Kemudian aku menjenguk ke negara jiran, Indonesia, spesifik lagi, ke Pulau Sumatra. Tidak boleh tidak apabila kita melihat nama-nama tempat di peta Google Earth, kita akan terpanggil hendak mengesahkan bahawa teori asal usul orang melayu kita memanglah dari sana. Tidak mustahil kerana sejak ratusan tahun dulu sebelum kepulauan melayu ini dijajah oleh negara-negara barat, ianya merupakan kawasan bebas untuk orang-orang kepulauan berpindah randah.
Tetapi itu bukan cerita yang hendak aku tulis. Melalui Google Earth, aku klik link Wikipedia mengenai bandar-bandar dan daerah serta negeri yang terdapat di Indonesia. Suatu yang menarik aku perhatikan adalah setiap bandar besar terutamanya ibu negeri, ibu daerah, daerah dan negeri di Indonesia mempunyai capaian portal web masing-masing yang aku fikir lengkap dan teratur.
Ianya langsung tidak sama dengan bandar-bandar, apatah lagi daerah dan negeri di Malaysia. Portal web bandar, daerah dan negeri di Malaysia adalah amat-amat mengecewakan. Malah ada antara bandar besar yang langsung tidak mempunyai portal khusus bandar tersebut walaupun aku pasti bandar ini jauh lebih maju dari yang terdapat di Indonesia.
Apa masalah sebenarnya? Kenapa di Indonesia, organisasi awam begitu terbuka dan rapat dengan penggunaan internet sebagai medium sebaran maklumat sedang di Malaysia ini yang begitu gah menunjukkan kehebatan Koridor Raya Multimedia, hendak bina laman web sebuah bandaraya pun amat susah? Kalau ada, contohnya Kuala Lumpur, ianya tidak lebih daripada laman web korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Dalamnya mengandungi lebih banyak maklumat mengenai DBKL daripada KL sendiri.
Portal web kerajaan tempatan (bandar, daerah, negeri) di Malaysia juga lebih bersifat politikal. Kalau tiada gambar menteri besar, ADUN dan ahli parlimen, memang tak sah laman web tersebut. Kalau laman web yang sama di Indonesia, gambar VIP yang selalu terdapat di laman web mereka adalah samada gabenur atau pemerintah. Itu saja. Aku masih belum jumpa maklumat politik. Laman web mereka lebih terbuka dan umum.
Paling menarik mengenai laman web kerajaan tempatan di Indonesia adalah kerana mereka menceritakan asal usul tempat itu, budaya, kependudukan, ekonomi dan potensi yang terdapat di kawasan tersebut seperti pelancongan dan perindustrian. Jarang sekali ada maklumat mengenai cara-cara hendak mengampu ahli politik.
Itulah, di Malaysia ini, kita terlalu taksub dengan politik hingga serba-serbi perbuatan kita mesti berkait dengan politik, termasuk urusan kerajaan tempatan. Hinggakan perkara mudah seperti asal usul nama, contohnya bandar Di Raja Kuala Kangsar pun tidak pernah ada lengkap dalam portal kerajaan tempatan Kuala Kangsar. Jenuh juga aku mencari, tetapi ianya tidak lengkap dan lebih bersifat tangkap muat. Kalau kamu bandingkan dengan penulisan yang sama mengenai asal usul bandar di Indonesia, mereka turut sertakan dengan kajian sejarah yang menyeluruh. Kita ada buat ke?
Mungkin ahli sejarah kita masih sibuk mencari punca keretakan hubungan kaum di Malaysia. Masih mencari bukti (yang sudah jelas terbuka di depan mata) untuk membuktikan orang lain salah.
Kalau benarlah situasi teknologi maklumat di Malaysia ini, kita sebenarnya begitu jauh ketinggalan berbanding dengan Indonesia, negara yang sering kita pandang rendah kerana kemiskinan mereka. Miskin mereka pun, mereka lebih kaya maklumat dan usaha-usaha untuk menonjolkan diri di internet.
Kita? Kita masih merungut talian internet Streamyx monopoli yang lembab tahap siput baaa...
Contoh:
Buat malu je sama orang Indonesia.
No comments:
Post a Comment