Lebih 10 tahun dulu, itulah perkara yang sama aku lakukan dengan seorang sahabat, Bob. Namun dulu, yang ada cuma Plaza Imbi. Setiap hujung minggu pasti akan sesak dengan manusia mencari komputer, software (sudah tentu cetak rompak) dan lain-lain barangan elektronik. Ada juga terselit sebuah kedai menjual alat permainan kawalan radio.
Ketika itu, mereka yang pergi boleh dikatakan ramai lelaki dan bermuka geek. Jarang ada awek yang akan pergi beli barangan komputer. Itu tidak menghairankan lagi sekarang. Kalau lihat di Plaza Low Yat, ramai perempuan yang datang membeli komputer, laptop dan lain-lain barangan elektronik. Malah, mereka juga sudah pandai tawar menawar harga.
Aku yang selalu pergi sampaikan tokey kedai sudah kenal dan tahu apa yang aku mahu. Itu ketika aku sedang seronok dengan kerja memasang komputer tempahan orang. Ada waktunya dulu memang aku tidak jujur dalam berurus niaga. Aku minta maaf. Maklumlah, tiada kerja dan mahukan wang. Pesanan berharga RM2000, aku siapkan dengan komponen yang berharga cuma RM1300. Memang murah kerana barangannya juga berkualiti rendah.
Bila aku beli dan pasang untuk diri sendiri, aku sedari sesuatu. Aku mahukan yang terbaik dan pulangan maksima dengan setiap sen yang aku keluarkan. Semenjak dari itu, aku keberatan untuk memenuhi permintaan orang untuk memasang komputer. Sekarang, aku tidak mahu melakukannya lagi. Kenapa?
Pertamanya, ianya takkan menguntungkan aku. Malah pada awal aku sedar, aku beli komponen komputer dengan harga yang sepenuhnya dengan modal yang diberikan pelanggan dan aku bawa pulang komponen itu untuk dipasang dengan teksi yang aku bayar dengan duit aku sendiri. Bodoh bukan? Namun kerana mahukan pelanggan dapatkan pulangan terbaik, aku sudah tidak pandai untuk membelok sana sini untuk mengaut untung.
Jadi lebih baik aku berhenti saja dan cuma memberi khidmat nasihat dan bantuan teknikal sekiranya ada yang memerlukan. Lama kelamaan skil yang ada, pudar. Bukan langsung tidak tahu, cuma agak terlalu kekok.
Lagipun, aku terlalu mementingkan kualiti. Kalau kamu lihat aku memasang komputer, ianya sama seperti kamu melihat orang melukis. Perlahan, lembab dan membosankan. Jadi aku tidak pasangnya lagi. Aku mahu guna saja.
Kini, setiap kali orang datang meminta nasihat, pertama, kalau ada duit yang cukup, aku akan suruh beli komputer jenama Apple. Kalau tidak, beli saja laptop. Pilihan membeli desktop adalah pilihan terakhir dan kiranya mahu juga desktop, aku akan berikan spesifikasi yang agak mahal kerana aku mahu mereka guna untuk jangka masa yang lama.
Sering juga aku sarankan mereka ke Tomshardware.com kiranya mahu mengetahui lebih lanjut hal PC atau website berkaitan. Aku sekarang tiada masa untuk memasang komputer. Cuma ada beberapa nasihat aku;
- Fikir dulu sebelum beli. Beli untuk apa. Kalau untuk memudahkan kerja dan kamu aktif di luar, beli laptop. Kalau kaki games dan sentiasa mahu main games yang terkini, beli PC dengan harga tidak kurang RM2500 (sebenarnya kad grafik dan prosesor pun ada yang lebih mahal dari harga ini). Lebih berbaloi.
- Kalau kamu ada lebih RM5000, beli Apple. Selesai masalah. Tamat cerita, tutup komputer. Tido.
