Showing posts with label Baris-Baris Kata. Show all posts
Showing posts with label Baris-Baris Kata. Show all posts

21.2.12

Terima Kasih Untuk 36 Tahun Yang Indah


365 hari lalu aku menulis bahawa di usia 36 tahun ini, aku tidak akan lagi bergelar bujang. Aku berkahwin pada usia 36 tahun dan ianya terlaksana pada Jun lalu.

Esok aku berusia 37 tahun, inshaAllah.

Jika diizinkanNya, pada usia 37 tahun, aku akan bergelar seorang ayah. Mempunyai anak sendiri di samping seorang isteri adalah sesuatu yang sungguh mengharukan jiwa. Selama aku menulis di blog ini lebih 10 tahun lalu, aku sangkakan hidup ini sudah cukup menawan dan berliku. Tetapi dalam masa terdekat sejak Jun lalu hingga menjelang April nanti, segala yang terisi di sini sejak 10 tahun lalu tidak akan dapat menggambarkan begitu bermaknanya hidup ini.

Fasa baru dalam hidup ini sudah bermula dan walaupun agak lewat, ianya tetap sebuah perjalanan yang menarik dan penuh dengan bunga-bunga yang harum baunya di kiri dan kanan perjalanan ini. Pada penghujung usia aku 35 tahun lalu, aku menulis bagaimana hidup ini tidak sendirian lagi kerana ada Zura sebagai penyeri hidup.

Maka, hendaknya pada usia 37 tahun nanti, hidup ini makin damai bersama isteri dan anak yang tercinta serta bersama keluarga, saudara dan sahabat yang disayangi. Aku fahami maksud 'live life' sekarang. Ianya bukan semester bombastik, penuh keterujaan, penuh warna warni. Live life bagi aku adalah menikmati hidup ini dengan seadanya dan penyeri hidup ini adalah manusia di sekeliling aku sendiri.

Terima kasih untuk 36 tahun yang penuh bermakna. Hello dan selamat datang tahun ke-37 hidup ini. Semoga dipermudahkan segala urusan hidup ini. Syukur kepada Allah atas nikmat yang diberikan. Hanya Dia yang tahu segala sesuatu di hati ini.


1.9.10

Tiga Bulan

2.30 pagi dan masih berjaga. Mata sudah terasa berat tetapi hati masih mendesak untuk terus membuka luas kelopak mata ini.

Tidak ada apa yang merunsingkan fikiran. Hati begitu tenang, jiwa begitu damai. Kasih sentiasa di hati, hidup sentiasa bahagia. InshaAllah.

Aku mengingatkan diri ini bahawa masa untuk bersendirian sudah tidak lama tinggal. Kelak tidak ada lagi sunyi hendak diadu di sini. Tidak ada lagi baris-baris kata menceritakan perilaku seorang diri seperti yang sering berlaku dulu.

Aku perlu belajar hadapi sesak manusia di Jalan Masjid India sebanyak empat kali dalam sebulan. Aku perlu belajar apabila memesan makanan, pastikan ianya pedas dan cukup masinnya. Aku perlu belajar untuk beli apa yang perlu dan kalau ianya tidak perlu, jangan beli. Aku perlu belajar mengenali sanak saudara yang dekat dan jauh supaya silaturrahim sentiasa terikat mesra.

Banyak yang aku perlu belajar. Banyak yang aku perlu buang perangai tidak baik dan gantikan dengan perangai baik.

Tidak ada persoalan untuk apa semua ini. Kamu sendiri sudah tahu.

Hari ini, genap tiga bulan aku mengenali Zura. Bila berbual di telefon (bergayut) lewat malam tadi, kami sedar ianya baru tiga bulan tetapi suasananya seperti sudah tiga tahun. Seperti sudah terlalu lama mengenali Zura. Maka apa saja langkah yang sedang berlaku, dirasakan ianya seperti rutin hidup bersama selama ini. Ianya membuat aku tersenyum.

Bertahun aku mencari (dan letih mencari), tiga bulan selepas mengenali Zura, ianya dirasakan begitu berbaloi!

23.8.10

Ruang Masa

Dua hari ke sana sini. Kelmarin mencari pakaian raya di Jalan Masjid India; bukan untuk aku tetapi untuk Zura. Kemudian kami cuba samakan warna baju yang dibeli. Tidak ada banyak pilihan. Rupa-rupanya warna baju melayu aku agak sukar hendak dicari pasangannya. Berbuka puasa di sebuah restoran tidak jauh dari Masjid Jamek Kuala Lumpur.

