberCafe di Kuala Kangsar. Gambar pertama dia yang aku perolehi adalah ini,



Dan gambar terbarunya yang aku sendiri rakamkan adalah ini,



Gambar di hari perkahwinan beliau tahun lepas.

Menjelang 14 Februari ini, genap 7 tahun perkenalan kami. Aku katakan kepada Asyikin aku kenal dia dari lepas sekolah sehingga dia sudah berkahwin sedang aku masih di tempat yang sama.

Siapa yang tidak sukakan orang yang sangat-sangat menghargai diri kita. Walau aku hadiahkan dia sekeping CD kecil berisi ucapan (berbentuk Flash buatan sendiri), gembira dirinya nampak begitu jelas dan jujur.

Aku katakan lagi, aku mahu lihat apa yang akan berlaku 7 tahun dari sekarang.

Balas Asyikin mudah; aku dan anak-anak aku dan bahagia.

Ye lah tu.

Apa-apa pun, waktu kalian gembira menyambut hari kekasih di 14 Februari nanti, aku pula bahagia menyambut ulang tahun ke-7 perkenalan aku dengan Muse aku, Asyikin.

Terima Kasih untuk 7 tahun yang indah.