Ketahuilah, apa yang dicoret di sini hanya sekadar di permukaan. Kerana aku belajar sejak lama dulu, aku tidak pandai berkongsi cerita dengan sesiapa pun. Aku boleh duduk selama mungkin dan tertumpu kepada kamu sahaja kiranya kamu mahu mengadu dan menceritakan segalanya. Aku tidak akan pantas memberi jawapan kepada kamu atas semua rungutan itu. Aku akan dengar kerana itu yang aku selesa lakukan.
Kadang-kadang, dalam keadaan hati yang amat sedih, datang orang yang mahu mengadu perasaan mereka kepada aku. Aku simpan sedih aku. Aku duduk dan dengar isi hati mereka. Kerana itu yang kita semua mahukan. Mahu seseorang yang dapat memberi perhatian kepada kita, biar hanya untuk sedetik waktu. Selepas semuanya terluah, aku pasti, sedikit di hati mereka akan berasa lega dan tenang. Jauh dari kesedihan yang mereka sendiri lalui.
Dan aku juga seperti terlupa segala beban yang tersandang di bahu ketika itu. Cuma bila ianya selesai, mahu saja aku berkata,
"Tunggu, aku mahu juga luahkan sesuatu"
Tetapi melihat mereka gembira, aku tidak sanggup melontar kepada mereka apa-apa pun. Jadi aku diam dan simpan. Jangan kamu rasa bersalah. Itu amat tidak perlu. Kamu pasti tahu apa yang sedang aku lalui ketika itu. Kalau ada sekalipun, kamu pasti juga tidak akan menyedarinya.
Dua hari lalu ianya begitu. Ketika itu datang mereka yang mengadu segalanya kepada aku mengenai kesedihan dan kemarahan mereka. Aku duduk dan dengar.
Seperti yang aku katakan, kamu tidak perlu rasa bersalah mengenainya. Aku sentiasa mahu mendengar.
No comments:
Post a Comment