28.12.07

Bahagia

Apa yang dicari dalam hidup ini?

Empat hari lagi bakal menjelma tahun 2008. Semakin dewasa hidup ini, semakin pantas masa berlalu. Hingga tidak terasa musim yang dilalui, kini menjelma pula musim yang baru.

Sebenarnya aku sudah penat. Penat mengejar bayang-bayang hidup dan penat bermain-main di gigi air sedang yang indah hanya wujud nun di tengah sana, yang langsung tidak akan dapat aku capai. Aku penat berusaha secara jujur untuk memperolehi sesuatu kerana kejujuran aku itu akhirnya dilihat sebagai gangguan oleh orang lain. Aku penat berjalan dan mendengar kata-kata mereka sepanjang jalan itu yang bila tiba di penghujung simpang, mereka berlalu saja meninggalkan aku terus berada di situ. Aku penat memberi sesuatu kerana pemberian itu tidak pernah dilihat lebih dari sebuah penghargaan semata-mata, bukan suatu pengharapan.

Kecewa? Tidak. Aku tidak kecewa. Tidak sama sekali. Aku cuma penat. Itu saja. Sudah tidak ada istilah kecewa dalam hidup ini sejak lama dahulu. Sudah pudar dengan secara perit jerih hidup yang dilihat orang lain sebagai bahagia, sedang aku tidak pernah merasakannya. Aku sudah tua mungkin. Sudah letih dengan permainan hidup orang muda kerana mereka yang sebaya dengan aku samada sudah mampu duduk tenang damai atau sedang berlari dibawa angin. Sedang aku, ah... samada kaki aku tertanam dalam di tanah atau mata aku terpejam lama dari melihat keindahan di sekeliling. Aku yakin aku tidak kecewa. Kerana aku tersenyum apabila memikirkannya. Tidak mungkin aku kecewa kerana tidak ada apa yang perlu aku kecewa.

Ahmad Sharidan pada 1981 sedang berjalan-jalan di penghujung petang bersama ayah sambil ayah bercerita mengenai sekolah yang bakal aku lalui beberapa hari kemudian. Aku tidak berasa sedikit pun risau. Aku tidak berasa sedikit pun takut. Kerana aku tahu aku akan pergi ke suatu tempat di mana aku akan temui kegembiraan sepanjang waktu aku di sana nanti. Aku akan bersama-sama kawan-kawan yang tidak mengenal warna kulit, saiz badan ataupun kecantikan peribadi untuk asas sebuah persahabatan. Aku pergi ke suatu tempat di mana kejahilan hidup adalah kebahagian sepanjang masa. Peduli apa aku dengan dunia yang berputar dan mengeluh.

Ahmad Sharidan pada 1985 sedang duduk dalam kelas beberapa hari selepas berpindah ke sekolah baru di bandar yang baru dengan orang-orang sekeliling yang tidak dikenali tetapi tidak perlu aku takuti atau risau. Kerana aku tahu esok lusa aku akan temui sahabat-sahabat yang sanggup berlari-lari di dalam hujan mengejar penghujung pelangi. Sahabat-sahabat yang mengibarkan skaf Coventry City pemberian kakak seorang rakan yang belajar di sana kepada bas-bas sekolah yang melintas di hadapan dengan harapan ada gadis-gadis yang memandang dan menyukainya. Kerja budak naif tetapi tidak perlu dirisaukannya.

Ahmad Sharidan pada 1989 semasa beratur mendaftar di sebuah sekolah baru nun jauh dari tempat asal. Buat pertama kalinya hidup jauh dari keluarga, tidak lagi mereka untuk aku memerlukan di waktu perlu. Aku tidak berasa takut kepada apa yang mendatang kerana aku lebih takutkan buli yang bakal diterima (hakikatnya tidak pernah diterima). Aku pasti, seramai 126 orang yang mendaftar pada hari itu akan menjadi sahabat-sahabat yang baik antara satu sama lain yang sanggup berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Kerana kehidupan yang mendatang sungguh jauh tidak dapat dilihat dan difikirkan.


Ahmad Sharidan pada penghujung 1993 di sebuah universiti mula merasakan perjalanan hidup yang bakal ditempuhi adalah begitu sukar dan tiada ruang yang jelas untuk berdiri. Namun di sana masih ada sahabat-sahabat di kala susah dan ada kekasih di kala sepi. Jalannya tidaklah lancar dan lurus, lebih banyak halangan yang timbul dan lebih banyak tekanan yang melanda hingga akhirnya aku tidak menjadi apa yang sepatutnya aku jadi. Namun aku teruskan juga.

Ahmad Sharidan 5 hingga 10 tahun lalu adalah seorang yang dalam kehidupan yang amat-amat sukar dan kosong. Tanpa kerja dan tanpa tangan yang menolong kecuali sekali sekala ada yang sudi membantu. Mulai saat itu berlaku kekosongan yang amat nyata. Rupanya hidup ini adalah dunia yang bahagia semata-mata. Manusia-manusia yang susah dan pudar harapan tidak layak untuk berjalan dengan orang-orang yang bahagia dan gembira. Mungkin nampak cacat. Entah.

Ahmad Sharidan yang sekarang adalah yang gembira dan damai hati, tidak perlu untuk kecewa dalam keadaan apa saja. Mana mungkin? Aku pasti kerana aku tolak buang semua yang negatif dan aku cuma mahu yang baik-baik saja supaya orang nampak aku bahagia dan damai dan supaya aku boleh berjalan bersama-sama mereka walau hanya sementara waktu.

Nampak aku sedang bahagia sekarang?

26.12.07

Membuang Melayu Yang Tidak Diperlukan

Aku rasa aku faham sedikit kenapa kaum bukan melayu berasa tersinggung dengan apa yang berlaku di Malaysia masa kini. Tapi aku tidak mahu bicarakan perkara-perkara yang semua orang sudah tahu dan semua orang sedar. Ini aku lihat perkara-perkara kecil yang sedikit sebanyak telah melonggarkan ikatan perpaduan antara kaum di Malaysia.

Semasa aku sedang berjalan kaki untuk ke Maybank Putrajaya yang terletak di bangunan Putrajaya Corporation (PjC) berhadapan dengan Palace of Justice (Istana Kehakiman - seperti yang tertulis di gerbangnya), aku melintas sebuah auditorium di PjC. Aku cuma mengenalinya sebagai sebuah auditorium sebelum ini, tidak lebih dari itu. Namun tadi aku lihat ianya sudah diberi nama. Auditorium Cempaka Sari. Cantik namanya, walaupun binaannya cukup futuristik dan moden. Kemudian aku berfikir, kenapa beri nama Cempaka Sari? Adakah kerana nama itu sedap dibaca dan didengar atau kerana nama itu ada sifat kemelayuan dan sebagaimana yang diketahui, kebanyakkan kakitangan awam adalah berbangsa melayu, maka nama tersebut pastinya lebih mudah digapai dan dicadangkan semasa proses penamaan dijalankan?

Secara umumnya dan amat-amat jelas ianya berbunyi melayu dan bersifat melayu sedang auditorium adalah sebuah kompleks yang selalunya melibatkan pelbagai bangsa dan agama di dalamnya semasa satu-satu acara. Aku tidak akan persoalkan sekiranya nama tersebut digunakan di kawasan yang majoritinya orang melayu di situ atau keadaan persekitarannya yang sesuai seperti di kampung dan dalam bangunan yang ramai orang melayu. Aku mempersoalkannya kerana di hadapan adalah sebuah mahkamah yang sekular, bebas dari belenggu kebangsaan (sepatutnya) dan lokasinya pula di Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan persekutuan.

Aku lebih senang kalau ianya dinamakan seperti Auditorium Perpaduan, Auditorium Bunga Raya atau mungkin Aurora sebagai singkatan kepada Auditorium Orang Ramai. Lebih sesuai rasanya dan sama futuristik dan moden dengan bangunan yang tersergam.