Semalam berjalan-jalan di Taman Burung Kuala Lumpur. Pertama kali aku kesitu sejak sekian lama aku di sini. Ini adalah cadangan Zura dan aku dengan senang hati bersetuju. Bila di dalam taman burung, baru aku sedar bahawa aku patut bawa kamera DSLR dengan lensa yang lebih bagus. Burung di dalam taman ini cukup jinak dan mudah dirakam dengan kamera. Kami berbuka di restoran Ayam Bakar Wong Solo, Bangi. Sempat kami kunjungi pasar Ramadhan Bangi dan membeli beberapa juadah.

Dua hari yang diisi dengan suasana yang bahagia. :-)

Zura bertanya mengenai masa yang diluangkan bersamanya. Jawapan aku berbunyi begini,

"Sudah 35 tahun saya luangkan masa untuk diri sendiri. Biar sekarang saya luangkan masa dengan Zura pula."

Dia senyum dan senyumannya adalah 'estacy'.

15.8.10

Status

Kenapa aku tukar status perhubungan di Facebook daripada Single kepada In A Relationship With...?

Paling utama, kerana aku dan Zura fikirkan ianya sudah sampai masa untuk diakui perhubungan ini. Tidak ada guna hendak berselindung kalau hari-hari yang berlalu kini kami sibuk berbicara apa yang akan berlaku di masa akan datang, bersama. Apa yang lebih penting, penerimaan keluarga. Orang yang ada di sekeliling; sahabat, kawan baik dan kenalan boleh turut sama tumpang gembira.

Tetapi selagi tidak termeteri apa-apa ikatan sah, anggaplah ini sekadar perjanjian menuju kearah itu. Dan janji wajib ditepati.

Namun begitu, tidak pula aku sangka dengan respon yang aku perolehi. Terima kasih. Aku amat menghargainya. Begitu juga Zura, inshaAllah. Doa kamu adalah pembakar semangat dan pendorong untuk aku berusaha lebih gigih untuk memberikan yang terbaik dalam hidup ini.

24.7.10

You & Me

30.6.10

Memetik Kata-kata Sean Dari Good Will Hunting

Kononnya semasa pertandingan bola sepak piala dunia kali ini, aku mahu mengikutinya sekerap mungkin. Jadi tidak hairan kalau aku sanggup sambungkan semula akaun Astro aku untuk membolehkan aku menonton perlawanan di rumah.

Kemudian sesuatu yang tidak disangka terjadi.

Maka bila kamu bertanya, apakah yang telah terjadi? Aku akan menjawab,

"I gotta see about a girl"

:-)

29.6.10

Berputus Sahabat

Akhirnya sahabat berkata,

"Sampai setakat ini persahabatan kita."

Aku tidak pernah jumpa manusia yang begitu mudah untuk memutuskan tali persahabatan hanya kerana orang lain tidak faham sikap dan prinsip hidupnya.

Aku tahu kenapa. Aku tahu dia tidak suka orang mencelanya walaupun 'celaan' yang dianggapnya itu sebenarnya pujian terhadapnya. Tetapi dek kerana hati yang buta untuk melihat kebenarannya, dan kemarahan yang meruap di jiwa, persahabatan baginya tidak ada harga.

Kamu perlu tahu, ini semua bukan salah aku. Bukan berpunca daripada aku. Ianya berpunca daripada kemarahannya terhadap orang lain. Orang lain yang juga sahabat aku. Aku tidak mempertahankan sahabat tersebut, sebaliknya aku cuba memberikan andaian bahawa sifat manusia ini tidak sama dan jangan harapkan sesuatu yang tidak patut kita harapkan.

Ada manusia yang tidak mengerti itu semua. Maka kata-kata aku dilihat sebagai menyebelahi orang lain. Lalu dek kerana itu, dia putuskan persahabatan.

Kamu tahu apa yang sedang berlaku? Kemarahan yang membuak-buak di jiwanya. Kemarahan yang tidak boleh dibendung. Jadi kamu perlu diam dan biarkan jiwanya kembali tenang. Kemudian kamu berharap agar sahabat itu sedar bahawa tindakan yang diambil itu tidak membawa apa-apa keuntungan.

