Malam tadi aku menonton Shrek Forever After @ Shrek 4 di Alamanda. Hari pembukaan filem animasi ini tetapi pawagam tidak dipenuhi penonton. Mungkin tidak ramai yang suka filem Shrek.
Kalau mengikut berita, filem ini merupakan filem Shrek yang terakhir. Itu kata-kata promosi, mungkin. Kalau sambutannya luar biasa, mungkin produser di Hollywood terdetik untuk menyambungnya lagi.
Secara keseluruhan, Shrek 4 adalah sebuah filem animasi yang bagus. Tidak hebat, cukup sekadar bagus. Kalau kamu pernah menonton filem pertama hingga yang ke tiga, kamu boleh jangkakan lawaknya bagaimana. Juga kamu boleh sifat dan gaya setia watak seperti Shrek, Fiona, Donkey dan Puss In Boot (yang menjadi gemuk!).
Memilih Rumpelstiltskin sebagai watak antagonis utama mungkin agak pelik kerana ianya bukan watak cerita dogeng yang begitu ekstrem. Tetapi melalui cerita ini dan seperti cerita Shrek yang lain, Rumpelstiltskin dikelilingi oleh penolong yang bebal dan berniat untuk menguasai takhta kerajaan Far Far Away.
Rugilah kalau aku ceritakan kepada kamu jalan ceritanya. Aku galakkan kamu pergi menonton, sekadar untuk melegakan kepala yang berat. Ketawa dengan jenaka spontan Mike Myers dan Eddie Murphy serta terpesona dengan Puss In Boot yang walaupun menjadi semakin gemuk tetapi masih tetap 'adorable', terutama matanya yang semakin bulat, besar ketika meminta simpati.
Bagi aku, Shrek 4 dan jalan ceritanya bukan penamat yang sempurna untuk siri filem animasi Shrek. Ianya tidak "go out with a bang". Sebaliknya cerita ini kembali kepada filem Shrek yang pertama; bagaimana dan kenapa Shrek jatuh cinta dengan Fiona.
Sekadar memberi rating, 4 daripada 5 bintang. Itu pun kerana aku suka filem animasi DreamWorks.
1 comment:
Tgk wyg dgn siapa smalam? :P
Post a Comment