Aku fikir, memelayukan sesuatu tempat, bangunan dan apa saja yang bersifat untuk orang ramai tidak mengira bangsa dan agama adalah tidak lebih daripada sebagai provokasi dan diskriminasi kaum secara tidak langsung. Bagi aku, untuk mencapai perpaduan kaum, tidak boleh ada dalam sesuatu keadaan di mana sifat-sifat suatu kaum ditonjolkan dengan lebih jelas berbanding kaum lain. Terutamanya dari segi infrastruktur. Kerana ianya ada secara jelas menafsirkan sifat tempat itu. Sepatutnya infrastruktur awam bersifat liberal dan kalau ingin membudayakannya, mestilah dibangunkan dengan budaya Malaysia, bukan khusus kepada sesuatu kaum. Sebenarnya aku sendiri tidak gemarkan kubah berbentuk bawang di atas Istana Kehakiman kerana ianya bercirikan islamik sedang undang-undang yang terpakai di dalamnya langsung tidak islamik. Kemudian islam itu sendiri di Malaysia ini khususnya membawa perlambangan melayu walaupun islam di seluruh dunia bersifat universal. Kerana realitinya menjadi seorang yang beragama islam di sini adalah sama seperti menjadi seorang melayu, maka apa saja objek bersifat islamik di Malaysia ini akan disamakan dengan sifat-sifat melayu.

Sebab itu mala mula-mula merdeka dahulu kita lihat Tunku Abdul Rahman seboleh-bolehnya cuba untuk tidak memelayukan infrastruktur yang ada dengan tujuan untuk ianya nampak universal dan liberal. Stadium Merdeka, Stadium Negara, Federal House dan malah Masjid pun dinamakan Masjid Negara, langsung tidak ada sifat-sifat merujuk kepada sesuatu bangsa, baik dari segi nama mahupun dari segi seni binanya. Ya, ianya lebih bersifat kebaratan tetapi nilai seni bina barat itu sebenarnya untuk meneutralkan apa saja yang bersifat bangsa di dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai bangsa.

Sekarang kalau pergi ke Putrajaya, perkara yang jelas sekali adalah kubah yang out-of-context di Putra Perdana dan Istana Kehakiman. Aku tidak kisah dengan arch yang islamik kerana arch adalah universal. Tapi aku rasa tidak perlu ada kubah di bangunan-bangunan yang memanjang kerana tidak menarik. Kalau masjid bolehlah, tapi sebenarnya masih kurang sesuai dengan suasana Malaysia. Aku tidak nampak apa rasionalnya kerana ianya tidak pun membantu pengaliran udara dalam masjid melainkan nampak cantik semata-mata.

Berbalik dengan nama bangunan. Perlukah kita memelayukan semua nama bangunan, jalan, lokasi dan jambatan yang ada di Malaysia ini hanya kerana ini adalah Malaysia? Aku rasa Malaysia adalah lebih dari itu. Malaysia lebih dari Seri Gemilang, Seri Saujana, Seri Bistari dan juga Cempaka Sari. Kalau letak Auditorium Cempaka pun aku rasa sudah cukup untuk bersifat liberal kerana ianya adalah bunga. Apabila ditambah dengan perkataan 'Sari', maka ianya secara automatik menjadi melayu kerana hanya melayu yang selalu menggunakan perkataan itu di Malaysia ini (melainkan kain sari).

Atau kita boleh meniru gaya orang Indonesia yang suka meringkaskan nama-nama panjang. Balai Orang Ramai mungkin boleh jadi Balora saja seperti yang dipakai di Jengka dan juga JPN Putrajaya. Dan mungkin, Auditorium Cempaka Sari boleh ditukar menjadi Auditorium Orang Ramai atau Aurora sebagai singkatan (tiada bahasa Malaysia untuk fenomena aurora).

Pada pendapat aku, kerajaan yang memerintah sekarang perlu lebih peka dengan perkara ini. Mereka perlu lebih sensitif dengan keadaan dan persekitaran. Jangan hanya jiwa mereka sahaja yang terlebih sensitiviti melayu tanpa memikirkan sensitiviti kaum lain. Kalau mahu mulakan integrasi, mulakan dari yang kecil-kecil begini. Barulah yang besar nampak sempurna.

Orang melayu pun sudah tidak letak nama anak-anak mereka dengan nama melayu asli, kenapa sibuk hendak menamakan nama tempat, bangunan, jalan, pintu, tingkap dan apa saja dengan nama melayu?

24.12.07

Ya, Aku Kaki Wayang

Cuti lagi. Aku lebih prefer di pejabat sebenarnya. Bukan aku jenis workaholic. Cuma di pejabat ada air-con dan kerusi yang selesa untuk aku duduk sambil menaip atau buat kerja. Rumah aku takde kerusi yang sesuai untuk di buat tempat bekerja atau menaip. Jadi aku terpaksa meniarap. Ada meja tulis tetapi aku tak lagi sempat-sempat (takde duit sebenarnya) untuk membeli kerusi baru.

Takpe, sekurang-kurangnya ada Star Movie yang sedang menayangkan The Chronicle of Narnia depan mata. Oh, aku suka adegan pertemuan dengan beaver. Kelakar. Bayangkan kalau tetiba sedang korang asyik menghulurkan kacang goreng ke monyet, monyet itu berkata,

"Kacang je? Pizza takde ke?"

Satu sebab kenapa industri perfileman sekarang semakin berkembang dan mendapat sambutan adalah kerana teknologi animasi dan kemampuan untuk ianya blend dengan realiti akan sentiasa mengagumkan para penonton. Filem pertama yang berjaya menggunakan CGI untuk mempengaruhi minat aku adalah The Lost World. Bagaimana Steven Spielberg berjaya 'menghidupkan' semula dinosaur-dinosaur menjadi seperti begitu real. Star Wars 1 - 3 pula adalah definitif (apa perkataan melayu yang sesuai?) teknologi CGI dalam perfileman. Walaupun jalan ceritanya tidak sehebat Star Wars 4 - 6, namun ianya telah berjaya membawa peminat kepada dunia Star Wars yang sebenarnya, yang sepatutnya wujud ketika George Lucas pertama kali menghasilkan Star Wars 30 tahun lalu.

Malah penonton sekarang sentiasa dalam keadaan keliru untuk menentukan dimana berakhirnya realiti dan bermulanya CGI atau sebaliknya dalam satu-satu babak filem.

Namun timbul pula bicara di kalangan penggiat seni di mana kata mereka CGI telah membunuh kebolehan lakonan seseorang pelakon. Bagi aku, CGI adalah keperluan dalam menghasilkan filem seperti Narnia kerana tanpanya, tidak mungkin babak-babak utama dalamnya dapat dihasilkan dengan berkesan. Malah pada pendapat aku, Lord of The Rings tidak mungkin dapat dihasilkan dengan penuh berkesan tanpa CGI. Begitu juga Star Wars. Tetapi yang menghidupkan cerita adalah pelakon-pelakon biasa yang sekarang ini pastinya lebih sukar untuk berlakon hanya dengan gambaran di hadapan skrin hijau/biru tanpa prop yang sebenarnya. Imaginasi pelakon perlu lebih tinggi dan lebih pelbagai. Kalau filem dahulu lebih bersifat teatrikal untuk menghidupkan cerita dengan kata-kata dan pergerakan mereka. Pelakon masa kini pula perlu melakonkan babak dengan berimaginasi tentang apa sebenarnya yang berlaku di hadapan atau di belakangnya. Ah, tiada siapa yang mahu menonton The Matrix kalau ceritanya penuh dengan kata-kata seperti Gone With The Wind atau Kramer vs. Kramer.

Ini cuma apa yang terfikir di benak kepala aku. Tidak lebih cuma sebagai pendapat aku sahaja. Cuma aku kesal dengan sesetengah pendapat pengkritik filem yang menulis mengenai filem yang mereka tonton di wayang. Pengkritik filem di Malaysia ini bagi aku terlebih bersifat teknikal tanpa memahami emosional filem-filem yang mereka tonton. Malah ada sesetengah dari mereka tidak faham, tidak tahu sejarah dan tidak tahu latar belakang filem yang mereka tonton. Maka ulasan mereka menjadi tawar dan lebih bersifat tangkap muat. Setakat mereka tonton di wayang dan membuat ulasan.

Sudah aku tersasar jauh pula...