Tetapi aku mengenali sahabat aku ini. Aku tahu ragam jiwanya. Seperti yang tertulis dalam dua post sebelum ini, itulah sifatnya. Sukar untuk kamu pujuk hati manusia yang penuh kebencian dan kemarahan. Kamu cuma boleh berharap agar masa meredakan segalanya.

Aku harap kamu yang membaca, sekadar membaca. Tidak perlu komen apa-apa mengenai ini semua. Jangan suruh aku bersabar kerana hati masih tenang. Tidak perlu pujuk supaya aku jangan bersedih kerana hati sedang damai. Tidak juga perlu kamu kritik kerana aku jelak untuk dikritik.

Kamu cuma perlu bersimpati. Bersimpati terhadap persahabatan yang terlerai.

Harap ia tidak untuk selamanya.

27.6.10

Bagan Lalang (Bersama Dia)

Pantai Bagan Lalang
 Dia mengajak aku ke Bagan Lalang di petang sabtu semalam. Aku yang begitu suka memandu sendirian ke situ, sangat teruja untuk bersamanya menikmati indah petang di tepi pantai.

Syukur, dengan cuaca yang sangat damai dan angin yang memuput lembut sepanjang masa, aku dan dia bagai mahu terlena di situ. Kami yang duduk hanya beralaskan sehelai pelindung cermin kereta, hanya mampu duduk dan bersandar pada satu sama lain.

Mat dan Minah Afrika bermain bolasepak di tengah panas rembang.
 Selama 3 jam dan kami berbual, sambil memerhatikan dunia yang berlalu di depan kami. Sesekali berselang dengan ketawa memerhatikan telatah manusia di depan mata.

Aku tidak pernah menikmati suasana di Bagan Lalang sebegitu. Biasanya aku cuma memerhatikan dari jauh, di dalam kereta, di tepi jalan. Aku tidak duduk di tepi pantai, aku tidak memerhatikan orang lain. Aku cuma melihat suasana ketika itu.
Si kecil sedang menerbangkan layang-layang.

Kanak-kanak bermain pasir. Sungguh mempesona.
Alam lebih damai bila ada orang untuk dikongsi bersama.

17.6.10

Nota

Setelah berbual bicara, aku setuju aku tidak akan tulis mengenai dirinya di sini lagi. :-) Katanya, biarlah antara aku dan dia menjadi hal peribadi, dan aku setuju. Aku tidak perlu ceritakan kepada semua orang mengenainya. Aku mahu laluinya dengan lebih damai, InshaAllah.

Rugilah kamu tidak lagi dapat mengetahui cerita seterusnya nanti. Jangan marah.

16.6.10

Bahasa Hati - 2

Sebenarnya aku tidak puas kalau sekadar berbual di telefon. Aku mahu dia berada di depan mata, biar asyik memandangnya dan mendengar suaranya. Namun dia tidak benarkan aku menyusahkan diri untuk datang setiap masa di sana. Walaupun hakikatnya, aku tidak peduli semua itu.

Kemudian aku teringatkan suatu sifat ramai lelaki.

Lelaki, bila ingin mendapatkan sesuatu, terutama si pujaan hatinya, sanggup melakukan apa saja. Sanggup bersusah payah demi untuk memenangi hati si dia. Malah, ada yang selama ini kita tahu mereka tidak akan buat perkara-perkara sebegitu, mereka lakukan. Demi kerana si pujaan hati.

Namun bila si lelaki sudah memiliki si dia pujaan hati, tahap usaha dan tekadnya berkurangan, malah ada yang berhenti semuanya. Mana hilang sifat berkorban apa saja suatu ketika dulu?

Aku fikirkan diri aku sendiri, bagaimana aku akan lalui dan apa tindakan aku. Lalu berkata kepadanya, aku tidak berani berkata bahawa aku tidak akan melakukan perkara sebegitu. Aku akan cuba untuk tidak melakukan sifat-sifat tipikal lelaki itu. Aku mahu bila aku sedar dengan tingkah laku sebegitu, aku tidak akan melakukannya nanti bila bersamanya. Kalau di penghujung minggu lalu aku sanggup menunggunya di awal pagi di pinggir Ibu Kota, aku mahu aku boleh lakukan sebegitu sepanjang masa dan sehingga tiba ajal.

