2.6.10

Datang Ribut Taufan, frossonice.com Tetap Di Sini

Kadang-kadang kita baca penyataan orang di laman web atau di dinding Facebook mereka, memberitahu bahawa mereka tidak akan menulis lagi, akan menutup laman web atau membatalkan akaun web rakan sosial mereka. Ada pelbagai sebab yang mereka utarakan; rimas, bosan, sudah mencapai matlamat, sudah langgar dinding, berjuang demi agama, berubah kepada yang lebih baik, menggunakan produk halal berbanding sekarang.

Apa jua alasan mereka, kadang-kadang boleh buat aku tersenyum sendiri. Suatu masa dulu, mungkin lebih lima tahun dulu, aku akan buat seperti mereka buat. Tutup blog kerana kononnya  rimas dengan gangguan orang atau tidak menarik.

Seorang rakan mahu menutup akaun Facebook dan menggunakan sistem laman web rakan sosial milik Malaysia. Alasan yang ditulis, menyokong produk tempatan berbanding produk USA. Rugi sikit kerana selepas ini tidak boleh berbual di Facebook. Aku puji usaha beliau. Tetapi aku ada 280 lebih sebab untuk tidak berhijrah ke sana. Orang lain mungkin ada lebih sebab. Cuma aku tahu 280 lebih orang kawan aku tidak akan turut berhijrah ke laman web rakan sosial buatan Malaysia. Mereka akan terus kekal di Facebook. Jadi, aku juga akan kekal di sini. Aku masih boleh baca blog beliau yang sentiasa menarik. :)

Aku sendiri pernah tutup dua akaun laman web rakan sosial. Satu di Tagged, kerana ianya menyusahkan aku. Satu lagi di Friendster kerana aku tidak nampak apa motif aku berada di situ. Sekarang aku cuma aktif di Facebook.

Setakat ini juga, sudah beberapa orang kenalan yang menutup atau berhenti menulis blog. Ada seorang yang aku kenali berhenti tiba-tiba kerana rasakan dirinya diperhatikan (bukan alam ghaib!). Ada yang berhenti kerana malas menulis dan ada seorang yang berhenti kerana sudah berkahwin. Mungkin tidak ada apa cerita yang menarik untuk ditulis sesudah berkahwin.

Blog ini, usia sebenarnya sudah lebih 10 tahun. Aku menulis di blogger.com sejak 2004, walaupun akaun ini dibuka pada tahun 2002. Sebelum itu aku menulis di Diaryland, uJournal dan laman web buatan sendiri. Lebih 10 tahun; suatu jangkamasa yang lama. Aku tidak mahu berkata aku adalah orang lama menulis blog. Aku sedar ada orang di luar sana yang baru setahun dua menulis blog, sudah mengaku otai atau veteran. Ye lah tu.

Aku pernah berjanji, aku akan terus menulis di sini selagi mampu. Aku tidak akan berhenti atau tutup tanpa sebab yang paling kukuh. Aku tidak akan berhenti kerana didesak oleh orang lain supaya berhenti. Aku cuma akan ubah sedikit supaya tidak menyinggung orang itu. Selebihnya, aku menulis mengikut kehendak aku sendiri.

Sebab itu juga, berbanding orang lain yang ada dan menulis di beberapa blog, aku cuma boleh menulis di sini,di frossonice.com. Aku rasa frossonice.com sudah cukup matang untuk disumbat apa saja kedalamnya. Tidak perlu imej, konsep atau genre. frossonice.com adalah ruang yang luas, tetapi kadang-kadang ianya cuma satu alur yang kecil. Jarang bersimpang-siur. Lebih banyak padang luas. I write whatever I want.

Jangan kamu risau, sahabat. Aku akan sentiasa berada di sini. Kamu sentiasa boleh datang sebagai tetamu dan duduk menikmati suasana di sini. InshaAllah.

2 comments:

Ain said...

:) Salam Idan. I respect your opinion as you respect mine. Lagipun setakat nak berkomunikasi, hantar comment kat blog pun ok juga kan?

Mungkin lagi susah nak tinggalkan FB ni bila orangnya popular dan ramai kawan. Tambah pulak kalau dah ada banyak lembu kerbau kat Farmville - as I was told by one of my friend hehehe

Anonymous said...

Salam Idan. Tahniah kerana terus aktif. Tak sangka pula saudara masih ingat pada saya. Sebenarnya ada juga hasrat nak tulis blog semula tapi ...tengoklah ..kalau dah tak ada yang memerhatikan ..mungkin saya menulis semula ..Selamat Maju Jaya.

Post a Comment