29.6.10

Ruang Legap Hati Manusia

Ada manusia yang setiap detik di hatinya, penuh kebencian dan kemarahan. Setiap apa yang dipandang, pasti dicari salah dan silapnya. Setiap perkataan yang terucap di mulut orang lain, pasti ada baris-baris yang dirasakan biadap dan menghina baginya. Setiap niat yang baik di hati manusia, pasti baginya ada kejahatan yang terselindung.

Aku bersimpati dengan manusia sebegini. Mereka orang yang baik, secara zahirnya. Aku pasti, sesiapa saja manusia adalah seorang yang baik asalnya. Tetapi dek kerana pengaruh dan keadaan, mereka berubah. Mereka berubah kerana tidak mahu pengaruh dan keadaan itu terus menguasai mereka. Mereka menjadi agresif dengan tindakan dan perasaan. Sedetik salah manusia lain terhadap mereka, seribu tahun menjadi cela di hati mereka.

Kamu tidak boleh buat apa-apa terhadap mereka kerana hati mereka sungguh keras diselaputi dendam dan marah. Jelas pada mereka, apa saja tindakan orang lain untuk melembutkan hati mereka adalah tindakan yang sebenarnya untuk merosakkan benteng kukuh yang mereka bina. Benteng fahaman mereka bahawa hidup sepatutnya dijalankan sebegini dan sebegitu, mengikut kehendak mereka.

Ianya berlaku kepada aku. Seribu baris kata pun untuk memujuk, takkan aku dapat untuk memenangi hati manusia sebegitu. Lalu paling lemah dari hati ini berdoa agar Tuhan menunjukkan jalan yang baik untuk mereka. Kita tidak mahu bersengketa sesama manusia kerana itu lebih mendekatkan kita dengan syaitan.

Kamu tidak boleh suruh mereka lembutkan hati dengan ayat-ayat suci kerana bukan kehendak mereka untuk menerima semua itu sebagai pengubat hati mereka. Malah, kalau mereka 'dekat' dengan Tuhan sekalipun, ianya kerana mereka berada dalam keadaan yang sangat tertekan dengan manusia lain di sekeliling tiada yang mendengar jeritan hati mereka. Lalu mereka berpaling dan memohon perlindungan dan bantuan daripadaNya. Ubat ketika jiwa tidak tenteram. Semua itu sentiasa ada dalam diri kita, bukan? Berpaling kepada Tuhan ketika jiwa sedang lara dan manusia lain tidak sudi mendengarnya. Tuhan jadi pilihan terakhir.

Jiwa manusia yang marah dan kebencian jika diusik dengan sedikit kata yang mengguris hati, maka bak gempa bumi dan gunung berapi ianya meletup. Ketika itu, tidak ada lagi batasan santun. Tidak ada lagi batasan kemanusiaan. Apa yang lebih penting, kemarahan dan kebencian perlu dilempiaskan sebanyak mungkin, bagi menyedap jiwa, mereda amarah.

Apa kamu boleh buat ketika itu bila kamu berada di tengah-tengah ruang bakar dan gempa? Duduk dan berdoa; semoga damai hidupnya sepanjang masa. Harapnya kamu wahai sahabat begitu juga. Moga damai hidup kamu sepanjang masa.

No comments:

Post a Comment