21.12.07

Semua orang ada kisah cinta pertama yang hendak diceritakan - Part 2

Kira-kira 8 bulan lalu, aku telah menulis mengenai kisah-kisah cinta pertama yang pernah aku lalui 12 tahun pertama dalam hidup aku. Lama aku ambil masa untuk menyambungnya seperti yang dijanjikan. Mungkin kerana jauh di sudut hati ini aku sebenarnya tidak mahu memperkatakan mengenai. Ianya mengimbau kenangan-kenangan lalu yang selalunya amat perit untuk aku aku lalui lagi.

Namun setelah melihat potret-potret bahagia majlis perkahwinan Lily, terdetik untuk aku beranikan diri untuk teruskan jua...

Semasa tingkatan 2, pada usia 14 tahun aku telah dimasukkan ke MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang. Batch aku cuma seramai 121 orang dengan 26 daripadanya adalah perempuan. Jadi pilihan ketika itu adalah amat-amat kecil. Namun dapat juga aku tertarik dengan seseorang. Namanya Arliza Jordana. Aku pasti rakan-rakan MRSM yang membaca blog ini mengenalinya dan akan tersenyum. Ya betul, dia orang yang pertama semasa di MRSM yang aku minati. Entah, aku sendiri tidak pasti kenapa dan bagaimana. Tapi aku pernah mengadakan sebuah 'pertemuan' di kelas B2 (aku masih ingat) di Jabatan Bahasa untuk 'melamarnya' menjadi teman wanita aku. Aku, seorang lelaki yang selama 4 tahun bersekolah bersama cuma budak-budak lelaki cuba mengorat seorang perempuan yang baru aku kenali. Aku tidak tahu bagaimana dan aku fikir itulah caranya yang betul. Aku dan dia duduk berhadapan bersempadankan sebuah meja. Seperti orang yang sedang bertemuduga. Aku sempat memuji rantainya yang ada tersemat loket bertulis namanya dalam bahasa Inggeris, Jody.

Setelah dari pertemuan itu aku tidak lagi bertegur sapa dengannya hingga dia berpindah ke MRSM Taiping penghujung tingkatan 3. Cuma pada malam sebelum majlis graduasi esoknya, sedang kami sibuk mengemaskan dewan besar, dia sedang menyapu di lantai dewan dan aku sedang menyusun kerusi di pentas. Aku memandangnya dan begitu juga dia, melihat aku. Aku senyum dan begitu juga dia, senyum. Senyum persabahatan yang tidak pernah dilupai.

Berbelas tahun kemudian ketika bertemu dengannya Jody kembali, tidak ada apa yang hendak disembunyikan dan diperkatakan. Kami berbual seperti sahabat lama berbual. Mesra.

====

Pada masa yang sama, ada seorang kakak yang turut menarik perhatian aku. Namanya Hasnizah Hassan, orang Perlis. Kak Has 2 tahun lebih tua dari aku. Disebabkan aku sudah mempunyai seorang kakak angkat ketika itu (tingkatan 2), Kak Musratulniza (Kak Mus), maka Kak Has cadangkan aku ambil dia menjadi 'adik angkat' aku. Pada mulanya aku agak pelik kenapa. Lama selepas itu baru aku tahu. Aku ingat lagi semasa aku berbual dengan sahabat-sahabat aku, Azli dan dia berceritakan mengenai suatu peristiwa. Azli adalah pemain bola tampar dan sering bersama dengan Kak Has dan seorang kakak lagi yang menjadi pujaannya. Ada seorang cikgu, Cikgu Nik yang aku fikir meminati Kak Has dan cikgu Nik ini pernah bertanyakan kepada Kak Has ciri-ciri lelaki yang diminati Kak Has. Aku tak ingat apa yang diceritakan kepada aku oleh Azli tapi Azli menyatakan kepada aku yang Kak Has meminati aku lebih dari yang aku sangkakan.

Ruginya sebab aku agak bodoh untuk memahaminya ketika itu dan menganggap ianya suatu perkara yang kelakar. Sehinggalah Kak Has tamat pengajiannya di MRSM Balik Pulau dan aku baru menyedarinya. Ah, aku tak boleh anggap ianya cinta yang pertama, bukan? Hehehe.

====

Semasa aku di tingkatan 4, aku menaruh hati kepada seorang student baru (sama batch dengan aku) yang dipindahkan dari MRSM Taiping. Namanya Zariati Zainal. Very cute dengan "chinese look"nya. Aku menulis surat kepadanya namun tiada balasan yang diterima. Akhirnya perkara yang sama berulang antara aku dengan Zariati sama seperti aku dengan Arliza Jordana sebelumnya. Aku tidak bertegur sapa dengan Zariati hingga tamat persekolahan aku di MRSM Balik Pulau. Sebenarnya perasaan aku terhadapnya pudar jauh lebih awal. Mungkin aku lebih bersedia untuk menerima "rejection". Zariati pun sekarang sudah berkahwin dengan seorang sahabat aku sendiri, Amir, goalkeeper maktab. Ok la tu.

====

Penghujung tingkatan 4, aku mula rapat dengan seorang rakan baik, Renny Suzanna. Secara sahnya, dialah girlfriend pertama aku dalam sejarah hidup aku. Walaupun ianya hanya mampu bertahan 1 lebih sahaja, ianya cukup bermakna dan mendewasakan aku. Sampai sekarang aku masih rapat dengan Renny yang sekarang sudah menjadi seorang peguam, seperti yang dicita-citakannya suatu masa dahulu.

Aku akan minta Renny ceritakan kembali bagaimana kami boleh jadi rapat kerana aku sudah lupa mengenainya. Aku kena rotan dengan pengetua kerananya. Aku dipandang serong oleh ramai cikgu kerananya. Aku terpaksa menerima kutukan dan usikan dari rakan-rakan kerananya namun sepanjang tempoh itu aku tetap gagahkan hati untuk menyintainya tanpa aku lihat sebelah mata pun kekurangnya. Tidak ada apa yang kurang. Sempurna sentiasa.

Aku dibicara di dalam sebuah bilik dikeliling guru-guru yang mempersoalkan hubungan aku dengan Renny (dia turut dibicarakan dalam waktu yang berbeza). Aku masih ingat kata-kata seorang cikgu,

"Dia cakap dia suka pada awak takat main-main saja."
"Ye ke?" Aku menjawab sinis.
"Dia cuma main-main. Awak faham tak?"
Aku cuma berdiam diri.
"Habis tu, awak betul-betul sukakan dia?"
"Ya, saya sukakan dia."

Itulah jawapan aku tanpa sedetik aku memikirkan apa-apa pun. Selepas dari itu aku terima beberapa kali rotan di punggung. Itu harga yang perlu aku bayar untuk terus bersama Renny ketika itu. Aku rasa aku tidak pernah ceritakan hal ini kepada dia sekalipun.

Aku sanggup menghantarnya ke Kuala Lumpur dengan keretapi kemudian berpatah balik ke Kuala Kangsar sewaktu pulang bercuti. Aku sanggup berjaga tengah malam untuk mengejar keretapi untuk pulang ke MRSM bersamanya supaya kami boleh tiba awal pagi di Butterworth dan sempat kami berjalan-jalan di Georgetown bersama-sama.

Ahh... Itulah rasanya cinta yang pertama. Buat apa saja tanpa pedulikan apa saja disekeliling.

Satu sebab utama aku senang bersama Renny kerana dia manja. Begitu manja. Aku sukakan orang yang manja kerana aku anak sulung, aku kurang dimanjai. Aku juga ingat dia seorang yang amat-amat cemburu. Itu amat mudah bagi aku untuk hadapinya kerana aku tidak ada masalah untuk abaikan semua yang lain demi seorang yang amat aku sayangi. Tapi sifat cemburu ketika itu tidak ada dalam jiwa aku. Walau ada, aku cuma telan dan simpan dalam lubuk hati. Kerana aku cuba menjaga sebuah hubungan. Itu fikiran aku.

Hubungan aku dan Renny berterusan sehingga selepas tamat kami belajar di MRSM. Aku fikir jarak dan waktu memisahkan kami. Keadaan memisahkan kami. Salah faham memisahkan kami. Kami pernah berjanji akan bertemu kembali ketika umur kami meningkat 30 tahun dan akan terus bersama. Aku rasa janji hanya tinggal sebuah janji yang tidak dimungkiri. Kami bertemu. Cuma setakat itu. Tidak bersama.

