28.5.10

Berbasikal di Laluan Presint 16 - Parcel B - E, Putrajaya

Satu lagi laluan (trail) yang aku suka guna ketika berbasikal di sekitar Putrajaya adalah laluan di sepanjang tasik di Presint 16 dan Parcel B - E. Ada dua cara untuk aku ke situ.



Pertama melalui Dataran Putra turun ke kawasan tepi tasik (berhampiran tempat letak kereta) dan terus ikut laluan sepanjang tasik (lihat gambar atas). Kedua, yang paling biasa aku buat, aku lalui laluan Core Island ikut arah jam (rujuk post sebelum ini - Berbasikal Di Laluan Core-Island, Putrajaya) sehingga tiba di penghujung Taman Wawasan, betul-betul di tepi Jambatan Seri Bestari, aku belok ke kanan, naik bukit yang agak curam. Sini sama ada kamu kayuh, kalau larat, atau kamu tolak saja basikal hingga tiba ke jalan utama yang menuju ke Jambatan Seri Gemilang.

Selepas jambatan Seri Bestari, belok ke kiri berhadapan Taman Warisan Pertanian, tiba di simpang, belok ke kanan menuju ke Presint 16. Teruskan kayuhan hingga tiba di bulatan kecil. Selepas bulatan ada simpang belok ke kiri menuju ke laluan berbasikal tepi tasik.

Suatu yang menarik mengenai laluan ini adalah terdapatnya mini-wetland di tasik sepanjang Presint 16. Banyak burung berhijrah (migrotory birds) yang boleh ditemui di pulau-pulau kecil yang terdapat di sekitar tasik. Kalau kamu juga peminat fotografi burung, kawasan ini amat sesuai untuk kamu.

Kamu akan melintasi kompleks Alamanda di penghujung barat laluan ini dan seterusnya melalui kompleks-kompleks kerajaan sehinggalah tiba di Dataran Putra. Secara keseluruhan, laluan ini juga hampir sama dengan laluan Core-Island. Agak santai. Cuma di permulaan untuk tiba ke tepi tasik di Presint 16, ianya agak sukar di mana kamu perlu mendaki bukit yang agak curam (buat permulaan, tolak saja basikal hingga tiba di tepi jalan) dan perlu melintasi jalan yang agak sibuk.

Sepanjang laluan di tepi tasik (sejauh lebih kurang 5 km), ianya agak landai dan kurang berangin. Laluan ini kurang orang ramai guna. Kalau ada cuma mereka yang bersiar-siar dan berjogging.


Nampak burung di atas pokok?


Pulau-pulau kecil di tasik yang menjadi tempat burung hinggap.


Ada dua empangan-mini di sini. Kamu boleh pergi melihatnya hingga ke tebing. Jangan terjun, sudah!


Tasik di Presint 16 berlatar belakang Jambatan Seri Bakti.


Panorama sekitar tasik di Presint 16 menghadap kompleks kerajaan di Parcel B - E.


Laluan di tepi Parcel B - E.

No comments:

Post a Comment