2.2.10

Teringin Memberi Alasan

Tengah malam buta ini, aku teringin menjamah roti canai...

Oh well. Tunggu esok saja.

Aku sedari, bukan aku yang lari. Mungkin kerana takutkan ianya berulang lagi. Tetapi tidak mengapa. Biarkan saja. Aku tidak mahu mengejar. Ada banyak perkara lain yang aku mahu lakukan.

Seperti membawa akuarium kecil ke pejabat, contohnya. Sudah hampir sebulan akuarium dibeli dan dihuni oleh dua ekor ikan, aku masih belum bawa ke pejabat untuk di letakkan di tempat yang sepatutnya. Aku fikirkan mengenai masa ditinggalkan. Sepanjang Februari ini, banyak cuti di penghujung minggu. Pastinya akuarium akan ditinggal tanpa di jaga sepanjang waktu itu. Jadi, mungkin sehingga penghujung Februari, aku biarkan saja ianya di rumah.

Aku juga perlu bayar bil broadband. Entah kenapa, tempohari semasa di The Mines dengan waktu terluang yang cukup banyak, aku terlupa untuk melakukannya. Harapnya esok ia masih boleh berfungsi. Kalau tidak, blog aku sendiri tidak boleh diakses akibat jerangkap tapisan server pejabat. Ya, blog aku adalah antara blog yang ditapis di pejabat. Jangan tanya aku kenapa. Tanya mereka sendiri.

Sudah pastinya juga, aku perlu siapkan rekacipta buku laporan tahunan terbaru jabatan. Aku sudah siapkan dua, secara kasar. Aku perlu siapkan beberapa lagi untuk memberi pilihan yang lebih banyak kepada orang atas untuk memilih.

Seperti yang aku kata, aku punyai banyak perkara untuk dilakukan daripada memikirkan hal yang berkait soal hati. Ya, aku tahu semua perkara itu sekadar trivial. Aku juga tahu ianya sekadar alasan untuk menyedapkan perencah baris-baris ayat yang kamu baca. Namun, aku masih tidak perlu fikir mengenai hal lain.

Teringinkan roti canai menyebabkan perut masuk angin.

No comments:

Post a Comment