Aku cuba, ya. InshaAllah.

14.6.10

Bahasa Hati - 1

Dia berat hati hendak benarkan aku menjemputnya awal pagi tadi di Bukit Jalil. Lalu disuruhnya aku kembali tidur dan biarkan saja dia pulang ke rumah dengan pengangkutan awam. Aku beritahunya bahawa aku sudah hampir tiba di Bukit Jalil dan aku akan tunggu hingga dia tiba di situ.

Awal jam enam pagi, dia tiba. Dari jauh aku lihat wajahnya yang manis tetapi sedikit bermasam muka. Marahkan tindakan aku, mungkin. Sepanjang perjalanan menghantarnya pulang, dia mendiamkan diri. Aku cuba sekali sekala untuk menghiburkan dirinya.

Tiba di rumahnya, sebelum keluar, dia memberitahu bahawa dia tidak suka tindakan aku datang awal menjemputnya pulang dari kampung. Aku cuma tersenyum dan menjelirkan lidah. Ada dua persepsi; sama ada dia betul-betul tidak suka atau dia tidak mahu menyusahkan aku.

Aku memilih persepsi kedua. Aku tahu dia membaca blog ini (mungkin) dan pasti juga akan membaca tulisan ini. Aku bukan mahu mendedahkan kepada dunia apa yang berlaku atau mencari salah siapa.

Aku cuma mahu memberitahu bahawa suatu ketika dulu apabila berlaku situasi yang sama, aku tidak akan datang menjemputnya kerana aku tidak mahu dia marah atau terasa menyusahkan. Malah mungkin aku tidak akan langsung bertanya atau meminta izin sama ada boleh atau tidak aku menjemputnya pulang di awal pagi tadi.

Kalau hendak diikutkan, aku tidak akan lakukan apa-apa. Dan mungkin dia tidak akan pernah mengenali aku.

Aku sebenarnya sudah tiba di persimpangan di mana aku tidak perlu selamanya menjadi 'sempurna' dan 'patuh'. Aku mahu dia menegur perbuatan aku dan aku mahu lihat dia dalam keadaan di mana dia berdiam diri sepanjang perjalanan pulang. Aku melihat raut wajahnya begitu. Aku mahu bila tiba suatu masa di waktu sepi/damai kehidupan masing-masing, perkara ini akan dikenang kembali;

"Abang ingat tak Abang pernah datang ambil saya walaupun saya tidak mahu Abang buat begitu?"
"Ya. 14 Jun 2010, 6.00 pagi di Bukit Jalil. Mana boleh Abang lupa lihat muka comel yang tidak puas hati dan yang berdiam diri sepanjang dalam kereta."
"Abang degil sungguh!"
"Hahaha!"

Biar 10 tahun dari sekarang kata-kata itu terbit dari mulut aku dan dia. Kalau aku tidak melakukannya, dia tidak akan tahu rasa hati aku ketika itu.

Bak kata seorang sahabat;

"Idan, buat apa saja untuk dia lihat siapa sebenarnya awak. Awak tidak perlu berlakon kehidupan awak yang sempurna. Tunjuk 'flaw' awak sebagai manusia. Itu yang dia mahu lihat."

11.6.10

Pintu Baru Di Penghujung Liku

Maaf jika aku tidak berlaku jujur kepada kamu semua. Maaf juga jika aku tidak berterus terang.

Aku sedang lalui suatu episod dalam hidup ini yang aku cari selama ini. Aku mahu laluinya dengan tenang dan yakin. Mungkin ada yang berasa sukar hendak menerima kenyataan ini tetapi fahamilah, inilah yang aku cari selama ini dan aku sudah menemuinya. Aku sedang berusaha untuk jadikannya suatu kenyataan dan bersama dengan tindakbalas yang aku terima, inshaAllah semoga perjalanan ini dipermudahkan olehNya.

Jangan ada api antara kita, ya. Aku tetap berdiri di sini, sedia berada di sisi kamu selagi perlu dan selagi mengizinkan.

Kamu tahu, aku sedang gembira dan bersyukur. Aku mahu kamu sama merasainya.

24.5.10

Rindukan Senja

Sudah lama aku tidak menanti tibanya cahaya senja. Sudah lama juga aku tidak merakamkan suasana senja.



