Sekarang orang sedang mengeluh mengenai cadangan kerajaan untuk mengurangkan subsidi. Kata kerajaan, ini boleh menjimatkan lebih RM100 bilion duit kerajaan. RM100 bilion itu sangat banyak. Kalau dibahagikan kepada setiap orang rakyat Malaysia yang berjumlah lebih kurang 28.3 juta orang, kita akan dapat lebih kurang RM3500 seorang.
Siapa rasa yang kamu mendapat lebih kurang RM3500 subsidi daripada kerajaan setiap tahun? Kalau dari petrol yang kamu guna, berapa sangat yang disubsidi? Selebihnya adalah perkara yang kamu tidak nampak.
Aku secara dasarnya, menyokong usaha untuk mengurangkan subsidi. Walaupun ianya akan membebankan orang ramai terutamanya yang berpendapatan rendah, tetapi ianya lebih baik daripada membiarkan kos subsidi meningkat setiap tahun. Lagipun, subsidi ini bukan menguntungkan orang yang berpendapatan rendah. Lebih banyak subsidi dihabiskan untuk golongan menengah dan atasan.
Tetapi kerajaan juga perlu pandai berjimat cermat. Ada perkara kecil yang kadang-kadang kita nampak remeh, tetapi bila diusahakan, boleh mendatangkan penjimatan besar. Pembelian barang oleh agensi kerajaan contohnya. Semua orang tahu pembekal akan menokok harga begitu tinggi untuk setiap pembelian kerajaan.
Tempohari sewaktu aku dan rakan pejabat menyiapkan carta organisasi bahagian, kami mahu buat sendiri. Harga papan carta organisasi yang ditempah dari pembekal boleh mencecah ribuan ringgit walaupun untuk yang paling mudah. Dengan menghasilkannya sendiri, kami berharap dapat menjimatkan kos. Aku pergi membuat tinjauan barangan yang diperlukan. Antaranya adalah kertas warna perak bersaiz 70mm x 50mm yang akan dijadikan latar carta.
Harga yang aku tinjau adalah RM1.90 sehelai. Berpatutan. Tetapi kami perlu membuat pembelian daripada pembekal. Maka, kami berikan kepada pembekal sampel kertas yang kami mahu. Beberapa hari kemudian pembekal datang dengan sampel dan harga yang ditawarkan. RM3.50 sehelai. Mahal, malah, ianya datang dalam bungkusan sehelai demi sehelai, bukan 'bundle' seperti yang aku lihat di kedai yang aku buat tinjauan.
Ini bermakna pembekal tersebut pergi ke kedai alat tulis biasa dan membeli dengan harga pasaran, bukan harga pembekal, kemudian menokok harga kepada RM3.50 untuk mengambil untung semaksima mungkin, untuk sehelai kertas.
Kami tidak boleh beli sendiri kerana bahagian kewangan tidak akan meluluskannya malah kalau kami beli dan mahu menuntut kembali duit yang sudah dibelanja dulu, langsung tidak dibenarkan.
Perkara sekecil begini yang sebenarnya menyusahkan kerajaan. Perkara yang sepatutnya digunakan untuk bersifat 'win-win situation' antara agensi dan pembekal menjadi berat sebelah apabila pembekal yang ada sebenarnya tidak berkemampuan untuk membekal barangan pada harga yang sepatutnya.
Kamu nampak masalahnya, bukan? Aku pernah membeli sebuah network harddisk untuk kegunaan pejabat. Harganya ketika itu adalah RM1200. Tetapi LO yang dikeluarkan adalah sebanyak RM1500 kerana itu anggaran semasa yang diberikan sebelum harga baru diketahui. Sepatutnya RM300 baki tersebut dipulangkan kembali kepada kerajaan. Tetapi pembekal cuma berdiam diri.
Jadi jangan hairan kalau harga sebatang pen di pejabat kerajaan boleh mencecah beberapa ringgit, sedang pen yang sama cuma berharga RM1 di kedai alat tulis. Kita membazir di tempat yang sekecil ini dan kalau kita kumpul semuanya, kosnya mungkin amat tinggi.
Ini salah satu contoh penjimatan yang sepatutnya sudah dilaksanakan di agensi kerajaan. Banyak cara lain lagi daripada memotong subsidi secara mendadak.
No comments:
Post a Comment