11.6.10

Sehari Siang Semalam

Berubah

Semalam semasa di kedai runcit bangunan pejabat sebelah, aku mencari gula-gula untuk menghilangkan rasa mengantuk. Sesudah beli aku terlihat seseorang sedang makan airkrim di sebalik barangan di kedai runcit tersebut. Seorang perempuan.

Aku jenguk melihat siapa dia yang penuh asyik menyuap aiskrim (cup) dan duduk bersilang kaki, berbaju kurung. Rupanya dia adalah ketua juruteknik bangunan. Ya, memang ketua juruteknik bangunan di pejabat adalah seorang perempuan dan suatu ketika dulu dia adalah seorang yang seperti tomboy dengan baju juruteknik, seluar jeans faded dan berkasut Converse All Star. Pernah juga jumpa di luar dengan sebatang rokok di jari. Rupa masih seorang perempuan tetapi lagak seperti lelaki. Mungkin kerana anak buahnya semua lelaki.

Setelah berkahwin dengan seorang pegawai di pejabat, aku sedar dan nampak dia sedang berubah. Sudah rajin berbaju kurung, make-up di muka dan aksesori di badan dan kepala. Nampak seperti perempuan yang sebenarnya. Kamu dapat rasakan dia sedang berusaha untuk menjadi seorang wanita sejati di sisi suaminya. Dia tidak kisah untuk berubah untuk suaminya walaupun aku tahu suaminya jenis orang yang selamba dan tidak pentingkan semua itu.

Hidup ini bergerak jika kita mahu ianya berlaku begitu.

Surat Khabar

Setelah beredar dari kedai runcit, aku singgah di sebuah kedai runcit lain di bawah pejabat. Aku mahu beli surat khabar, suatu perbuatan yang sudah begitu lama tidak dilakukan. Kalau dulu, hampir setiap hari aku akan pastikan aku beli senaskah The Star untuk dibaca. Bagi aku, dengan harga RM1.00 dan sekarang RM1.20, ianya sebuah surat khabar yang berbaloi. Banyak cerita yang boleh dibaca.

Itu juga cara untuk aku memahirkan diri dengan Bahasa Inggeris. Paling menyeronokkkan, setiap selasa dan kemudiannya setiap khamis, mereka akan sisipkan berita teknologi komputer terkini melalui InTech. Pernah dulu aku sedari, The Star lebih cepat habis dijual pada setiap hari selasa dan puncanya adalah InTech. Ketika nafsu politik aku belum matang, The Star pada aku adalah sumber berita yang sedikit terbuka dan 'balance' berbanding Utusan Malaysia dan NST.

Namun begitu dek kerana berita politik yang semakin hari semakin membuat aku meluat, aku berhenti membeli The Star. Malah, aku berhenti beli apa jua jenis akhbar media arus perdana kerana ianya tidak lebih sebagai propaganda politik. Sehinggalah pagi semalam.

Aku bayar RM1.20 untuk senaskah The Star. Sampai di pejabat, aku perap dulu sehingga tengahari, pada waktu rehat. Tiba waktu, aku membelek sehelai demi sehelai muka surat The Star. Dua tiga minit kemudian, aku berhenti.

Menyesal beli surat khabar.

A&W

Tengahari beberapa minit sebelum rehat, aku mengirim SMS kepada Asyikin;

"Ikin makan apa harini?"
"Taktau lagi la Abang. Abang makan apa?"
"Ingat nak minum air Root Beer di A&W."
"Jom!"

Lalu kami berdua bergerak ke Alamanda, semata-mata untuk menjamah makanan dan minuman di A&W. Nasib baik aku dapat seorang adik yang citarasa lebih kurang sama saja dengan aku.

Sebelum pulang ke pejabat, sempat juga bertemu dengan Mama Asyikin yang kebetulan berada di Alamanda. Pertanyaan pertama beliau adalah seperti yang aku jangkakan;

"Idan, bila lagi?"

Aku cuma tersenyum. Setiap kali bertemu dengannya, itulah yang akan keluar dari mulutnya. Kali ini jawapan aku cuma senyuman dan beberapa baris ayat lain yang menyedapkan hatinya.

No comments:

Post a Comment