Mungkin kerana hidup kini begitu mono, seperti suatu garis lurus yang perlu ditempuhi sepanjang waktu tanpa liku-liku yang menarik untuk diharungi.



Namun bila sekali sekala bertemu cahaya senja yang indah, hati jadi rindu dan kelu.

Hidup ini masih ada istimewanya, setiap ketika.

5.5.10

Aku Mahu BerYoga, Boleh Tak?

Lima hari berehat daripada menulis di sini. Cukup lama. Hampir seminggu. Aku fikir, bulan ini nanti pun aku akan hadapi masalah untuk menulis 40 post. Tunggu dan lihat di penghujung bulan nanti.

Petang tadi aku bermain bolasepak, di atas padang terbuka. Mungkin, itulah kali pertama setelah lebih 10 tahun. Aku sudah tidak mengiranya lagi. Mungkin lebih lama dari itu. Kalau ada pun aku bermain bolasepak, ianya di dalam gelanggang tertutup; futsal.

Segala skil yang ada, semuanya sudah hilang. Badan sudah terlalu berat untuk berlari mengejar bola. Kaki sudah terlalu rapuh untuk meredah padang yang terasa seperti di bendang yang kering. Akibatnya, kaki aku terseliuh. Kedua-dua belah kaki aku terseliuh. Badan masih bertenaga untuk bermain, kerana stamina berbasikal banyak membantu aku. Tetapi badan agak berat jadi ianya membataskan kelajuan. Jika susut 18 kilogram berat badan nanti, pasti aku akan selaju Cheetah. hehehe.

Jadi sekarang, tambah satu lagi aktiviti bersukan aku. Mula dengan berbasikal lebih sebulan lalu, kemudian badminton dan sekarang bolasepak. Futsal ada sekali sekala. Cuma yang belum adalah berenang. Kali terakhir aku aktif bersukan begini adalah tahun 1992, 18 tahun lalu. Ketika jiwa masih muda, otot masih muda, kudrat masih muda dan muka masih hensem. Sekarang, dengan perut yang memboyot, muka yang menggerutu dan tulang seperti retak seribu, aku kembali bersukan. Parah. Cukup sukar untuk menggerakkan kembali tubuh badan yang 'berehat' sejak sekian lama.

Saban hari sekarang, apa yang aku fikir adalah untuk sentiasa bersenam. Sihatkan tubuh badan. Kalau bekas cikgu aku yang sekarang berusia lebih 50 tahun boleh kelihatan tegap dan sihat serta boleh menggayakan aksi goya yang sangat cool, kenapa aku tidak boleh?


Gambar kredit kepada Facebook Mr Quah.

Tengok, betapa coolnya pergerakan yoga yang bekas cikgu bahasa inggeris aku, Mr Quah lakukan. Dia mengajar aku ketika tingkatan satu di Sekolah Menengah Clifford, Kuala Kangsar dan sekarang masih sihat begitu. Kalau aku buat, mahu patah riuk badan.

Sekarang aku mahu bertanya, kita orang Islam boleh melakukan Yoga atau tidak?

2.4.10

Episod Berduka

Siang tadi aku mendengar episod luka hidup seorang manusia. Ianya diceritakan tanpa disuruh. Tanpa diminta. Aku tahu cerita ini sebelum dia ceritakan lagi. Bila dia tanya sama ada aku pernah dengar, aku jawab tidak. Aku mahu biar dia ceritakannya sendiri.

Bukan mencari kepastian. Aku biarkan dia bercerita kerana aku mahu dia ada ruang untuk luahkannya. Siang tadi ruang itu adalah aku. Jadi aku ruang untuk dia mengadu. Ada yang berkata, tidak perlu lagi bersimpati terhadapnya kerana ianya sudah lama berlalu.

Empat bulan. Tidak lama. Masih baru.

Aku sendiri ambil masa bertahun untuk lupakan perkara sebegitu. Jadi aku berkata kepada dia yang mengadu,

"Teruslah berduka jika perlu. Tetapi kamu perlu sedar bila masa untuk ketepikannya dan kembali bangun."

Kamu tidak boleh paksa orang lain yang dalam keadaan berduka untuk terus bangun. Ada antara kita boleh melakukannya. Tetapi ramai tidak mampu berbuat begitu. Mereka akan terus berduka sehingga lebur kenangan sekeras batu di dalam ingatan mereka. Ada yang mengambil masa 10 saat untuk melupakannya. Ada yang mengambil lebih 10 tahun untuk melupakan kenangan lalu, seperti aku.