Setiap masa dan setiap ketika, aku sentiasa menghargai Renny atas apa yang telah dia berikan kepada aku suatu masa dahulu. Aku banyak belajar darinya. Sebab itu selagi boleh, aku mahu ambil berat keatasnya sehingga hari ini. Saat ini. InsyaAllah, selagi aku berupaya, aku akan terus mengambil berat terhadap Renny Suzanna, kekasih pertama aku.

====

Selepas SPM, aku bekerja di sebuah syarikat jual beli saham di Kuala Lumpur, Arab-Malaysian Securities. Di sana aku berkenalan dengan Tan Ju Lin, seorang gadis cina yang sama tamat belajar dan bekerja sementara di situ. Kami menjadi sahabat baik sehingga ramai yang salah sangka terhadap perhubungan kami, termasuk emak Tan Ju Lin sendiri. Emaknya melarang dia mempunyai hubungan dengan aku kerana aku seorang yang berbangsa melayu dan beragama Islam.

Malam dia dimarahi kerana berkawan dengan aku, dia menangis dan amat-amat sedih. Aku turut bersedih kerana salah faham orang sekeliling ditambah sengketa bangsa dan agama yang aku fikir sudah tidak lagi wujud ketika itu. Malah pada waktu itu juga, Tan Ju Lin sebenarnya meminati seorang lelaki India. Akulah yang menjadi orang tengah.

====

Aku bekerja tidak lama, cuma 6 bulan. Aku sambung belajar ke tingkatan 6 kerana keputusan SPM aku kurang bagus. Jadi aku terpaksa balik ke Kuala Kangsar untuk kembali ke sekolah. Dengan hati yang berat, aku mendaftar belajar di sekolah yang aku langsung tidak berminat untuk pergi.

Tidak ada apa-apa yang menarik berlaku untuk 6 bulan yang seterusnya. Ada seorang yang menarik perhatian aku namun mungkin aku tidak bersedia untuk menghadapinya.

====

1994, aku diterima masuk ke Institut Teknologi Mara (sekarang Universiti Teknologi Mara) dalam jurusan sains. Di sini aku temui cinta sejati yang aku lalui selama lebih 4 tahun.

Namanya Yuslina Razali. Orang Selangor. Rakan sekelas yang awal belajar tidak bertudung. Rambutnya lurus panjang melepasi bahu, bercermin mata dan chinese look. Entah kenapa aku sukakan dengan orang yang bermuka seperti orang cina. Pada awalnya, kami hanya rakan sekelas yang sama-sama belajar. Kami cuma ada 15 orang dalam kelas yang sama sepanjang masa. Tidak ada apa-apa yang istimewa mengenai Yuslina pada awalnya. Sehinggalah dia memotong rambutnya menjadi pendek. Aku sudah mula tertarik namun cuma setakat itu.

Kemudian, pihak universiti telah mengadakan sesi agama di Pusat Islam di kampus. Kami perlu tidur di Pusat Islam dan ada ceramah serta qiamulail. Malam itu semasa ceramah agama sedang dijalankan, aku duduk dibelakang kelompok lelaki bersama seorang rakan, Ibrahim. Tidak jauh di belakang kami adalah kelompok perempuan yang turut mendengar syarahan. Aku dan Ibrahim berbisik-bisik, berbual tanpa memperdulikan syarahan yang agak membosankan.

Aku menoleh untuk melihat suasana di belakang aku. Aku terpandang Yuslina; bertudung dan duduk bersimpuh dikalangan orang perempuan yang lain. Dia nampak begitu cantik.

"Kalaulah Yus tu pakai tudung, mesti cantik." Terus aku bisikkan kepada Ibrahim. Ibrahim menjeling melihatnya dan mengangguk setuju.

Esoknya kami kembali ke kelas. Kami berkumpul di luar kelas sebelum waktu bermula. Yus belum tiba. Sedang kami rancak berbual, aku terdengar salam dari belakang. Aku toleh dan tergamam.

Itu dia Yuslina Razali berdiri di hadapan dan bertudung. Jelas dari gaya tudungnya, Yus masih kekok dengan tudung. Tapi dia telah bertudung. Aku tergamam. Dalam hati seperti doa aku dimakbulkan. Aku dapat jua akhirnya senyum. Sedang rakan-rakan lain sibuk memujinya.

"Bila dah pakai tudung ni, jangan la buka, pakai balik ye" Itu yang terkeluar dari mulut aku. Betapa bodohnya ayat yang aku lafazkan. Namun Yus cuma tersenyum dan mengangguk.

Tidak lama kemudian seorang rakan datang dan mengatakan kelas hari ini dibatalkan. Rakan-rakan aku mula bergerak dari kelas. Ada ke yang ke kafetaria dan ada yang pergi melepak di 'port' kami. Aku mahu ke library. Aku mahu membaca. Lalu aku minta diri.

"Idan nak kemana?" Yus tiba-tiba bertanya.
"Library" Jawabku ringkas. Lalu aku terus mahu bergerak pergi.
"Boleh saya ikut?"

Aku terdiam seperti tidak percaya dengan apa yang aku dengar. Lalu aku tersenyum dan memandang Yus.

"Jom"

Kami ke perpustakaan dan terus ke tingkat 1 di mana banyak buku rujukan kami di sana. Hari pertama aku bersama Yus, aku duduk di meja berkubikel dan dia juga turut duduk di meja berkubikel yang lain di sebelah. Aku membaca dan dia turut membaca. Tidak ada apa yang dibualkan. Aku tidak membaca sebenarnya. Aku sedang memikirkan apa yang perlu akan perkatakan kepada Yus. Apa yang hendak dibualkan. Mungkin dia juga begitu. Hingga akhirnya di hari pertama itu, kami keluar dari perpustakaan tanpa berbual apa-apa di dalamnya.

"Esok saya ikut Idan study lagi ye."
"Ok, lepas kelas kita datang sini"

Saat pertama kali aku pegang tangannya adalah saat yang aku tidak akan lupakan bagaimana wajah berubah menjadi merah dan malu. Setelah seminggu study bersama di library, aku sempat berbual-bual dengannya. Suatu hari semasa di dalam library, dia bertanyakan kepada aku apa yang aku suka lakukan kepada teman wanita aku. Aku cakap aku tidak ada teman wanita dan kalau kalau ada,

"Kalau saya ada teman wanita, saya akan selalu usap tangan dan jari jemarinya. Begini..." Aku terus memegang tangan Yus dan menunjukkan bagaimana.

Wajah Yus bertukar menjadi merah dan terus menarik tangannya dari genggaman aku.

"Maafkan saya" Aku terus memohon maaf.
"Tak, tak apa..." Dia menjawab dan diam. Beberapa ketika kemudian dia kembali bersuara.
"Ini first time ada orang lelaki pegang tangan saya begitu dan saya rasa lain sangat"
"Oh, sorry. Saya tak berniat nak susahkan awak."
"Tak, tak. Ok."

Aku dan dia terus study bersama untuk seminggu kemudian. Sejak hari pertama kali aku memegang tangannya, kami menjadi semakin rapat. Aku tidak lagi memanggilnya awak dan dia tidak lagi menggelar dirinya saya. Pada suatu hari...

"Idan ada suatu perkara hendak cakapkan pada Yus" Aku bersuara dalam perjalanan kami ke perpustakaan.
"Yus pun ada nak cakap something pada Idan" Dia balas. Lalu kami masuk ke library dan naik ke tingkat 3. Kami mencari meja yang paling hujung sebelah kiri perpustakaan di tepi tingkap. Jauh dari orang lain. Jauh dari bising. Cuma bunyi hembusan pendingin yang kedengaran.

"Siapa yang nak mula dulu" Aku bertanya.
"Idanlah mula dulu" Jawab Yus sambil tersenyum.
"Okay..." Aku menelan air liur dan terasa badan menggigil kesejukan. Mungkin dingin penghawa dingin. Yus yang duduk di hadapan dirasakan begitu hampir di muka.
"Idan baru kenal Yus tak sampai sebulan. Sejak kita mula masuk belajar sini Idan dah tengok Yus dan dah sukakan Yus." Sukar betul rasanya hendak aku teruskan kata-kata.
"Sama macam apa yang Yus rasa." Tiba-tiba dia bersuara.
"Jadi apa yang kita nak cakapkan ni sama?"
"Idan pun nak cakap benda yang sama ke?"
Aku senyum dan Yus pun senyum. Masing-masing sebenarnya faham apa maksud pertemuan hari itu.

