Semalam, tanpa aku rancang, aku pergi menonton filem di Alamanda.
Pada mulanya aku cuma ingin meninjau filem terbaru di pawagam melalui laman web mereka. Aku dapati filem Robin Hood lakonan Russell Crowe sudah mula ditayangkan. Melalui sistem belian tiket secara online, aku tengok ada satu tempat duduk kosong di belakang untuk tayangan jam 10.30 malam di GSC Alamanda. Tanpa berlengah aku membelinya.
Sedar dengan kepelbagaian versi lagenda Robin Hood dan tanpa merujuk dulu informasi cerita di IMDB.com, aku terus bergerak ke Putrajaya.
Mungkin kerana ianya sebuah filem karya Ridley Scott dan lakonan Russell Crowe yang pernah bekerjasama dalam filem Gladiator, aku andaikan suasana filem nanti tidak lari jauh. Andaian aku agak tepat. Aroma dan 'feel' filem Robin Hood hampir sama dengan Gladiator. Malah kalau sekali pandang, kamu akan tersalah sangka menyangka Maximus Decimus Meridius telah berhijrah ke England (seribu tahun kemudian) dan menjadi Robin Hood.
Aku tidak mahu ulas filem ini lebih terperinci. Ringkasnya, filem ini mengisahkan bagaimana Robin Longstride menjadi Robin Hood yang kita kenali. Cerita ini adalah permulaan langkah Robin sebelum digelar pengkhianat yang diburu. Aku fikir, mungkin ada sambungan. Atau mungkin sekadar menceritakan apa yang tidak pernah diceritakan oleh filem sebelum ini.
Tetapi asas cerita masih tetap sama atau hampir sama dengan filem Robin Hood : Men In Tights lakonan Kevin Costner pada tahun 1993; watak Robin Hood bermula dari perjalanan balik beliau setelah berkhidmat dengan tentera Richard The Lionheart di Perang Salib Ke-3. Bezanya, dalam filem lakonan Costner, Richard The Lionheart terus hidup dan dapat kembali ke England tetapi dalam filem Robin Hood terbaru, baginda meninggal dunia semasa berperang di Perancis.
Setelah keluar dari pawagam, aku terdengar perbualan dua orang penonton di belakang. Mereka cuba menduga sama ada filem yang baru selesai ditayang itu selari atau tidak dengan mitos/lagenda Robin Hood sebenar. Mereka setuju bahawa Robin Hood berasal dari keluarga tukang batu. Selebihnya mereka juga percaya filem ini diangkat hampir dengan fakta sejarah sebenar.
Harapnya mereka membelek informasi di internet selepas itu. Mereka akan pasti terkejut dengan begitu banyak versi lagenda Robin Hood @ Robin Longstride @ Robyn Hude @ Robert Hude. Mereka juga pasti akan terkejut bila menyedari bahawa lagenda Robin Hood ini asalnya adalah sebuah ballad, seperti syair.
Menarik apabila kita berusaha untuk mencari ilmu lebih sedikit dari apa yang telah dihidangkan kepada kita. Kita akan mengetahui lebih banyak perkara.
Bagi aku Robin Hood karya Ridley Scott adalah sebuah filem yang baik tetapi tidak cukup hebat seperti Gladiator. Ianya bukan epik seperti Gladiator. Kesilapan paling jelas adalah apabila membiarkan watak Robin Hood lakonan Russell Crowe kelihatan hampir sama dengan watak Maximus dalam filem Gladiator. Ianya pasti akan jadi jenaka sosial di laman-laman web.
Pergi menonton jika kamu meminati lakonan Russel Crowe dan Cate Blanchett (aku lupa hendak ulas mengenainya - lakonan beliau agak suram). Ianya bukan filem wajib tonton. Tetapi masih cukup bagus. Kalau hendak diberi rating dari 1 - 5 bintang, aku beri 3.5 bintang.
No comments:
Post a Comment