Biar kita benarkan orang yang berduka membuat pilihan. Tenangkan hati mereka dengan kata-kata yang baik, sesuatu yang boleh menghiburkan hati mereka. Sentiasa yakinkan mereka, dalam hidup ini, kegembiraan sentiasa ada dan menunggu mereka.

Aku sekurang-kurangnya berasa lega apabila mengetahui dia sedikit gembira apabila selesai berbicara dengan aku. Itu yang kita semua patut lakukan. Hidup ini sentiasa indah. Kita corakkan perjalanan ini dengan acuan kita sendiri.

Life is beautiful

27.2.10

Damai

Akhirnya, aku berdamai dengan dia.

Akur dengan kehendak dan keadaan masing-masing. Faham dengan suasananya.

Begitu kehendakNya, agar masing-masing bahagia.

26.2.10

Babak Baru

Ada waktunya aku mahu kamu tahu, kalau secebis saja ruang kamu beri aku suatu ketika dulu, itu pun sudah mencukupi. Tidak perlu semua. Tidak perlu segalanya.

Tetapi kalau sekarang kamu mahu lakukan perkara yang sama, mungkin kerana kamu sudah menyedari apa yang telah berlaku, aku mohon maaf. Tidak, aku tidak perlu mohon maaf. Malah aku tidak perlu berkata apa-apa. Aku tidak akan peduli. Dulu, aku tidak ada ketegasan di dalam hati. Aku biarkan ia dibadai dalam apa jua keadaan. Itu dulu.

Susah nak rasa apa-apa sebenarnya. Mungkin seperti yang aku pernah huraikan dulu. Bila kita sampai di satu tahap, kita jadi 'biasa'. Itu yang aku rasa sekarang. Baik aku terhadap orang lain bukan dibuat-buat. Bukan lakonan penyeri suasana. Baik aku adalah baik yang aku mahu orang lain rasa. Tetapi lebih daripada itu, aku tidak boleh berikan kepada mereka. Tidak kepada sesiapa pun. Tidak kepada kamu pun, lagi.

Maka wujud aku sekarang hanya kerana aku mahu aku gembira. Aku akan gembira apabila melihat orang lain disekeliling aku gembira. Jadi baik aku kepada mereka kerana aku mahu mereka senang hati, damai dan seterusnya bahagia dalam hidup mereka.

Kamu? Kamu sekadar setitik noktah dalam cerita hidup. Aku sudah melangkaui baris cerita mengenai kamu.

Sekarang ada cerita lain yang lebih menarik untuk dilalui.

25.2.10

Hati Ini Berbatas

"Maaf. Bukan santunku terbungkam. Hanya hatiku berbatas..."

Lebih kurang maksud aku kepadanya sekarang. Walau tidak dijelas secara nyata, harap dia faham. Aku perlu lakukan untuk memudar apa jua rasa di hati. Jadi kalau dia terasa seperti tidak dipedulikan, ianya kerana sengaja aku lakukan.

Agar reda segala resah menanti jawapan darinya.
Agar luluh segala harapan yang pernah ada terhadap dirinya.

Bukan berputus asa. Cuma rasa perlu. Perlu dilakukan sekarang agar masa mendatang hidup ini lebih tenang daripada sentiasa mendesak diri untuk menyukai seseorang yang tidak pernah kembali menghargai. Anggapan aku begitu. Dia tidak pernah mahu menghargai. Jadi perlu apa lagi aku bebalkan diri untuk tunggu mengharap?

Lagipun, aku bahagia sekarang. Tenang. Hidup lebih damai dengan orang sekeliling yang sangat memahami dan mengambil berat (kamu tahu siapa kamu). Sekurang-kurangnya itu. Aku tidak perlukan dia meluahkan jiwanya. Sekadar sedikit menghargai, sudah cukup. Tetapi aku tidak pernah terima dari dia perkara itu.

Jadi ketahuilah, aku sudah berhenti daripada menunggu. Aku sudah bangun dan berlalu pergi. Aku mahu mencari daerah lain yang lebih menyenangkan aku. Aku temuinya walaupun bukan dalam keadaan yang ideal. Aku juga tidak perlu apa-apa lagi daripada dia. Cukup apa yang dia pernah berikan (jika ada). Aku tetap simpan semua itu sebagai kenangan. Tetapi sekadar itu, kenangan.