13 Februari 1994. Aku dan Yuslina Razali menjadi sepasang kekasih.

Untuk selama lebih 4 tahun dari hari itu, kami adalah pasangan kekasih. Senyum, ketawa, menangis, kecewa, bergaduh, ciuman di pipi dan di bibir, pelukan mesra sewaktu senja berlabuh, berjalan di tepian tasik, duduk di bangku shopping complex, menonton wayang, menunggu di stesen bas... Semuanya adalah sebuah kenangan yang amat-amat indah.

(aku akan ceritakan lebih lanjut mengenai Yus nanti)...

Kami terpisah kerana orang ketiga dan juga salah aku. Salah orang ketiga kerana mencurinya dariku dan salah aku kerana tidak mengambil berat mengenai Yus.

Yus sekarang hidup bahagia bersama dua orang anak lelaki. Kami berpisah pada pertengahan tahun 1998, beberapa bulan sebelum Kak Nor meninggal dunia.

Sejak dari itu, aku tidak pernah mempunyai kekasih lagi...

**Sambungan dari cerita

My Angel, My Muse



Inilah 'Muse' aku, Asyikin.

Ada kalanya di waktu aku dalam kebingungan, tepu fikiran atau suram, cuma dengan senyuman potretnya cukup untuk mendamaikan hati ini. Suaranya cukup untuk membuat aku tersenyum bahagia dan berada dihadapannya boleh membuat segala yang terbeban dijiwa menjadi pudar.

Sudah lebih 5 tahun aku mengenali Asyikin. Sejak dahulu aku sebenarnya mempunyai perasaan terhadap dirinya. Namun mungkin hanya setakat itu. Aku faham keadaannya dan kini aku lebih menghargainya begini. Segala sesuatu ada maksudnya. Jadi, biarkanlah ianya begini. Aku lebih selesa dari jauh tidak merasa apa-apa.

Inilah 'Angel' dalam setiap tulisan dan puisi yang aku tulis.

20.12.07

Raziq



Ini Raziq, anak saudara aku. Satu-satunya anak saudara aku setakat ini.  Dalam ramai-ramai adik beradik aku, cuma adik aku yang ke 2 saja yang sudah berkahwin dan ini anak dia. Kalau aku balik ke kampung dan budak kecil ini ada, dia akan ikut aku kemana saja. Mungkin aku senang dengan budak kecil. Mungkin aku suka melayan.

Aku belikan si Raziq sepasang baju T dengan gambar penyu semasa di Langkawi. Mesti comel kalau dia pakai nanti.

18.12.07

Langkawi Part 1



Sesungguhnya Langkawi itu amat indah. Begitu senang sepanjang masa berada di sana hingga terdetik di hati ini ingin saja terus berada di sana sepanjang masa hingga keakhir hayat. Mungkin, kalau terdetik jua keberanian dalam diri ini, mungkin di sana nanti akhirnya aku berada. Mahu saja aku bermain-main di tepian pantai sepanjang petang dan menanti senja berlabuh. Atau mungkin duduk di wakaf tepian sawah padi memerhati burung terbang dan melupakan masa yang berlalu.

Sebenarnya sedetik di sana dirasakan seperti setahun bermimpi. Ia terasa begitu lama kerana masa tidak mengejar sesiapa. Masa berlalu dengan lewa dan ianya tidak mendesak. Mungkin kerana itu pak tua yang berbasikal ke masjid tidak memperdulikan Vios yang aku pandu laju ditepinya.

"Tidak ada apa yang perlu aku kejar di sini" Mungkin itu yang bermain di fikiran pak tua.

Manakala aku dan rakan-rakan kesana kemari mencari sesuatu yang indah, sesuatu yang menarik, sesuatu yang sedap untuk dimakan atau sesuatu yang cantik untuk dibeli. Namun di ceruk kampung di sana, mereka hidup seperti mereka tidak mahu memiliki apa lagi. Cukup dengan damai yang mereka lalui sepanjang hari, sepanjang masa di pulau yang amat-amat damai itu.

Mencari superfisial. Seperti mencari reda sementara ribut melanda. Apabila tiba kembali di Putrajaya ini, kepala jadi pening dan otak seperti direnjat. Kalau di Langkawi, semuanya setakat 70km/j, di sini ianya menjadi 100km/j minima.

Aku sudah kembali pening kepala. Namun indah Langkawi masih di mata.

14.12.07

Huh?

Baru aku sedar rupanya ramai penulis blog sebenarnya pantang ditegur berkaitan hidup dan penulisan mereka. Mungkin kerana apa yang mereka tulis adalah....

Ahh... Aku takde masa nak tulis semua ini. Aku nak bercuti!

9.12.07

Hening Hujung Minggu

Ahad, di pejabat.

Aku sedang memikirkan design sesuai untuk buku atur cara program Annual Dinner JPN. Apa sebenarnya kerja aku di sini? Mungkin kalau aku jadi graphics designer di luar, gaji aku akan cecah ribuan ringgit sebulan. Aku tidak akan bersusah payah bekerja di hujung minggu hanya kerana untuk cari duit lebih. Cuma aku ada kekurangan, color-blind. Jadi hasil kerja aku tidak sebaik orang lain yang aku fikir 'tahun cahaya' (light-years) kehadapan dari aku. Aku perlu merujuk kepada kod warna untuk memastikan warna apa sebenarnya aku sedang guna dan selalunya hasil kerja aku tidak akan lebih dari dua warna. Aku tidak berani hendak mencampur warna lain kerana walaupun sesuai di mata aku, mata orang lain yang tidak rabun warna mungkin melihat ianya pelik. Ya, sepatutnya aku fikir persetankan saja apa yang mereka rasakan. Namun itu tidak semudah yang difikirkan. Maka seterusnyalah aku akan berada di sini membuat kerja-kerja grafik yang aku sendiri tidak faham kenapa.

Oh, aku suka. Aku amat sukakan kerja ini. Ianya seperti meneroka dalam satu ruang yang luas dan lebih jauh aku berjalan, lebih banyak yang aku nampak. Indahnya ruang ini, walau di hadapan sana nampak kelam dan kusam, apabila aku hampiri, warna-warna yang aku tidak kenali akan mewarnai suasana keliling dengan indah walau dalam ribut dan petir. Ya, aku tidak kenal dengan warna-warna yang mewarnai sekeliling hidup aku maka setiap masa aku lihatnya amat indah. Lantas aku memberi senyuman sebagai tanda penghargaan. Aku tak pasti apa balasan yang aku perolehi tapi hingga kini aku masih berseorangan begini, berjalan tanpa arah dalam ruang yang entah bila ada akhirnya.

Kenapa perlu aku putus asa? Kenapa perlu begitu sedang apa yang aku lihat adalah yang cantik-cantik dan indah-indah di mata. Aku tidak kecewa. Tidak lagi. Kerana aku letih untuk membiarkan aku kecewa. Malas hendak hadapi karenah diri sendiri. Saban hari aku datang kerja dan buat kerja yang diarahkan. Aku pulang dan maka itu berakhirnya hidup aku di dunia yang nyata. Rumah itu yang aku tinggal umpama lubang gelap. Engkau tidak akan dapat lagi menemui aku sekiranya aku di sana. Aku tidak kemana-mana. Aku menghibur diri dalam gelap hidup dengan peti televisyen sambil memikirkan alangkah senangnya hidup ini kalau kita hanya pelakon. Mungkin juga tidak.

Atau aku memandu dengan kereta kecil menuju arah yang aku tidak tahu dan memerhatikan suasana keliling. Bukan di sesak kotaraya tapi di jalan-jalan tanpa penghujung yang kiri kanan adalah pokok-pokok dan rumah-rumah kampung. Atau mungkin laut dan angin yang bertiup. Sudah lama aku tidak melakukannya. Mencari damai sebegitu.

Kerana saat ini aku masih berada di sini, di pejabat. Sepatutnya (sebenarnya sekarang) aku menjerit dalam hati,

"Bangun! Tutup iMac dan keluar dari pejabat! Pergi kearah mana engkau belum pergi!"

