Petang tadi setelah Putrajaya dibasahi hujan, alam begitu damai. Air di tasik menjadi lebih tenang dan memantulkan kembali wajah-wajah alam. Aku begitu teruja hingga separuh daripada masa petang tadi aku habiskan dengan merakamkan saat-saat indah sebegini.
Aku sudah berkali-kali melalui kawasan yang sama tetapi setiap kali di situ, suasana akan berbeza. Hidup juga begitu, bukan? Biar betapa kita berusaha untuk sesuatu itu menjadi rutin, namun setiap masa yang kita lalui adalah unik dan tersendiri. Hari ini tidak sama dengan semalam dan pastinya juga tidak akan sama dengan esok.
Seperti aku baru sedari terdapat seketul batu seperti dalam gambar di atas di lokasi itu. Aku tidak menyedarinya sebelum ini. Kadang-kadang kita terlalu obses untuk melihat nun jauh di sana, kita sering abaikan apa yang ada di hadapan mata kita, dekat dengan kita.
Sama seperti jambatan di atas. Tidak ada apa yang menarik di atas jambatan tersebut. Ianya jambatan yang menghubungkan Core Island, berhampiran dengan Wisma Putra/Presint 18 dengan Taman Warisan/Presint 16. Jambatan, di atasnya penuh sesak dengan kelibat kenderaan yang datang dan pergi serta manusia yang merentasinya. Apa yang ada di bawah, jarang manusia peduli. Tetapi bila sesekali kamu berkesempatan untuk merakamkan imej seperti di atas; estasi.
Benar petang di Putrajaya sungguh mendamaikan. Terutama selepas hujan turun. Cuaca menjadi lebih cerah dan 'mesra'. Menara ciptaan manusia nun jauh di sana seperti 'cair' dalam lukisan alam.
Apa yang membuat diri kamu lebih teruja, lebih terangsang apabila kamu dapat menghayati suasana seperti dalam gambar di atas. Kamu tidak tahu di mana bermulanya realiti dan di mana berakhirnya mimpi. Apa yang kamu nampak adalah harmoni suasana sebegini. Mampu menenangkan jiwa yang meruntun.
Akhirnya kita akan lebih menghargai alam; lebih menyayanginya. Kita perlu teknologi, kebijaksanaan, kemahiran, kreativiti dan segala label sifat manusia untuk menghasilkan cermin yang dapat mempertontonkan rupa wajah kita. Alam hanya perlukan air yang tenang dan susana yang indah.
Terima kasih, Tuhan.
No comments:
Post a Comment