Dia juga tidak perlu mencari aku lagi ketika perlu. Berat rasa hati untuk menunaikannya. Kerana aku tidak mahu terjerumus kembali dalam ruang 'mengharap'. Dia pasti ada orang lain yang lebih sudi dan lebih ikhlas. Pergi saja di sana.

Aku pasti dia sedar perubahan ini. Sehari demi sehari pasti akan membuat dia tertanya-tanya. Itupun kalau dia mahu membiarkan diri untuk mempedulikan aku. Aku mahu dia tahu, apa jua cara untuk dia bermesra selepas ini, hanya sejuk beku yang diterimanya nanti. Bukan tiada simpati. Aku desak diri sendiri untuk berbuat begitu. Desak. Ianya adalah paksaan. Harap dia faham kenyataan itu. Harap dia sedar, kerana tidak pedulinya itu, ada hati yang terluka.

Aku juga mahu agar dia tidak datang memohon kemaafan. Aku sudah lama memaafkannya. Lama sebelum terdetik di hati kalau ada salah darinya.

Baris-baris kata ini ditulis bukan dalam keadaan aku kecewa, berduka atau marah. Aku menulis ini dalam keadaan amat tenang, amat damai dan selesa. Selesa dengan apa yang sedang aku lalui. Tetapi kerana aku dapat rasakan sesuatu yang terdetik di hatinya, maka aku letakkan nota ini di sini. Kalau dia tidak baca, ada kawannya yang ada membaca. Kalau dia tidak tahu, mungkin ada kawannya yang akan memberitahu. Kalau mereka diamkan saja, fahami ini; aku tidak kisah.

Sebesar debu pun harapan yang ada, aku mahu ianya terbang pergi. Terbang jauh melewati pelangi mimpinya. Aku sudah berjalan pergi, jauh.

21.2.10

34 Tahun, 363 Hari

Menjelang 35, raut wajah semakin tua, rambut semakin banyak yang putih, jiwa semakin lesu, ingatan semakin pudar, mata semakin rabun, badan semakin sengal dan segala yang muda dulu, semakin dimamah usia.







Bukanlah terlalu tua semuanya. Jiwa aku 100% masih dirasakan begitu muda.

Moga hari-hari yang mendatang lebih mendamaikan hidup ini. Terima kasih kamu yang sentiasa berada di sisi. Aku amat menghargainya.

19.2.10

Menghurai Kata

Ada waktunya, kalau kamu tiada apa yang menarik hendak diperkatakan, diam saja. Seperti kelmarin dan semalam, aku tiada cerita untuk kamu. Lalu aku diam.

Dalam masa yang sama, aku mendengar cerita-cerita menarik dari orang lain. Aku bayangkan hidup yang dilaluinya. Aku selami setiap baris kata yang dituturnya. Ada orang yang cuma mahu mengadu. Cuma mahu bercerita kepada orang yang sudi mendengar. Aku orang yang sudi mendengar itu.

Kelebihan orang lain, tutur kata mereka menjadi perhatian. Apa yang disuarakan, penuh emosi dan penjelasan. Aku tidak mampu begitu. Aku lebih selesa berada di ruang ini, menyuarakan kata pada setiap baris yang ditulis. Kamu yang menjadi 'pendengar'.

Jadi baris-baris tulisan ini adalah ganti suara aku yang tidak pandai mengungkap kata. Aku menulis lebih baik daripada aku bercakap, mungkin. Aku menulis blog ini sejak 2004 (secara aktif) lalu, aku sedari aku begitu selesa dengannya. Hakikatnya, aku hadapi masalah untuk menyiapkan satu muka surat novel yang sedang aku hasilkan.

Begitu sukar rasanya hendak menulis novel. Novel yang orang mahu baca. Aku perlu selami setiap watak yang aku bina. Setiap babak yang digambarkan, aku perlu jelaskan dalam imaginasi. Ianya perlu realistik supaya apabila orang lain yang membaca, mereka juga seperti berada di tempat itu, ketika itu.

Sini aku boleh santai, berkata apa saja. Tanpa peduli. Kamu mahu baca novel yang bersifat seperti penulisan di blog ini?