Sepatutnya aku berkata begitu kepada diri aku ini tapi kerana sekarang aku sedang menulis ini semua sambil First Love oleh Utada Hikaru sedang bermain berulang-ulang kali di speaker iMac, maka aku masih menulis. Kerana jari-jemari ini seperti masih ada yang hendak ditulis dan diperkatakan.

Aku termenung. Melihat skrin besar hadapan mata dengan ayat-ayat ini tertulis diatasnya. Tiada sesiapa selain aku di sini. Aku fikirkan suara emak yang tadi bertanya bila akan aku balik lagi ke kampung. Itulah soalan yang biasa ditanya sekiranya aku menelefon emak. Tahun ini mungkin paling banyak aku balik kekampung. Lebih dari 5 kali. Ayah kurang sihat. Kakinya masih bengkak akibat kencing manis. Kata ayah ianya semakin sembuh. Ini akibat zaman mudanya yang selalu minum teh susu yang manis dan pekat bersama arwah tok dan adik beradiknya. Aku pernah lalui zaman itu sewaktu tok masih ada. Setiap petang setelah balik dari mengusahakan kantin sekolah, mereka berkumpul sekeluarga di dapur rumah melayu tradisional. Duduk bersila sambil depan mata berkole-kole air teh susu panas dan roti kepala lutut yang keras. Atau sekali sekala biskut kering empat segi (roti ampat-segi kata arwah tok).

"Dan, makan ayaq teh hang tu baik-baik, jangan tumpah."

Makan bagi tok adalah minum bagi aku. Walaupun mereka tinggal di Kuala Kangsar, asal mereka dari utara. Mereka orang yang merantau. Keturunan tok sebelah ayah berasal dari parsi.Mula tinggal menetap di Pulau Pinang lebih seratus tahun dahulu. Kemudian turun ke Seberang Perak, sempadan antara Perak dan Pulau Pinang. Di sana masih ada saudara-saudara yang langsung aku tidak kenali. Kemudian turun lagi ke Kamunting, Taiping, Perak di mana ayah dilahirkan semasa arwah tok lelaki bekerja sebagai bomba di sana. Semasa aku balik tempohari, kami sekeluarga pergi ke Kamunting untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara. Kami lalu jalan di mana kuarters bomba Kamunting pernah berdiri. Sekarang ianya cuma sebuah kedai menjual kereta terpakai. Kuarters sudah tiada lagi.

Ah, jauh sungguh lamunan aku.

Aku masih memikirkan design yang sesuai. Mungkin aku mahu bertemakan flashback. Kenangan sepanjang tahun ini yang penuh bermakna. Bermakna buat aku kerana tahun ini aku akhirnya keluar dari kepompong dan dapat dilihat jelas oleh pengurusan atasan akan kebolehan aku yang sebenar. Syukur kerana mereka menghargai apa yang telah aku lakukan. Ya, aku mahu warna-warna yang ceria kerana tahun ini adalah tahun yang ceria buat aku. Tahun yang bahagia walau hanya bersendirian. Tak apa.

Biru... itu tema warnanya nanti. Kerana biru adalah damai buat aku yang rabun warna ini. Hijau adalah kalut kerana begitu sukar untuk aku kenalinya.

Aku biarkan Hey The Delilah oleh Plain White T's pula berkumandang di corong speaker iMac ini. Aku mahu mendengar lirik-lirik indah.

Mungkin, mungkin aku takutkan rejection menyebabkan aku jadi begini. Ada di hadapan mata seseorang yang begitu... diharapkan. Ya, dia tahu. Aku pernah memberitahunya. Aku tidaklah begitu pengecut. Cuma kerana aku bukan jenis orang yang berterus terang dalam sesuatu perkara, ianya amat sukar untuk difahami. Begitu berat untuk mulut ini berkata-kata kepada seseorang walau hati begitu berani mendesak aku untuk mencubanya. Aku tahu dia menanti untuk aku berkata begitu. Mana mungkin sesuatu perkara itu hanya selesai dengan SMS semata-mata.

Engkau lihat aku. Aku menggenggam kedua belah tangan aku mencari keberanian untuk bersuara. Aku masih belum menemuinya. Aku tunduk di meja ini dan berkata di dalam hati yang aku boleh melakukannya. Cuma setakat itu. Setakat di hati. Sementara aku berdiam diri mencari kekuatan untuk bersuara, aku tahu setiap waktu itu juga aku sebenarnya melepaskan saat-saat berharga. Akhirnya dia akan pergi dan aku berdiri di sini sambil di dalam hati berkata,

"Aku sukakan kamu..."

Begitu seterusnya hidup ini. Namun ianya bukan bermakna aku kecewa. Sedih, hanya untuk seketika. Itu sahaja. Mungkin, ianya sudah terlalu tepu. Hingga tiada lagi ruang untuk kecewa dan berduka. Oh, belum sampai tahap untuk aku jadi The Grinch. Itu pasti. Hidup ini indah bukan, kalau ianya seperti dalam lagu itu.

Ah, hidup ini patut ada soundtrack. Patut ada lagu-lagu yang mengiringi setiap langkah dan sentiasa bersesuaian dengan mood ketika itu.

Hehe... Sambil aku duduk termenung tadi aku, bermain-main dikepala ini satu ayat yang amat sini buat aku yang dalam keadaan begini sekarang.

"Tengoklah Idan yang sedang bergelumang dalam perasaan simpati pada dirinya sendiri sekarang, sungguh membosankan."

Sudahlah...

7.12.07

30 Minit Lagi

26 minit untuk menulis sebelum lampu pejabat ditutup secara automatik. 26 minit untuk aku mencari idea dan terus menulisnya di sini. Apa yang perlu aku tulis?

25 minit...

24 minit...

Sebenarnya aku sedang berkira-kira. Apa yang hendak aku lakukan malam ini? Boleh saja aku ke Mines untuk menonton The Golden Compass. Atau aku terperap di rumah di depan TV. Atau mungkin, aku boleh mencari kedai buku dan duduk di suatu sudut sambil membaca buku-buku yang selalu disebut-sebutkan oleh si Neraka. Mungkin esok aku boleh lakukan perkara yang terakhir dengan lebih senang dan damai. Buat masa ini, aku memikirkan datangnya malam ini.

Makan? Perut masih kekenyangan makan french fries bersama sos cili dan mayonais dari kedai mamak di kafetaria. Ya, makanan tidak berguna. Tapi itulah kelemahan aku, kentang. Datang dalam apa bentuk pun aku akan makan.

Hendak aku bicarakan mengenai HINDRAF? Rasanya tidak perlu kerana polis telah pun menaik taraf kumpulan ini sebagai sebuah kumpulan yang bersifat militan. Esok-esok mungkin ada nama baru, Kumpulan Militan Hindu Malaysia. Nama baru cetusan idea manusia dari biro-biro perang psikologi yang rupa-rupanya masih tidak lagi dibubarkan walau komunisme telah lama berkubur. Lagipun aku penjawat awam, tidak molek aku persoalkan tindakan kerajaan. First Rule dalam perkhidmatan awam, Saya Yang Menurut Perintah.

Ya... dungu.

Mengenai pasukan sepak takraw Malaysia yang menarik diri dari Sukan SEA di Korat? Perbuatan bodoh yang bakal menyusahkan dan memalukan diri sendiri. Hanya kerana bola yang digunakan? Ianya tindakan orang yang berakal pendek. Malunya pula hampir semua (semualah tu) mereka ini adalah orang Melayu. Kamu memang bersifat mudah mengundur ya, Melayu? Kalau dalam perang, tiba-tiba senjata Steyr atau M-14 kamu itu ditukarkan menjadi P90, mahu juga kamu menolaknya? Bola tetap bola, bukannya berubah bentuk dari sfera menjadi bujur atau empat segi. Kalau benar ianya berbahaya, tidakkah dari awal lagi ianya sepatutnya diharamkan? Maka tindakan kamu PSM adalah tindakan tidak matang. Lebih kasar lagi, tindakan bodoh.

Mengenai Siti atau Mawi? Ah, tak perlu. Menambah letih jari aku saja nanti.

Seorang rakan pejabat telah menampal sticker (dari Harian Metro hari ini) sebuah perigi dengan tulisan "Semua DiHajat Selalu Dapat". Hampir 33 tahun aku di dunia ini, masih banyak yang belum aku dapat. Berapa lama lagi harus aku tunggu, wahai perigi?

