Dia berkata,
"Cukup sekadar saya yang tidak puas hati dengan orang itu. Awak tidak perlu turut tidak berpuas hati terhadapnya kerana awak tidak kenal siapa dia."
Betul katanya. Aku tidak perlu mengambil hatinya dengan menyokong semua tindakannya. Lebih baik aku sekadar dengar keluhan tersebut tanpa aku menambahnya sendiri. Aku sendiri tidak mengenali orang itu maka tidak ada sebab untuk aku bersikap apa-apa terhadapnya.
Kadang-kadang kita manusia terlalu cepat membuat kesimpulan, walau hanya mendengar dari orang yang rapat dengan kita. Kemudian, dek kerana kita mahu mengambil hatinya, kita turut sama mahu membenci orang yang dibencinya. Kita turut sama untuk mahu tidak suka dengan orang yang tidak disukainya. Kita lakukan kerana kita fikir dengan berbuat demikian, ianya menambahkan lagi rasa hati dia terhadap kita.
Aku belajar sesuatu melalui semua ini; Kebencian orang lain, bukan kebencian kita.
Kita tidak wajar kerana hanya mahu mengambil hati seseorang, orang lain yang kita tidak dikenali disakiti, dibenci atau dituduh sembarangan. Lebih baik dalam hidup ini, kita sentiasa bersangka baik terhadap orang lain, biar pun orang yang rapat dengan kita menganggap mereka itu musuh. Itu musuh mereka, bukan musuh kita. Itu sengketa mereka, bukan sengketa kita. Kita sebagai manusia yang tidak ada kena mengena, tidak wajar turut sama bermusuhan atau bersengketa hanya kerana orang yang kita sayang, sahabat baik kita atau keluarga kita bermusuhan atau bersengketa dengan orang lain.
Kadang-kadang perkara ini nampak sukar untuk kita hadapi apatah lagi bila di hati kita berbisik,
"Aku mesti menyokong dan bersama keluarga/sahabat aku dalam apa jua keadaan."
Kamu tidak perlu sentiasa mengikut kehendak orang lain. Setiap manusia diberi akal dan fikiran, dan yang lebih bertuah, diberi deria untuk melihat, merasa dan mendengar segala yang ada disekeliling kita. Kalau kita hanya mahu bergantung kepada orang lain untuk menentukan detik hati kita, baik kita berikan mereka semua deria kita dan kita jadi tunggul yang bergolek ke arah mana ditolak.
Hidup ini sentiasa ada pilihan. Gunakannya.
No comments:
Post a Comment