31.3.07

Pink

Susahnya hendak menulis. Tidak tahu apa lagi hendak dituliskan. Tapi semalam aku bertemu dengan ramai sahabat. Aku jumpa Amron Roni (if you're wondering, he is the producer for TV-9 Chef Wan Talk Show), sahabat lama aku semasa di sekolah. Aku last jumpa dia 15 tahun dulu. Takde beza sangat pun dia. Cuma sekarang dia berkata-kata dengan bahasa yang langsung aku tak faham. Bahasa orang-orang media mungkin. Jumpa Sherry, ex-girlfriend Amron dan peliknya datang dengan Amron. Hmm... Aku jumpa Ema dan husbandnya, seorang photographer dan aku boleh berbual mengenai fotografi. Aku jumpa Renny, ex-girlfriend aku semasa di sekolah dulu. Still baik dengannya. Takde motif nak gaduh.

Tapi sebelum tu aku jumpa Asyikin. Lama dah tak jumpa. Banyak yang hendak diperkatakan. Tapi akhirnya lebih banyak mengenai warna pink. Peliknya... Semuanya pink dari mencari baju pink, teddy bear pink hingga ke handset pink. Handset pink susah betul nak jumpa dan kalau ada pun semuanya limited edition atau special edition. Kenapa ye?

Kenapa Asyikin sukakan warna pink? Kalau ikutkan dulu memang dia tak berapa suka. Tapi sekarang ni, apa saja yang dilihat, semuanya dah jadi pink. Hehe. Agaknya dia jadi color blind macam aku. Jangan marah. Kemudiannya makan Burger King, kali kedua dalam hidup buat Asyikin. Kali entah ke berapa ratus buat aku sendiri. Seterusnya mencari Estee Lauder Passion Exotic. Mungkin yang lama sudah hampir habis. Aku hadiahkan kepadanya tahun lepas. Aku sendiri tak pernah guna parfume sebegitu. Dan aku jarang sangat-sangat gunakan parfume.

Kemudian aku beli sehelai jaket yang sudah begitu lama aku cari. Hush Puppies. Biarpun tidak berapa sesuai dengan aku (mungkin akibat saiz badan), tapi biar aku beli dulu. Lagipun ada diskaun.

Ah... mungkin saja aku patut tukar blog ini jadi FROSSONICE : ALL ABOUT ASYIKIN. Hehe...

6.3.07

Semua orang ada kisah cinta pertama yang hendak diceritakan

Mengingatkan filem Mukhsin yang bakal ditayangkan 8 Mac nanti, aku tertarik dengan puncanya,

"Semua orang ada kisah cinta pertama yang hendak diceritakan"

Kalau begitu bunyinya, maka mungkin aku ada beberapa. Malah mungkin ini pertama kali aku ceritakan kepada sesiapa pun mengenainya secara jelas.

"Cinta yang pertama" mungkin berlaku kira-kira 24 tahun dahulu di sebuah sekolah di Gerik, Sekolah Rendah Kebangsaan Mahkota Sari. Nama dia Farah Needa. Waktu itu aku hanya berumur 8 tahun. Entah apa yang aku rasa dan mungkin aku sendiri yang tidak faham tapi aku pasti yang aku tertarik dengan dia. Hendak dikatakan Farah Needa cantik, tidak juga. Biasa seperti mana orang lain yang biasa.

Kalau tidak silap aku, keluarganya berasal dari Kelantan dan menetap di Gerik sementara ayahnya bekerja menyiapkan Lebuhraya Timur-Barat yang menghubungkan Jeli dan Gerik. Mereka tinggal di sebuah kem untuk pekerja pembinaan lebuhraya di Batu 2, Gerik, sudah hampir dengan Bersia (orang-orang sana tahu la).

Aku tak ingat bagaimana aku mula suka padanya tapi mungkin pada ketika itu dia adalah penolong ketua darjah dan aku adalah ketua darjah. Setahu aku, bukan aku seorang saja yang sukakan dia. Ada seorang yang namanya Fadhli turut sukakan dia. Seingat aku juga kami berebut untuk dapatkan dia. Mungkin kelebihan sikit pada Fadhli sebab dia naik bas sekolah pergi dan balik dan mereka tinggal di tempat yang sama. Aku cuma berbasikal kesekolah.

Tapi menjelang kami darjah tiga, keluarganya telah berpindah kembali ke Kelantan setelah selesai lebuhraya dibina. Aku masih ada gambar kenangan disekolah bersama dia dan Fadhli, gambar budak-budak kelas dengan cikgu, gambar tahunan. :)

Sampai sekarang aku masih ingat dan pernah juga aku bualkan hal ini dengan Fadhli lebih 10 tahun lalu dan kami sama-sama ketawa. Kecik-kecik dah pandai.