10 minit lagi...

Aku mahu balik.

6.12.07

Idea

Aku mahu tumpukan penulisan mengenai hal ehwal semasa (menarik juga guna ayat ini balik) dan kenderaan (kereta, motosikal, basikal, bas, lori dll.). What say you?

Engkau Dan Aku Sama Sahaja

Aku bukan pakar bahasa. Tidak sama sekali. Aku juga bukan pakar budaya, pakar antropologi, pakar sejarah, pakar arkeologi. Aku cuma penulis blog yang menulis mengenai apa yang difikir dan mengulas apa yang difahami. Pandangan aku semata-mata. Bukan untuk dijadikan sumber rujukan Buletin Utama TV3 ketika mengulas sesuatu perkara yang menyebabkan orang lain nampak salah dan aku seorang saja yang betul.

Maka dengan itu aku ingin mengulas mengenai perbalahan Indonesia dan Malaysia mengenai lagu Rasa Sayang (aku orang Malaysia jadi aku tidak perlu perbetulkan ejaan aku) dan Barongan serta asal usul orang Melayu dan bahasa Melayu dan penggunaan perkataan Indon sebagai merujuk kepada rakyat Indonesia. Aku BUKAN anti-Indonesia. Malah aku sentiasa kagumi kekayaan budaya dan seninya serta lagu-lagu modennya yang jauh lebih sedap dari lagu Melayu.

Pendapat aku, semua manusia yang berasal usul dari nusantara ini adalah asalnya serumpun. Atau satu golongan kaum yang sama yang biasanya orang sebut rumpun Melayu. Ianya tidak spesifik kepada orang yang melayu berada di Malaysia sahaja. Ianya merujuk kepada semua kaum asal dari nusantara, baik melayu, jawa, batak, minang atau champa. Sama saja, melayu. Geo-politik yang mengasingkan bangsa-bangsa ini menjadi rumpun bangsa dalam negara masing-masing. Maka di Indonesia, mereka digelar orang Indonesia. Manakala di Malaysia, mereka digelar orang Malaysia. Tapi bezanya Malaysia dan Indonesia, orang Malaysia masih membuat segregasi kaum mengikut asal usul kaum tersebut. Maka Melayu adalah Melayu, Cina adalah Cina dan India adalah India, tidak kira apa etnik mereka. Orang melayu di Cambodia tidak disebut Melayu Indonesia atau Melayu Malaysia, sebaliknya digelar Melayu Champa atau Melayu Kemboja. Salahkah begitu? Sudah tentu tidak kerana ianya bersifat geografikal semata-mata.

Jelas dari sini, usaha-usaha sesetengah pihak yang mahu orang Melayu di Malaysia digelar orang Indonesia adalah usaha remeh yang tidak tepat maksudnya. Mungkin kerana secara sejarah (seperti yang dikemukakan oleh beberapa pihak), orang Melayu kononnya berasal dari Indonesia. Nah, sebenarnya menggunakan perkataan 'berasal dari Indonesia' itu sendiri sudah tidak tepat dari segi geografinya. Indonesia mengunjur dari hujung utara Sumatera hingga ke Irian Jaya. Mana mungkin kita simpulkan orang Melayu di Malaysia asalnya dari Indonesia tanpa ada rujukan spesifik tempatnya. Dan berkenaan teori asal usul orang Melayu dari kepulauan Indonesia juga adalah sesuatu yang agak rapuh. Kalau mengikut kontur bumi, Indonesia berada dipenghujung plat bumi sedang Malaysia berada jauh lebih dalam dengan muka bumi yang jauh lebih tua berbanding dengan bumi Indonesia. Kalau benar teori orang Melayu berasal dari kepulauan Indonesia, maka sudah semestinya juga benar kalau dikatakan orang Melayu yang berasal dari kepulauan Indonesia itu sebenarnya berasal dari Malaysia juga (rujuk susur jalan evolusi manusia sekiranya kamu bertuhankan fahaman Darwin). Tidak mungkin manusia akan melompat ke Indonesia dan kembali ke Malaysia. Ingat, suatu masa dahulu, bumi Malaysia dan Indonesia adalah satu tanah dataran yang luas dan tidak dipisah oleh selat dan laut. Jadi pada fikiran aku, tidak perlu dipersoalkan dari mana asal usul orang Melayu (kalau merujuk kepada teori evolusi Darwin - aku tidak pernah menyokongnya).

* Sebenarnya aku teringat cerita Forrest Gump. Dia berlari dari hujung ke hujung Amerika Syarikat. Sampai di setiap penghujung, dia akan berpusing dan berpatah balik, lalu kembali berlari. Korang bayangkan orang zaman purba dahulu berbuat demikian dan kamu akan nampak kenapa teori orang Melayu berasal dari Indonesia adalah agak kelakar... (stand-up comedian, take notice!)

Jadi, akibat dari asal-usul orang Melayu itu adalah serumpun saja dengan orang Indonesia sendiri, maka budaya, bahasa dan corak hidup tidak banyak jauh berbeza. Ianya tidak dimilik negarakan kerana semata-mata ianya berasal dari negara tersebut. Maka aku sokong kritikan Indonesia terhadap pemilik-negarakan lagu Rasa Sayang dan Barongan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa). Kalau ianya disebut warisan orang Melayu, aku terima. Kalau ianya disebut Warisan orang Malaysia, well, jelasnya ia bukan berasal dari China atau India.

Begitu juga dengan bahasa. Apa hak kita nak persoalkan bahasa orang lain dan cara sebutan serta maksudnya? Malah di Malaysia ini juga ada perkataan yang mempunyai maksud berbeza dari satu tempat ke tempat yang lain. Kelmarin bagi orang Kuala Lumpur adalah 2 hari yang lepas. Tetapi bagi orang utara Semenanjung, ia merujuk kepada semalam. Gampang membawa maksud yang kasar dalam bahasa Melayu tetapi sebaliknya dalam bahasa Indonesia. Belon adalah belon dalam bahasa Melayu tetapi bermaksud kapal terbang kalau di Malaysia Timur. Malah bahasa Inggeris juga mempunyai maksud yang berbeza dari satu tempat ke tempat yang lain. Adakah kita mahu mempersoalkannya juga? Tidak.

Asal usul sesuatu perkataan dalam sesuatu bahasa juga tidak perlu dipersoalkan selagi dalam bahasa asal sudah wujud perkataan tersebut tetapi kita masih sengaja hendak tambah perkataan baru. Contohnya perkataan 'otak', ianya sudah ada cukup lama dalam bahasa Melayu, maka tidak perlu lagi kita cipta perkataan baru, 'minda'. Sedang 'minda' itu berasal dari bahasa Inggeris. Kenapa perlu tambah perkataan yang sudah ada sebelumnya? Begitu juga perbezaan bahasa Indonesia dan bahasa Melayu. Asal usulnya tetap dari satu rumpun yang sama dan ianya disebut bahasa Melayu. Ianya bukan milik eksklusif Malaysia. Ianya merujuk kepada bahasa yang berasal dari nusantara. Yang menjadikan sesuatu bahasa itu terpisah adalah kerana faktor geo-politik. Bahasa Inggeris di England disebut British English. Manakala di Amerika Syarikat di sebut American English. Sedang bahasanya lebih kurang sama saja. Jadi bahasa Melayu di Indonesia disebut bahasa Indonesia manakala bahasa Melayu di Malaysia disebut bahasa Malaysia (sekarang). Dulu orang sebut bahasa Melayu sahaja. Apa masalahnya? Tidak ada apa-apa. Ianya masih kaya dengan bahasa. Ianya masih unik. Tidak ada apa yang pelik dengan sebutan bahasa tersebut oleh pengguna bahasa itu. Kamu tidak perlu paksa orang lain untuk bertutur dengan gaya bahasa yang kamu biasa bertutur. Mereka itu manusia, bukan burung.

