Ada juga manusia yang bila melakukan sesuatu kebaikan terhadap orang lain, dia pantas berkata;
"Saya buat ini untuk kamu. Saya tidak mengharapkan apa-apa kembali dari kamu."
Maksudnya, dia mahu kita tahu bahawa dia jujur berbuat baik terhadap kita. Lalu kita tersenyum dan berterima kasih, serta memahami akan kebaikan yang diberikan itu. Kalau manusia seperti aku, apabila disedari orang sedang melakukan kebaikan, secepat mungkin aku mahu ucapkan terima kasih tanda penghargaan. Kerana aku tidak mahu terlupa melakukannya nanti.
Ada manusia yang tidak tahu bagaimana cara terbaik untuk ucapkan penghargaan kerana cara biasa dirasakan tidak cukup untuk menggambarkan penghargaan di hati mereka. Apa jua, aku pasti setiap manusia akan sedar dan terasa dengan perbuatan yang baik oleh orang lain.
Tetapi apabila kamu tiba-tiba bersuara, tidak puas hati kerana perbuatan baik kamu itu tidak dihargai, walaupun dengan sekecil ucapan terima kasih, aku jadi kelu. Apa yang patut aku jawab pada manusia sebegini? Paling mudah aku berkata,
"Mungkin bukan caranya untuk ucapkan terima kasih."
Lalu kamu marah aku, dan berkata,
"Apa, susah sangat ke nak ucapkan terima kasih? Dasar manusia yang tidak kenang budi!"
Tolong beritahu sahabat aku, tidak semua orang boleh dengan mudah mengucapkan terima kasih terhadap apa saja. Manusia dilahirkan dengan sangat berlainan sifat, apa yang kita boleh jangka dengan tindakan orang lain? Lalu aku berkata kepada sahabat,
"Tidak mengapalah. Kita bersangka baik. Mungkin penghargaannya berlainan cara."
Tetapi sungguh susah untuk kita jelaskan kepada manusia yang hanya nampak api semata-mata sebagai membakar, bukan memanaskan badan. Sukar hendak kita beritahu kepada manusia yang nampak air sebagai pembawa bah bencana, bukan penghilang dahaga. Sangat sukar.
Kalau penghargaan yang dia cari, aku harapkan penghargaan itu ditemuinya nanti. Kalau pengiktirafan yang dia mahukan, aku harapkan pengiktirafan yang diterimanya nanti.
Ya, aku tahu apa yang kamu mahu jelaskan. Kamu mahu beritahu aku bahawa sahabat itu seorang yang tidak jujur ketika membantu. Jangan. Jangan anggap dia tidak jujur. Kita sendiri tidak tahu sejauh mana niat di hatinya ketika itu. Jangan kita duga benda yang kita tidak nampak. Lebih baik kita beranggapan, dia seorang bersifat perlukan penjelasan yang nyata. Dia mahukan pengesahan. Dia mahukan token terhadap kebaikannya.
Bukankah aku sudah katakan, sifat manusia tidak pernah sama antara satu sama lain. Sahabat juga begitu.
No comments:
Post a Comment