====

Kemudiannya sewaktu aku darjah 3, aku suka pula pada seorang yang bernama Izzurina. Kali ini persaingannya lebih banyak. Dan paling peliknya, Fadhli juga turut bersaing untuk Izzurina. Sedang aku sendiri tidak sedar yang kawan-kawan fikir aku sukakan seorang lain yang bernama Mashima. Sampai setelah sekian lama, orang masih bertanya kebenarannya.

Kenapa aku sukakan Izzurina? Dia cantik. Itu yang pasti. Dia duduk belakang aku di dalam kelas dan merupakan mangsa usikan aku setiap masa. Malah dia juga adalah salah seorang pesaing aku dalam pelajaran selain kawan baiknya, Caroline. Kalau tidak aku, mesti Caroline yang akan dapat nombor 1 dalam ujian bulanan. Hmm.. Kenapa aku kurang bijak sekarang ye?

Ada satu peristiwa, semasa pendidikan jasmani; entah apa akal cikgu yang mengajar satukan kami lelaki perempuan dalam court netball. Kalau budak-budak lelaki yang dah terbiasa tengok aksi bola keranjang, mereka akan mainkan cara bola keranjang. Budak perempuan pula pastinya akan mainkan cara bermain bola jaring. Maka kecoh dengan jerit, tolak menolak dan marah-marah. Tanpa aku sedari aku telah tertolak Izzurina hingga jatuh. Dia menangis dan merajuk dan mengadu kepada cikgu. Aku menonong saja mengikutinya dari belakang kononnya cuba meminta maaf. Dia berhenti dan duduk di atas akar kayu pohon ara yang besar. Aku cuma terpaku berdiri dan melihatnya mengesat air mata.

Semenjak dari itu, aku sudah tidak lagi mengusik dia dan tidak lagi sebaik yang sebelumnya dengan dia.

Sebelum habis darjah tiga, aku dapat tahu yang aku akan berpindah ke Kuala Kangsar mengikut keluarga. Hati jadi berat. Suatu hari semasa duduk di pondok menunggu bas depan rumah dengan seorang kawan, Suhaila namanya. Dia bertanya,

"Betul ke kau suka Izzurina, Idan?" (aku dah ubah bahasanya, korang takkan faham bahasa orang Gerik cakap)

"Betul. Tapi tak lama lagi aku nak pindah. Tak boleh buat apa la."

"Takpe la Idan, kat sana kau jumpa orang lain pulak."

Secara tidak diduga, kereta Ford Laser berwarna biru melintasi depan kami. Kereta yang dipandu emak Izzurina dan dia yang duduk di belakang.

"Aku akan ingat..."

Itu yang terakhir aku cakap mengenainya. Beberapa bulan kemudian aku berpindah ke Kuala Kangsar. Setahun kemudian Izzurina berpindah ke Kuala Lumpur. Kali terakhir aku dapat tahu dia tinggal di Shah Alam. Di situ, sewaktu tingkatan 5, aku menulis surat terakhir untuk dia...

====

Kemudiannya Fatimah Tun. Itu sewaktu darjah 6. Tapi sebenarnya aku tidak pernah melihat atau lebih jelas lagi aku tidak pernah kenal yang mana satu Fatimah Tun. Dia ada kembar dan setiap kali ada, mereka ada berdua. Jadi aku tidak tahu yang mana satu dia sebenarnya.

Hakikatnya bukan aku yang sukakan dia. Dia yang sukakan aku dan kawannya, budak sekolah aku juga yang memberitahu kepadaku. Sewaktu di Kuala Kangsar, aku bersekolah di sekolah Clifford, sekolah lelaki semuanya. Jadi aku tidak kenal seorang pun perempuan melainkan adik-adik aku sendiri. Malah dirumah yang aku duduk, tak ada perempuan yang sama baya dengan aku. Yang tua-tua ada la.

Setelah aku tahu yang ada orang sukakan aku dan aku tahu siapa namanya dan dimana tinggalnya, maka aku amat-amat berminat untuk melihatnya. Jadi sanggup aku bersusah payah kayuh basikal lebih 3 kilometer untuk sampai ke rumah dia yang kebetulan dekat dengan rumah kawan-kawan aku. Maka setiap petang aku akan ajak kawan-kawan berbasikal dihadapan rumahnya dengan harapan dapat sekurang-kurangnya melihat dia.

Tapi seperti yang aku katakan, setiap kali aku nampak, aku akan nampak dua mereka. Jadi aku tidak tahu mana satu Fatimah Tun yang sebenarnya. Puas kawan-kawan aku beritahu yang mana satu siap dengan warna baju yang dia pakai. Malangnya, aku rabun warna. Jadi, sehingga hari ini aku tidak pasti yang mana satu Fatimah Tun.

Ada beberapa lagi yang minat dengan aku tapi cuma seorang yang betul-betul aku kenal sebab dia ajak aku jumpa dalam Fun Fair. Aku dah lupa namanya. Aku jumpa tapi mungkin aku agak malu, langsung aku tidak berbual dengannya. Aku cuma tengok dari jauh. Cuma kakaknya pernah cakap,

"Kalau malu, apa pun tak dapat!"

