Khamis tempohari aku menonton Karate Kid bersama seseorang. Pertama kali bertemu dirasakan begitu mesra. Tidak sangka dia juga mempunyai minat yang sama dengan aku, menonton filem di pawagam. Lebih mudah selepas ini.
Okay, berbalik dengan Karate Kid. Filem ini adalah 'remake' filem asal yang bertajuk sama. Filem 1984 yang mengisahkan bagaimana seorang remaja dibuli oleh sekumpulan remaja lain, cuba memperbetulkan keadaan dengan mempelajari seni bela diri, Karate.
Filem asal mempopularkan seni bela diri karate dan juga memperkenalkan dengan "Crane Kick" yang sentiasa ditiru oleh ramai orang hingga kini.
Filem versi 2010 pula membawa penonton ke negara China, lokasi peristiwa dengan jalan cerita yang sama. Bila berada di negara China, maka seni bela dirinya pastilah bukan karate, tetapi Kung Fu.
Filem ini keluaran syarikat penerbitan milik Will Smith, pelakon popular Hollywood. Maka tidak hairan kalau watak utama, Dre dilakonkan oleh Jaden Smith, anak Will Smith sendiri. Manakala tok guru Dre pula adalah tidak lain tidak bukan, Jackie Chan yang memegang watak Han.
Aku sungguh tertarik dengan lakonan Jaden Smith. Sungguh bersahaja dan penuh dengan emosi. Jaden Smith aku jangka, dengan tunjuk ajar yang baik, akan menjadi pelakon hebat suatu masa nanti. Menjadikan Beijing, China sebagai lokasi, Dre menghadapi pelbagai masalah untuk mengadaptasi dirinya. Jaden berjaya menyerlahkan emosi seorang remaja yang bersifat 'rebellious', dalam masa yang sama tertekan dengan keadaan sekeliling.
Watak Han yang dilakonkan oleh Jackie Chan tidak mendapat tempat yang secukupnya dalam filem ini. Walaupun lakonan Jackie Chan sungguh natural dan penuh dengan serius, ianya tidak cukup dibina untuk berdiri dengan sendiri. Tetapi sebagai tok guru kepada Dre, Han dalam filem ini nampak lebih 'asli' berbanding tok guru lakonan Mat Morita.
Pemilihan lokasi di Beijing, China bagi aku adalah simbol kepada perubahan yang berlaku sekarang. Pada tahun 80an, Jepun dilihat sebagai negara yang sedang deras mengejar kemajuan seperti negara barat. Sekarang ianya adalah giliran China. Perubahan drastik yang dilalui kadang-kadang boleh menakutkan sesiapa saja.
Secara keseluruhan, filem ini adalah sebuah filem yang menarik. Tidak rugi untuk beli tiket dan menontonnya. aku berikan 3.5 bintang daripada 5 bintang.
Namun apa yang lebih menarik adalah si dia di sebelah. :D
No comments:
Post a Comment