5.5.10

Aku Mahu BerYoga, Boleh Tak?

Lima hari berehat daripada menulis di sini. Cukup lama. Hampir seminggu. Aku fikir, bulan ini nanti pun aku akan hadapi masalah untuk menulis 40 post. Tunggu dan lihat di penghujung bulan nanti.

Petang tadi aku bermain bolasepak, di atas padang terbuka. Mungkin, itulah kali pertama setelah lebih 10 tahun. Aku sudah tidak mengiranya lagi. Mungkin lebih lama dari itu. Kalau ada pun aku bermain bolasepak, ianya di dalam gelanggang tertutup; futsal.

Segala skil yang ada, semuanya sudah hilang. Badan sudah terlalu berat untuk berlari mengejar bola. Kaki sudah terlalu rapuh untuk meredah padang yang terasa seperti di bendang yang kering. Akibatnya, kaki aku terseliuh. Kedua-dua belah kaki aku terseliuh. Badan masih bertenaga untuk bermain, kerana stamina berbasikal banyak membantu aku. Tetapi badan agak berat jadi ianya membataskan kelajuan. Jika susut 18 kilogram berat badan nanti, pasti aku akan selaju Cheetah. hehehe.

Jadi sekarang, tambah satu lagi aktiviti bersukan aku. Mula dengan berbasikal lebih sebulan lalu, kemudian badminton dan sekarang bolasepak. Futsal ada sekali sekala. Cuma yang belum adalah berenang. Kali terakhir aku aktif bersukan begini adalah tahun 1992, 18 tahun lalu. Ketika jiwa masih muda, otot masih muda, kudrat masih muda dan muka masih hensem. Sekarang, dengan perut yang memboyot, muka yang menggerutu dan tulang seperti retak seribu, aku kembali bersukan. Parah. Cukup sukar untuk menggerakkan kembali tubuh badan yang 'berehat' sejak sekian lama.

Saban hari sekarang, apa yang aku fikir adalah untuk sentiasa bersenam. Sihatkan tubuh badan. Kalau bekas cikgu aku yang sekarang berusia lebih 50 tahun boleh kelihatan tegap dan sihat serta boleh menggayakan aksi goya yang sangat cool, kenapa aku tidak boleh?


Gambar kredit kepada Facebook Mr Quah.

Tengok, betapa coolnya pergerakan yoga yang bekas cikgu bahasa inggeris aku, Mr Quah lakukan. Dia mengajar aku ketika tingkatan satu di Sekolah Menengah Clifford, Kuala Kangsar dan sekarang masih sihat begitu. Kalau aku buat, mahu patah riuk badan.

Sekarang aku mahu bertanya, kita orang Islam boleh melakukan Yoga atau tidak?

No comments:

Post a Comment