Kamu boleh bezakan seorang pemimpin itu bagus atau tidak dengan hanya mendengar isi percakapannya. Seorang pemimpin yang bagus akan membuahkan idea dan inspirasi kepada pendengarnya. Manakala seorang pemimpin yang kurang bagus akan berucap perkara yang sama berulang kali tanpa faham apa yang sedang dicakapkan itu.
Aku terdetik menulis di sini apabila aku mendengar ucapan seorang pemimpin yang berkata,
"... supaya organisasi ini akan terus relevan dalam suasana sekarang dan akan datang."
Pertamanya, organisasi yang dimaksudkan ini (pejabat aku sendiri) akan terus relevan kerana terdapatnya undang-undang yang mewajibkan hampir semua dokumen yang dikeluarkan oleh pejabat ini dimiliki oleh semua rakyat di Malaysia. Apa yang tidak relevan mengenai semua itu? Malah, pejabat ini adalah tunjang utama negara kerana di sini terdapat sumber data kependudukan yang paling lengkap dan efisien berbanding organisasi lain. Kerajaan sentiasa perlukan jabatan ini lebih daripada jabatan lain kerana segala perancangan termasuk bajet perlu bergantung kepada statistik yang dibekalkan.
Mengeluarkan ayat "supaya terus relevan" bukan saja menunjukkan sifat tidak matang sebagai seorang pemimpin tetapi membuktikan bahawa pemimpin tersebut tidak pernah faham dengan organisasi yang dipimpin. Lebih parah apabila pencapaian yang dibanggakan olehnya adalah apabila organisasi berjaya mencapai KPI menteri. Maaf, aku tidak bersetuju untuk berbangga dengan pencapaian itu. Bagi aku, pencapaian KPI rakyat terhadap perkhidmatan yang diberikan adalah lebih penting. Malah, ia sepatutnya menjadi petunjuk prestasi menteri sendiri. Selagi ada komplen dan ketidakpuashati rakyat terhadap organisasi yang dipimpin oleh seseorang menteri, maka secara automatik KPI menteri tidak tercapai.
Aku harap kamu memahami apa yang aku tulis ini. Aku bukan mengkritik kerajaan atau organisasi tetapi aku mengkritik kempimpinan. Untuk menjadi pempimpin, sesiapa pun boleh. Tetapi untuk menjadi pempimpin yang hebat, beliau perlu ada X-factor; bolehkah seseorang pemimpin itu mencipta wawasan atau idea yang boleh menggerakkan organisasi yang dipimpin mencapai tahap yang lebih tinggi.
Tun Dr. Mahathir adalah orang pemimpin hebat di negara ini kerana keupayaan beliau mencetus Wawasan 2020. Kamu lihat sendiri, idea ini diterima oleh sesiapa saja termasuk pemimpin dan penyokong parti pembangkang. Ianya suatu usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Sesiapa saja tanpa mengira agama, bangsa dan taraf perlu bergerak bersama untuk mencapainya.
Gagasan 1Malaysia yang dicipta oleh Dato' Seri Najib juga adalah sebuah idea yang cukup bagus dan jika dilaksanakan dengan betul, boleh merubah Malaysia daripada menjadi 'negara pelbagai bangsa' kepada negara satu bangsa yang kukuh dan harmoni. Namun, dek kerana faktor politik dan arah tujuan gagasan yang tidak jelas (akibat pengaruh politik juga), Gagasan 1Malaysia masih gagal mendapat tempat di hati semua rakyat Malaysia. Ianya sentiasa dijadikan 'musuh' politik dan sosial oleh ramai orang. Selagi Gagasan 1Malaysia masih belum mendapat tempat di hati semua rakyat Malaysia seperti yang dicapai oleh Wawasan 2020, selagi itu kita tidak boleh anggap Dato' Seri Najib sebagai pemimpin hebat, sehebat Tun Dr. Mahathir.
Begitu juga dengan pemimpin organisasi. Mereka perlu ada visi dan misi yang jelas dan secara kreatif dan inovatif, boleh membawa organisasi yang dipimpin menjadi organisasi yang hebat di mata sesiapa saja. Pemimpin yang ada di pejabat ini sekarang masih tidak mampu melakukannya. Itu pendapat aku. Sila sangkal jika kamu tahu lebih dari itu.
No comments:
Post a Comment