- Kalau kamu upah orang pasang sendiri komputer dan dia membelinya di Low Yat atau di mana-mana kedai komputer, ingat, jaminan komponen barangan adalah berbeza antara satu sama lain. Jaminan HDD tidak sama dengan jaminan RAM. Begitu juga jaminan mouse tidak sama dengan jaminan keyboard. Masing-masing ada jaminan sendiri, bukan jaminan menyeluruh. Maka, kalau satu barang rosak, kamu cuma boleh/boleh tukar barang tersebut saja mengikut tempoh masa jaminan. Jadi, pastikan apa jaminan yang kamu dapat untuk setiap komponen PC kamu. Kalau orang beri kamu jaminan menyeluruh, maknanya dia beli set tersebut siap pasang pada harga yang lebih rendah dan kemudian jualnya kembali pada harga yang lebih mahal. Bukan senang hendak menjamin tau tak.
- Begitu juga dengan software (perisian). Kadang-kadang orang keliru bila diberitahu komputer yang dibeli telah sedia dipasang Sistem Operasi (OS) Windows dan lain-lain. Kalau original, kamu akan nampak sticker atau sekurang-kurangnya diberikan kotak beserta CD OS tersebut yang mengandungi nombor siri dan lain-lain maklumat. Sekurang-kurangnya ada buku panduan. Kalau kamu dapat juga CD yang kamu lihat lebih kurang sama dengan CD filem cetak rompak, memang sah itu CD cetak rompak.
- Juga ingat, Cuma ada tiga versi Windows XP yang original. Windows XP Home, Windows XP Professional dan Windows XP Media Center Edition. Windows XP Black, Blue, Green dan lain-lain yang bertemakan warna adalah palsu. Lagipun, lebih baik dapatkan Windows Vista daripada memasang Windows XP yang berpura-pura menjadi Vista. Microsoft tidak pernah membuat versi itu. Kalau kamu sanggup sabar sikit, Windows 7 akan keluar tidak lama lagi.
- Juga berkaitan dengan perisian. Sebenarnya kamu ada hak dan kamu boleh nyatakan kepada pemasang perisian apa yang kamu mahu. Kalau kamu mahu Norton Antivirus, dan bukan AVG, kamu patut dapat Norton. Kalau kamu kata kamu mahu Nero Burner, mereka patut install Nero Burner, dan bukannya burner lain yang kadang-kadang pemasang sendiri tidak reti guna. Dan percayalah, ada sesetengah pemasang yang selalu install software mengikut citarasa mereka semata-mata. Sebab itu selalu juga kamu hadapi dan lihat software yang kamu tidak fikir kamu akan guna atau mahu guna. Ianya membazir ruang HDD kamu, malah RAM kamu sekiranya software tersebut sebenarnya berfungsi secara senyap di belakang.
- Jangan risau dengan soundcard kerana hampir kesemua motherboard baru sudah memang tersedia dengan soundcard. Situ kamu boleh jimat sekurang-kurangnya RM30 atau biasanya RM100. Kalau masih juga tidak puas hati dan telinga kamu cuma boleh dengar bunyi yang terbaik, maka belilah kad bunyi (soundcard) yang lebih mahal.
- Ada beberapa teknologi yang masih baru dan mahal tetapi bakal menjadi lebih popular di masa akan datang. Jadi pastikan komponen asas kamu sekurang-kurangnya boleh berfungsi dengan barang teknologi baru ini. Contohnya RAM DDR3 yang jauh lebih efisien dan pantas, SSD atau Solid State Disk yang bakal menggantikan HDD biasa. SSD tiada komponen bergerak menyebabkan ianya lebih jimat penggunaan tenaga dan mungkin, lebih pantas. Blue-Ray disk masih tidak diperlukan sehinggalah ada manusia yang boleh crack "kunci" Blue-Ray. Lain-lain, sila rujuk Tomshardware atau portal LowYat.net.
- Rancang jangkamasa penggunaan komputer yang kamu mahu beli. Berapa lama kamu akan guna komponen yang sama sebelum, mungkin kamu beli baru. Lebih lama, maka lebih mahal kos barangan yag kamu perlu beli.
- Akhirnya, seperti kata aku sebelum ini, lihat peluang untuk beli Apple. Kamu takkan rugi dengan Apple.
Itu serba sedikit. Penting; fikir, tanya, kira dan evaluasi sebelum membuat keputusan.
No comments:
Post a Comment