4.6.10

Lagenda Budak Setan

Mulanya aku memberitahu sahabat, aku tidak mahu mengulas mengenai filem Lagenda Budak Setan yang aku tonton semalam. Tetapi bila difikirkan balik, adalah tidak adil aku berbuat begitu, sedang filem barat aku ulas panjang lebar. Kalau Lagenda Budak Setan ini aku ulas satu dua perenggan, sudah okay juga, bukan?

Kamu sendiri tahu, filem ini diangkat dari koleksi novel popular karya Ahadiat Akashah. Aku tidak pernah membaca satu pun daripadanya. Jadi aku datang menonton dalam keadaan tidak tahu apa jalan cerita sebenarnya. Tiada ekspektasi yang tinggi seperti orang lain, mungkin.

Terus terang, lakonan paling berbaloi ditonton dalam filem ini adalah lakonan aktor Que Haidar. Emosi dan 'torment' hidup yang dipapar di setiap babak begitu hebat dan berkesan. Adegan memukul Ayu dibuat dengan penuh penghayatan sebagai seorang manusia yang marah dan kecewa. Dalam aku menonton, sempat aku berbisik kepada sahabat dan berkata, "mungkin si mamat tu gila".

Kalau hendak dilawan 'setan' Ali dalam filem Ali Setan dan Kasyah dalam Lagenda Budak Setan, Kasyah dalam filem ini nampak macam amatur. Ali jauh lebih 'setan' dari Kasyah. Full Stop! Maksud aku, kalau setakat masukkan cicak dalam tin Coca-Cola, apa kelas. Jadi, taraf 'setan' masih dipegang oleh Ali dari filem Ali Setan.

Farid Kamil sebagai Kasyah adalah lakonan seperti Keanu Reeve dalam kebanyakan filem. Semua emosinya seperti plastik. Farid Kamil sepatutnya belajar daripada Que Haidar, bagaimana meluahkan emosi di memek muka. Pelakon perempuan aku tidak kenal sangat tetapi hampir semua mereka fail terutama yang tidak boleh membunyikan huruf 'R' dengan betul. Bukan aku mengutuk tetapi adegan sedih menjadi kelakar kerananya. Lakonan pada aku hampir semuanya gagal. Paling gagal adalah watak sahabat-sahabat Kasyah dan doktor di hospital. Eh, mana punya pelakon kamu ambil ha?

Sinematografi, aku bahagi dua; sangat mengkagumkan dan pelik.

Permandangan sepanjang filem; mashaAllah. Tuhan saja tahu bertapa cantiknya permandangan yang dirakam dari lensa kamera. Dalam hati mendesak mahu tahu di manakah di seluruh Malaysia punyai permandangan yang begitu hebat? Adegan Kasyah pergi ke pendalaman, menakjubkan. Pokok di atas bukit di tengah padang itu aku sudah tahu di mana. Kalau ada peluang aku ke sana, akan aku rakamkan suasananya sepuas hati aku.

Sinematografi pelik pula adalah bilamana close-up shot dengan penuh mengelirukan, telah mencatas hampir separuh kepala watak. Apa motif? Teknik perfileman apa yang mereka guna? Babak dalam filem terutamanya  adegan berbicara, perlukan memek muka untuk ditafsirkan. Tetapi kalau ianya tidak nampak dek kerana fokus kamera yang terlalu dekat, rugi.

Sempat semasa dalam pawagam menonton, ada yang menghantar SMS, bertanyakan mengenai kualiti filem Lagenda Budak Setan. Aku mengambil masa agak lama untuk menjawab. Aku pecahkan dulu; Sinematografi aku beri  4.5 bintang. Aku sangat kagum dengan permandangannya. Lakonan: 2 bintang. Dua bintang itu milik Que Haidar, selebihnya mereka gagal membantu. Keseluruhan, aku boleh beri cuma 2.5 bintang. Percubaan yang baik tetapi hasi kurang memuaskan.

3 comments:

Anonymous said...

Dan,kalau kita kagum dengan ciptaan Allah sebut Subhanallah yer..itu yg sesuai..skadar ingt mengingati..;-)

fadh_q © said...

boleh tak nak tau pokok tengah bukit tu letaknye kat mane?? heee

Ahmad Sharidan said...

UPM Serdang.

Post a Comment