18.3.13

Diari

Hey...

Sudah hampir sebulan tidak menulis di sini. Selalunya aku akan beri alasan ketiadaan masa.

Masa ada. Banyak. Idea pun ada. Banyak.

Aku rasa jawapan paling tepat adalah perubahan. Jika lima tahun dulu, blog ini aku fikir tempat paling sesuai untuk bercerita dan meluah rasa. Dari 2002 hingga kini, sinilah tersimpannya segala gelodak jiwa yang kadang-kadang tidak mampu dikongsi secara terus dengan orang lain.

Namun begitu apabila sudah berkahwin, aku rasa hidup ini lebih damai tanpa banyak titik kabur yang meruntun hati. Hari-hari yang dilalui lebih terancang dan lebih istimewa. Hadir Qaseh hampir setahun lalu menambah lagi sebab untuk aku menumpukan perhatian kepada perkara yang lebih jelas. Maka, tidak perlu lagi aku selalu menulis di sini mengenai apa yang terbuku di hati. Zura ada dan Qaseh pun ada. Mereka peneman jiwa yang 'sempurna'.

Satu lagi, aku ada dua atau tiga tempat di maya ini yang boleh aku guna untuk berinteraksi. Instagram, Twitter dan paling kerap, Facebook.


Aku fikir Facebook telah mengambil alih peranan blog ini. Apa tujuan blog ini lima tahun lalu, kini ianya aku sampaikan di Facebook. Sana aku ada lebih 500 pasang mata yang memerhatikan. Sini aku cuma ada 57 dan mungkin sebahagian besar dari mereka ini sudah tidak lagi datang.

Aku fikir blog sebagai sebuah lokasi jurnal peribadi sudah semakin pudar kegemerlapannya. Ianya sekarang tidak lebih dari tempat orang berpolitik atau menjual perkhidmatan yang kita tidak perlu. Malah sebenarnya, blogspot secara langsung kini sudah diintergasi ke dalam Google+. Cuma Google+ langsung tidak popular di Malaysia.

Aku tidak tahu ke mana arah blog ini lima tahun dari sekarang. Harapnya masih kekal di sini dan aku masih ada kesempatan waktu untuk terus menulis. Aku mahu 20 tahun dari sekarang, Qaseh dapat membaca semua yang ditulis di sini. Aku terkenang suatu ketika aku sempat membaca buku nota kecil peninggalan arwah datuk. Beliau meninggal sekitar awal 80an, ketika aku masih kecil. Bila aku baca kembali tulisannya di dalam buku nota itu, aku terasa dekat dengannya. Sayangnya arwah Ayah tidak pernah ada buku nota sebegitu.

Aku mahu Qaseh ada sesuatu untuk diingatinya mengenai aku suatu hari kelak. Aku juga mahu diri aku sendiri mempunyai sesuatu untuk diingati suatu masa kelak di waktu otak ini semakin berat hendak mengingati segala perkara dan pengalaman. Ianya catatan hidup yang cukup bermakna. Walaupun hanya sekarang 10 tahun sepanjang tempoh hidup aku, aku fikir ianya cukup menarik.

Aku mahu Qaseh juga menulis. Supaya dia sedar bahawa dunia ini di mata pena (atau di keyboard) adalah sangat indah dan penuh cerita-cerita yang menarik.

Okay, esok lusa aku hendak menulis hal politik di sini. Heh...