Stop trying to be a malay an be a malay!
Berhenti cuba menjadi seorang melayu dan jadilah seorang melayu!
Seingat aku belajar sejarah, semasa kegemilangan empayar Melaka, orang melayu amat dihormati dan dijadikan contoh. Tidak pula aku baca orang melayu membenci orang lain.Kkerana keterbukaan orang melayu, Melaka dijadikan pelabuhan bebas cukai dengan bangsa-bangsa lain datang untuk berdagang tanpa perlu risau mengenai diskriminasi kaum. Kalau aspek politik Melaka ketika itu juga, adalah dipercayai ada bangsa-bangsa lain yang terlibat dan memegang jawatan dalam istana Melaka.
Hampir 100 tahun gemilangnya empayar Melaka hinggalah mereka ditumbangkan oleh Portugis yang sebenarnya datang atas sebab ekonomi. Dan agama, mungkin.
Entah sejak bila orang melayu ini terlalu taksub dengan bangsanya sendiri sehingga apa saja yang mengusik bulu roma mereka, mereka akan melenting menghunus keris, kapak, tombak dan gigi.
Tetapi hairannya juga, melayu ini jugalah yang mengaku mereka pengikut ajaran Islam yang setia. Setiap apa perbuatan mahu saja ditunjukkan kepada dunia bahawa mereka lebih Islam daripada keturunan pembawa Islam di Tanah Arab.
Mungkin melayu ini sebenarnya spesis yahudi yang hilang (The 12 Lost Tribe). Kamu marah ye? Okay, cuba kamu fikirkan, melayu di Malaysia amat tidak suka orang bukan melayu mendominasi mereka. Melayu di Malaysia juga amat-amat berbangga menjadi melayu hingga ajaran Islam yang amat-amat terbuka kepada semua kaum dan bangsa di dunia ini seperti tidak masuk dalam satu sifat-sifat orang Melayu. Agak pelik kenapa orang melayu boleh menganut agama Islam sedang mereka amat susah hendak berdiplomasi dengan (bersifat terbuka) dengan orang bukan melayu terutamanya dalam politik.
Bila aku cakap begini, mulalah kamu akan cakap, ini berkaitan dengan survival orang melayu. Kita tidak mahu melayu jadi golongan kelas kedua di negara sendiri seperti yang berlaku di Singapura. Kamu ambil contoh Singapura? Bodoh ke apa?
Orang melayu akan terus dominan di negara ini selagi orang melayu sedar peranan dan kepentingan mereka. Orang melayu akan terus berkuasa di negara ini kerana selagi kaum-kaum lagi tidak menjadi majoriti (secara teknikal, lebih banyak bilangan mereka). Orang melayu akan sentiasa jadi minoriti (kelas kedua... atau kelas ketiga) dalam bidang ekonomi kerana orang melayu malas sangat hendak belajar. Mereka lebih suka baca Mangga, menonton Raja Lawak dan menjerit-jerit melihat Faizal Tahir pakai baju Superman.
Kamu tahu, dari kamu membenci yahudi itu sebenci-bencinya, baik kamu kaji balik kenapa orang yahudi boleh menjadi begitu maju dan dominan di dunia ini sehingga kalau kamu jentik telinga seorang yahudi, kamu akan di balas dengan meriam kereta kebal. Membenci dan marah tidak menyelesaikan masalah. Malah ianya akan cuma mewujudkan pengebom berani mati yang bodoh dan tidak diredhai Allah.
Aku cadangkan perkara yang mudah. Pergi Borders (maaf kalau kamu tinggal jauh dari Kuala Lumpur), cari sudut agama (Religion). Sana kamu akan dapat banyak buku-buku berkaitan agama di dunia. Salah satu sudut, pasti ada mengenai Yahudi dan agamanya. Ada juga buku mengenai adab-adab dan tradisi yahudi. Aku minta kamu baca itu. Baca adab-adab dan tradisinya. Aku tahu kadang-kadang orang akan post dalam emel kamu mengenai adab-adab dan tradisi bagaimana orang yahudi membentuk anak-anak mereka, sebagai perbandingan dengan kita yang selalu abaikan anak-anak kita. Kali ini, kamu baca sendiri dari buku yang ditulis oleh kaum mereka. Tetapi maaf juga kalau kamu tidak memahami bahasa Inggeris. Itu salah kamu, bukan aku.
Apa motif aku? Bagi aku mudah. Orang yahudi kita tahu sejak dahulu membenci bangsa lain dan tidak senang melihat orang lain maju. Tetapi mereka tidak letak benci dan marah mereka itu di atas dalam list keperluan hidup mereka. Apa yang mereka buat adalah memperbaiki diri sendiri hingga menjadi lebih baik daripada orang lain di dunia ini.
...dan kemudiannya orang lain di dunia ini menjadi benci dan marah kepada mereka.
Salah orang yahudi juga?
Begitu juga melayu. Marah, benci dengan bangsa lain di Malaysia ini yang kononnya cuba mengambil ruang-ruang hak orang melayu. Tetapi kita tidak sedar, dengan kita yang tidak kemana ini sedang bangsa lain sudah melompat lebih tinggi (agak tidak sesuai dengan situasi politik sekarang). Aku perbetulkan. Tetapi kita tidak sedar, dengan kita yang tidak kemana ini sedang bangsa lain sudah berlari lebih jauh dari kita, takkan kita hendak halang mereka? Apa daya kita? Kuasa politik? Ingat, politik itu cuma 4 - 5 tahun sekali dan dikuasai oleh cuma sebilangan kecil manusia yang mungkin 99% daripada mereka lebih mementingkan diri sendiri dahulu. Kuasa sultan dan raja? Mereka juga hanya beberapa orang yang bersifat keturunan yang sudah pasti bila bersifat keturunan, lebih selesa di kalangan mereka dan untuk kepentingan mereka. Kerana kalau mereka itu mengambil berat tentang rakyat mereka, mereka tidak akan menggunakan Mercedes-Benz, Bentley, Maybach dan Rolls-Royce sebagai kenderaan mereka. Sebaliknya mereka akan menjadi seperti Umar Al-Khattab yang mempimpin rakyat dalam keadaan merendah diri.
Jadi apa yang kita boleh buat sebagai orang melayu? Pendidikan dan ekonomi. Ianya adalah aset kekal yang akan berterusan dari generasi ke generasi. Didik dari kecil supaya menjadi manusia yang amat-amat berjaya di masa akan datang tetapi tidak terus melupakan bangsanya. Sebaliknya dari kejayaan mereka itu, mereka wujudkan konsortium membantu orang-orang melayu lain sehingga yang lain itu juga berjaya dan seterusnya begitu hingga 30 - 40 juta yang mengaku mereka melayu itu akhirnya akan jauh lebih berjaya dari yahudi yang beberapa juta. Selepas itu kita kukuh ekonomi dan kuasa politik (barulah sibuk dengan politik), kamu boleh berdiri atas kaki sendiri tanpa perlu risau orang hendak mengambil ruang hak kamu.
Tidak perlu bersusah payah di waktu kamu kuat dan berkuasa. Sebab itu pendidikan dan ekonomi jauh lebih penting dari kuasa politik.
Lepas itu, kamu boleh lihat bagaimana orang lain akan membenci kamu sebagaimana kamu membenci orang lain sekarang.
Cuma, aku tidak setuju dengan kebencian kamu itu...
No comments:
Post a Comment