14.6.10

Bahasa Hati - 1

Dia berat hati hendak benarkan aku menjemputnya awal pagi tadi di Bukit Jalil. Lalu disuruhnya aku kembali tidur dan biarkan saja dia pulang ke rumah dengan pengangkutan awam. Aku beritahunya bahawa aku sudah hampir tiba di Bukit Jalil dan aku akan tunggu hingga dia tiba di situ.

Awal jam enam pagi, dia tiba. Dari jauh aku lihat wajahnya yang manis tetapi sedikit bermasam muka. Marahkan tindakan aku, mungkin. Sepanjang perjalanan menghantarnya pulang, dia mendiamkan diri. Aku cuba sekali sekala untuk menghiburkan dirinya.

Tiba di rumahnya, sebelum keluar, dia memberitahu bahawa dia tidak suka tindakan aku datang awal menjemputnya pulang dari kampung. Aku cuma tersenyum dan menjelirkan lidah. Ada dua persepsi; sama ada dia betul-betul tidak suka atau dia tidak mahu menyusahkan aku.

Aku memilih persepsi kedua. Aku tahu dia membaca blog ini (mungkin) dan pasti juga akan membaca tulisan ini. Aku bukan mahu mendedahkan kepada dunia apa yang berlaku atau mencari salah siapa.

Aku cuma mahu memberitahu bahawa suatu ketika dulu apabila berlaku situasi yang sama, aku tidak akan datang menjemputnya kerana aku tidak mahu dia marah atau terasa menyusahkan. Malah mungkin aku tidak akan langsung bertanya atau meminta izin sama ada boleh atau tidak aku menjemputnya pulang di awal pagi tadi.

Kalau hendak diikutkan, aku tidak akan lakukan apa-apa. Dan mungkin dia tidak akan pernah mengenali aku.

Aku sebenarnya sudah tiba di persimpangan di mana aku tidak perlu selamanya menjadi 'sempurna' dan 'patuh'. Aku mahu dia menegur perbuatan aku dan aku mahu lihat dia dalam keadaan di mana dia berdiam diri sepanjang perjalanan pulang. Aku melihat raut wajahnya begitu. Aku mahu bila tiba suatu masa di waktu sepi/damai kehidupan masing-masing, perkara ini akan dikenang kembali;

"Abang ingat tak Abang pernah datang ambil saya walaupun saya tidak mahu Abang buat begitu?"
"Ya. 14 Jun 2010, 6.00 pagi di Bukit Jalil. Mana boleh Abang lupa lihat muka comel yang tidak puas hati dan yang berdiam diri sepanjang dalam kereta."
"Abang degil sungguh!"
"Hahaha!"

Biar 10 tahun dari sekarang kata-kata itu terbit dari mulut aku dan dia. Kalau aku tidak melakukannya, dia tidak akan tahu rasa hati aku ketika itu.

Bak kata seorang sahabat;

"Idan, buat apa saja untuk dia lihat siapa sebenarnya awak. Awak tidak perlu berlakon kehidupan awak yang sempurna. Tunjuk 'flaw' awak sebagai manusia. Itu yang dia mahu lihat."

1 comment:

aku_ayu said...

ahaa.. ya, idan.. lakukanlah apa yg patut dilakukan.. kerana jika tidak melakukannya skrg, 10 thn kemudian akan timbul pertanyaan.."kenapa aku tidak melakukannya dulu..?" menyesal kemudian tidak berguna.. mcm yg berlaku pd saya skrg.. huhu..

Post a Comment