Siang tadi sewaktu mahu berbasikal, aku tertinggal iPod Shuffle di laci pejabat. Mulanya aku fikir pasti akan bosan berbasikal tanpa lagu berkumandang di telinga.
Separuh jalan, aku tersenyum sendirian. Bunyi alam lebih mengasyikkan. Lalu hari ini, tanpa rasa penat, aku berkayuh jauh dan mendaki bukit di Taman Wawasan. Berhenti di situ dan duduk diam mendengar suara alam; unggas, burung, angin yang bertiup, bunyi hentakan mesin di tapak pembinaan, bunyi enjin kereta dan ekzos motosikal. Semuanya bergabung menjadi irama yang tenang di petang yang sungguh menawan di Putrajaya.
Hari ini hari yang sedikit lega. Kerja di pejabat menunjuk progres yang baik. Aku berjaya akhirnya siapkan kulit depan dan layout laporan yang hampir setengah tahun aku berhempas pulas dengannya. Syukur. Seperti yang aku kata dalam post sebelum ini; mungkin kerana si dia yang membantu aku menjadi lebih tenang dan damai.
Bila petang, sewaktu berbasikal, hati menjadi begitu lapang dan tenteram. Tidak lagi bergelodak mendesak diri berfikir mengenai kerja yang belum selesai.
Kamu patut cemburukan aku dan beberapa orang manusia yang berjogging atau bersiar-siar di taman sekitar Putrajaya. Kami ada ruang yang begitu luas untuk bersenam dan menikmati udara yang sangat segar tanpa perlu bersesak-sesak dan berebut dengan orang lain. Aku simpati dengan mereka yang walaupun tinggal hanya beberapa meter dari taman-taman ini, tidak mengambil peluang untuk menggunakannya di waktu petang sebegini. Ya, pilihan masing-masing.
Syukur dengan segala nikmat yang dikurniakanNya selama setakat ini.
No comments:
Post a Comment