Sebelum aku selongkar internet, aku fikir perkataan 'Indon' adalah singkatan mudah untuk merujuk kepada orang-orang yang berasal dari negara Indonesia. Tidak pula aku tahu ianya membawa maksud yang menghinakan. Malah mungkin suatu masa dahulu, perkataan 'Indon' ini adalah untuk memudahkan kita menyebutnya. Sebenarnya aku agak pelik. Setahu aku orang Indonesia cukup suka menyingkatkan perkataan. Warung Telefon jadi Wartel, Monumen Nasional jadi Monas. Kenapa marah bila orang Malaysia singkatkan perkataan orang Indonesia jadi Indon? Asalnya mungkin tidak langsung menghinakan. Tapi akibat kes-kes yang sering berlaku (aku tahu tidak semuanya dilakukan oleh orang Indonesia semata-mata), maka perkataan 'Indon' sudah jatuh tarafnya menjadi sesuatu yang menghinakan bila disebut. Salah siapa sebenarnya? Orang yang menyebutnya atau orang yang membawanya? Niggers itu asalnya bukanlah perkataan yang menghinakan tetapi menjadi hina akibat keadaan manusia yang termasuk dalam golongannya dan juga akibat perhambaan yang berlaku sebelum itu. Kalau tidak ada semua itu, aku yakin perkataan Niggers akan dianggap mulia orang ramai. Begitu juga perkataan 'Indon'. Orang yang membawanyalah yang bertanggungjawab menjaganya. Kalau mereka membawanya dengan baik, maka baiklah tarafnya nanti. Jadi buat masa ini, aku akan menurut permintaan orang-orang Indonesia agar mereka digelar orang Indonesia (4 suku-kata, sedang 2 suku-kata lebih senang, bukan?).

Manusia apabila berhadapan dengan sesuatu perkara yang dibawa oleh api, maka emosional mereka juga akan dibakar oleh api-api ini. Sepatutnya mereka menentang si pembawa api ini yang merosakkan harmoni bangsa. Sepatutnya kita sedar, kita sebenarnya tidaklah jauh antara satu sama lain dan sama-sama bangun menjadi rumpun bangsa yang maju dan berjaya, sama atau jauh lebih baik dari bangsa Aryan, Anglo-Saxon dan Cina. Kalau kita masih asyik mahu berdebat mengenai perkara trivial; asal usul kaum, bahasa atau bangsa, selamanya kita tidak akan kemana. Disini saja. Berdiri dan menunding jari antara satu sama lain.

"Ya, aku melayu, kamu indonesia. Aku bodoh dan kamu pun bodoh!"

Stop it! Bangun dan berjalan. Atau berlari. Atau terbang. Atau apa saja. Jangan jadi tunggul yang menyusahkan orang lain semata-mata. Bangsa lain yang ada di sini akan tersenyum melihat porak peranda rumpun bangsa kita.

Aku tak kira Hang Tuah berasal dari mana, tapi kononnya dia pernah sebut,

"Tak Melayu Hilang Di Dunia."

Kamu sanggup pertahankan kata-kata itu?

Top Gear's Cool Wall

Aku beli majalah Top Gear. Bukan versi England, cuma versi Malaysia yang berharga RM10 sahaja. Untuk edisi Disember ini, ada dapat hadiah yang berupa fridge magnets Top Gear Cool Wall. Huh! Menarik. Ada 51 keping gambar kenderaan pelbagai jenis yang disertakan untuk kita pilih dan letak di bawah empat kategori; Sub-Zero, Cool, Un Cool dan Seriously Un Cool. Kalau dalam siaran Top Gear, kereta yang kita fikir cool pun boleh jadi un cool dan sebaliknya. Ianya bukan berfaktorkan kehebatan, kecantikan dan keunggulan kereta tersebut. Ia lebih bersifat personal dan realiti. Seperti contoh, Proton Savvy dianggap oleh Hammond sebagai COOL tapi cuma disebabkan oleh Jeremy Clarkson kata ianya keluaran Proton, maka secara automatik kereta tersebut jadi UN COOL. Atau Fiat Panda yang kecil dan berkotak; disebabkan semua pengacara Top Gear suka dan memilikinya, maka ianya dianggap COOL.

Maka TOP GEAR COOL WALL ini lebih bersifat pilihan peribadi.

Aku bawanya ke pejabat untuk menduga taste rakan sekerja. Untung pula di kubikel aku ada white board yang aku boleh jadikan sebagai dinding COOL WALL aku. Haha. Jadi setiap hari aku akan minta seorang untuk buat pilihan mengenai taste kenderaan yang mereka suka. Antara kenderaan yang ada datangnya dari Ferrari, Mercedes-Benz, BWM, Ford, Skoda, SsangYong dan Fiat. Ada juga sebuah motosikal Ducati 1098, sebuah Toyota Hilux yang hampir hancur, sebuah kereta F1 Honda dan sebuah pelancar roket dengan kereta Reliant Robin (kereta biru 3 tayar yang dibenci oleh Mr. Bean) yang dilekat pada roket tersebut.

Ini pemerhatian aku setakat ini:

1. SsangYong Rodius/Stavic adalah COOL bagi semua orang perempuan setakat ini. Aku tak faham tapi mungkin kerananya ianya berhidung besar, jauh lebih besar dari hidung Ahmad Nisfu.


2. Rolls-Royce Drophead Coupe adalah TIDAK COOL bagi semua orang perempuan setakat ini. So jangan perasan korang boleh guna Roll-Royce untuk mengorat awek-awek. Arrghhh...


3. Tidak ramai yang pilih kereta yang tidak berbumbung (convertible/coupe) sebagai cool. Mungkin kerana ini Malaysia dan panas. Maka mungkin mereka yang guna kereta tidak berbumbung di Malaysia itu samada a. Terlampau kaya, b. Sukakan kelainan, atau c. Berlagak nak mampos.

4. Tiada sesiapa pun yang suka Citroen. Obviously. Malah mungkin mereka akan garu kepala memikirkan dari mana kereta pelik ini berasal.

5. Ramai yang suka Kia. Sad but true.

6. Dodge Caliber? huh? What? Kereta kena berkaliber jugak ke?

7. Tidak semua yang cute (Mini Cooper, Fiat 500, Fiat Panda, Nissan March) digemari oleh perempuan.

8. Mereka tidak tahu dengan Koenigsegg. Mungkin mereka fikir ianya perkataan lucah.

9. Ramai orang perempuan sukakan MPV tapi kurang suka dengan SUV. Kenapa ye?

10. Ramai yang tidak menonton TOP GEAR... Sigh...

Nak main juga Cool Wall? Beli Majalah Top Gear terbaru atau tengok aku list di bawah.


1.SsangYong Stavic/Rodius, 2.Rolls-Royce Drophead Coupe, 3. Alfa Romeo 8C Competizione, 4. Ferrari 599GTB Fiorano

5.Ferrari FXX, 6.Porsche 911 GT3 RS, 7.Ducati 1098, 8.Fiat 500

9.Nissan March/Micra C+C, 10.Maserati GranTurismo, 11.Mercedes R-Class, 12.Citroen C4 Picasso

13.Alfa Romeo Spyder, 14.Reliant Robin Shuttle, 15.Dodge Caliber, 16.Chevrolet Lacetti/Optra

17.Skoda Roomster, 18.Kia C'eed, 19.Volvo C30, 20.TopGear Toyota Hilux

21.Ford Focus ST, 22.Porsche Cayman, 23.Jeep Commander, 24.Fiat Panda

25.BMW X5, 26.Vauxhall Corsa VXR, 27.Jaguar XKR, 28.Mini Cooper Estate Agent - UK)

29.Mini Cooper S, 30.Volkswagen Eos, 31.Lamborghini Gallardo Spyder, 32.Ford S-Max

33.Renaultsport Clio 197, 34.Citroen C6, 35.Honda Civic Type R, 36.Ford Mustang GT500

37.Audi TT, 38.Hummer H3, 39.Koenigsegg CCX, 40.BMW Z4 Coupe

41.Dodge Charger, 42.Bentley Continental GTC, 43.Audi R8, 44.Land Rover Freelander

45.Aston Martin V8 Roadster, 46.Honda Civic Hybrid, 47.Honda Formula 1 2007, 48.Mercedes-Benz CL63AMG

49.Mazda Miata/MX-5, 50.Audi Q7

Pilih mana kereta yang korang rasa amat COOl dan paling TIDAK COOL dan letak dalam senarai

1. SUB-ZERO
2. COOL
3. UN-COOL
4. SERIOUSLY UN-COOL

Cubalah.