Aku gelak dan aku kesal juga. Orangnya hitam manis berambut lurus paras bahu. Kalau hendak digambarkan sekarang, kali terakhir aku jumpa dia semasa sama-sama belajar di UiTM Shah Alam; dengan stail rambut yang sama, berbaju t-shirt putih lengan pendek dan berseluar jeans biru. Itulah dia yang masih terbayang didalam benak otak ini.

Aku sukakan dia? Entah. Mungkin secara suka-suka main-main saja. Tidak serius.

====

Semua itu berlaku sebelum aku berumur 13 tahun. Zaman sekolah rendah. 4 orang semuanya dan hanya seorang yang aku betul-betul suka, Izzurina. Sayangnya dia tidak tahu mengenainya.

Kenangan terakhir dimata ini; dalam perpustakaan tingkat tiga sekolah sewaktu hujan lebat, aku duduk bersetentangan dengan dia di meja yang sama. Dia sedang membaca dan aku cuma memerhatikannya...

Aku akan ceritakan seterusnya sewaktu zaman sekolah menengah hingga kini nanti...

====

Cerita ini aku dedikasikan untuk Lea dan Asyikin. Mereka yang membuat aku sentiasa tersenyum. Hidup aku ini tidak selalunya suram. Suatu masa dahulu ianya penuh dengan warna warni, penuh gembira dan penuh keceriaan.

Hidup ini dahulunya extrovet, aku berani dan cekal. Kini aku introvet dan amat-amat pendiam. Aku tidak berani untuk lakukan apa-apa pun kerana akhirnya selalu dalam kegagalan.

Untuk Asyikin dan Lea, terima kasih kerana menggembirakan hati ini dan membuat aku senyum. Terima kasih.

4.3.07

I do not love you as if you were salt-rose, or topaz,
or the arrow of carnations the fire shoots off.
I love you as certain dark things are to be loved,
in secret, between the shadow and the soul.

I love you as the plant that never blooms
but carries in itself the light of hidden flowers;
thanks to your love a certain solid fragrance,
risen from the earth, lives darkly in my body.

I love you without knowing how, or when, or from where.
I love you straightforwardly, without complexities or pride;
so I love you because I know no other way
than this: where I does not exist, nor you,
so close that your hand on my chest is my hand,
so close that your eyes close as I fall asleep

Poem by Pablo Neruda

====

Sebuah puisi yang cukup-cukup menarik dan sering aku gunakan untuk dihadiah kepada seseorang. Puisi karya Pablo Neruda ini aku kenali semasa menonton filem Patch Adam lakonan Robin Williams yang mengisahkan seorang doktor yang menggunakan ketawa/kegembiraan untuk merawat kesakitan. Cerita betul walau jalan ceritanya mungkin banyak yang dah berubah.

1.3.07

Seminggu Ini

Tidak menulis bukan kerana kekurangan idea. Tetapi kerana memikirkan sesuatu. Memikirkan hidup yang makin keliru. Memikirkan hidup yang semakin sulit. Memikirkan hidup yang semakin sunyi.

Tidak menulis bukan kerana semakin bosan. Tetapi kerana hidup seperti bayangan deja vu. Setiap hari seperti sama. Kerana cerita yang hendak ditulis tidak memadai untuk ditulis. Mungkin juga tidak perlu ditulis.

Aku berfikir hendak pindah dari rumah yang aku tinggal selama lebih 4 tahun ini. Aku mahu lebih dekat dengan tempat kerja dan lebih murah kos. Sekarang ini rasanya tidak berbaloi dengan apa yang aku perolehi. Terlalu mahal. Senangnya sekarang, aku tidak perlu sangat memikirkan perihal pengangkutan. Senang sebab ada depan mata. Makan lagi senang. Lokasi amat-amat strategik. Kalau aku berpindah ke tempat baru nanti, pertamanya kesukaran pengangkutan. Walaupun aku ada kereta, tapi aku tidak selalu mahu memandunya.

Mungkin dalam masa beberapa bulan lagi aku akan buat keputusan. Mungkin juga secepat mungkin.

====

Aku menonton Ghost Rider dengan Lea, office-mate aku. Aku tak berapa minat nak menontonnya. Tetapi disebabkan dia nak sangat tengok, aku temankan. Aku lebih mahu tengok Music & Lyrics. Tapi di TGV Mines, takde. Jadi kena la tengok Ghost Rider.

Langsung tak best. Entah tapi aku rasa terlalu lembab untuk sebuah filem aksi berinspirasi komik. Hingga Lea yang ada di sebelah pun tak senang duduk menahan bosan, agaknya. Tapi kami tengok juga sampai ending.

====

Kerja di pejabat sudah siap. Maka agak santai untuk aku minggu ini.

Mengantuk...