12.5.10

Hidup Ini Adalah Pilihan

Sudah 12 Mei. Aku agak kurang produktif menulis di sini. Berfotografi juga kurang. Alasan mudah untuk aku berikan, hampir setiap petang di Putrajaya, hujan membasahi bumi. Aku tidak ada perkara menarik untuk dirakam di pejabat. Kalau boleh aku bercerita mengenai politik pejabat, sudah lama aku luahkan semua di sini. Tetapi sejak ditegur oleh bos, aku limitkan tulisan mengenai hal pejabat.

Kelmarin malam, aku berbual-bual dengan seorang sahabat. Bercerita mengenai kehidupan masing-masing. Desakan keadaan di sekeliling yang secara tipikal akan mempersoalkan suasana kehidupan manusia seperti aku dan dia. Tipikal masyarakat Melayu. Kenapa masih belum berkahwin di usia sebegini. Itu paling utama.

Kalau hendak dibuat ulasan, pasti jalan ceritanya akan hampir sama dengan ribuan orang lain. Jadi tidak perlu membuat ulasan kepada jawapan yang orang sudah tahu. Sebaliknya kami mempersoalkan hipokrasi manusia. Bagaimana manusia mencipta idealisme kehidupan mengikut acuan pemikiran manusia tipikal, sama seperti orang yang ada di sekeliling mereka juga.

Seperti yang aku sendiri sering perkatakan; kita sebagai manusia sentiasa mahu yang baik, yang cantik dan yang sesuai dengan diri kita. Jarang kita pilih sesuatu berdasar berapa buruk, hodoh atau jahatnya pilihan itu. Kalau ada yang memilih juga, hasrat di hati mereka secara asasnya, mahu memperbaiki keadaan itu supaya menjadi baik.

Kalau hendak aku buat andaian, ianya adalah hipokrasi manusia. Manusia yang sering mencari utopia dalam hidup dan mahu keadaan sekelilingnya juga sama begitu. Bila ianya tidak tercapai, manusia akan kecewa dan bersedih.

Jadi bila semalam ada sahabat bertanya bagaimana aku membuang segala kenangan lama yang memeritkan hati dan meruntun jiwa, aku jawab aku tidak pernah buang semua itu. Sebaliknya aku memilih untuk tidak berfikir mengenainya.

Oh, manusia boleh membuat pilihan. Life is about choices. Manusia boleh memilih untuk bergembira atau untuk bersedih sentiasa. Manusia juga boleh memilih untuk suka atau tidak dengan sesuatu perkara atau keadaan. Cuma kadang-kadang kita tidak sedar bahawa kita mempunyai pilihan itu. Kerana kita lebih terpengaruh dengan faktor 'nasib' dan 'ketentuan'.

Sangat sedikit di kalangan kita yang mahu menggerakkan akal dan fikiran dalam melakukan sesuatu perkara. Aku juga selalu bertindak begitu. Buat membuta tuli tanpa berfikir lebih jauh. Tetapi, apa tidaknya, ramai antara kita sering membuat keputusan dalam keadaan amat terdesak. Atau kita sendiri yang mendesak. Malah, ada timbul pepatah;

"Act first, think later."

Buat dulu, fikir kemudian.

Maka timbulkan keadaan hidup manusia sekarang. Penuh kucar kacir; pemikiran dan perbuatan. Norma hidup kita sekarang tidak lebih daripada, buat dulu, menyesal kemudian. Dan kita tambah satu perkara lagi; sering terkenangkan keperitan hidup lama.

Akhirnya ramai antara kita menjadi manusia yang hidupnya sentiasa tertekan. Depress.

Apa motif cerita aku ini? Aku tidak mahu buat kesimpulan. Aku mahu kamu berfikir pada setiap detik tindakan kamu. Kerana kamu sentiasa diberi pilihan. Life is about choices.

2 comments:

Anonymous said...

poyo la ayat macam spender basah

NM. Amalina said...

baru sampai di sini.
:)

so deep. jadi, sy memilih untuk hari2 penuh gembira. insyaAllah.

Post a Comment