9.7.12

Selangkah Demi Selangkah - 3


Cinta hati ini. Ada kalanya tulisan tidak dapat menggambarkan suasana. Hujung minggu yang dilalui terasa begitu damai kerana ada Zura dan Qaseh. Walaupun ada bibit-bibit sukar yang terpaksa dilalui kami, ianya merupakan suatu pengalaman dan pengajaran yang terbaik buat kami.

Kira-kira jam 2.00 pagi, Sabtu tempohari, aku dan Zura dikejutkan dengan tangisan Qaseh. Semakin lama semakin kuat. Pujukan tidak diendah, susu tidak dijamah. Apabila dipegang, kepala Qaseh terasa panas membahang, sementara tangan dan kakinya sejuk. Segera aku ambilkan termometer digital dan merakam suhu badan Qaseh. 37.9 darjah Celsius. Tinggi.

Mulanya aku fikir mungkin kerana kesejukan. Namun tangisan yang tidak berkesudahan membuatkan kami kurang senang. Segera aku merujuk info online mengenai simpton yang sedang dihadapi Qaseh. Ya, seperti yang diduga, Qaseh demam. 2.00 pagi dan si kecil ini demam. Apa yang harus dibuat?

Zura cuba sedaya upaya memujuk Qaseh, namun rengekan dan tangisannya tetap berterusan. Aku ke dapur mengambil sehelai tuala kecil dan bekas berisi air sejuk lalu kami lapkan di kepala Qaseh. Sepanjang malam sehingga ke pagi, tangisan mengisi kesunyian. Nasib ada ibu mertua yang turut sama membantu. Itulah hari terakhir ibu mertua bersama kami setelah sebuah membantu kami menyesuaikan diri dengan kehadiran insan kecil di rumah.

Awal pagi, kami terus mencari klinik yang sudah dibuka. Sukar hendak memeriksa Qaseh yang sedang meraung kesakitan. Doktor seperti panik dengan apa yang sedang dihadapinya. Qaseh tidak pergi ke klinik yang biasa kami bawanya kerana masih ditutup. Selepas mengantar ibu mertua ke Pudu Sentral, aku dan Zura mengambil keputusan untuk ke klinik yang biasa kami pergi untuk merawat Qaseh. Kami berasa lebih lega apabila mendengar nasihat dan tunjuk ajar dari doktor tua di situ. Beliau sangat bijak berdiplomasi. Kami tidak diberi ubat, sebaliknya diberi tunjuk ajar bagaimana hendak meredakan demam Qaseh.

Balik ke rumah, Qaseh diberi mandi air suam, dipakaikan baju nipis berlubang. Zura berusaha tidurkan Qaseh yang keletihan sambil aku pasangkan kipas untuk menyejukkan Qaseh.

Syukur kepada Tuhan. Setelah petang, suhu badan Qaseh semakin menurun dan beliau sudah mula mampu tersenyum dan ketawa di hadapan kami. Walaupun dibekalkan ubat dari klinik pertama, kami tidak menggunakannya. Kami dinasihati untuk cuba menurunkan suhu badan Qaseh secara semulajadi menggunakan angin sejuk. Aku memantau dari semasa ke semasa suhu Qaseh dengan termometer. Kami juga memantau najis dan air kencing Qaseh bagi memastikannya tidak ada simptom sakit yang lebih serius.

Hari Ahad, Qaseh sudah kembali gembira dan mampu bermain dan menikmati masa santainya. Pengalaman dan pengajaran buat aku dan Zura. Bukan mudah untuk menghadapinya buat pertama kali. 


Syukur kehadrat Ilahi.

1 comment:

zarilfaizalpsa said...

biasa la idan..aku dah ada pengalaman anak aku yg ketiga tu siap demam tarik lagi..first time kena memang panik, second time kena pun masih lagi kelam kabut..tapi alhamdulillah kali kedua ketiga dan seterusnya anak aku zarif tu tak kena lagi sawan tarik tu...the key is terus turunkan suhu badan anak tu mcm ko buat dan kalau bole jgn pakaikan dia baju..insyaallah demam dia akan kebah..

Post a Comment