Dalam masa yang sama, aku mendengar cerita-cerita menarik dari orang lain. Aku bayangkan hidup yang dilaluinya. Aku selami setiap baris kata yang dituturnya. Ada orang yang cuma mahu mengadu. Cuma mahu bercerita kepada orang yang sudi mendengar. Aku orang yang sudi mendengar itu.
Kelebihan orang lain, tutur kata mereka menjadi perhatian. Apa yang disuarakan, penuh emosi dan penjelasan. Aku tidak mampu begitu. Aku lebih selesa berada di ruang ini, menyuarakan kata pada setiap baris yang ditulis. Kamu yang menjadi 'pendengar'.
Jadi baris-baris tulisan ini adalah ganti suara aku yang tidak pandai mengungkap kata. Aku menulis lebih baik daripada aku bercakap, mungkin. Aku menulis blog ini sejak 2004 (secara aktif) lalu, aku sedari aku begitu selesa dengannya. Hakikatnya, aku hadapi masalah untuk menyiapkan satu muka surat novel yang sedang aku hasilkan.
Begitu sukar rasanya hendak menulis novel. Novel yang orang mahu baca. Aku perlu selami setiap watak yang aku bina. Setiap babak yang digambarkan, aku perlu jelaskan dalam imaginasi. Ianya perlu realistik supaya apabila orang lain yang membaca, mereka juga seperti berada di tempat itu, ketika itu.
Sini aku boleh santai, berkata apa saja. Tanpa peduli. Kamu mahu baca novel yang bersifat seperti penulisan di blog ini?
No comments:
Post a Comment